Persidangan Umum
Kuasa Pemeteraian
Persidangan Umum Oktober 2023


14:25

Kuasa Pemeteraian

Kuasa pemeteraian membolehkan keselamatan individu dan permuliaan keluarga secara universal kepada anak-anak Tuhan.

Ia telah dinubuatkan sejak zaman Yesaya1 bahawa pada zaman akhir, umat perjanjian Tuhan zaman purba, iaitu bani Israel, harus “dikumpulkan daripada peleraian lama mereka, dari pulau-pulau di laut, dan dari keempat bahagian bumi”2 dan dipulihkan kepada “negeri-negeri warisan mereka.”3 Presiden Russell M. Nelson sering bicarakan dengan kuasa pengumpulan ini, memanggilnya “hal yang paling penting berlaku di bumi hari ini.”4

Apakah tujuan pengumpulan ini?

Melalui wahyu kepada Nabi Joseph Smith, Tuhan mengenal pasti satu tujuan sebagai perlindungan umat perjanjian. Dia berfirman, “pengumpulan bersama ke atas negeri Sion, dan ke atas pancang-pancangnya, [akan] dapat dijadikan pertahanan, dan untuk perlindungan dari ribut, dan dari kemurkaan apabila ia akan dicurahkan dengan pekat ke atas seluruh bumi.”5 “Kemurkaan” dalam konteks ini boleh difahami sebagai akibat semula jadi dari ketidakpatuhan yang meluas terhadap hukum dan perintah Tuhan.

Paling pentingnya, pengumpulan adalah untuk membawa berkat-berkat keselamatan dan permuliaan kepada semua yang akan menerimanya. Ia adalah bagaimana janji perjanjian yang diberikan kepada Abraham telah direalisasikan. Tuhan memberitahu Abraham bahawa melalui keturunan dan imamatnya “semua keluarga di bumi akan diberkati, bahkan dengan berkat-berkat injil, yang merupakan berkat-berkat keselamatan, bahkan kehidupan yang abadi.”6 Presiden Nelson menjelaskannya dengan cara ini: “Apabila kita memeluk injil dan dibaptiskan, kita mengambil ke atas diri kita nama kudus Yesus Kristus. Pembaptisan adalah pintu gerbang yang menjadi kita pewaris bersama kepada semua janji yang Tuhan berikan kepada Abraham, Ishak, Yakub dan keturunan mereka pada zaman dahulu.”7

Pada tahun 1836, Musa muncul kepada Nabi Joseph Smith di Bait Suci Kirtland dan “menganugerahkan … kunci-kunci pengumpulan Israel dari empat bahagian bumi.”8 Pada peristiwa yang sama, Elia muncul dan “menganugerahkan zaman keagamaan injil Abraham, mengatakan bahawa melalui kami dan keturunan kami semua generasi selepas kami akan diberkati.”9 Dengan wewenang ini, kita sekarang membawa injil Yesus Kristus—berita baik tentang penebusan melalui Dia—kepada semua bahagian dan orang di bumi dan mengumpulkan semua yang melibatkan diri ke dalam perjanjian injil. Mereka menjadi “keturunan Abraham, dan gereja dan kerajaan, dan umat pilihan Tuhan.”10

Pada peristiwa yang sama di Bait Suci Kirtland terdapat utusan syurgawi ketiga yang muncul kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery. Saya berucap tentang nabi Elia, dan adalah wewenang dan kunci-kunci yang dia pulihkan yang saya ingin ucapkan hari ini.11 Kuasa untuk mengesahkan semua tatacara imamat dan membuatnya mengikat baik di bumi mahupun di syurga—kuasa pemeteraian—adalah penting untuk pengumpulan dan persediaan umat perjanjian di kedua-dua belah tirai.

Tahun-tahun sebelumnya, Moroni telah menjelaskan kepada Joseph Smith bahawa Elia akan membawa wewenang imamat yang penting: “Aku akan mengungkapkan kepadamu Imamat, melalui tangan Elia si Nabi.”12 Joseph Smith kemudian menjelaskan: “Mengapa hantar Elia? Kerana dia memegang kunci-kunci wewenang untuk melayani dalam semua tatacara Imamat; dan [jika] wewenang tidak diberikan, tatacara-tatacara itu tidak dapat dilakukan dalam kesolehan,”13—ini bermakna tatacara-tatacara itu tidak akan jadi sah bagi masa ini dan keabadian.14

Ajaran yang kini telah disertakan di Ajaran dan Perjanjian, katanya Nabi Joseph: “Ianya boleh dilihat bagi segelintir orang sebagai suatu ajaran berani yang kita bincangkan—suatu kuasa yang mencatat atau mengikat di atas bumi dan mengikat di dalam syurga. Walaupun demikian, dalam setiap zaman dunia, apabila Tuhan telah memberikan zaman keagamaan imamat kepada mana-mana lelaki pun melalui wahyu yang benar, atau mana-mana kumpulan lelaki pun, kuasa ini sentiasa diberikan. Oleh sebab itu, apa pun yang orang-orang itu lakukan dalam wewenang, dalam nama Tuhan, dan melakukannya dengan benar dan beriman, dan menyimpan sebuah catatan yang tepat dan pasti tentangnya itu, ia menjadi suatu hukum di atas bumi dan di dalam syurga, dan tidak dapat dibatalkan, menurut ketetapan Yehova yang agung.”15

Kita cenderung untuk fikirkan wewenang pemeteraian hanya berkaitan dengan tatacara-tatacara bait suci tertentu, tetapi wewenang itu diperlukan untuk membuat sebarang tatacara sah dan mengikat melampaui kematian.16 Kuasa pemeteraian memeteraikan kesahihan pada pembaptisan anda, supaya ia diiktiraf di sini dan di syurga. Pada dasarnya, semua tatacara imamat dilaksanakan di bawah kunci Presiden Gereja, seperti dijelaskan oleh Presiden Joseph Fielding Smith: “Dia [Presiden Gereja] telah berikan wewenang kepada kita. Dia telah berikan kuasa pemeteraian ke dalam imamat kita, kerana dia memegang kunci-kunci itu.”17

Terdapat satu lagi tujuan penting dalam pengumpulan Israel yang ada makna istimewa apabila kita bercakap tentang pemeteraian di bumi dan di syurga—iaitu pembinaan dan operasi bait suci. Seperti dijelaskan oleh Nabi Joseph Smith: “Apakah matlamat pengumpulan … umat Tuhan di mana-mana zaman dunia? … Matlamat utama adalah untuk membina kepada Tuhan satu rumah di mana Dia boleh mewahyukan kepada umat-Nya tatacara-tatacara rumah-Nya dan kemuliaan kerajaan-Nya, dan mengajarkan umat-Nya cara penyelamatan; kerana wujudnya tatacara dan asas-asas tertentu yang mesti diajarkan dan dijalankan dalam satu tempat atau rumah yang dibina untuk tujuan itu.”18

Kesahan yang diberikan oleh kuasa pemeteraian kepada tatacara imamat termasuk, sememangnya, tatacara-tatacara perwakilan yang dilaksanakan di tempat yang ditetapkan oleh Tuhan—bait suci-Nya. Di sini kita lihat keagungan dan kekudusan kuasa pemeteraian—ia membolehkan keselamatan individu dan permuliaan keluarga secara universal kepada anak-anak Tuhan di mana pun dan bila-bila pun mereka telah hidup di bumi. Tiada teologi,falsafah atau wewenang lain yang setara dengan peluang yang menyeluruh ini. Kuasa pemeteraian ini adalah pernyataan sempurna tentang keadilan, belas kasihan dan kasih Tuhan.

Dengan akses kepada kuasa pemeteraian, hati kita secara semula jadi berpaling kepada mereka yang telah meninggal dunia. Pengumpulan zaman akhir ke dalam perjanjian melalui ke sebelah tirai. Dalam tarekat sempurna Tuhan, yang hidup tidak dapat mengalami kehidupan abadi dalam kegenapannya tanpa ikatan yang bertahan dengan “bapa-bapa,” nenek moyang kita. Begitu juga, kemajuan mereka yang sudah berada di sebelah tirai, atau boleh menyeberangi tirai kematian tanpa manfaat pemeteraian, tidak lengkap sehingga tatacara-tatacara perwakilan mengikatkan mereka kepada kita, keturunan mereka dan kita kepada mereka dalam tarekat ilahi.19 Komitmen untuk membantu satu sama lain merentasi tirai boleh diklasifikasikan sebagai janji perjanjian, sebahagian dari perjanjian yang baru dan kekal. Dalam kata-kata Joseph Smith, kita ingin “memeteraikan orang mati kita untuk bangkit [bersama kita] dalam kebangkitan pertama.”20

Pernyataan yang paling tinggi dan kudus tentang kuasa pemeteraian adalah dalam penyatuan abadi seorang lelaki dan seorang perempuan dalam perkahwinan dan ikatan manusia melalui semua generasi mereka. Kerana wewenang untuk melaksanakan tatacara-tatacara ini amat kudus, Presiden Gereja menyelia penugasan kepada orang lain secara peribadi. Presiden Gordon B. Hinckley berkata pada satu masa, “Saya telah berkata berulang kali bahawa jika tiada hasil tambahan setelah semua kesedihan dan kesusahan kerja pemulihan selain kuasa pemeteraian imamat kudus, segala usaha dan pengalaman amat berbaloi.”21

Tanpa pemeteraian yang mencipta keluarga abadi dan menghubungkan generasi di sini dan selepas ini, kita akan ditinggalkan dalam keabadian tanpa akar atau cabang, iaitu—keturunan. Keadaan individu yang bebas dan terputus adalah bertentangan dengan perkahwinan dan perhubungan keluarga yang Tuhan telah tetapkan,22 ini akan menggagalkan tujuan penciptaan bumi. Jika ia menjadi kebiasaan, bumi seakan-akan dihentam dengan kutukan atau “sepenuhnya dilenyapkan” pada kedatangan Tuhan.23

Kita boleh lihat mengapa “perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan ditahbiskan oleh Tuhan dan bahawa keluarga adalah utama dalam rancangan Pencipta demi takdir ilahi yang abadi bagi anak-anak-Nya.”24 Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa pada masa kini yang tidak sempurna, ini bukanlah realiti atau kemungkinan realistik bagi sesetengah orang. Tetapi kita ada harapan dalam Kristus. Semasa kita menunggu Tuhan, Presiden M. Russell Ballard mengingatkan kita bahawa “kitab suci dan para nabi zaman akhir mengesahkan bahawa setiap orang yang setia dalam mentaati perjanjian injil akan berpeluang untuk permuliaan.”25

Ada yang mengalami keadaan keluarga yang tidak gembira, tidak sihat dan rasa tidak berhasrat besar untuk mempunyai hubungan keluarga yang abadi. Elder David A. Bednar membuat pemerhatian ini: “Kepada anda yang telah alami kesakitan hati perceraian dalam keluarga anda atau merasa keperitan kepercayaan yang dilanggar, sila ingat [bahawa pola Tuhan untuk keluarga] bermula kembali dengan anda! Satu ikatan dalam rantai generasi anda mungkin telah diputuskan, tetapi ikatan yang soleh dan apa yang tertinggal dalam rantai itu tetap penting secara abadi. Anda boleh menambah kekuatan kepada rantai anda dan mungkin juga bantu memulihkan ikatan yang rosak. Usaha itu akan dicapai satu demi satu.”26

Dalam pertemuan pengebumian untuk Sister Pat Holland, isteri Elder Jeffrey R. Holland, Julai lepas, Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Satu masa nanti, Patricia dan Jeffrey akan bersatu semula. Kemudian mereka akan disertai oleh anak-anak mereka dan keturunan mereka yang mematuhi perjanjian untuk mengalami kegenapan kebahagiaan yang Tuhan sediakan untuk anak-anak-Nya yang beriman. Mengetahui itu, kita faham bahawa tarikh yang paling penting dalam kehidupan Patricia bukanlah tarikh lahir atau tarikh kematiannya. Tarikh yang paling penting ialah 7 Jun 1963, apabila dia dan Jeff dimeteraikan di Bait Suci St. George . … Mengapakah ini sangat penting? Kerana tujuan bumi dicipta adalah supaya keluarga boleh dibentuk dan dimeteraikan kepada satu sama lain. Penyelamatan ialah perihal individu, permuliaan ialah perihal keluarga. Tidak seorang pun dapat dipermuliakan seorang diri.”

Tidak lama dahulu, isteri saya dan saya menyertai seorang kawan terbaik di bilik pemeteraian Bait Suci Bountiful Utah. Saya pertama kali bertemu dengan kawan ini sejak dia masih kanak-kanak di Córdoba, Argentina. Rakan misionari saya dan saya berjumpa dengan orang-orang di kawasan kejiranan tidak jauh dari pejabat misi, dan dia membuka pintu apabila kami datang ke rumahnya. Tidak lama kemudian, ibu dan adik-beradiknya menyertai Gereja, dan mereka kekal menjadi ahli yang setia. Dia sekarang seorang wanita yang indah, dan kini kami berada di bait suci untuk memeteraikan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia dan memeteraikan dia kepada mereka.

Sebuah pasangan yang telah lama menjadi kawan rapat mewakili ibu bapanya di altar. Ia merupakan satu detik beremosi yang lebih manis setelah kawan Argentina kami dimeteraikan kepada ibu bapanya. Hanya enam orang yang hadir pada petang yang aman dari kesibukan dunia, namun inilah satu-satunya perkara terpenting berlaku pada masa itu. Saya bersyukur bahawa peranan dan usaha saya telah mencapai puncak tujuan sejak mengetuk pintunya sebagai misionari muda sehingga masa kini, tahun-tahun kemudian, melaksanakan tatacara pemeteraian yang menghubungkan dia dengan ibu bapanya dan generasi yang lalu.

Ini adalah kejadian yang berlaku secara berterusan di bait suci di seluruh dunia. Inilah langkah terbesar dalam pengumpulan umat perjanjian. Ia adalah hak istimewa tertinggi keahlian anda dalam Gereja Yesus Kristus. Saya berjanji apabila anda mencari hak istimewa itu dengan beriman, dalam masa atau keabadian ia pasti akan menjadi milik anda.

Saya bersaksi bahawa kuasa pemeteraian dan wewenang yang dipulihkan ke bumi melalui Joseph Smith adalah nyata, bahawa apa yang terikat di bumi ini benar-benar terikat di dalam syurga. Saya bersaksi bahawa Presiden Russell M. Nelson, sebagai Presiden Gereja, adalah orang yang di bumi hari melalui kuncinya mengarahkan penggunaan kuasa ilahi ini. Saya bersaksi bahawa Korban Tebusan Yesus Kristus telah menjadikan kebaqaan satu kepastian dan kemungkinan hubungan keluarga yang dimuliakan satu kenyataan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.