2010–2019
Jika Kamu akan Bertanggungjawab
April 2015


10:37

Jika Kamu akan Bertanggungjawab

Marilah kita maju ke hadapan dengan mempelajari tanggungjawab, membuat keputusan yang betul, bertindak berkadaran dengan keputusan-keputusan tersebut, dan menerima kehendak Bapa kita.

Apabila mubaligh-mubaligh pertama kali datang ke bandar saya di Chile Utara untuk mengkhutbah injil, saya hanya 12 tahun. Suatu hari Ahad, selepas menghadiri cawangan kecil itu selama 6 bulan, seorang mubaligh menawar roti ketika memberi sakramen. Saya melihatnya dan dengan lembut berkata, “Saya tidak boleh.”

“Kenapa?” dia bertanya.

Saya menjawab, “Kerana saya bukan ahli Gereja.”1

Mubaligh itu bagai tidak percaya. Dia terkejut. Saya menduga dia berfikir, “Tetapi pemuda ini menghadiri setiap pertemuan! Bagaimana pula dia bukan ahli Gereja?”

Tanpa berdalih, keesokkan harinya mubaligh-mubaligh datang ke rumah saya, dan mencuba sedaya upaya untuk mengajar seluruh keluarga saya. Namun keluarga saya tidak berminat, dan hanya kerana kehadiran mingguan saya di Gereja selama 6 bulan sebelum ini memberi mereka keyakinan untuk terus mengajar. Akhirnya, saat yang tertunggu-tunggu untuk dijemput menjadi ahli Gereja Yesus Kristus tiba. Oleh kerana saya masih di bawah umur, mubaligh-mubaligh menerangkan bahawa saya memerlukan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Saya bersama mubaligh-mubaligh berjumpa bapa dengan anggapan jawapannya adalah, “Anak, apabila kamu capai umur dewasa, kamu boleh membuat keputusan dengan sendiri.”

Ketika mubaligh-mubaligh bercakap dengannya, saya tekun berdoa agar hatinya dilembutkan untuk memberi kebenaran yang diingini. Jawapannya kepada mubaligh-mubaligh: “Elders, selama 6 bulan ini, saya telah melihat anak saya Jorge bangun awal setiap pagi Ahad, memakai pakaiannya yang terbaik, dan berjalan ke gereja. Saya hanya dapat melihat pengaruh baik Gereja ini dalam hidup dia.” Kemudian, dia berkata kepada saya, “Anak, jika kamu akan bertanggunjawab terhadap keputusan ini, kamu punyai kebenaran saya untuk dibaptiskan.” Saya memeluk bapa, memberinya satu cumbuan dan berterima kasih atas jawapannya. Keesokan harinya saya dibaptiskan. Minggu lepas adalah ulang tahun ke-47 peristiwa penting itu dalam hidup saya.

Apakah tanggungjawab kita sebagai ahli Gereja Yesus Kristus? Presiden Joseph Fielding Smith berkata sedemikian: “Kita punyai dua tanggungjawab hebat. … Pertama, memperoleh penyelamatan diri; dan, kedua, kewajipan terhadap orang sekeliling.”2

Oleh demikian, inilah tanggungjawab utama yang telah ditentukan oleh Bapa kepada kita: memperoleh penyelamatan diri dan untuk mereka yang lain, dengan pemahaman bahawa penyelamatan bermaksud mencapai darjah kemuliaan tertinggi yang telah disediakan oleh Bapa untuk anak-anak-Nya yang patuh.3 Tanggungjawab-tanggungjawab ini telah diamanahkan kepada kita—dan kita yang telah bebas menerimanya—patut menentukan keutamaan, keinginan, keputusan dan tingkah laku seharian kita.

Bagi seseorang yang telah mencapai pemahaman bahawa, kerana Korban Tebusan Yesus Kristus, kemuliaan sangatlah boleh dicapai, dan kegagalan untuk memperolehnya boleh disamakan dengan dilaknat. Oleh itu, lawanan penyelamatan adalah laknat, sepertimana lawanan kejayaan adalah kegagalan. Presiden Thomas S. Monson telah mengajar kita bahawa “manusia tidak boleh berpuas hati dengan kesederhanaan apabila mereka telah melihat keistimewaan yang boleh dicapai.”4 Bagaimana pula kita boleh berpuas hati dengan apa jua yang kurang dari kemuliaan jika kita tahu kemuliaan itu mungkin?

Benarkanlah saya mengongsi empat prinsip asas yang akan membantu kita mencapai keinginan untuk bertanggungjawab terhadap Bapa Syurgawi dan juga menjawab harapan-Nya untuk menjadi seperti-Nya.

1. Pelajari Kewajipan Kita

Jika kita akan melakukan kehendak Tuhan, jika kita bertanggunjawab kepada-Nya, kita perlu mula belajar, faham, menerima, dan hidup menurut kehendak-Nya bagi kita. “Karenanya, sekarang biarlah setiap pria mempelajari kewajipannya, dan bertindak pada jabatan yang didalamnya dia ditetapkan, dengan segenap ketekunan.”5 Mempunyai keinginan untuk melakukan apa yang baik tidak mencukupi jika kita tidak cuba memahami apa Bapa mengharapkan dari kita dan menginginkan kita buat.

Dalam cerita Alice in Wonderland, Alice tidak tahu ke mana arah untuk pergi, jadi dia bertanya kucing Cheshire, “Bolehkah kamu beritahu ke mana patut saya pergi dari sini?”

Kucing itu menjawab, “Ia bergantung dengan di mana kamu ingin pergi.”

Alice berkata, “Saya tidak kisah ke mana.”

“Kalau begitu, tidak penting arah mana kamu pergi,” kata kucing.6

Namun, kita tahu jalan yang membimbing ke “pohon, yang buahnya dishasrati untuk menjadikan seseorang gembira”7— “jalan yang membawa orang kepada hidup”—sempit. Ia memerlukan usaha, dan “hanya sedikit orang yang menemukannya.”8

Nefi mengajar kita “firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan.”9 Kemudian dia menambah, “Roh Kudus … akan memperlihatkan kepadamu segalanya yang kamu harus lakukan.”10 Oleh itu, sumber yang membolehkan kita pelajari kewajipan kita adalah firman Kristus yang diterima melalui nabi-nabi moden dan purba dan juga wahyu peribadi yang diterima melalui Roh Kudus.

2. Membuat Keputusan

Tidak kira jika kita pelajari mengenai Pemulihan Injil, satu perintah tertentu, tanggungjawab yang berkaitan layanan panggilan, atau perjanjian yang dibuat di bait suci, kita bebas memilih sama ada kita akan bertindak menurut pengetahuan baru itu atau tidak. Setiap orang bebas memilih untuk membuat perjanjian pembaptisan atau tatacara injil bait suci. Oleh kerana mengangkat sumpah adalah perkara biasa dalam kehidupan seseorang yang beragama di zaman dulu, hukum lama menyatakan bahawa “jangan berjanji demi nama-Ku dengan palsu.”11 Tetapi, pada zaman meridian, Juruselamat mengajar cara yang lebih tinggi untuk memegang kepada perjanjian dengan berkata ya bererti ya dan tidak bermaksud tidak.12 Kata-kata sesorang sepatutnya cukup untuk menegakkan kebenaran dan perjanjian dengan sesorang—dan lebih lagi apabila orang itu Bapa Syurgawi kita. Menghormati suatu perjanjian menjadikannya bukti kebenaran dan kejujuran kata-kata kita.

3. Bertindak dengan Sesuai

Setelah mempelajari kewajipan dan membuat keputusan yang berkaitan dengan pelajaran dan pemahaman tersebut, kita perlu bertindak bersesuaian dengannya.

Satu contoh hebat ketekunan kukuh untuk memenuhi perjanjian-Nya dengan Bapa adalah dari pengalaman Juruselamat, di mana seorang lelaki yang lumpuh dibawa kepada-Nya untuk disembuhkan. “Waktu Yesus melihat betapa besar iman mereka, Ia berkata kepada orang lumpuh itu, Anak-ku, dosa-dosamu sudah diampuni.”13 Kita tahu bahawa Korban Tebusan Yesus Kristus adalah asas untuk menerima pengampunan dari dosa-dosa kita, tetapi ketika penyembuhan lelaki lumpuh itu peristiwa agung tersebut belum berlaku; penderitaan di taman Gethsemane dan pensaliban belum terjadi. Namun, Yesus bukan sahaja memberkat lelaki lumpuh itu untuk berdiri dan berjalan, Dia juga telah mengabulkan kepadanya pengampunan dosa-dosa, seterusnya memberi tanda yang sangat jelas bahawa Dia tidak akan gagal, dan Dia akan menunaikan perjanjian yang dibuat dengan Bapa-Nya, dan di taman Gethsemane dan juga semasa disalibkan.

Lorong yang kita telah pilih untuk berjalan adalah sempit. Dalam perjalanan ini kita akan menghadapi cabaran-cabaran yang akan memerlukan iman terhadap Yesus Kristus dan usaha yang terbaik untuk kekal di lorong ini dan maju ke depan. Kita perlu bertaubat dan patuh dan bersabar, walaupun kita tidak memahami semua situasi yang mengeliling kita. Kita perlu memaafkan yang lain dan hidup bersesuaian dengan apa yang kita telah pelajari dan dengan pilihan yang kita telah buat.

4. Menerima Kehendak Tuhan dengan Rela

Menjadi pengikut bukan hanya memerlukan kita untuk pelajari kewajipan, membuat keputusan yang betul, dan bertindak berkadaran dengannya, tetapi perkembangan kerelaan dan kebolehan untuk menerima kehendak Tuhan jugalah penting, walaupun ia tidak padan dengan keiginan baik atau pilihan kita.

Saya terkesan dan kagum dengan tingkah laku pesakit kusta yang datang ke Juruselamat, “meminta, dan melutut dan berkata, Kalau Bapak mau, Bapak dapat menyembuhkan saya.”14 Pesakit kusta itu tidak menuntut apa-apa, walaupun keiginannya mungkin baik; dia hanya rela menerima kehendak Tuhan.

Beberapa tahun dahulu, satu pasangan beriman dikurniai dengan seorang anak lelaki yang telah ditunggui selepas berdoa sekian lama. Rumah mereka dipenuhi kegembiraan apabila mereka bersama anak perempuan tunggal pada masa itu menikmati kedatangan anak lelaki baru ini. Suatu hari, sesuatu yang tidak disangka berlaku: kanak lelaki yang hanya tiga tahun itu tiba-tiba berada dalam keadaan koma. Sebaik sahaja saya ketahui, saya menelefon kawan saya untuk mengungkap sokongan kami untuknya di ketika yang susah itu. Namun jawapannya merupakan satu pengajaran bagi saya. Dia berkata, “Jika ia takdir Tuhan untuk mengambilnya, kami akan merelakannya.” Kata-kata kawan saya langsung tidak punyai sebarang keluhan, derhaka, atau ketidak puasan hati. Sebaliknya, saya hanya dapat merasai kesyukurannya terhadap Tuhan kerana membenarkan mereka untuk menikmati anak lelaki mereka walau untuk sementara, dan juga kerelaan sepenuhnya untuk menerima takdir Tuhan untuk mereka. Beberapa hari kemudian, kanak kecil itu kembali ke kerajaan selestialnya.

Marilah kita maju hadapan dengan mempelajari kewajipan, membuat keputusan yang betul, bertindak bersesuaian dengan keputusan-keputusan tersebut, dan menerima kehendak Bapa kita.

Saya sangat bersyukur dan gembira atas keputusan ayah yang membenarkan saya memilih 47 tahun yang lalu. Dengan masa, saya telah memahami syarat yang telah di beri—iaitu bertanggungjawab terhadap pilihan tersebut—bermaksud bertanggungjawab kepada Bapa Syurgawi dan mencari penyelamatan diri dan teman sekalian, seterusnya menjadi seperti apa yang diharapkan dan diinginkan oleh Bapa. Pada hari yang istimewa ini, saya bersaksi bahawa Bapa Tuhan kita, dan Putera-Nya hidup. Dalam nama Yesus Kristus, amin.