Hosana kepada Tuhan Yang Maha Tinggi
Kemasukan Yesus Kristus ke dalam Yerusalem dan peristiwa susulan minggu itu memberi contoh ajaran yang boleh diguna dalam kehidupan kita hari ini.
Hari ini, seperti yang dikatakan, kita bergabung dengan orang Kristian di dunia untuk menghormati Yesus Kristus pada Ahad Palma ini. Hampir 2000 yang lalu Ahad Palma menandakan permulaan minggu terakhir pelayanan fana Yesus Kristus. Ia adalah minggu yang paling penting dalam sejarah manusia.
Ia bermula dengan pengumuman Yesus sebagai Mesias yang dijanjikan tiba ke Yerusalem dan berakhir dengan Penyaliban dan Kebangkitan-Nya.1 Melalui rancangan ilahi, korban tebusan-Nya telah mengakhiri pelayanan fana-Nya, dan membolehkan kita hidup bersama Bapa Syurgawi secara abadi.
Tulisan suci memberitahu bahawa minggu itu bermula dengan kumpulan orang yang berdiri di pintu gerbang kota untuk melihat “Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea.”2 Mereka “mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, “Pujilah Tuhan! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Diberkatilah Raja Israel!”3
Cerita alkitab itu mengingatkan saya tentang tugasan Gereja saya di Takoradi, Ghana. Menariknya, saya berada di sana pada hari Ahad Palma.
Saya membahagikan Pancang Takoradi Ghana untuk mencipta Pancang Mpintsin Ghana. Hari ini, terdapat lebih daripada 100,000 ahli Gereja di Ghana.4 (Kami menyambut Ga Mantse, Tuanku Raja Nii Tackie Teiko Tsuru II dari Accra, Ghana, yang bersama kita hari ini.) Bertemu dengan Orang Suci ini, saya merasakan kasih dan kesolehan mereka kepada Tuhan. Saya ungkapkan kasih saya kepada mereka, dan Presiden Gereja mengasihi mereka. Saya merujuk kepada firman Juruselamat yang Yohanes catatkan: “Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu.”5 Mereka menganggapnya sebagai “persidangan saya sayang kamu.”6
Di gereja semasa saya memandang setiap barisan saudara dan saudari dan keluarga mereka, saya dapat lihat kesaksian dan iman mereka kepada Yesus Kristus. Saya rasa hasrat mereka untuk tergolong sebagai sebahagian Gereja-Nya. Apabila koir menyanyi, mereka menyanyi seperti malaikat.
Seperti hari Ahad Palma zaman kuno, inilah para pengikut Yesus Kristus yang berkumpul untuk memberi penghormatan kepada-Nya di pintu gerbang Yerusalem yang, memegang daun palma di tangan, menyeru, “Pujilah …! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.”7
Malah jemaah di satu gereja berdekatan juga sedang menghormati Ahad Palma. Ketika saya sedang berucap di mimbar, dari tingkap saya melihat mereka sedang berjalan dengan gembira sambil melambai daun palma di tangan mereka, seperti dalam foto ini. Saya tidak akan lupa pandangan itu, kami semua menyembah Raja Yang Terutama pada hari itu.
Presiden Russell M. Nelson memperingatkan kita untuk jadikan Ahad Palma “benar-benar kudus dengan mengingati, bukan sahaja palma yang dilambai untuk menghormati kemasukan Yesus ke dalam Yerusalem, tetapi dengan mengingati tapak tangan-Nya.” Kemudian Presiden Nelson merujuk kepada Yesaya, yang berucap tentang janji Juruselamat, “Aku tidak akan melupakan kamu,” dengan kata-kata ini, “Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku.”8
Tuhan tahu bahawa kefanaan itu susah. Luka-Nya mengingatkan kita bahawa Dia “telah mengalami lebih teruk dari kesemuanya”9 agar Dia boleh menyokong kita apabila kita menderita dan menjadi teladan kita untuk “bertahanlah pada jalanmu,”10 jalan-Nya, bahawa “Tuhan akan bersama [kita] selama-lamanya.”11
Ahad Palma bukan hanya satu peristiwa, satu lagi halaman sejarah dilengkapi tarikh, masa dan tempat. Kemasukan Yesus Kristus ke dalam Yerusalem dan peristiwa susulan minggu itu memberi contoh ajaran yang boleh diguna dalam kehidupan kita hari ini.
Marilah kita lihat beberapa ajaran abadi yang dinyatakan dalam pelayanan akhir-Nya di Yerusalem.
Pertama, nubuat. Contohnya, Nabi Perjanjian Lama, Zakharia bernubuat tentang kemasukan kemenangan Yesus Kristus ke Yerusalem, bahkan menggambarkan bahawa Dia akan menunggang seekor keldai.12 Yesus meramalkan Kebangkitan-Nya semasa Dia bersedia untuk memasuki kota itu, berfirman:
“Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya,
“Lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”13
Kedua, penemanan Roh Kudus. Joseph Smith mengajar, “Tidak seorang pun dapat mengetahui bahawa Yesus ialah Tuhan, tetapi melalui Roh Kudus.”14 Juruselamat menjanjikan para pengikut-Nya15 di Perjamuan Terakhir16 di ruang atas,17 “Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu.”18 Mereka tidak bersendirian membawa kebenaran injil tetapi kurnia roh Kudus sempurna ada untuk membimbing mereka. “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu,” Dia janjikan; “Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia.”19 Melalui kurnia Roh Kudus kita ada jaminan yang sama—bahawa kita “boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama [kita]”20 dan “melalui kuasa Roh Kudus [kita] dapat mengetahui kebenaran tentang semua hal.”21
Ketiga, penganutan. Penganutan sejati adalah komitmen berterusan, kepatuhan pada hukum abadi, dan yang paling penting, kasih kepada Tuhan. Tidak goyah. Orang ramai yang melambai daun palma memuji Dia sebagai Mesias. Itulah Dia sebenarnya. Mereka tertarik kepada-Nya, mukjizat-Nya, dan ajaran-ajaran-Nya. Tetapi ramai mereka tidak bertahan lama. Beberapa orang yang sebelum itu bersorak, “Hosana”22 kemudian berpaling dan berseru, “Salibkan dia.”23
Keempat, Korban Tebusan Yesus Kristus.24 Pada hari-hari terakhir-Nya, selepas Ahad Palma, Dia melakukan Korban Tebusan-Nya yang menakjubkan, dari penderitaan Getsemani ke penghinaan percubaan-Nya, penderitaan-Nya di salib, dan pengebumian-Nya dalam kubur pinjaman. Tetapi ia tidak berakhir di situ. Kerana keagungan panggilan-Nya sebagai Penebus bagi semua anak Bapa Syurgawi, tiga hari kemudian Dia melangkah keluar dari kubur itu, bangkit25 seperti yang dinubuatkan.
Adakah kita sentiasa syukuri Korban Tebusan Yesus Kristus yang tidak terbanding? Adakah sekarang kita merasai kuasa penyucian-Nya? Itulah sebab mengapa Yesus Kristus, Pengarang dan Penyempurna keselamatan, pergi ke Yerusalem, untuk menyelamatkan kita semua. Adakah kata-kata Alma ini menggerakkan hati: “Jika kamu telah mengalami suatu perubahan hati, dan jika kamu telah merasakan untuk menyanyikan nyanyian kasih penebusan, aku mahu bertanya, dapatkah kamu merasakan demikian sekarang?”26 Saya yakin berkata, koir di Takoradi pada Ahad Palma menyanyikan “nyanyian kasih penebusan.”
Minggu terakhir pelayanan fana-Nya, Yesus Kristus memberi perumpamaan tentang sepuluh orang gadis.27 Dia mengajar tentang kepulangan-Nya kepada mereka yang bersedia untuk menerima-Nya, bukan dengan palma di tangan tetapi dengan cahaya injil dalam diri mereka. Dia gunakan gambaran lampu yang dinyala dan membakar, dan lebihan minyak untuk nyalakan api, sebagai gambaran kesediaan untuk mematuhi cara-Nya, memeluk kebenaran-Nya, dan berkongsi cahaya-Nya.
Anda tahu cerita itu. Sepuluh orang gadis mewakili ahli Gereja, dan pengantin lelaki mewakili Yesus Kristus.
Sepuluh orang gadis membawa pelita mereka “untuk menyambut pengantin lelaki.”28 Lima orang bijaksana, bersedia dengan minyak dalam pelita mereka dan minyak tambahan, dan lima yang tidak bijak, pelita malap tanpa minyak tambahan. Apabila panggilan itu datang, “Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!”29 lima gadis yang “bijak dan [telah] menerima kebenaran, dan [telah] mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka”30 bersedia untuk “raja mereka dan pemberi hukum mereka”31 bahawa “kemuliaan-Nya [akan] berada di atas diri mereka.”32 Lima gadis lain tergopoh gapah cuba mencari minyak. Tetapi sudah terlambat. Perarakan berlangsung tanpa mereka. Apabila mereka mengetuk dan merayu untuk masuk, Tuhan menjawab, “Aku tidak kenal kamu.”33
Bagaimanakah perasaan kita jika Dia berkata, “Aku tidak kenal kamu!”
Kita, seperti sepuluh orang gadis itu, ada pelita; tetapi adakah kita punyai minyak? Saya risau sesetengah hanya punyai sedikit minyak, terlalu sibuk dengan tekanan duniawi untuk bersedia sepenuhnya. Minyak datang dari kepercayaan dan bertindak atas nubuat dan kata-kata nabi hidup, khususnya Presiden Nelson, para penasihatnya, dan Dua Belas Rasul. Minyak memenuhi jiwa apabila kita mendengar dan merasai Roh Kudus dan bertindak atas bimbingan ilahi itu. Minyak dicurah ke dalam hati apabila pilihan kita menunjukkan kita mengasihi Tuhan dan apa yang Dia kasihi. Minyak datang dari pertaubatan dan mencari kesembuhan Korban Tebusan Yesus Kristus.
Jika ada di antara anda ingin mengisi “baldi,” inilah dia: isi baldi anda dengan minyak seperti air kehidupan Yesus Kristus,34 yang melambangkan kehidupan dan ajaran-Nya. Sebaliknya, mengisi hal-hal duniawi tidak membuat jiwa anda sembuh atau puas hati; melainkan mentaati ajaran Yesus Kristus. Saya telah berikan contoh-contoh awal tadi: terima nubuat dan ajaran nabi, bertindak atas dorongan Roh Kudus, menjadi pengikut yang benar, dan cari kuasa penyembuhan Korban Tebusan Tuhan kita. Senarai itu akan membawa anda ke tempat idaman anda—kembali ke Bapa Syurgawi anda.
Ahad Palma di Takoradi itu satu pengalaman yang istimewa bagi saya kerana saya laluinya dengan jemaah saudara dan saudari yang beriman. Seperti juga di benua dan pulau-pulau di seluruh dunia. Hati dan jiwa saya, seperti anda, ingin bersorak, “Hosana kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.”35
Walaupun kita tidak berdiri di pintu gerbang Yerusalem hari ini dengan daun palma di tangan, masanya akan tiba apabila, seperti Wahyu nubuatkan, “lautan manusia yang luar biasa banyaknya … Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa … berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris [akan berdiri] di hadapan takhta dan Anak Domba itu.”36
Saya tinggalkan berkat sebagai Rasul Yesus Kristus bahawa anda akan tekun berusaha untuk hidup dengan soleh dan berada di kalangan mereka yang, memegang daun palma di tangan, akan mengumumkan Putera Tuhan, Penebus agung kita semua. Dalam nama Yesus Kristus, amin.