Persidangan Umum
Kisah Easter Terhebat Yang Pernah Diceritakan
Persidangan Umum April 2023


14:20

Kisah Easter Terhebat Yang Pernah Diceritakan

Lihat Kitab Mormon dengan pandangan baru dan pertimbangkan kesaksian yang ia berikan tentang realiti Kristus yang bangkit.

Surat Presidensi Utama tentang Hari Easter

Anda mungkin ingati sebuah surat daripada Presidensi Utama yang dibaca dalam bahagian atau cabang anda beberapa minggu lalu. Surat itu mengumumkan bahawa Ahad depan—Ahad Easter—semua bahagian dan cabang akan bertemu untuk pertemuan sakramen sahaja, memberi masa tambahan untuk menyembah di rumah bersama keluarga bagi memperingati hari yang paling penting ini.1

Surat Presidensi Utama menarik perhatian saya, dan saya merenungkan cara keluarga kami telah menyambut Easter selama ini. Semakin saya fikirkan tentang perayaan kami, saya dapati diri saya tertanya-tanya sama ada kami secara tidak sengaja ubahkan maksud sebenar percutian yang begitu penting kepada semua yang percaya kepada Yesus Kristus.

Tradisi Krismas dan Easter

Fikiran itu mendorong saya untuk renungkan perbezaan di antara cara kami raikan Krismas berbanding dengan Easter. Pada bulan Disember, kami telah gabungkan keseronokan “Jingle Bells,” stoking Krismas, dan hadiah bersama tradisi lain yang lebih bermaksud—seperti mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan, menyanyikan lagu Krismas dan lagu rohani kegemaran, dan sudah tentu membuka kitab suci dan membaca kisah Krismas dalam Lukas 2. Setiap tahun semasa kami membaca kisah ini dari Alkitab, keluarga kami buat apa yang mungkin keluarga anda juga buat—letak tuala di kepala dan bahu serta memakai jubah mandi untuk menjadi Yusuf, Maria, dan ramai yang datang menyembah bayi Yesus, kami melakonkan semula kisah Krismas tentang kelahiran Juruselamat.

Namun begitu, perayaan keluarga kami pada Easter agak berbeza. Saya rasa keluarga kami lebih bergantung pada “pergi ke gereja” untuk menyediakan bahagian Easter yang bermakna dan berpusatkan Kristus; dan kemudian sekeluarga, berkumpul untuk berkongsi tradisi lain yang berkaitan dengan Easter. Saya suka lihat anak-anak kami dan sekarang cucu-cucu kami mencari telur dan melihat bakul Easter mereka.

Tetapi surat Presidensi Utama adalah satu pesanan yang membuka mata. Mereka bukan saja menjemput kita untuk memastikan perayaan tentang peristiwa yang paling penting di bumi ini—Korban tebusan dan Kebangkitan Yesus Kristus—termasuk ketakziman dan penghormatan kepada Tuhan, namun mereka juga memberi kita lebih masa untuk diluang bersama keluarga dan rakan pada Ahad Easter.

Juruselamat yang bangkit

Kata-kata Nabi Joseph Smith ini menambah konteks kepada kepentingan yang mengelilingi Easter: “Asas penting agama kita adalah kesaksian para Rasul dan Nabi, tentang Yesus Kristus, bahawa Dia mati, dikuburkan, dan bangkit pada hari ketiga, dan naik ke syurga; dan semua perkara lain yang berkaitan dengan agama kita hanyalah tambahan kepadanya.”2

Lesa dan saya telah bincangkan cara keluarga kami boleh lakukan dengan lebih baik pada musim Easter. Mungkin soalan yang kita tanyakan diri sendiri adalah satu yang kita boleh renungkan: Bagaimana kita mencontohi pengajaran dan perayaan Kebangkitan Yesus Kristus, kisah Easter, dengan keseimbangan, keseluruhan dan tradisi keagamaan yang kaya tentang kelahiran Yesus Kristus, kisah Krismas?

Nampaknya kita semua sedang cuba. Saya lihat usaha yang semakin meningkat di kalangan Orang Suci Zaman Akhir ke arah Hari Easter yang lebih berpusatkan Kristus. Ini termasuk pengiktirafan lebih besar terhadap Ahad Palma dan Jumaat Agung seperti diamalkan oleh pengikut Kristian lain. Kita juga boleh amalkan tradisi Easter sesuai yang berpusat pada Kristus yang terdapat dalam budaya dan amalan negara di seluruh dunia.

Sarjana Perjanjian Baru, N. T. Wright cadangkan: “Kita harus cuba merayakan Hari Easter dengan cara baharu yang kreatif: dalam seni, kesusasteraan, permainan kanak-kanak, puisi, muzik, tarian, perayaan, loceng, konsert istimewa. … Ini adalah perayaan terbesar kita. Jika Krismas tidak wujud, boleh kata anda kehilangan dua bab di hadapan Matius dan Lukas dalam alkitab. Jika tiada Easter, maka anda tidak ada Perjanjian Baru; tidak ada agama Kristian.”3

Easter, Alkitab dan Kitab Mormon

Kita hargai Alkitab kerana terkandung ajaran tentang kelahiran, pelayanan, Penyaliban dan Kebangkitan Yesus Kristus. Tiada tiga perkataan yang menunjukkan lebih banyak harapan dan akibat abadi bagi manusia daripada yang diucapkan oleh malaikat pada pagi Easter di Taman Kuburan: “Dia sudah bangkit.”4 Kita sangat bersyukur untuk tulisan suci Perjanjian Baru yang memelihara kisah Easter dan pelayanan Easter Juruselamat di Yudea dan Galilea.

Semasa saya dan Lesa merenung dan mencari cara untuk mengembangkan perayaan Easter kami agar ia lebih berpusatkan Kristus, kami membincangkan tradisi membaca tulisan suci yang boleh perkenalkan kepada keluarga—seperti Lukas 2 untuk Easter.

Dan kemudian kami peroleh kesedaran ini: Tambahan kepada ayat suci tentang Easter dalam Perjanjian Baru, kita sebagai Orang Suci Zaman Akhir telah dikurniakan dengan kurnia Easter yang paling menakjubkan! Satu kurnia saksi yang unik, satu lagi kesaksian tentang mukjizat Easter yang mengandungi kitab suci Easter yang paling hebat dalam semua agama Kristian. Saya merujuk kepada Kitab Mormon, dan lebih khususnya, laporan tentang kemunculan Yesus Kristus kepada penduduk di Dunia Baru dalam kemuliaan-Nya yang telah bangkit.

Nabi Joseph Smith menggambarkan Kitab Mormon sebagai “kitab yang paling betul daripada mana-mana buku di bumi,”5 dan bermula dengan 3 Nefi 11, ia menceritakan tentang kunjungan Kristus yang bangkit kepada bangsa Nefi iaitu pelayanan Easter Juruselamat. Ayat suci Easter ini, memberi kesaksian tentang Kebangkitan Tuhan Yesus Kristus.

Dalam bab-bab ini, Kristus memanggil dua belas rasul, ajar seperti Dia ajari dalam Khutbah-Nya di Bukit, mengumumkan bahawa Dia telah memenuhi hukum Musa dan bernubuat tentang pengumpulan Israel zaman akhir. Dia menyembuhkan orang sakit dan berdoa untuk orang ramai dengan cara “tidak ada lidah yang dapat berkata, tidak juga ada yang dapat dituliskan oleh sesiapa pun, tidak juga hati manusia dapat memahami hal-hal yang begitu besar dan menakjubkan seperti yang kami lihat mahupun dengar Yesus ucapkan; dan tidak seorang pun dapat memahami kebahagiaan yang memenuhi jiwa kami pada waktu kami mendengar Dia berdoa bagi kami kepada Bapa.”6

Yesus Kristus menampakkan diri kepada Bangsa Nefi

Hari Easter ini, keluarga kami akan berfokus pada 17 ayat pertama 3 Nefi 11, ayat yang anda kerap dengar. Ingatlah orang ramai dekat bait suci di negeri Kelimpahan yang terdengar suara Bapa dan melihat Yesus Kristus turun dari syurga untuk melanjutkan jemputan Easter yang paling indah.

“Bangunlah dan datanglah kepada-Ku, … agar kamu boleh merasakan bekas paku pada tangan-Ku dan pada kaki-Ku, agar kamu boleh tahu bahawa Akulah … Tuhan seluruh bumi, dan telah dibunuh demi dosa-dosa dunia.

“Dan… orang ramai itu maju, … satu demi satu … dan melihat dengan mata mereka dan merasakan dengan tangan mereka, … dan memberikan kesaksian, bahawa itulah Dia. …

“Dan… mereka berseru dengan serentak, mengatakan:

“Hosana! Terpujilah nama Tuhan Yang Maha Tinggi! Dan mereka merebahkan diri pada kaki Yesus, dan menyembah-Nya.”7

Bayangkan, bangsa Nefi di Gunung bait suci benar-benar sentuh tangan Tuhan yang telah bangkit! Kami harap dapat menjadikan bab ini dalam 3 Nefi sebagai tradisi Easter kami sepertimana Lukas 2 adalah tradisi Krismas kami. Secara realitinya, Kitab Mormon berkongsikan cerita Easter yang terhebat. Jangan biarkan cerita Easter terhebat in tidak diceritakan.

Saya menjemput anda untuk lihat Kitab Mormon dengan pandangan baru dan pertimbangkan kesaksian yang ia berikan tentang realiti Kristus yang bangkit dan juga kekayaan ajaran Kristus.

Kitab Mormon Bersaksi Tentang Yesus Kristus.

Kita mungkin bertanya, Bagaimanakah membaca ayat suci Kitab Mormon pada Hari Easter dapat memberkati kehidupan kita dan orang yang dikasihi dengan cara yang bermakna? Lebih dari yang kita sedari. Bila-bila masa kita membaca dan mengkaji dari Kitab Mormon kita boleh mengharapkan hasil yang menakjubkan.

Baru-baru ini, saya dan Lesa menghadiri pengebumian seorang sahabat yang baik, seorang wanita beriman yang meninggal awal kerana penyakit. Kami berkumpul bersama keluarga dan kawan rapatnya, berkongsi kenangan tentang jiwa indah ini yang telah memperkayakan hidup kami.

Semasa berdiri jauh dari keranda, saya nampak dua kanak-kanak Sekolah Primer menghampiri keranda itu dan cuba menjengket—hanya mata sampai ke tepi keranda—untuk memberi penghormatan terakhir kepada mak cik terkasih mereka. Kerana tiada orang berdekatan, Lesa membongkok ke sebelah mereka untuk menghibur dan mengajar. Dia tanya khabar mereka dan jika mereka tahu di mana mak cik mereka berada sekarang. Mereka berkongsi kesedihan mereka, tetapi kemudian anak-anak Tuhan yang berharga ini, dengan keyakinan dari mata mereka, berkata mereka tahu mak cik mereka kini gembira dan dia boleh bersama Yesus.

Pada usia muda ini, mereka temui kedamaian dalam rancangan kegembiraan dan, dengan cara kecil, bersaksi tentang realiti yang mendalam dan keindahan mudah Kebangkitan Juruselamat. Mereka tahu hal ini dalam hati mereka kerana ajaran daripada ibu bapa, keluarga, dan para pemimpin Sekolah Primer yang menanam benih iman kepada Yesus Kristus dan kehidupan abadi. Bijak melampaui usia mereka, anak-anak kecil ini memahami kebenaran yang datang kepada kita melalui pesanan Easter dan pelayanan Juruselamat yang bangkit dan kata-kata nabi dalam Kitab Mormon.

Saya telah perhatikan apabila Presiden Russell M. Nelson menghadiahkan Kitab Mormon kepada seseorang yang bukan dari kepercayaan kita, termasuk pemimpin dunia, dia sering berpaling kepada 3 Nefi dan baca tentang kemunculan Kristus yang bangkit kepada bangsa Nefi. Dengan demikian, nabi yang hidup secara khusus sedang memberi kesaksian tentang Kristus yang hidup.

Kita tidak boleh berdiri sebagai saksi Yesus Kristus sehingga kita boleh berikan kesaksian tentang Dia. Kitab Mormon adalah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus kerana dalam semua halaman kudusnya, seorang nabi demi seorang lagi bersaksi bukan sahaja bahawa Kristus akan datang, tetapi bahawa Dia telah datang.

Kerana Dia

Di tangan saya adalah sebuah salinan edisi pertama Kitab Mormon. Melakukan ini selalu menyentuh hati saya. Sebahagian besar kehidupan dewasa saya, saya telah terpesona dengan apa yang Joseph Smith muda telah lakukan untuk mendapatkan kitab suci ini diterjemahkan dan diterbitkan. Mukjizat yang berlaku amat hebat untuk direnungkan.

Tetapi itu bukan sebabnya ia menyentuh hati saya. Ini kerana kitab ini, lebih daripada buku lain yang pernah diterbitkan di bumi ini, memberi kesaksian tentang kehidupan, pelayanan, ajaran, Korban tebusan dan Kebangkitan Yesus Kristus. Kalian yang dikasihi, kajian kerap tentang Yesus Kristus dari kitab ini akan mengubah hidup anda. Ia akan membuka mata kepada kemungkinan baru. Ia akan meningkatkan harapan dan memenuhi anda dengan kasih ihsan. Yang paling penting, ia akan membina dan menguatkan iman anda kepada Yesus Kristus dan memberkati anda dengan pengetahuan pasti bahawa Dia dan Bapa kita kenali anda, kasihi anda, dan mahu anda cari jalan pulang ke rumah di syurga.

Saudara dan saudari yang dikasihi, masanya telah tiba, yang dinubuatkan oleh nabi-nabi kuno, “ketika pengetahuan tentang Juruselamat akan menyebar ke setiap bangsa, kaum, bahasa, dan khalayak.”8 Kita sedang melihat penggenapan nubuat ini di hadapan mata kita, melalui kesaksian Yesus Kristus dari Kitab Mormon.

Tuhan Yesus Kristus

Tiada kitab yang lebih menunjukkan bahawa:

  • Kerana Yesus Kristus, semuanya telah berubah.

  • Kerana Dia, segalanya adalah lebih baik.

  • Kerana Dia, kehidupan boleh diuruskan—terutamanya pada saat-saat yang menyakitkan.

  • Kerana Dia, segalanya boleh terjadi.

Kunjungan-Nya sebagai Juruselamat yang telah bangkit, diperkenalkan oleh Tuhan Bapa, ialah pesanan Hari Easter yang paling agung dan hebat. Ia akan membantu ahli keluarga kita memperoleh kesaksian peribadi tentang Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita, yang memutuskan belenggu kematian.

Saya akhiri dengan kesaksian saya tentang kebenaran Kitab Mormon dan Yesus Kristus sebagai Putera Tuhan yang hidup. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat surat Presidensi Utama, 15 Feb. 2023.

  2. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 49; penekanan ditambah.

  3. N. T. Wright, Surprised by Hope: Rethinking Heaven, the Resurrection, and the Mission of the Church (2008), 256.

  4. Matius 28:6.

  5. Teachings: Joseph Smith, 64.

  6. 3 Nefi 17:17.

  7. Lihar 3 Nefi 11:1–17.

  8. Mosia 3:20.