Persidangan Umum
Yesus Kristus ialah Kekuatan Ibu Bapa
Persidangan Umum April 2023


15:13

Yesus Kristus ialah Kekuatan Ibu Bapa

Bantu anak-anak anda membina iman kepada Yesus Kristus; mengasihi injil dan Gereja-Nya dan bersedia untuk pilihan yang soleh sepanjang hayat.

Ada satu masa, seorang bapa sedang bersiap ke petang pertemuan lembaga uskup. Anak perempuannya yang berusia empat tahun berdiri di hadapannya, dengan baju tidur dan memegang buku Cerita-cerita Kitab Mormon.

“Mengapa ayah perlu hadiri pertemuan itu?” dia bertanya.

“Kerana saya seorang penasihat dalam lembaga uskup,” dia menjawab.

“Tetapi kamu ayah saya!” anak itu membantah.

Ayah itu berlutut di hadapan anaknya. “Sayang,” dia berkata, “Saya tahu kamu mahu saya baca cerita dan tidurkan kamu, tetapi malam ini saya perlu tolong uskup.”

Anak itu menjawab, “Bukankah uskup ada ayahnya untuk tidurkan dia?”

Kami amat bersyukur kepada para ahli yang tekun melayani dalam Gereja Yesus Kristus setiap hari. Pengorbanan anda benar-benar kudus.

Tetapi menurut pemahaman anak ini, ada sesuatu yang sama kudus—ia tidak boleh diganti—iaitu tugas ibu bapa memelihara anak. Ia mencerminkan pola syurga.1 Bapa Syurgawi kita, Ibu Bapa Ilahi kita, pastinya bersukacita apabila anak-anak-Nya diajar dan dipelihara oleh ibu bapa mereka di bumi.2

Ibu bapa, terima kasih atas semua yang anda lakukan untuk membesarkan anak-anak anda. Dan anak-anak, terima kasih atas semua yang anda lakukan untuk membesarkan ibu bapa anda kerana setiap ibu bapa tahu, kita sering belajar daripada anak-anak tentang iman, harapan dan kasih ihsan seperti mereka belajar daripada kita!3

Ibu Bapa Mempunyai Tugas kudus

Pernahkah anda terfikir risiko besar yang Bapa Syurgawi ambil setiap kali Dia menghantar seorang anak ke bumi? Ini adalah para putera dan puteri Roh-Nya. Mereka ada potensi yang tidak terbatas. Mereka ditakdirkan untuk menjadi makhluk yang mulia dalam kebaikan, rahmat dan kebenaran. Namun mereka datang ke bumi dengan tidak berdaya, tidak dapat buat apa-apa pun kecuali menangis untuk bantuan. Ingatan mereka di hadirat Tuhan ditutup, berserta pengetahuan tentang siapa mereka sebenarnya dan siapa mereka boleh menjadi. Mereka membentuk pemahaman tentang kehidupan, kasih, Tuhan, dan rancangan-Nya berdasarkan apa yang mereka perhatikan dari orang-orang di sekeliling mereka—terutama ibu bapa mereka, yang, sebenarnya, juga masih cuba memahami bagi diri mereka.

Bayi yang baru lahir

Tuhan memberi ibu bapa “tugas yang kudus untuk membesarkan anak-anak mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, menafkahi mereka dari segi keperluan fizikal mahupun keperluan rohani mereka, dan mengajar mereka untuk … mentaati perintah-perintah Tuhan.”4

Itu cukup untuk membuat ibu bapa yang terbaik berjaga pada waktu malam.

Pesanan saya kepada semua ibu bapa ialah ini:

Tuhan mengasihi anda.

Dia menyertai anda.

Dia berdiri di sebelah anda.

Dialah kekuatan anda dalam membimbing anak-anak untuk membuat pilihan yang soleh.

Terimalah hak istimewa dan tanggungjawab khas ini dengan berani dan sukacita. Janganlah berikan sumber berkat syurgawi ini kepada orang lain. Dalam rangka nilai dan asas injil, andalah orang sesuai untuk membimbing anak anda dalam hal-hal kehidupan harian. Bantu anak-anak anda membina iman kepada Yesus Kristus; mengasihi injil dan Gereja-Nya dan bersedia untuk pilihan yang soleh sepanjang hayat. Itulah rancangan Tuhan untuk ibu bapa.

Setan akan menentang anda, mengganggu anda, cuba mengecewakan anda.

Tetapi setiap anak telah menerima Cahaya Kristus sebagai talian terus ke syurga. Dan Juruselamat akan membantu anda, membimbing anda, dan menggalakkan anda. Carilah bantuan-Nya. Mintalah kepada Tuhan!

Tuhan Yesus Kristus

Sama seperti Yesus Kristus ialah kekuatan remaja, Yesus Kristus juga merupakan kekuatan ibu bapa.

Dia Mengembangkan Kasih

Kadangkala kita mungkin tertanya jika orang lain mungkin lebih layak untuk membimbing dan mengajar anak-anak kita. Tetapi tidak kira betapa kekurangan anda rasa, ada sesuatu yang melayakkan anda: iaitu kasih anda bagi anak anda.

Kasih ibu bapa terhadap seorang anak adalah salah satu kuasa yang paling kuat di alam semesta. Ia adalah antara hal di bumi yang benar-benar boleh menjadi abadi.

Mungkin anda rasa hubungan anda dengan anak kurang ideal. Di situlah kuasa Juruselamat diperlukan. Dia menyembuhkan yang sakit, dan Dia boleh memulihkan hubungan. Dia menggandakan roti dan ikan, dan boleh melipatgandakan kasih dan kebahagiaan di rumah anda.

Kasih sayang terhadap anak-anak anda mewujudkan persekitaran untuk mengajar kebenaran dan membina iman. Jadikan rumah anda sebuah rumah doa, pembelajaran dan iman; tempat bergembira, tempat orang rasa tergolong; rumah Tuhan.5 Dan “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih[-Nya], yang telah Dia berikan kepada semua … pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus.”6

Dia Mengembangkan Usaha yang Kecil dan Sederhana

Kekuatan lain yang anda ada, sebagai ibu bapa, ialah peluang untuk pengaruh harian dan berterusan. Rakan sebaya, pengajar dan pempengaruh media tidak kekal. Tetapi anda boleh menjadi pengaruh yang berterusan dalam kehidupan anak anda.

Usaha anda mungkin kecil dibandingkan dengan suara lantang yang anak anda dengar di dunia. Kadangkala, anda mungkin rasa anda tidak mencapai banyak. Tetapi ingatlah bahawa “melalui cara-cara kecil, Tuhan dapat mendatangkan perkara yang besar.”7 Satu malam keluarga, satu perbualan injil, atau satu contoh yang baik mungkin tidak mengubah hidup anak anda dalam satu saat, bagaikan satu titisan hujan menyebabkan tumbuhan berkembang dengan segera. Tetapi hal-hal yang kecil dan sederhana yang konsisten, hari demi hari, memelihara anak-anak anda lebih baik daripada banjir sekali-sekala.8

Itulah cara Tuhan. Dia bercakap kepada anda dan anak anda dengan suara yang tenang, lembut, bukan suara guruh.9 Dia menyembuhkan Naaman bukan melalui “perkara yang susah” tetapi melalui tindakan mencuci yang sederhana dan berulang.10 Anak-anak Israel menikmati perayaan puyuh di padang belantara, tetapi apa yang memelihara mereka adalah mukjizat manna yang kecil dan sederhana—iaitu roti harian mereka.11

Saudara dan saudari, roti harian terbaik disediakan dan dihidangkan di rumah. Iman dan kesaksian adalah paling baik ditunjuk dengan cara yang biasa dan semula jadi, sedikit demi sedikit, dalam masa yang kecil dan sederhana, dalam kehidupan harian yang berterusan.12

Setiap saat adalah masa pengajaran. Setiap perkataan dan tindakan boleh jadi bimbingan untuk membuat pilihan.13

Anda mungkin tidak melihat kesan serta-merta dari usaha anda. Tetapi janganlah putus asa. “Segala hal mesti terjadi pada waktunya,” firman Tuhan. “Kerana itu, janganlah jemu dalam melakukan yang baik, kerana kamu sedang meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar.”14 Apakah pekerjaan yang lebih penting daripada membantu anak-anak Tuhan belajar siapa mereka sebenarnya dan membina iman mereka kepada Yesus Kristus, injil dan Gereja-Nya? Yesus Kristus akan memberkati dan mengembangkan usaha anda yang konsisten.

Dia Memberi Wahyu

Satu lagi cara berkuasa Tuhan menyokong ibu bapa adalah melalui kurnia wahyu peribadi. Tuhan ingin mencurahkan Roh-Nya untuk membimbing ibu bapa.

Semasa anda berdoa dan peka kepada Roh, Dia akan memperingatkan anda tentang bahaya tersembunyi.15 Dia akan mengungkapkan kurnia, kekuatan dan kebimbangan anak-anak anda.16 Tuhan akan membantu anda melihat anak-anak anda seperti Dia melihat mereka—melampaui penampilan luaran dan ke dalam hati mereka.17

Dengan bantuan Tuhan, anda boleh belajar mengenali anak-anak anda dalam cara yang suci dan syurgawi. Saya menjemput anda untuk menerima tawaran Tuhan untuk membimbing keluarga anda melalui wahyu peribadi. Cari bimbingan-Nya dalam doa anda.18

Perubahan Yang Hebat

Mungkin bantuan terpenting yang Yesus Kristus tawarkan kepada ibu bapa adalah “perubahan yang hebat” dalam hati.19 Inilah mukjizat yang kita perlukan.

Sila bayangkan situasi ini: Anda berada di gereja, mendengar ucapan tentang keluarga. Pembicara menggambarkan rumah dan keluarga yang lebih sempurna. Suami dan isteri tidak pernah bertengkar. Anak-anak berhenti membaca tulisan suci hanya apabila tiba masanya untuk membuat kerja rumah. Dan muzik “Saling Mengasihi”20 sedang bermain di latar belakang. Sebelum pembicara sampai ke bahagian sekeluarga membersihkan bilik mandi dengan gembira, anda sudah berfikir, “Keluarga saya tiada harapan.”

Saudara dan saudari, tenanglah! Semua orang di sini memikirkan hal yang sama! Sebenarnya, semua ibu bapa khuatir mereka tidak cukup baik.

Mujurlah, ada sumber bantuan ilahi untuk ibu bapa: Iaitu Yesus Kristus. Dialah sumber perubahan hati kita yang hebat itu.

Semasa membuka hati kepada Juruselamat dan ajaran-Nya, Dia akan tunjukkan kelemahan anda. Jika anda percaya Yesus Kristus dengan rendah hati, Dia akan buat hal-hal yang lemah menjadi kuat.21 Dia adalah Tuhan mukjizat.

Adakah itu bermaksud anda dan keluarga akan menjadi sempurna? Tidak. Tetapi anda akan menjadi lebih baik. Melalui rahmat Juruselamat, sedikit demi sedikit, anda akan mengembangkan banyak sifat yang ibu bapa perlukan: kasih kepada Tuhan dan anak-anak-Nya, kesabaran, tidak mementingkan diri, iman dalam Kristus, dan keberanian untuk pilihan soleh.

Yesus Kristus Menawarkan Sokongan melalui Gereja-Nya

Usaha kita untuk membina iman kepada Yesus Kristus adalah berpusat di rumah, berfokus pada individu. Dan ia disokong oleh Gereja. Selain menyediakan tulisan suci dan kata-kata para nabi, Gereja Juruselamat menawarkan banyak sumber untuk membantu ibu bapa dan anak-anak membuat pilihan yang soleh:

Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan
  • Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan tidak mempunyai senarai perbuatan dan larangan. Ia mengajar kebenaran abadi untuk bantu membuat pilihan yang memusatkan kehidupan anda kepada Yesus Kristus. Bacanya bersama anak-anak anda. Minta mereka berbincang tentangnya. Bantulah mereka mendapat kebenaran abadi dan ilahi sebagai bimbingan pilihan.

  • Persidangan FSY adalah satu lagi sumber yang menakjubkan. Saya harap setiap remaja akan hadir. Saya menjemput belia bujang untuk menyertai persidangan ini sebagai mentor dan penasihat. Saya menjemput ibu bapa untuk membina momentum rohani yang remaja bawa pulang dari persidangan FSY.

  • Kanak-kanak dan remaja Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ada pengajar, penasihat dan mentor. Seringkali anda memasuki kehidupan seorang remaja pada masa yang penting untuk membina dan menyokong iman dan kesaksian. Ada di antara anda adalah belia bujang. Ada yang belum ada anak-anak anda sendiri. Pelayanan sukacita anda kepada anak-anak Tuhan adalah kudus di mata Tuhan.23

Jangan Putus Asas Terhadap Mukjizat

Kalian yang dikasihi, saudara dan saudari, membina iman seorang anak bagaikan membantu bunga bertumbuh. Anda tidak boleh menarik batang pokok untuk meninggikannya. Anda tidak boleh membuka tunas untuk berbunga segera. Dan anda tidak boleh mengabaikan bunga dan mengharapkan ia tumbuh atau berkembang secara spontan.

Apa yang boleh dan mesti lakukan untuk generasi muda adalah sediakan tanah yang kaya dan subur dengan akses kepada aliran air syurgawi. Singkirkan lalang dan apa-apa yang akan menghalang cahaya syurgawi. Wujudlah keadaan yang terbaik untuk perkembangan. Bersabarlah dengan membenarkan generasi muda membuat pilihan berilham dan percayalah Tuhan mengerjakan mukjizat-Nya. Hasilnya adalah lebih indah, lebih menakjub dan lebih bahagia daripada segala pencapaian sendiri.

Dalam rancangan Bapa Syurgawi, hubungan keluarga bertujuan untuk keabadian. Inilah sebabnya, sebagai ibu bapa, anda tidak pernah putus asa, walaupun anda tidak bangga dengan hal yang berlaku pada masa lalu.

Dengan Yesus Kristus, Tuan Penyembuh dan Juruselamat, sentiasa ada permulaan baru; Dia selalu beri harapan.

Yesus Kristus ialah kekuatan keluarga.

Yesus Kristus ialah kekuatan remaja.

Yesus Kristus ialah kekuatan ibu bapa.

Semua ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. “Hampir setiap ibu bapa memiliki hasrat untuk ajarkan anak-anak mereka hemah yang bermoral. Ini mukjizat rancangan Bapa Syurgawi. Dia hendakkan anak-anak-Nya datang ke bumi, mengikut pola keluarga yang wujud dalam syurga. Keluarga ialah unit organisasi yang dasar di syurga, jadi Dia hendakkan keluarga juga menjadi unit dasar di bumi. Walaupun keluarga di bumi jauh daripada sempurna, mereka berikan anak-anak Tuhan peluang terbaik untuk disambut ke dunia dengan satu-satunya kasih sayang pada bumi yang paling dekat seperti yang sudah kita alami di syurga—kasih sayang ibu bapa. Keluarga juga cara yang paling baik untuk mengekalkan dan mengalihkan hemah moral dan asas-asas benar yang lebih mungkin bimbingkan kita balik ke hadirat Tuhan” (Henry B. Eyring, “Pengumpulan Keluarga Tuhan,” Liahona, Mei 2017, 20).

  2. Sudah tentu, kita tahu bahawa hemah Tuhan tidak selalu dicapai “di bumi, seperti di syurga” (Matius 6:10). Keibubapaan fana pastinya puas hati berbanding dengan ideal Tuhan. Dia pasti melihat itu. Dia mesti menangis atas semua kesedihan dan kesakitan hati dalam perhubungan keluarga. Namun, Dia tidak putus asa terhadap keluarganya. Dan Dia tidak akan, kerana Tuhan mempunyai rancangan mulia demi takdir abadi bagi anak-anak-Nya. Dan di pusat rancangan itu ialah keluarga.

  3. Lihat Matius 18:1–5; Mosia 3:19.

  4. Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia” ChurchofJesusChrist.org; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 68:25–28.

  5. Lihat “Learning at Home Is Founded on Relationships,” Teaching in the Savior’s Way (2022), 30–31; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 109:8.

  6. Moroni 7:48.

  7. 1 Nefi 16:29; lihat juga Alma 37:6–7.

  8. Lihat “Learning at Home Consists of Small, Simple, Konsisten,” Teaching in the Savior’s Way, 31. Presiden David O. McKay mengajar: “Janganlah kita berfikir bahawa, kerana beberapa [hal] … [yang] kelihatan kecil dan tidak penting. Kehidupan, semuanya, terjadi daripada hal-hal kecil. Kehidupan kita, nyawa kita, jasmani, terjadi daripada denyutan hati yang kecil. Jika hati itu berhenti berdegup, dan kehidupan di dunia ini berhenti. Matahari yang besar adalah kuasa yang hebat di alam semesta, tetapi kita menerima berkat-berkat sinarnya kerana ia datang kepada kita bagaikan kayu balak kecil, yang kesemuanya, memenuhi seluruh dunia dengan cahaya matahari. Malam yang gelap dijadikan menyenangkan oleh cahaya bintang-bintang kecil; dan demikianlah kehidupan Kristian yang sejati dibina daripada perbuatan kecil seperti Kristus yang dilaksanakan pada saat ini, minit ini, di rumah” (Teachings of Presidents of the Church: David O. McKay [2003], 219).

  9. Lihat Helaman 5:30.

  10. Lihat 2 Raja-Raja 5:9–14.

  11. Lihat Keluaran 16.

  12. Lihat “Menyediakan Anak-anak Anda untuk Kekal di Jalan Perjanjian Tuhan Seumur Hidup,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023, lampiran (digital sahaja).

  13. Lihat “Learning at Home Can Be Planned but Also Spontaneous,” Teaching in the Savior’s Way, 31; 1 Petrus 3:15.

  14. Ajaran dan Perjanjian 64:32–33.

  15. Lihat Matius 2:13.

  16. Alma Alma 40:1; 41:1; 42:1.

  17. Lihat 1 Samuel 16:7.

  18. Lihat 1 Nefi 15:8.

  19. Alma 5:13.

  20. Lihat “Saling Mengasihi,” Nyanyian Rohani, no. 150.

  21. Lihat Eter 12:27.

  22. “Dalam hal anak-anak, tanggungjawab memberi bimbingan moral terletak pada ibu bapa. Mereka tahu tentang kecenderungan, pemahaman, dan kecerdasan setiap anak. Ibu bapa menghabiskan seumur hidup untuk menubuhkan dan menjaga komunikasi yang baik dengan setiap anak mereka. Mereka berada dalam kedudukan yang terbaik untuk membuat keputusan moral yang paling utama berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak mereka” (James E. Faust, “The Weightier Matters of the Law: Judgment, Mercy, and Faith,” Ensign, Nov. 1997, 54).

  23. Dua sumber lain yang berharga untuk disebutkan: Versi digital dari sumber Ikutlah Aku tahun ini termasuk bahagian baru yang bertajuk “Menyediakan Anak-anak Anda untuk Kekal di Jalan Perjanjian Tuhan Seumur Hidup.” Ia mencadangkan idea mudah dan berpusat di rumah untuk membantu kanak-kanak bersedia untuk pembaptisan dan perjanjian dan tatacara lain. Dan Mengajar Dengan Cara Juruselamat yang dikemas kini ada bahagian yang bertajuk “Rumah dan Keluarga” yang menggambarkan bagaimana asas-asas pengajaran seperti Kristus digunakan di rumah (lihat muka surat 30–31).