Persidangan Umum
Ajaran-ajaran Yesus Kristus
Persidangan Umum April 2023


14:7

Ajaran-ajaran Yesus Kristus

Kita diberi tulisan suci untuk membimbing hidup kita. Pesanan saya hari ini terdiri daripada satu pilihan firman Juruselamat kita—apa yang Dia firmankan.

Kita percaya kepada Kristus. Sebagai para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita menyembah dan mengikuti ajaran-ajaran-Nya dalam tulisan suci.

Sebelum Kejatuhan, Bapa Syurgawi kita bercakap langsung kepada Adam dan Hawa. Selepas itu, Bapa perkenalkan Putera Tunggal-Nya, Yesus Kristus, sebagai Juruselamat dan Penebus kita dan memerintah kita untuk “dengarkanlah Dia.”1 Dari arahan ini kita menyimpulkan bahawa catatan kitab suci kata-kata yang diucapkan oleh “Tuhan” atau “Tuan” hampir selalu merupakan firman Yehovah, Tuhan yang bangkit, Yesus Kristus.2

Kita diberi tulisan suci untuk membimbing hidup kita. Nefi menjemput kita “jamuilah diri dengan firman Kristus; kerana lihatlah, firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan.”3 Kebanyakan tulisan suci melaporkan pelayanan fana Yesus adalah gambaran tentang hal-hal ang Dia telah lakukan. Pesanan saya hari ini terdiri daripada satu pilihan firman Juruselamat kita—apa yang Dia katakan. Ini adalah firman yang dicatatkan dalam Perjanjian Baru (termasuk tambahan berilham Joseph Smith) dan dari Kitab Mormon. Kebanyakan pilihan ini adalah dalam susunan di mana Juruselamat kita bercakap dengan mereka.

“Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Tuhan, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Tuhan.”4

“Diberkatilah mereka … yang lapar dan haus terhadap kesolehan, kerana mereka akan dipenuhi dengan Roh Kudus.”5

“Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Tuhan akan menyebut mereka anak-anak-Nya.”6

“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina:

“Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.”7

“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.

“Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu;

“Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Tuhan menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Tuhan dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya.”8

“Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadap kamu, Bapa kamu yang di syurga pun akan mengampunkan kesalahan kamu:

“Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu juga.”9

“Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.”10

“Oleh itu, janganlah mencari hal-hal dunia ini tetapi carilah dahulu untuk membangunkan kerajaan Tuhan, dan untuk menegakkan kebenaran-Nya, dan semuanya ini akan ditambahkan kepadamu.”11

“Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.”12

“Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas.

“Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Adakah orang mengumpulkan buah anggur dari semak berduri, atau buah ara dari tumbuhan beronak?

“Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk.”13

“Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Tuhan, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.”14

“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”15

“Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.

“Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.”16

“Oleh kerana itu, tinggalkanlah dunia ini, dan selamatkanlah jiwamu; kerana apa yang menguntungkan seseorang itu, jika dia mendapat seluruh dunia, dan kehilangan jiwanya sendiri? Atau apakah yang akan ditukar oleh seseorang itu dengan jiwanya?”17

“Orang yang mahu melakukan kehendak Tuhan akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Tuhan atau daripada Aku sendiri.”18

“Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu

“Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Tuhan akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Tuhan akan mendapatnya, dan Tuhan akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.”19

“Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.”20

“Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati:

“Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya.”21

“[Perintah yang terpenting dalam hukum ialah ini:] Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.

“Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!

“Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”

“Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.”22

“Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.”23

“Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”24

“Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu.”25

“Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.”26

“Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Tuhan:

“Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.”27

Selepas pelayanan-Nya di Tanah Suci, Yesus Kristus menampakkan diri kepada orang-orang soleh di benua Amerika. Berikut beberapa firman yang Dia ucapkan di sana:

“Lihatlah, Akulah Yesus Kristus Putera Tuhan. Aku menciptakan langit dan bumi, dan segala sesuatu yang ada di dalamnya. Aku berada bersama Bapa sejak dari permulaan. Aku berada di dalam Bapa, dan Bapa di dalam Aku; dan di dalam Akulah Bapa telah memuliakan nama-Nya.”28

“Akulah cahaya dan hidup dunia ini. Akulah Alfa dan Omega, yang awal dan yang akhir.

“Dan kamu akan mempersembahkan kepada-Ku bukan lagi penumpahan darah; ya, korban-korbanmu dan korban pembakaranmu akan ditamatkan, kerana Aku tidak akan menerima korban-korbanmu dan korban pembakaranmu.

“Dan kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada-Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal. Dan kepadanya Bapa akan memberikan kesaksian tentang Aku, kerana Dia akan mengunjunginya dengan api dan dengan Roh Kudus. …

“Lihatlah, Aku telah datang ke dunia ini untuk mendatangkan penebusan kepada dunia, untuk menyelamatkan dunia dari dosa.”29

“Dan lagi Aku berfirman kepadamu, kamu mesti bertaubat, dan dibaptiskan di dalam nama-Ku, dan menjadi seperti anak kecil, atau kamu tidak akan sekali-kali dapat mewarisi kerajaan Tuhan.”30

“Oleh itu Aku menghendaki agar kamu haruslah menjadi sempurna bahkan seperti Aku, atau Bapamu yang berada di dalam syurga yang sempurna.”31

“Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, kamu mesti berjaga dan berdoa selalu, agar jangan kamu digoda oleh ibilis, dan kamu dituntun tertawan olehnya.”32

“Oleh itu kamu mesti selalu berdoa kepada Bapa dalam nama-Ku.”33

“Oleh itu, apa pun yang akan kamu lakukan, kamu akan melakukannya dalam nama-Ku; oleh itu kamu akan memanggil gereja ini dengan nama-Ku.”34

“Lihatlah Aku telah memberikan kepadamu Injil-Ku, dan inilah Injil yang telah Aku berikan kepadamu—bahawa Aku datang ke dunia untuk melakukan kehendak Bapa-Ku, kerana Bapa-Ku telah mengutus-Ku.

“Dan Bapa-Ku mengutus-Ku agar Aku boleh diangkat ke atas salib; dan setelah Aku diangkat ke atas salib, agar Aku boleh menarik semua orang kepada-Ku … untuk dihakimi di atas pekerjaan mereka, sama ada baik ataupun jahat.”35

“Sekarang inilah perintah itu: Bertaubatlah, kamu segenap hujung bumi, dan datanglah kepada-Ku dan dibaptiskanlah dalam nama-Ku, agar kamu boleh dikuduskan melalui penerimaan Roh Kudus, agar kamu boleh berdiri tanpa noda di hadapan-Ku pada hari terakhir.”36

Kita percaya kepada Kristus. Saya mengakhiri dengan apa yang Dia firmankan tentang bagaimana kita harus tahu dan ikuti ajaran-ajaran-Nya:

“Tetapi Roh Tuhan, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.”37

Saya mengesahkan kebenaran ajaran ini dalam nama Yesus Kristus, amin.