Persidangan Umum
Pekerjaan Bait Suci dan Sejarah Keluarga—Satu dan Pekerjaan yang Sama
Persidangan Umum April 2023


10:12

Pekerjaan Bait Suci dan Sejarah Keluarga—Satu dan Pekerjaan yang Sama

Fokus utama rancangan Bapa Syurgawi kita ialah menyatukan keluarga untuk kehidupan ini dan untuk keabadian.

Saya amat bersyukur atas pembinaan bait suci yang berterusan dalam “kegenapan zaman keagamaan” ini (Ajaran dan Perjanjian 128:18). Sejak awal Pemulihan, Orang Suci yang beriman telah banyak berkorban untuk menerima tatacara dan perjanjian bait suci. Mengikuti contoh hebat mereka, pada tahun 1975, selepas banyak pengorbanan ekonomi untuk perjalanan dari Mexico City, isteri saya, Evelia, dan saya, ditemani oleh ibu bapa kami, dimeteraikan sebagai suami isteri abadi di Bait Suci Mesa Arizona. Pada hari itu, semasa kami disatukan oleh wewenang imamat di rumah Tuhan, kami benar-benar mengalami sekilas syurga.

Pekerjaan dan Tujuan Bait Suci

Pengalaman itu buat saya lebih menghargai kerja keras dan pengorbanan Orang Suci di Kirtland, Ohio, akhirnya selepas tiga tahun, bait suci mereka siap pada musim bunga 1836—yang pertama dalam zaman keagamaan ini. Pada bulan Mac tahun yang sama, lebih daripada seribu orang berkumpul di bait suci itu dan di pintu masuk untuk acara pembaktian. Nabi Joseph Smith membaca doa pembaktian, yang telah dia terima melalui wahyu (lihat Ajaran dan Perjanjian 109). Doa itu menggambarkan banyak berkat luar biasa dikurniakan ke atas orang yang masuk ke bait suci Tuhan dengan layak. Kemudian koir menyanyikan lagu rohani “Roh Tuhan” dan jemaah berdiri dan membuat Sorak Hosana “dengan kekuatan yang demikian rupa … untuk mengangkat bumbung dari bangunan itu” (Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 307).

Seminggu kemudian Nabi menggambarkan kemunculan Tuhan di dalam bait suci, yang berfirman:

“Kerana lihatlah, Aku telah menerima rumah ini, dan nama-Ku akan berada di sini; dan Aku akan menyatakan diri-Ku kepada umat-Ku dengan belas kasihan di dalam rumah ini. …

“Dan kemasyhuran rumah ini akan tersebar ke negeri-negeri asing; dan inilah permulaan bagi berkat yang akan dicurahkan ke atas umat-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 110:7, 10).

Selepas penglihatan ini dan yang lain, Nabi Elia, yang diangkat ke syurga tanpa merasai kematian, muncul di hadapan Nabi Joseph Smith dan Oliver Cowdery, berkata:

“Lihatlah, waktunya telah sepenuhnya datang, yang telah dibicarakan oleh mulut Maleakhi—bersaksi bahawa dia [Nabi Elia] akan diutus, sebelum hari Tuhan yang agung dan mengerikan datang—

“Untuk memalingkan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang, agar seluruh bumi tidak dihentam dengan kutukan—

“Oleh kerana itu, kunci-kunci zaman keagamaan ini dianugerahkan ke dalam tanganmu; dan dengan ini kamu boleh tahu bahawa dari Tuhan yang agung dan mengerikan sudah dekat, bahkan berada di depan pintu” (Ajaran dan Perjanjian 110:14–16).

Bait Suci dan Sejarah Keluarga

Selepas Tuhan pulihkan kunci-kunci pemeteraian kepada Joseph Smith, pekerjaan penyelamatan di kedua-dua belah tirai di zaman keagamaan kita bermula (lihat 1 Korintus 15:22, 29; Ajaran dan Perjanjian 128:8–18).

Presiden Boyd K. Packer mengajarkan “peristiwa penting ini tidak diendahkan oleh dunia, tetapi ia akan mempengaruhi takdir setiap jiwa yang pernah hidup atau akan hidup. Hal-hal mula berlaku dengan senyap. Gereja menumpukan pembinaan bait suci.

“Di dunia muncul di sini dan di sana, dalam cara yang spontan, orang-orang dan organisasi dan masyarakat yang berminat untuk mencari salasilah. Ini semua telah terjadi sejak kemunculan Elia di Bait Suci Kirtland.” (The Holy Temple [1980], 141).

“Sejak hari itu, 3 April 1836, hati anak-anak mula berpaling kepada bapa mereka. Selepas itu tatacara bukan lagi sementara, tetapi kekal. Kita ada kuasa pemeteraian. Tiada wewenang yang melebihi nilainya. Kuasa itu memberikan bukti dan ketetapan abadi kepada semua tatacara yang dilaksanakan dengan wewenang yang betul bagi yang hidup dan yang mati” (Preparing to Enter the Holy Temple [2002], 28).

Saudara dan saudari terkasih, pembinaan dan penggunaan bait suci yang betul telah menjadi satu tanda Gereja Yesus Kristus yang benar. Selepas pembaktian Bait Suci Salt Lake pada tahun 1893, Presiden Wilford Woodruff menggalakkan ahli Gereja untuk mencari catatan nenek moyang dan mencatat salasilah mereka sejauh yang mungkin untuk membawa nama-nama itu ke bait suci dan melaksanakan tatacara penyelamatan dan permuliaan (lihat Teachings of Presidents of the Church: Wilford Woodruff [2004], 174).

Sejarah Keluarga dan Pekerjaan Bait Suci—[adalah] Satu

Satu tahun kemudian (1894), Presiden Woodruff menyelia penubuhan Lembaga Salasilah Utah. Seratus tahun kemudian, pada tahun 1994 Elder Russell M. Nelson, dulu seorang ahli Kuorum Dua Belas Rasul berkata, “Peristiwa tahun bersejarah itu menubuhkan penyelidikan sejarah keluarga dan pelayanan bait suci sebagai satu pekerjaan dalam Gereja” (“The Spirit of Elijah,” Ensign, Nov. 1994, 85).

Pekerjaan Sejarah Keluarga

Saudara dan saudari terkasih, Tuhan menggalakkan ahli Gereja-Nya untuk memelihara sejarah keluarga kita sendiri, untuk belajar dari nenek moyang kita, dan membuat persediaan untuk mereka terima tatacara injil dalam bait suci agar mereka maju di sepanjang jalan perjanjian, yang akan memberkati mereka dengan keluarga abadi. Itulah fokus utama rancangan Bapa Syurgawi kita: menyatukan keluarga untuk kehidupan ini dan untuk keabadian.

Kepada anda yang rasa tidak mampu melakukan pekerjaan ini, anda tidak bersendirian. Kita boleh menggunakan alat-alat yang Gereja telah sediakan dan pusat Sejarah Keluarga. Pusat Sejarah Keluarga ini direka supaya semua orang, dengan sedikit bantuan, dapat mencari maklumat nenek moyang mereka dan menyusunnya untuk dibawakan ke rumah Tuhan. Sila hubungi penasihat sejarah keluarga dalam bahagian atau cabang yang akan membimbing anda.

Apabila kita ikuti bimbingan nabi dan membuat sejarah keluarga dan melaksanakan tatacara bait suci bagi nenek moyang, kita akan alami sukacita besar sehingga kita tidak mahu berhenti melakukannya. Roh akan penuhi hati kita, memberi keupayaan untuk melakukannya dan membimbing kita mencari nama-nama nenek moyang kita. Tetapi ingatlah bahawa sejarah keluarga bukan hanya mencari nama, tarikh dan tempat. Ia menyatukan keluarga dan merasa sukacita kerana ia memberi mereka tatacara injil.

Saya suka ajaran berilham nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, yang berkata: “Bait suci berada di pusat pengukuhan iman dan kekuatan rohani kita kerana Juruselamat dan ajaran-Nya adalah di pusat bait suci. Semua yang diajar di bait suci, melalui arahan dan melalui Roh, meningkatkan pemahaman kita tentang Yesus Kristus. Tatacara-tatacara penting-Nya mengikat kita kepada-Nya melalui perjanjian-perjanjian imamat yang kudus. Kemudian, semasa kita taati perjanjian, Dia menganugerahi kita dengan kuasa penyembuhan dan pengukuhan-Nya” (“Bait Suci dan Landasan Rohani Anda,” Liahona, Nov. 2021, 93–94).

Pastinya, pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga adalah satu dan pekerjaan yang sama dalam Gereja.

Saya bersaksi atas kebenaran ini. Saya tahu ini Gereja Tuhan Yesus Kristus, Juruselamat dan Penebus kita, kita mengingati dan memuja-Nya pada musim Easter ini. Saya tahu Dia mengasihi kita, dan apabila kita patuhi perjanjian dan yakin kepada-Nya, Dia menganugerahi kita dengan kuasa penyembuhan dan kekuatan-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.