Kurniaan Rahmat
Hari ini dan selama-lamanya rahmat Tuhan sedia ada kepada semua yang patah hati dan roh yang penuh sesal.
Pada Easter Ahad kita menyambut peristiwa yang gemilang dan yang tertunggu-tunggu dalam sejarah dunia.
Ia adalah hari yang mengubah segala-galanya.
Pada hari itu, kehidupan saya berubah.
Kehidupan kamu berubah.
Takdir kesemua anak-anak Tuhan berubah.
Pada hari mulia itu, Juruselamat manusia, yang telah mengambil ke atas Diri-Nya rantaian dosa dan kematian yang mengambil kita sebagai tawanan, memecahkan rantaian itu dan membebaskan kita.
Oleh kerana pengorbanan Penebus terkasih kita, kematian tidak menyengat, kubur tidak memperoleh kemenangan,1 Syaitan tidak mempunyai kuasa yang berpanjangan, dan kita “diberi harapan yang kukuh dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian.”2
Sesungguhnya, Rasul Paulus adalah betul apabila beliau berkata kita boleh “saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.”3
Rahmat Tuhan
Kita sering bercakap tentang Korban Tebusan Juruselamat—dan memang patut pun!
Dalam kata-kata Yakub, “Mengapakah tidak berbicara tentang korban tebusan Kristus, dan mencapai suatu pengetahuan sempurna tentang-Nya?”4 Tetapi apabila kita “berbicara berkenaan Kristus, … berbahagia dalam Kristus, … berkhutbah berkenaan Kristus, [dan] bernubuat berkenaan Kristus”5 dalam setiap peluang yang ada, kita tidak patut kehilangan rasa kagum dan kesyukuran yang mendalam untuk korban abadi Putera Tuhan.
Korban Tebusan Juruselamat tidak boleh menjadi perkara biasa dalam pengajaran kita, dalam perbualan kita, atau dalam hati kita. Ia adalah kudus dan suci, kerana melalui “korban yang agung dan terakhir” ini Yesus Kristus membawa “keselamatan kepada semua mereka yang akan percaya pada nama-Nya.”6
Saya berasa kagum memikirkan bahawa Putera Tuhan akan menurunkan martabat-Nya untuk menyelamatkan kita, walaupun kita sering tidak sempurna, tidak suci, sering membuat kesilapan, dan tidak selalu bersyukur. Saya telah cuba memahami Korban Tebusan Juruselamat dengan minda terhad saya, dan satu-satunya penjelasan yang boleh difikirkan ialah: Tuhan mengasihi kita secara mendalam, dengan sempurna dan selamanya. Saya langsung tidak dapat mula menganggar “betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi … kasih Kristus.”7
Kitab suci sering memanggil luahan kasih yang hebat itu sebagai rahmat Tuhan—bantuan ilahi dan anugerah kekuatan di mana kita berkembang dari makhluk yang tidak sempurna dan berterhad ke makhluk yang dimuliakan dengan “kebenaran dan cahaya, sehingga [kita] dimuliakan dalam kebenaran dan mengetahui segala hal.”8
Rahmat Tuhan ini adalah satu perkara yang paling mengagumkan. Namun, ia sering disalah faham.9 Walaupun begitu, kita perlu tahu tentang rahmat Tuhan jika kita berhasrat untuk mewarisi apa yang telah disediakan untuk kita di dalam kerajaan abadi-Nya.
Oleh itu saya ingin bercakap tentang rahmat. Khususnya, pertama, bagaimana rahmat membuka pintu-pintu syurga, dan kedua, bagaimana ia membuka tingkap-tingkap syurga.
Pertama: Rahmat Membuka Pintu-pintu Syurga
Kerana kita semua telah “berdosa dan jauh daripada Tuhan,”10 dan kerana “tidak boleh apa-apa pun yang kotor masuk ke dalam kerajaan Tuhan,”11 setiap daripada kita tidak layak untuk kembali ke hadirat Tuhan.
Walaupun kita melayani Tuhan dengan sepenuh jiwa, ia tidak mencukupi, kerana kita masih lagi “hamba yang tidak menguntungkan.”12 Kita tidak boleh memperoleh jalan ke syurga; tuntutan keadilan menjadi penghalang, dan kita tidak berkuasa untuk mengatasinya dengan sendiri.
Tetapi semua tidak hilang.
Rahmat Tuhan adalah harapan kita yang besar dan kekal.
Melalui pengorbanan Yesus Kristus, rancangan belas kasihan memenuhi tuntutan keadilan13 “dan [mendatangkan] cara bagi manusia agar mereka boleh memiliki iman menuju pertaubatan.”14
Dosa kita, walaupun ia merah marak, boleh menjadi putih seperti salji15 Oleh kerana Juruselamat terkasih kita “menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa,”16 pintu masuk ke dalam kerajaan kekal-Nya disediakan untuk kita.17
Pintu pagar itu tidak berkunci!
Tetapi rahmat Tuhan tidak hanya mengembalikan kita ke keadaan tak bersalah sebelum ini. Jika penyelamatan hanya memadamkan kesilapan dan dosa-dosa kita, maka keselamatan—tidak kira betapa baiknya—tidaklah memenuhi cita-cita Bapa untuk kita. Matlamat-Nya adalah lebih tinggi: Dia inginkan putera dan puteri-Nya untuk menjadi seperti Dia.
Dengan kurniaan rahmat Tuhan, perjalanan pemuridan tidak akan membawa ke arah belakang; ia membawa ke arah atas.
Ia memimpin kita ke tahap yang payah difahami! Ia memimpin ke arah kemuliaan dalam kerajaan selestial Bapa Syurgawi, di mana kita, dikelilingi oleh orang tersayang, menerima kegenapan-Nya, dan kemuliaan-Nya.18 Segala sesuatu adalah milik kita dan kita adalah milik Kristus.19 Sesungguhnya, segala yang Bapa miliki akan diberikan kepada kita.20
Untuk mewarisi kemuliaan ini, kita perlu lebih daripada satu pintu pagar yang tidak berkunci; kita perlu masuk pintu ini dengan keinginan hati untuk diubah—perubahan dramatik di mana kitab menggambarkannya bagaikan “dilahirkan kembali; ya, dilahirkan oleh Tuhan, diubah daripada keadaan mereka yang [badaniah] dan terjatuh, ke keadaan kesolehan, ditebus oleh Tuhan, menjadi putera dan puteri-Nya.”21
Kedua: Rahmat Membuka Tingkap-tingkap Syurga
Satu lagi unsur rahmat Tuhan adalah pembukaan tingkap-tingkap syurga, di mana Tuhan mencurahkan berkat kuasa dan kekuatan, yang membolehkan kita mencapai perkara-perkara yang mungkin jauh dari jangkauan kita. Melalui rahmat agung Tuhanlah anak-anak-Nya boleh mengatasi godaan penipu, bangkit dari dosa, dan “disempurnakan di dalam Kristus.”22
Walaupun kita semua mempunyai kelemahan, kita boleh mengatasinya. Sesungguhnya adalah dengan rahmat Tuhanlah, jika kita merendahkan hati dan beriman, hal-hal yang lemah boleh menjadi kuat.23
Sepanjang hidup kita, rahmat Tuhan melimpahkan berkat duniawi dan kurniaan rohani yang meningkatkan kebolehan dan memperkayakan kehidupan kita. Rahmat-Nya menghalusi kita. Rahmat-Nya membantu untuk menjadikan diri kita yang terbaik.
Siapa yang Layak?
Di dalam Alkitab kita membaca tentang lawatan Kristus ke rumah seorang Farisi bernama Simon.
Pada zahirnya, Simon seolah-olah seorang lelaki yang baik dan jujur. Dia sering memeriksa dan menanda selesai senarai tugasan ibadatnya: dia mentaati undang-undang, bayar persepuluhan, memelihara Hari Sabat, berdoa setiap hari, dan pergi ke rumah saumaah.
Tetapi ketika Yesus bersama Simon, seorang wanita menghampiri, membasuh kaki Juruselamat dengan air matanya, dan menyapu kaki-Nya dengan minyak wangi.
Simon tidak senang hati dengan paparan ibadat ini, kerana dia tahun bahawa wanita ini seorang yang berdosa. Simon berfikir jika Yesus tidak tahu mengenai ini, Dia bukanlah seorang nabi kerana jika ya, Dia tidak akan membenarkan wanita itu menyentuhnya.
Mengerti pemikirannya, Yesus berpaling kepada Simon dan bertanyakannya satu soalan. “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang: … seorang berhutang lima ratus keping wang perak, … seorang lagi lima puluh.
“[Kedua-duanya] tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakan akan lebih mengasihi dia?”
Simon menjawab bahawa dia yang telah diampuni dengan paling banyak.
Kemudian Yesus memberi satu pengajaran yang mendalam: “Kamu nampak perempuan ini? … Dosanya yang banyak sudah diampunkan; sesungguhnya, kasihnya besar: jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bereti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.”24
Siapakah diantara mereka berdua yang lebih menyerupai kita?
Adakah kita seperti Simon? Adakah kita yakin dan selesa dalam perbuatan baik kita, percaya dalam kesolehan kita sendiri? Mungkinkah kita kurang bersabar terhadap mereka yang tidak hidup setaraf standard kita? Adakah kita di dalam keadaan autopilot, bertindak tanpa berfikir, menghadiri mesyuarat-mesyuarat kita, menguap di kelas Ajaran Injil, dan mungkin memeriksa telefon bimbit semasa pertemuan sakramen?
Atau adakah kita seperti wanita ini, yang menyangka dia sesat sepenuhnya dan tanpa harapan kerana dosa?
Adakah kita mempunyai kasih besar?
Adakah kita memahami hutang kepada Bapa Syurgawi dan merayu dengan segala jiwa untuk rahmat Tuhan?
Apabila kita berlutut untuk berdoa, adakah ia untuk memainkan semula tindakan kesolehan kita yang terbaik, atau adakah ia untuk mengakui dosa-dosa, merayu untuk belas kasihan Tuhan, dan menumpahkan air mata kesyukuran untuk rancangan penebusan yang agung?25
Keselamatan tidak boleh dibeli dengan mata wang ketaatan; ia dibeli dengan darah Putera Tuhan26 Pemikiran bahawa kita boleh mendagangkan kerja baik untuk keselamatan adalah seperti membeli tiket kapal terbang dan kemudian mengandaikan bahawa kita memiliki syarikat penerbangan itu. Atau fikiran bahawa selepas membayar sewa rumah, kita sekarang memegang hak milik seluruh planet bumi.
Maka Mengapa Patuh?
Jika rahmat adalah kurnia Tuhan, mengapa kepatuhan kepada perintah-perintah Tuhan sangat penting? Mengapa perlu ikut perintah-perintah Tuhan—atau bertaubat, dalam hal ini? Mengapa tidak hanya mengaku kita berdosa dan biarkan Tuhan menyelamatkan kita?
Atau, untuk meletakkan soalan ini dalam kata-kata Paulus, “Haruskah kita terus-menerus berbuat dosa supaya rahmat Tuhan semakin bertambah?” Jawapan Paulus mudah dan jelas: “Tentu tidak.”27
Saudara dan saudari, kita mentaati perintah-perintah Tuhan—kerana kasih terhadap-Nya!
Untuk memahami kurnia rahmat Tuhan dengan sepenuh hati dan minda memberi kita sebab yang lebih untuk mengasihi dan mentaati Bapa Syurgawi dengan kelembutan hati dan kesyukuran. Apabila kita mengikuti perjalanan pemuridan, ia memperhaluskan, ia meningkatkan, membantu kita menjadi lebih seperti-Nya, dan ia membawa kita kembali ke sisi-Nya. “Roh Tuhan yang Maha Kuasa” membawa kepada “perubahan yang hebat dalam diri kami, … sehingga kami tidak memiliki lagi kecenderungan untuk melakukan yang jahat, tetapi sentiasa melakukan yang baik.”28
Oleh itu, ketaatan terhadap perintah-perintah Tuhan adalah hasil perkembangan kasih dan kesyukuran kekal kita untuk kebaikan Tuhan. Kasih dan kesyukuran tulen ini akan mengabungkan kerja kita bersama rahmat Tuhan dengan ajaib. Hemah akan mengisi fikiranmu dengan tidak terhenti, dan keyakinan kita akan menjadi kuat di hadirat Tuhan.29
Saudara dan saudari yang dikasihi, menjalankan kehidupan Injil yang beriman bukanlah satu beban. Ia adalah latihan yang menggembirakan—satu persediaan untuk mewarisi kemuliaan besar keabadian. Kita berusaha mentaati Bapa Syurgawi kerana roh kita akan menjadi lebih peka kepada hal-hal rohani Pemandangan yang tidak diketahui wujud akan dibuka. Pencerahan dan pemahaman akan datang kepada kita apabila kita melakukan kehendak Tuhan.30
Rahmat adalah kurniaan Tuhan, dan keinginan kita untuk mentaati setiap perintah-perintah Tuhan adalah capaian tangan fana untuk menerima kurnia kudus ini daripada Bapa Syurgawi kita.
Setelah Kita Melaksanakan Sebaik yang Mampu
Nabi Nefi telah membuat satu sumbangan penting kepada pemahaman kita tentang rahmat Tuhan apabila dia mengisytiharkan, “Kita bekerja tekun … untuk memujuk anak-anak kami, dan juga saudara-saudara kami, untuk percaya kepada Kristus, dan untuk diperdamaikan dengan Tuhan; kerana kita tahu bahawa melalui rahmat kita diselamatkan, setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu.”31
Walau bagaimanapun, kadang kala saya tertanya jika kita menyalahtafsirkan ungkapan “setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu.” Kita mesti faham bahawa “setelah” tidak sama dengan “kerana.”
Kita tidak diselamatkan “kerana” kita melaksanakan sebaik yang mampu. Siapa di antara kita telah melakukan semua sebaik yang mampu? Adakah Tuhan menunggu sehingga kita telah menggunakan segala usaha sebelum Dia campur tangan dalam kehidupan kita dengan rahmat penyelamatan-Nya?
Ramai orang berasa kecewa kerana mereka tidak sempurna. Mereka tahu bahawa “memang ingin melakukan apa yang benar, tetapi tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.”32 Mereka meninggikan suara dengan Nefi dalam mengisytiharkan, “Jiwaku berasa pilu kerana kederhakaanku.”33
Saya yakin Nefi tahu bahawa rahmat Juruselamat membenarkan dan membolehkan kita mengatasi dosa.34 Inilah sebab Nefi bekerja dengan tekun untuk memujuk anak-anak dan saudara-saudaranya “percaya kepada Kristus, dan diperdamaikan dengan Tuhan.”35
Lagipun, itu adalah apa yang kita mampu lakukan! Dan itu adalah tugas kita dalam kefanaan!
Rahmat Sedia Ada untuk Semua
Apabila saya fikirkan apa Juruselamat telah buat untuk kita sebelum hari Easter Ahad pertama, saya ingin mengangkat suara dan menjerit puji-pujian kepada Tuhan Maha Tinggi dan Putera-Nya, Yesus Kristus!
Pintu-pintu pagar syurga tidak berkunci!
Tingkap-tingkap syurga dibuka!
Hari ini dan selama-lamanya rahmat Tuhan sedia ada kepada semua yang patah hati dan dan roh yang penuh sesal.36 Yesus Kristus telah membersihkan jalan untuk kita mencapai tahap perkembangan yang tidak difahami oleh minda fana manusia.37
Saya doakan agar kita akan melihat kepentingan abadi pengorbanan Juruselamat dengan mata baru dan hati yang baru. Saya berdoa agar kita akan menunjukkan kasih kepada Tuhan dan kesyukuran untuk kurniaan rahmat Tuhan dengan mematuhi perintah-perintah-Nya dan dengan gembira “mengamalkan hidup yang baru.”38 Dalam nama kudus Tuan dan Penebus kita, Yesus Kristus, amin.