Persidangan Umum
Demi Keturunan Anda
Persidangan Umum Oktober 2023


10:15

Demi Keturunan Anda

Jangan menjadi ikatan yang lemah dalam rantai keimanan yang anda mulakan atau anda terima, sebagai satu legasi. Jadilah ikatan yang kuat.

Beberapa tahun lalu, ketika saya melayani di Kawasan Barat Laut Amerika Selatan dan tinggal di Peru, saya mengalami suatu keindahan yang saya ingin berkongsi dengan anda.

Ia berlaku apabila saya pulang ke rumah selepas hujung minggu yang sibuk dengan tugasan. Selepas selesai proses imigrasi di lapangan terbang, saya temui seorang pemandu teksi yang mesra menunggu saya di tempat perkhidmatan teksi. Dia bawa saya ke keretanya, dan saya duduk di belakang bersedia untuk beristirahat dan menikmati satu perjalanan yang sunyi. Selepas memandu beberapa kilometer, pemandu itu menerima panggilan telefon daripada penyelianya, memberitahu dia bahawa saya telah mengambil teksi yang salah. Sebuah kereta yang berbeza ditempah untuk saya, dan penyelia meminta dia untuk membawa saya kembali ke lapangan terbang jika saya mahu menukar kereta. Saya beritahunya bahawa ia tidak perlu, dan kami boleh terus perjalanan kami. Selepas beberapa minit dengan senyap, dia melihat saya melalui cermin pandang belakang dan bertanya, “Kamu orang Mormon, kan?”

Selepas soalan itu ditanya, saya tahu saat-saat sunyi saya sudah tamat. Saya teruja dengan arah soalan itu akan bawa kami.

Saya dapat tahu namanya ialah Omar, nama isterinya Maria Teresa, dan mereka ada dua anak—Carolina, umur 14, dan Rodrigo, umur 10. Omar telah jadi ahli Gereja sejak dia masih kanak-kanak. Keluarganya aktif, tetapi pada satu ketika, ibu bapanya berhenti pergi ke gereja. Omar menjadi tidak aktif sepenuhnya apabila dia berumur 15 tahun. Dia berusia 40 tahun pada masa itu.

Pada masa itu saya sedar bahawa saya tidak mengambil teksi yang salah. Ia bukan satu kebetulan! Saya memperkenalkan diri dan beritahu saya berada di dalam teksinya kerana Tuhan memanggil dia kembali ke kawanan-Nya.

Kemudian kami berbincang tentang masa dia dan keluarganya masih ahli Gereja yang aktif. Dia ada kenangan manis tentang malam keluarganya, dan lagu Sekolah Primer. Dia menyanyikan beberapa patah kata dari “Aku Anak Tuhan.”1

Selepas mendapat alamat, nombor telefon, dan kebenaran untuk berkongsi dengan uskupnya, saya beritahu dia bahawa saya akan mencari peluang untuk ke gerejanya pada hari pertama dia kembali ke gereja. Perjalanan kami dari lapangan terbang ke rumah, mengenangi masa lalunya pun sudah tamat, dan kami mengikut haluan masing-masing.

Beberapa minggu kemudian uskupnya menelefon saya, berkata Omar sedang merancang untuk menghadiri gereja pada hari Ahad tertentu. Saya beritahu dia bahawa saya akan berada di sana. Ahad itu, Omar berada di sana bersama anak lelakinya. Isteri dan anak perempuannya belum lagi berminat. Beberapa bulan kemudian, uskupnya menelefon saya lagi, bahawa Omar akan membaptiskan isterinya dan dua anaknya, dan menjemput saya untuk hadir. Berikut ialah gambar pada hari Ahad itu di mana mereka telah ditetapkan sebagai ahli Gereja.

Elder Godoy dengan keluarga Omar pada hari Ahad mereka ditetapkan.

Ahad sama itu, saya memberitahu Omar dan keluarganya bahawa, jika mereka bersedia, dalam satu tahun, saya berbesar hati untuk melaksanakan pemeteraian mereka di Bait Suci Lima Peru. Berikut adalah gambar pada saat yang tidak dapat dilupakan bagi kami semua, diambil setahun kemudian.

Elder Godoy dengan keluarga Omar dibait suci.

Mengapakah saya kongsi pengalaman ini kepada anda? Saya kongsi ini untuk dua tujuan.

Pertama, untuk bercakap tentang ahli-ahli baik seperti Omar yang dengan sebab tertentu telah jatuh dari injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Kedua, untuk bercakap tentang ahli-ahli yang menyertai hari ini yang mungkin kurang setia kepada perjanjian mereka seperti yang sepatutnya. Dalam kedua-dua kes ini, generasi-generasi akan datang terjejas, dan berkat-berkat dan janji-janji yang ditentukan untuk keturunan mereka berada dalam risiko.

Marilah bermula dengan senario pertama, ahli-ahli baik yang telah meninggalkan jalan perjanjian, seperti yang berlaku dengan kawan Peru saya Omar. Semasa saya menanyanya mengapa dia memutuskan untuk kembali, dia berkata ia kerana dia dan isterinya merasakan anak-anak mereka akan menjadi lebih bahagia dalam hidup dengan injil Yesus Kristus. Dia merasakan ia adalah masa untuk kembali ke gereja demi kepentingan anak-anak mereka.

Ia sangat menyedihkan apabila menemui ahli gereja yang tidak aktif atau bukan ahli Gereja yang pada satu masa memiliki injil dalam keluarga dan kehilangannya kerana keputusan ibu bapa atau datuk nenek mereka untuk berehat dari Gereja. Keputusan itu boleh membawa kesan kepada keturunan mereka buat selama-lamanya!

Anak-anak dan cucu-cucu mereka terhalang daripada perlindungan dan berkat-berkat injil Yesus Kristus dalam kehidupan mereka. Lebih lagi, mereka telah kehilangan janji-janji keluarga abadi yang pernah ada di sana. Keputusan seseorang telah mempengaruhi seluruh rantai keturunan. Satu legasi keimanan telah terputus.

Walau bagaimanapun, seperti yang kita tahu, apa yang terputus dapat dibaiki melalui Yesus Kristus. Untuk sebab ini, sila pertimbangkan jemputan daripada Presiden Russell M. Nelson: “Sekarang, jika anda telah meninggalkan jalan itu, boleh saya menjemput anda dengan segala harapan dalam hati saya untuk kembali. Tidak kira kebimbangan anda, tidak kira cabaran anda, terdapat tempat untuk anda dalam Gereja Tuhan ini. Anda dan generasi yang akan datang akan diberkati oleh tindakan anda sekarang untuk kembali ke jalan perjanjian.2

Sekarang, marilah kita bercakap tentang senario kedua, ahli-ahli yang menyertai hari ini yang mungkin kurang setia. Sama seperti keputusan kelmarin membawa kesan kepada realiti hari ini, keputusan hari ini akan membawa kesan kepada masa depan kita dan masa depan ahli keluarga kita.

Presiden Dallin H. Oaks mengajar kita:

“Injil Yesus Kristus yang dipulihkan menggalakkan kita untuk berfikir tentang masa depan. … Ia mengajar idea-idea hebat tentang masa depan untuk membimbing tindakan kita hari ini.

“Sebaliknya, kita semua mengenali orang yang hanya bimbang dengan masa kini: memboroskan hari ini, menikmatinya hari ini, dan tidak memikirkan tentang masa depan.

“… Ketika membuat keputusan semasa, kita harus selalu bertanya, ‘Ke manakah ini membawa kita?’”3 Adakah keputusan sekarang membawa kita kebahagiaan sekarang dan dalam keabadian, atau membawa kita kesedihan dan kepiluan?

Ada yang mungkin berfikir, “Kami tidak perlu hadiri gereja setiap hari Ahad,” atau “Kami akan bayar persepuluhan apabila keadaan lebih baik,” atau “Saya tidak akan menyokong pemimpin Gereja dalam subjek ini.”

“Tetapi,” mereka berkata, “kami tahu Gereja adalah benar, dan kami tidak akan meninggalkan injil Yesus Kristus.”

Orang yang berfikiran seperti ini tidak sedar akan kesan negatif menjadi ahli yang “suam-suam kuku” dalam kehidupan mereka dan keturunan mereka. Ibu bapa mungkin tetap aktif, tetapi risiko kehilangan anak-anak mereka adalah tinggi—dalam kehidupan ini dan dalam keabadian.

Mengenai mereka yang tidak akan mewarisi kemuliaan selestial bersama keluarga mereka, Tuhan berfirman, “Inilah mereka yang tidak berani dalam kesaksian tentang Yesus; kerana itu, mereka tidak mendapatkan mahkota ke atas kerajaan Tuhan kita.”4 Adakah itu yang kita inginkan untuk diri kita sendiri atau anak-anak kita? Bukankah kita sepatutnya menjadi berani dan kurang suam-suam kuku demi kepentingan kita sendiri dan demi anak cucu kita?

Presiden M. Russell Ballard juga bicarakan perkara yang sama:

“Bagi sebahagian orang, jemputan Kristus untuk mempercayai dan tetap terus menjadi susah. … Sesetengah pengikut bergelut untuk memahami polisi atau ajaran Gereja tertentu. Sesetengah orang bimbang tentang sejarah kita atau ketidaksempurnaan ahli dan pemimpin Gereja sekarang atau dahulu. … 

“… Keputusan untuk ‘tidak mahu mengikut’ para ahli Gereja dan pemimpin Tuhan akan mempunyai kesan jangka panjang yang tidak kelihatan sekarang.”5

Ia akan menjadi sebuah legasi yang sedih—dan untuk apa sebabnya? Tidak kira apa pun, janganlah abaikan kesan rohani negatif yang akan timbul di generasi-generasi yang akan datang.

Saudara dan saudari yang dikasihi, jika anda sedang mengalami salah satu daripada dua situasi yang disebutkan dalam pesanan saya, sila pertimbangkan tindakan anda semula. Anda tahu rancangan khususnya bagi kita dalam hidup ini. Anda tahu keluarga boleh menjadi abadi. Kenapa anda membahayakan keluarga anda? Jangan menjadi ikatan yang lemah dalam rantai keimanan ini yang anda mulakan, atau terima sebagai sebuah legasi. Jadilah ikatan yang kuat. Ia adalah giliran anda untuk lakukannya, dan Tuhan dapat membantu anda.

Dari isi hati saya, saya jemput anda untuk fikirkannya, untuk memandang ke hadapan dan menilai “di mana ini akan membimbing,” dan, jika perlu, menjadi berani untuk memulihkan jalan anda demi keturunan anda. Dalam nama Yesus Kristus, amin.