Adakah Saya Benar-benar Telah Diampuni?
Janji pengampunan yang lengkap dan sempurna diberi kepada semua orang—dalam dan melalui Korban Tebusan Yesus Kristus yang tidak terhingga.
Beberapa tahun lalu, Sister Nattress dan saya berpindah ke Idaho, dan membuka bisnes baru. Kami menghabiskan banyak masa di pejabat. Syukurnya, kami tinggal hanya beberapa blok dari tempat kerja. Setiap minggu, Shawna dan tiga anak perempuan kami—semua di bawah umur enam tahun—akan datang ke pejabat untuk berkongsi makan tengah hari bersama.
Selepas makan tengah hari pada suatu hari, saya perhatikan anak kami yang berumur lima tahun, Michelle, telah meninggalkan satu pesanan peribadi untuk saya, yang ditulis pada Nota Post-it dan dilekatkan pada telefon pejabat saya.
Ia membaca, “Ayah, ingat untuk mengasihi saya. Dengan kasih, Michelle.” Ini satu peringatan hebat kepada seorang bapa muda tentang hal-hal yang paling penting.
Saudara dan saudari, saya bersaksi bahawa Bapa Syurgawi sentiasa mengingati kita dan Dia mengasihi kita dengan sempurna. Soalan saya adalah ini: Adakah kita mengingati-Nya? Dan adakah kita mengasihi-Nya?
Bertahun-tahun yang lalu, saya melayan sebagai seorang pemimpin Gereja tempatan. Salah seorang remaja putera kami, Danny, memang cemerlang dalam segala hal. Dia patuh, baik hati dan berhati yang besar. Namun, apabila dia tamat sekolah menengah, dia mula bergaul dengan orang yang tidak baik. Dia terlibat dalam dadah, khususnya methamphetamine, dan jatuh ke dalam ketagihan dan kehancuran. Tidak lama kemudian, penampilannya berubah banyak. Dia hampir tidak dikenali. Perubahan yang paling penting adalah pada matanya—cahaya dalam matanya telah malap. Beberapa kali saya mencapai kepadanya, tetapi tidak berjaya. Dia tidak berminat.
Ia susah untuk melihat pemuda hebat ini menderita dan menjalani kehidupan yang berbeza! Dia mampu melakukan lebih banyak lagi.
Kemudian, pada suatu hari, mukjizatnya bermula.
Dia menghadiri pertemuan sakramen di mana adiknya berkongsi kesaksian sebelum berangkat ke misi. Dalam pertemuan itu, Danny merasakan sesuatu yang tidak rasai buat masa yang lama. Dia merasakan kasih Tuhan. Dia akhirnya mempunyai harapan.
Walaupun dia mempunyai keinginan untuk berubah, ia amat sukar bagi Danny. Ketagihannya serta rasa bersalah melebihi apa yang dia boleh tanggung.
Pada suatu petang, ketika saya sedang memotong rumput kami, Danny tiba-tiba datang dengan keretanya. Dia sedang hadapi banyak kesusahan. Saya mematikan mesin pemotong, dan kami duduk bersama di bawah naungan beranda. Ketika itulah dia berkongsi perasaan hatinya. Dia benar-benar ingin kembali. Namun, berpaling dari ketagihan dan gaya hidupnya sangat susah. Tambahan pula, dia berasa sangat bersalah, sangat malu dengan pilihan hidupnya. Dia bertanya, “Bolehkah saya benar-benar diampuni? Benarkah ada jalan kembali?”
Setelah dia mencurahkan kebimbangan hatinya, kami membaca Alma bab 36 bersama:
“Ya, aku ingat segala dosa dan kederhakaanku. …
“Ya, … fikiran sahaja nyata memasuki hadirat Tuhanku dapat menyeksa jiwaku dengan kengerian yang tidak dapat diungkapkan” (ayat 13–14).
Selepas ayat-ayat itu, Danny berkata, “Inilah perasaan saya!”
Kami menyambung:
“Dan terjadilah bahawa sewaktu aku sedemikian terseksanya oleh seksaan, semasa aku amat tertekan oleh ingatan terhadap banyaknya dosaku, lihatlah, aku ingat juga telah mendengar ayahku bernubuat kepada orang berkenaan kedatangan seorang Yesus Kristus, seorang Putera Tuhan, untuk menebuskan dosa-dosa dunia. …
“Dan ya, betapa bahagiaku, dan betapa menakjubkannya cahaya yang aku lihat” (ayat 17, 20).
Semasa kami membaca petikan ini, air mata mula mengalir. Kebahagiaan Alma adalah kebahagiaan yang dia carikan!
Kami bincangkan bahawa Alma telah melakukan banyak kejahatan. Namun, apabila dia bertaubat, dia tidak lagi memandang ke belakang. Dia menjadi pengikut setia Yesus Kristus. Dia menjadi seorang nabi! Mata Danny menjadi besar. “Seorang nabi?” dia kata.
Saya menjawab, “Ya, seorang nabi. Tiada tekanan untuk kamu ya!”
Kami bincangkan bahawa walaupun dosa-dosanya tidak seperti tahap Alma, janji yang sama dengan pengampunan yang lengkap dan sempurna diberi kepada semua orang—dalam dan melalui Korban Tebusan Yesus Kristus yang tidak terhingga.
Danny mulai faham. Dia tahu apa yang dia perlu lakukan: dia perlu memulakan perjalanannya dengan mempercayai Tuhan dan mengampuni dirinya!
Perubahan hati Danny yang hebat memang satu mukjizat. Lambat laun, wajahnya berubah, dan cahaya dalam matanya kembali. Dia menjadi layak untuk ke bait suci! Akhirnya dia telah kembali!
Selepas beberapa bulan, saya bertanya Danny jika dia ingin menghantar permohonan untuk melayani misi sepenuh masa. Dia terperanjat dan kagum.
Dia berkata, “Saya ingin melayani misi, tetapi kamu tahu di mana saya pernah berada dan perkara yang saya telah lakukan! Saya fikir saya tidak layak.”
Saya menjawab, “Kamu mungkin betul. Namun, tiada apa pun yang menghalang kita daripada membuat satu permintaan. Jika kamu dikecualikan, sekurang-kurangnya kamu tahu bahawa kamu telah menyatakan keinginan ikhlas untuk melayani Tuhan.” Matanya ternyala. Dia sangat gembira dengan idea ini. Bagi dia ini adalah permintaan yang besar, tetapi ia satu peluang yang dia sanggup cuba.
Beberapa minggu kemudian, satu lagi mukjizat berlaku. Danny menerima panggilan untuk melayani misi sepenuh masa.
Beberapa bulan selepas Danny tiba di tempat misi, saya menerima satu panggilan. Presidennya berkata, “Apakah yang terjadi kepada lelaki muda ini? Dia misionari yang paling menakjubkan yang pernah saya lihat!” Lihatlah, Presiden ini telah menerima Alma Muda zaman moden.
Dua tahun kemudian, Danny pulang dengan kehormatan, setelah melayani Tuhan dengan sepenuh hati, daya, minda dan kekuatannya.
Berikutan laporan misionarinya dalam pertemuan sakramen, saya pulang ke rumah, hanya untuk mendengar ketukan di pintu depan. Danny berdiri dengan air mata bergenang di matanya. Dia berkata, “Boleh kita berbual sekejap?” Kami keluar ke beranda yang sama.
Dia berkata, “Presiden, adakah kamu fikir saya benar-benar telah diampuni?”
Sekarang air mata saya menggenang seperti Danny. Di depan saya berdiri seorang pengikut Yesus Kristus setia yang telah memberi segalanya untuk mengajar dan bersaksi tentang Juruselamat. Dia adalah jelmaan kuasa penyembuhan dan pengukuhan Korban Tebusan Juruselamat.
Saya berkata, “Danny! Sudahkah kamu lihat dalam cermin? Sudahkah kamu lihat mata kamu? Ia dipenuhi dengan cahaya, dan kamu bersinar dengan Roh Tuhan. Sudah tentu kamu telah diampuni! Kamu memang hebat! Sekarang apa yang kamu perlu lakukan adalah maju dalam hidup kamu. Jangan pandang ke belakang! Pandanglah ke depan dengan iman untuk tatacara seterusnya.”
Mukjizat Danny berterusan hari ini. Dia telah berkahwin di bait suci dan melanjut pendidikan, di mana dia menerima ijazah sarjana. Dia terus melayani Tuhan dengan kehormatan dan kemuliaan dalam panggilannya. Lebih penting lagi, dia telah menjadi suami yang hebat dan seorang bapa yang beriman. Dia seorang pengikut setia Yesus Kristus.
Presiden Russell M. Nelson mengajar, “Tanpa Korban Tebusan [Juruselamat] yang tidak terhingga, seluruh umat manusia akan sesat.”1 Danny tidak tersesat, dan begitu juga kita kepada Tuhan. Dia berdiri di pintu untuk mengangkat, menguatkan dan mengampuni kita. Dia selalu ingat untuk mengasihi kita!
Satu demonstrasi kasih Juruselamat terhadap anak-anak Tuhan dicatatkan dalam Kitab Mormon: “Ketika Yesus berfirman demikian, Dia mengarahkan mata-Nya ke sekelilingnya lagi kepada orang ramai, dan melihat mereka sedang berlinangan air mata, dan memandang dengan tabah kepada-Nya seolah-olah mereka hendak meminta-Nya untuk tinggal lebih lama sedikit bersama mereka” (3 Nefi 17:5).
Juruselamat telah menghabiskan hari melayan orang-orang itu. Dia masih perlu lakukan lebih banyak lagi— Dia harus mengunjungi domba-domba-Nya yang lain; Dia harus pergi kepada Bapa-Nya.
Walaupun dengan kewajipan ini, Dia nampak bahawa orang ramai berhasrat agar Dia tinggal lebih lama lagi. Kemudian, dengan hati Juruselamat yang penuh belas kasihan, salah satu mukjizat terbesar dalam sejarah dunia berlaku:
Dia tinggal.
Dia memberkati mereka.
Dia melayani anak-anak mereka satu demi satu.
Dia berdoa untuk mereka; Dia menangis bersama mereka.
Dan Dia menyembuhkan mereka. (Lihat 3 Nefi 17.)
Janji-Nya adalah abadi: Dia akan menyembuhkan kita.
Kepada mereka yang tersesat dari jalan perjanjian, ketahuilah bahawa sentiasa ada harapan, sentiasa ada penyembuhan, dan sentiasa ada jalan untuk kembali.
Pesanan abadi harapan-Nya ialah penyembuhan bagi semua yang hidup di dunia yang bermasalah. Juruselamat berfirman, “Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup” (Yohanes 14:6).
Saudara dan saudari, marilah kita ingat untuk mencari-Nya, mengasihi-Nya dan selalu mengingati-Nya.
Saya bersaksi bahawa Tuhan hidup dan Dia mengasihi kita. Saya juga bersaksi bahawa Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus dunia. Dialah penyembuh yang hebat. Saya tahu Sang Penebusku hidup! Dalam nama Yesus Kristus, amin.