Persidangan Umum
Kasih Yang Diucapkan
Persidangan Umum Oktober 2023


13:14

Kasih Yang Diucapkan

Semoga kita semua belajar untuk berbicara dan mendengar kasih-Nya di sini, dalam hati dan rumah kita, dan dalam panggilan injil, aktiviti, melayan dan pelayanan kita.

Kanak-kanak Sekolah Primer menyanyi, “Kasih yang diucapkan.”1

Saya pernah memberi Sister Gong satu loket kecil. Dalamnya ditulis titik-titik, titik-titik, titik-titik-sempang. Orang yang tahu kod Morse akan mengenali huruf I, I, U. Tetapi saya sertakan kod kedua. Dalam bahasa Cina Mandarin, “ai” bermaksud “cinta.” Jadi, dengan menyahkod dua kali, mesej itu ialah “Saya cinta kamu.” Kasihku Susan, “saya, ai (爱), kamu.”

Kita mengungkap kasih dalam banyak bahasa. Saya diberitahu keluarga manusia bercakap dalam 7,168 bahasa.2 Dalam Gereja, kita bertutur dalam 575 bahasa utama yang direkodkan, dengan berbilang dialek. Kita juga menyampaikan maksud, infleksi, dan emosi melalui seni, muzik, tarian, lambang logik dan ekspresi peribadi antara orang dan diri.3

Hari ini, marilah kita berbicara tentang tiga bahasa kasih injil: bahasa yang ramah dan takzim, bahasa pelayanan dan pengorbanan, dan bahasa perjanjian tergolong.

Pertama, bahasa injil yang ramah dan takzim.

Dengan ramah dan takzim, Sister Gong tanyakan kanak-kanak dan para remaja, “Bagaimanakah anda tahu ibu bapa dan keluarga mengasihi anda?”

Di Guatemala, kanak-kanak menjawab, “Ibu bapa bekerja keras untuk memberi makan kepada keluarga kami.” Di Amerika Syarikat, kanak-kanak berkata, “Ibu bapa membacakan cerita dan menyelimutkan saya apabila tidur malam.” Di Tanah Suci, kanak-kanak berkata, “Ibu bapa melindungi saya.” Di Ghana, Afrika Barat, kanak-kanak berkata, “Ibu bapa membantu saya dengan matlamat Kanak-kanak dan Remaja.”

Seorang anak berkata, “Walaupun ibu sangat penat selepas bekerja sepanjang hari, dia keluar untuk bermain dengan saya.” Ibunya menangis apabila mendengar korban hariannya dihargai. Seorang remaja puteri berkata, “Walaupun kadangkala saya dan ibu bercanggah pendapat, saya mempercayai ibu saya.” Ibunya juga menangis.

Kadangkala kita perlu tahu kasih yang diucapkan di sini didengar dan dihargai.

Dengan keramahan dan ketakziman, sakramen dan pertemuan kita yang lain berfokus pada Yesus Kristus. Kita bercakap dengan takzim tentang Korban Tebusan Yesus Kristus, peribadi dan nyata, bukan sahaja tentang korban tebusan dalam abstrak. Kita memanggil Gereja Yesus Kristus yang dipulihkan dalam nama-Nya, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Kita menggunakan bahasa doa yang takzim apabila kita berucap kepada Bapa Syurgawi dan hormat yang mesra apabila kita bercakap dengan satu sama lain. Apabila kita mengenali Yesus Kristus adalah pusat perjanjian bait suci, kita kurang menganggapkannya sebagai “pergi ke bait suci” dan lebih sebagai “datang ke Yesus Kristus dalam rumah Tuhan.” Setiap perjanjian menyatakan, “Kasih diucapkan di sini.”

Ahli-ahli baru mengatakan perbendaharaan kata Gereja sering memerlukan penyahkod. Kita tertawa kecil bila memikirkan “stake house” (rumah pancang) boleh bermaksud memakan daging stik yang sedap; “ward building” (bangunan bahagian) boleh merujuk kepada sebuah hospital; “opening exercises” (latihan pembuka) mungkin menjemput kita untuk menyentuh kepala, bahu, lutut dan hujung kaki di tempat letak kereta gereja. Tetapi, marilah kita saling memahami dan berbaik hati apabila kita belajar bahasa kasih baru bersama. Seorang penganut baru di gereja, diberitahu bahawa skirtnya terlalu pendek. Sebalik berasa tersinggung, dia membalas, “Hati saya telah bertukar hati; bersabarlah sehingga skirt saya bertukar hati.”4

Kata-kata yang kita gunakan boleh merapatkan atau menjauhkan kita daripada orang Kristian dan kawan-kawan lain. Kadangkala kita bercakap tentang kerja misionari, kerja bait suci, kerja kemanusiaan dan kebajikan yang boleh menyebabkan orang lain fikirkan kita melakukan kerja-kerja ini sendiri. Marilah kita sentiasa mengucap syukur dengan ramah dan takzim untuk pekerjaan dan kemuliaan dan jasa Tuhan, belas kasihan, dan rahmat Yesus Kristus dan korban tebusan-Nya.5

Kedua, bahasa injil tentang pelayanan dan pengorbanan.

Apabila kita berkumpuldi gereja setiap minggu untuk mengormati dan bergembira pada hari Sabat, kita boleh menyatakan komitmen perjanjian sakramen kepada Yesus Kristus dan satu sama lain melalui panggilan Gereja, persahabatan, pergaulan dan pelayanan.

Apabila saya tanyakan pemimpin tempatan apa yang merunsingkan mereka, mereka berkata, “Sesetengah ahli kami tidak mahu menerima panggilan Gereja.” Panggilan untuk melayani Tuhan dan satu sama lain dalam Gereja-Nya memberi peluang untuk meningkatkan rasa kasihan, keupayaan dan kerendahan hati. Apabila kita ditetapkan, kita boleh menerima ilham Tuhan untuk mengangkat dan memperkuatkan orang lain dan diri kita sendiri. Sudah tentu, keadaan dan masa kehidupan kita yang berubah boleh mempengaruhi keupayaan kita untuk melayan, tetapi bukan hasrat kita. Seperti Raja Benyamin, kita berkata, “Jika aku memiliki aku akan memberi”6 dan berikanlah segala yang kita boleh.

Pemimpin pancang dan bahagian, marilah kita lakukan bahagian kita. Semasa kita memanggil (dan melepaskan) saudara dan saudari untuk melayani dalam Gereja Tuhan, marilah kita lakukannya dengan hormat dan ilham. Bantu setiap orang berasa dihargai dan bahawa mereka boleh berjaya. Sila berunding dan mendengar para pemimpin saudari. Semoga kita ingat, sepertimana diajar oleh Presiden J. Reuben Clark, dalam Gereja Tuhan di mana kita layan dan dipanggil, “di mana tiada yang mencari atau menolak.”7

Apabila Sister Gong dan saya berkahwin, Elder David B. Haight menasihati: “Selalu memegang sebuah panggilan dalam Gereja. Khasnya apabila kehidupan sibuk,” dia berkata, “anda perlu merasai kasih Tuhan bagi mereka yang anda layani dan bagi diri semasa anda melayan.” Saya berjanji bahawa kasih diucapkan di sini, sana, dan di mana-mana apabila kita menjawab ya kepada para pemimpin Gereja untuk melayani Tuhan dalam Gereja-Nya dengan Roh-Nya dan perjanjian kita.

Gereja Tuhan yang dipulihkan boleh menjadi inkubator bagi komuniti Sion. Apabila kita menyembah, melayan, menikmati dan mempelajari kasih-Nya bersama, kita saling menyauhi satu sama lain dalam injil-Nya. Kita mungkin tidak bersetuju secara politik atau dalam isu sosial tetapi carilah harmoni apabila kita menyanyi bersama dalam koir bahagian. Kita membela perhubungan dan berjuang terhadap pengasingan semasa kita melayan dengan seluruh jiwa secara kerap di rumah satu sama lain dan dalam kejiranan.

Semasa kunjungan ahli dengan presiden pancang, saya merasakan kasih mendalam mereka terhadap ahli-ahli dalam setiap keadaan. Semasa kami memandu lalu rumah ahli gereja dalam pancangnya, seorang presiden pancang menyatakan sama ada kita tinggal di rumah yang mempunyai kolam renang atau rumah dengan lantai tanah, pelayanan Gereja ialah satu hak istimewa yang sering termasuk pengorbanan. Namun, dia ketahui, apabila kita melayani dan berkorban dalam injil bersama, kita kurang menemui kesalahan dan peroleh lebih kedamaian. Jika kita membenarkan, Yesus Kristus membantu kita mengucapkan kasih-Nya di sini.

Musim panas ini, keluarga kami bertemu dengan ahli-ahli Gereja dan kawan-kawan baik di Loughborough dan Oxford, England. Perjumpaan bermakna ini mengingatkan saya bagaimana aktiviti sosial dan pelayanan bahagian boleh membina ikatan injil yang baru dan berkekalan. Sekian lama saya telah merasakan bahawa, di banyak tempat dalam Gereja, beberapa aktiviti bahagian, yang sudah tentunya dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan injil, boleh mengaitkan kita untuk lebih tergolong dan bersatu.

Seorang pengerusi dan komiti aktiviti bahagian yang diilhami memelihara para individu dan satu komuniti Orang Suci. Aktiviti mereka yang dirancang dengan baik membantu semua orang berasa dihargai, tergolong dan dijemput untuk memainkan peranan yang diperlukan. Aktiviti-aktiviti seperti itu merentasi umur dan latar belakang, mencipta memori yang berkekalan, dan boleh dijalankan dengan kos yang sedikit atau tiada kos langsung. Aktiviti injil yang menyeronokkan juga menjemput jiran-jiran dan kawan-kawan.

Pergaulan dan pelayanan sering berlaku bersama. Para dewasa muda tahu bahawa jika anda benar-benar ingin mengenali seseorang maka berdirilah di tangga dan mengecat bersama dalam satu projek pelayanan.

Belia mengecat di sebuah projek pelayanan.

Sudah tentu, tiada individu dan keluarga yang sempurna. Kita semua perlu bantuan yang lebih untuk mengucapkan kasih di sini. “Kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut.”8 Iman, pelayanan, dan pengorbanan memisahkan kita dari diri dan merapatkan kita kepada Juruselamat. Semakin kita berbelas kasihan, beriman, dan tidak mementingkan diri dalam pelayanan dan pengorbanan kita terhadap Dia, semakin kita boleh mula memahami belas kasihan, korban tebusan dan rahmat Yesus Kristus.

Dan itu membawa kita ke bahasa injil tentang perjanjian tergolong.

Kita hidup dalam dunia yang mementingkan diri. Kebanyakannya “Saya pilih diri saya.” Ia seolah-olah kita percaya bahawa kita tahu kepentingan diri sendiri dan bagaimana untuk mengejarnya.

Tetapi asasnya itu tidak benar. Yesus Kristus merupakan lambang kebenaran berkuasa yang tidak berubah ini:

“Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati.

“Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah seseorang menukar hidup itu dengan sesuatu?”9

Yesus Kristus menawarkan cara yang lebih baik—perhubungan yang berdasarkan perjanjian ilahi, lebih kuat daripada tali kematian. Perjanjian tergolong dengan Tuhan dan satu sama lain boleh menyembuhkan dan menguduskan perhubungan kita yang paling dihargai. Sebenarnya, Dia lebih mengenali dan mengasihi kita daripada diri kita sendiri. Sebenarnya, apabila kita menjanjikan segala diri, kita menjadi lebih daripada kita sebelumnya. Kuasa dan kebijaksanaan Tuhan boleh memberkati kita dengan setiap kurnia yang baik, menurut masa dan cara-Nya.

Kecerdasan buatan (AI) pada dasarnya telah menyelesaikan masalah penterjemahan bahasa. Tiada lagi zaman di mana komputer mungkin menterjemahkan frasa simpulan bahasa “roh ingin, tetapi daging lemah” sebagai “Wain sedap, tetapi daging rosak.” Menariknya, mengulangi contoh-contoh bahasa yang meluas mengajar satu komputer satu bahasa dengan lebih berkesan daripada mengajar satu komputer peraturan tatabahasa.

Begitu juga, pengalaman berulang kita sendiri mungkin adalah cara rohani terbaik untuk kita belajar bahasa-bahasa injil yang ramah dan takzim, pelayanan dan pengorbanan, dan perjanjian tergolong.

Jadi, di mana dan bagaimana Yesus Kristus mengucapkan kasih kepada anda?

Di mana dan bagaimanakah anda mendengar ucapan kasih-Nya di sini?

Semoga kita semua belajar untuk berbicara dan mendengar kasih-Nya di sini, dalam hati dan rumah kita, dan dalam panggilan injil, aktiviti, melayan dan pelayanan kita.

Dalam rancangan Tuhan, satu hari nanti kita akan beralih dari kehidupan ini ke kehidupan seterusnya. Apabila kita bertemu dengan Tuhan, saya membayangkan Dia berfirman, dengan arahan dan janji, “Kasihku diucapkan di sini.” Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.