Persidangan Umum
Selepas Hari Keempat
Persidangan Umum April 2023


10:43

Selepas Hari Keempat

Apabila kita maju ke hadapan dengan iman kepada Yesus Kristus, hari keempat akan sentiasa datang. Dia akan sentiasa datang untuk bantu kita.

Kita telah diingatkan pagi ini, hari ini adalah Ahad Palma, menandakan kemasukan kemenangan Juruselamat ke Yerusalem dan permulaan minggu kudus sebelum Korban Tebusan-Nya yang agung, yang akan termasuk penderitaan, Penyaliban dan Kebangkitan-Nya.

Tidak lama sebelum kemasukan-Nya ke dalam kota yang dinubuatkan, Yesus Kristus terlibat sepenuhnya dalam pelayanan-Nya apabila Dia terima berita daripada kawan-Nya Maria dan Marta bahawa saudara mereka Lazarus sakit.1

Walaupun penyakit Lazarus serius, Tuhan “tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.”2 Sebelum memulakan perjalanan ke rumah kawan-Nya di Betania, “Yesus berkata kepada [para pengikut-Nya] dengan terus terang, Lazarus sudah meninggal.”3

Apabila Yesus datang ke Betania dan bertemu Marta dahulu dan kemudian Maria, mungkin kerana kecewa akan ketibaan-Nya yang lewat, mereka menyambut Dia, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!”4 Marta berkata lagi, “Sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!”5

Empat hari ini amat penting bagi Maria dan Marta. Menurut pandangan Yahudi, ia dipercayai bahawa roh seseorang yang mati akan kekal tinggal bersama tubuh selama tiga hari, memberi harapan bahawa orang masih dapat hidup. Tetapi pada hari keempat harapan telah hilang, mungkin kerana tubuh akan mula reput dan “bau busuk.”6

Maria dan Marta berasa putus asa. “Apabila Yesus melihat Maria menangis, … dia sedih hati dan terharu,

Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.”7

Pada saat inilah, kita lihat salah satu mukjizat besar semasa pelayanan fana-Nya. Pertama Tuhan berfirman, “Tepikan batu ini.”8 Setelah mengucap syukur kepada Bapa-Nya, “Dia berseru dengan suara kuat, Lazarus, keluar!

“Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, ‘Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.’”9

Seperti Maria dan Marta, kita berpeluang untuk mengalami kefanaan, termasuk kesedihan10 dan kelemahan.11 Setiap kita akan mengalami kesakitan hati yang datang dengan kehilangan seseorang yang kita kasihi. Perjalanan fana kita boleh alami kesakitan peribadi atau orang terkasih sakit tenat; kemurungan, keresahan atau cabaran kesihatan mental yang lain; kesusahan kewangan, pengkhianatan dan dosa. Dan kadangkala ini disertai oleh perasaan putus asa. Saya tidak terkecuali. Saya juga mengalami pelbagai cabaran yang datang dalam hidup ini. Saya tertarik dengan peristiwa ini mengenai Juruselamat dan ajaran tentang hubungan kita dengan Dia.

Semasa kita mengalami kebimbangan besar, kita, seperti Maria dan Marta, mencari Juruselamat atau meminta campur tangan ilahi dari Bapa. Cerita Lazarus mengajar kita asas-asas yang boleh digunakan dalam kehidupan semasa kita hadapi cabaran.

Apabila Juruselamat tiba di Betania, semua orang telah kehilangan harapan bahawa Lazarus dapat diselamatkan—empat hari telah berlalu, dan dia telah meninggal dunia. Kadangkala semasa cabaran kita sendiri, kita mungkin rasa seperti Kristus terlalu lambat dan harapan serta iman kita mungkin juga rasa dicabar. Kesaksian saya adalah apabila kita maju ke hadapan dengan iman kepada Yesus Kristus, hari keempat akan sentiasa datang. Dia akan sentiasa datang untuk bantu kita atau untuk kembalikan harapan kita. Dia telah berjanji:

“Janganlah kamu risau.”12

“Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu.”13

Kadangkala ia kelihatan seperti Dia tidak datang kepada kita sehingga hari keempat secara kiasan, selepas semua harapan nampaknya hilang. Tetapi mengapa sangat lambat? Presiden Thomas S. Monson ajarkan, “Bapa Syurgawi kita, yang berikan kita banyak perkara untuk dinikmati, juga tahu kita belajar dan menjadi kuat bila menghadapi dan mengatasi kesusahan yang harus kita alami.”14

Nabi Joseph Smith juga hadapi pengalaman besar seperti hari keempat. Ingatkah rayuannya? “Ya Tuhan, di manakah Engkau? Dan di manakah khemah yang menutupi tempat persembunyian-Mu?”15 Apabila kita percaya kepada-Nya, kita boleh harapkan jawapan seperti: “Anak-Ku, damai sejahteralah bagi jiwamu; kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil.”16

Pesanan lain yang kita boleh belajar dari cerita Lazarus adalah peranan kita sendiri dalam campur tangan ilahi yang kita carikan. Ketika Yesus menghampiri kubur itu, Dia terlebih dahulu berkata kepada mereka yang berada di sana, “Tepikan batu ini.”17 Dengan kuasa yang Juruselamat miliki, tidakkah Dia dapat menggerakkan batu itu tanpa sebarang usaha? Ini akan mengagumkan untuk lihat pengalaman yang tidak boleh dilupakan, namun Dia perintah kepada yang lain, “Tepikan batu ini.”

Kedua, Tuhan “berseru dengan suara kuat, Lazarus, keluar.”18 Bukankah ia lebih mengagumkan jika Tuhan sendiri secara ajaib letakkan Lazarus di depan supaya orang ramai terus nampak dia apabila batu itu ditepikan?

Ketiga, ketika Lazarus keluar, dia “terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.”19 Saya pasti Tuhan mampu mendirikan Lazarus di depan, sudah bersih dan kemas rapi dengan kain kafannya dilipat dengan baik.

Apakah tujuan dalam menekankan aspek-aspek ini? Setiap tiga aspek ini mempunyai persamaan—tiada yang memerlukan kuasa ilahi Kristus. Apa yang boleh dilakukan oleh para pengikut-Nya, Dia arahkan mereka untuk lakukan. Para pengikut-Nya dapat mengalihkan batu itu; Lazarus, setelah dibangkitkan, boleh berdiri dan mempersembahkan dirinya pada pembukaan makam itu; dan mereka yang sayangi Lazarus dapat membantunya tanggalkan kain kafan.

Tetapi, hanya Kristus memiliki kuasa dan wewenang untuk membangkitkan Lazarus dari kematian. Tanggapan saya adalah Juruselamat harapkan kita semua berusaha sendiri, dan Dia akan lakukan apa yang hanya Dia boleh lakukan.20

Kita tahu bahawa “iman [dalam Tuhan Yesus Kristus] adalah asas tindakan”21 dan “mukjizat tidak menghasilkan iman, tetapi iman yang kuat dikembangkan oleh kepatuhan kepada injil Yesus Kristus. Dalam kata lain, iman datang melalui kesolehan.”22 Semasa kita berusaha untuk bertindak dengan soleh, membuat dan mentaati perjanjian dan mengamalkan ajaran Kristus, iman kita bukan sahaja akan mencukupi untuk membawa kita ke hari keempat, tetapi dengan bantuan Tuhan kita juga akan mampu mengetepikan batu yang berada di jalan kita, bangkit dari rasa putus asa, dan lepaskan diri daripada semua yang mengikat kita. Walaupun Tuhan mengharapkan kita untuk “melakukan segala hal yang berada dalam kuasa kita,”23 ingatlah Dia akan menyediakan bantuan yang diperlukan dalam semua hal ini ketika kita percaya kepada-Nya.

Bagaimanakah kita boleh menggerakkan batu dan membina ke atas batu-Nya?24 Kita boleh mematuhi nasihat para nabi.

Contohnya, Presiden Russell M. Nelson pada Oktober lepas, mohon kepada kita untuk bertanggungjawab atas kesaksian sendiri tentang Juruselamat dan Injil-Nya, untuk berusaha dan memeliharanya, tambah kebenaran kepadanya dan mengelak dari mencemarkannya dengan falsafah palsu orang kufur. Dia telah berjanji kepada kita, “Semasa anda terus kuatkan kesaksian anda tentang Yesus Kristus sebagai keutamaan tertinggi anda, perhatikan mukjizat berlaku dalam hidup anda.”25

Kita boleh lakukannya!

Bagaimanakah kita boleh bangkit dan keluar secara kiasan? Kita boleh bertaubat dan memilih untuk mematuhi perintah-perintah. Tuhan berfirman, “Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.”26 Kita boleh berusaha untuk bertaubat setiap hari dan maju dengan hati yang rela dan penuh kasih kepada Tuhan.

Kita boleh lakukannya!

Bagaimanakah kita, dengan bantuan Tuhan, melepaskan diri dari semua yang mengikat kita? Kita boleh rela mengikat diri kita kepada Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus, melalui perjanjian. Elder D. Todd Christofferson ajar: “Apakah sumber kuasa moral dan rohani [kita], dan bagaimana mendapatkannya? Sumbernya adalah Tuhan. Akses kita kepada kuasanya adalah melalui perjanjian kita bersama-Nya. … Dalam persetujuan ilahi ini, Tuhan mengikat diri-Nya untuk menyokong, menguduskan dan memuliakan kita sebagai balasan untuk komitmen kita untuk melayani-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya.”27 Kita boleh membuat dan mentaati perjanjian kudus.

Kita boleh lakukannya!

“Tepikan batu ini.” “Keluar.” Tanggalkan kain dan biarlah dia pergi.

Nasihat, perintah dan perjanjian. Kita boleh lakukannya!

Elder Jeffrey R. Holland berjanji, “Ada berkat yang datang awal dan lambat, dan ada yang tidak datang sehingga di syurga; tetapi bagi mereka yang memeluk injil Yesus Kristus, berkat akan datang.”28

Akhirnya, “Kerana itu, jadilah riang, dan janganlah takut, kerana Aku Tuhan bersertamu, dan akan berdiri di sisimu.”29

Inilah kesaksian saya, dalam nama kudus Dia yang akan selalu datang, bahkan Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Yohanes 11:3.

  2. Yohanes 11:6–7.

  3. Yohanes 11:14.

  4. Yohanes 11:21, 32.

  5. Yohanes 11:39.

  6. “Roh, menurut kepercayaan Yahudi, berdiri di dekat tubuh badan selama tiga hari selepas kematian. Menurut kepercayaan orang Yahudi, akibatnya, satu resusitasi daripada seorang yang telah mati adalah mustahil pada hari keempat, kerana roh tidak akan masuk lagi ke dalam tubuh yang telah mengubah kedudukannya. Ia lebih mengagumkan bagi saksi-saksi mukjizat yang Yesus bangkitkan Lazarus pada hari keempat. Hari keempat demikian mempunyai makna istimewa di sini dan diambil dengan sengaja oleh pencerita untuk kegunaan berkaitan dengan semua mukjizat kebangkitan yang terbesar” (Ernst Haenchen, John 2: A Commentary on the Gospel of John, Chapters 7–21, ed. Robert W. Funk dan Ulrich Busse, terjemahan. Robert W. Funk [1984], 60–61).

  7. Yohanes 11:33–34.

  8. Yohanes 11:39.

  9. Yohanes 11:43–44.

  10. Lihat Musa 4:22–25

  11. Lihat Eter 12:27.

  12. Yohanes 14:1.

  13. Yohanes 14:18.

  14. Thomas S. Monson, “Aku Akan sentiasa Menyertai Engkau, Dan Tidak Sekali-kali Meninggalkan Engkau,” Liahona, Nov. 2013, 87. Presiden Monson jelaskan lagi: “Kita tahu bahawa ada masa kita akan mengalami kedukaan yang mematah hati, kita akan sedih, dan kita akan diuji dengan hebat. Namun begitu, kesukaran itu membenarkan kita untuk berkembang, untuk menubuh semula hidup kita dengan cara yang diajar oleh Bapa Syurgawi, dan menjadi seorang yang berbeza-seorang yang lebih baik, lebih berbelas kasihan, lebih empati, dan mempunyai kesaksian yang lebih teguh.” “Aku Akan sentiasa Menyertai Engkau, Dan Tidak Sekali-kali Meninggalkan Engkau,” 87) Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 84:119: “Kerana Aku, Tuhan, telah menghulurkan tangan-Ku untuk mengerahkan kuasa syurga; kamu tidak dapat melihatnya sekarang, tetapi tidak lama lagi dan kamu akan melihatnya, dan mengetahui bahawa Aku ada, dan bahawa Aku akan datang.”

    Lihat juga Mosia 23:21–24:

    “Walaupun demikian Tuhan menganggap patut untuk mendera umat-Nya; ya, Dia menguji kesabaran mereka dan iman mereka.

    “Walaupun demikian—barang siapa menaruh kepercayaannya kepada-Nya orang yang sama akan diangkat pada hari terakhir. Ya, dan demikianlah terjadi dengan bangsa ini.

    “Kerana lihatlah, aku akan memperlihatkan kepadamu bahawa mereka dibawa ke dalam perhambaan, dan tiada seorang pun dapat membebaskan mereka selain Tuhan Raja mereka, ya, bahkan Tuhan Abraham dan Ishak dan Yakub.

    “Dan terjadilah bahawa Dia membebaskan mereka, dan Dia memperlihatkan kuasa agung-Nya kepada mereka, dan besarlah kegirangan mereka.”

  15. Ajaran dan Perjanjian 121:1.

  16. Ajaran dan Perjanjian 121:7.

  17. Yohanes 11:39.

  18. Yohanes 11:43.

  19. Yohanes 11:44.

  20. Presiden Russell M. Nelson berkata: “Kerap kali, para penasihat saya dan saya telah melihat melalui air mata ketika Dia membantu dalam keadaan yang sungguh mencabarkan setelah kami melakukan sedaya upaya dan tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Kami betul-betul berdiri dengan kagum” (“Pesanan Selamat Datang,” Liahona, Mei 2021, 6).

  21. Bible Dictionary, “Faith.”

  22. Panduan Tulisan Suci, “Iman.” scriptures.ChurchofJesusChrist.org.

  23. Ajaran dan Perjanjian 123:17.

  24. Lihat 3 Nefi 11:32-39.

  25. Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” Liahona, Nov. 2022, 97.

  26. Yohanes 14:21.

  27. D. Todd Christofferson, “The Power of Covenants,” Liahona, Mei 2009, 20.

  28. Jeffrey R. Holland, “An High Priest of Good Things to Come,” Liahona, Jan. 2000, 45.

  29. Ajaran dan Perjanjian 68:6.