Jangan Sesekali Lepaskan Peluang untuk Bersaksi tentang Kristus
Kegembiraan sejati terletak pada kesediaan kita untuk mendekati Kristus dan saksikan sendiri.
Lima tahun yang lalu hari ini, kita mengangkat tangan untuk sokong nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, sebagai Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir―jurucakap Tuhan untuk musim perkembangan dan wahyu yang menakjubkan ini. Melalui dia, kita telah menerima banyak jemputan dan telah dijanjikan berkat mulia jika kita akan memusatkan kehidupan pada Juruselamat, Yesus Kristus.
Pada tahun 2011, semasa saya dan suami melayani sebagai pemimpin misi di Curitiba, Brazil, telefon saya berbunyi semasa pertemuan. Segera mendiamkannya, saya sedar itu daripada ayah saya. Saya segera tinggalkan pertemuan itu dan menjawab: “Hai, Ayah!”
Tanpa disangka, suaranya penuh emosi: “Hai, Bonnie. Saya perlu beritahu kamu sesuatu. Saya ada SLA.”
Minda saya bergelut kekeliruan, “Sekejap! Apa itu SLA?”
Ayah menjelaskan, “Otak saya sedar, sementara tubuh saya beransur lemah.”
Seluruh dunia berubah semasa saya bergelut dengan berita sedih ini. Tetapi pada hari berperistiwa itu, ayat terakhir dia yang kekal di hati saya. Ayah dengan mendesak berkata, “Bonnie, jangan sesekali lepaskan peluang untuk bersaksi tentang Kristus.”
Saya telah merenung dan berdoa atas nasihat Ayah. Saya sering tertanya jika saya tahu sepenuhnya maksud untuk tidak lepaskan peluang untuk bersaksi tentang Yesus Kristus.
Seperti anda, saya kadangkala berdiri pada hari Ahad pertama bulanan dan bersaksi tentang Kristus. Banyak kali saya telah bersaksi tentang kebenaran injil dalam pelajaran. Saya ajarkan kebenaran dengan berani dan isytiharkan keilahian Kristus sebagai seorang misionari.
Tetapi mohonan ini lebih peribadi! Ia seolah-olahnya dia berkata, “Bonnie, jangan biarkan dunia mengatasi anda! Tetap setia kepada perjanjian anda dengan Juruselamat. Alamilah berkat-berkat-Nya setiap hari dan bersaksi melalui Roh Kudus kuasa dan hadirat-Nya dalam hidup anda!”
Kita hidup di dunia yang jatuh, gangguan mengaburi mata dan hati kita kepada duniawi dan bukannya kepada syurga. Sama seperti bangsa Nefi dalam 3 Nefi 11, kita perlukan Yesus Kristus. Bolehkah anda bayangkan anda di sana, di kalangan orang-orang yang telah mengalami banyak huru-hara dan kehancuran? Apakah perasaan mendengar jemputan peribadi Tuhan:
“Bangunlah dan datanglah kepada-Ku, agar kamu boleh meletakkan tanganmu ke sisi-Ku, dan juga agar kamu boleh merasakan bekas paku pada tangan-Ku dan pada kaki-Ku, agar kamu boleh tahu bahawa Akulah … Tuhan seluruh bumi, dan telah dibunuh demi dosa-dosa dunia.
“Dan orang ramai itu maju … satu demi satu … dan melihat dengan mata mereka dan merasakan dengan tangan mereka, dan mengetahui … dan memberikan kesaksian.”1
Bangsa Nefi ini bersemangat untuk meletakkan tangan mereka ke sisi-Nya dan merasakan bekas paku pada tangan dan kaki-Nya, supaya mereka dapat saksikan sendiri bahawa inilah Kristus. Begitu juga, ramai orang beriman yang kita kaji dalam Perjanjian Baru tahun ini telah menunggu kedatangan Kristus. Mereka tinggalkan ladang, meja kerja dan meja makan dan mengikuti-Nya, berasak-asak hendak mendengar Dia, mengasak Dia dan duduk bersama-Nya. Adakah kita bersemangat untuk saksikan sendiri seperti orang dalam tulisan suci? Adakah berkat yang kita cari kurang penting daripada mereka?
Apabila Kristus mengunjungi bangsa Nefi di bait suci mereka, jemputan-Nya bukan untuk berdiri jauh dan memandang Dia, tetapi untuk menyentuh Dia, untuk merasakan realiti Juruselamat manusia. Bagaimanakah kita dapat mendekati Dia supaya memperoleh kesaksian peribadi tentang Yesus Kristus? Ini mungkin sebahagian apa yang ayah saya cuba ajarkan. Walaupun kita tidak berjalan bersama Kristus semasa pelayanan duniawi-Nya, melalui Roh Kudus kita dapat mengalami kuasa-Nya setiap hari! Sebanyak yang kita perlukan!
Remaja puteri di seluruh dunia telah banyak mengajar saya tentang mencari Kristus dan memperoleh kesaksian peribadi setiap hari. Izinkan saya berkongsi dua daripadanya:
Livvy menonton persidangan umum sepanjang hidupnya. Malah, tradisi di rumah keluarga mereka menonton kesemua lima sesi. Dulu, persidangan bagi Livvy bermaksud mencoret-coret atau tertidur. Tetapi persidangan umum Oktober yang lalu ini berbeza. Ia amat berkenaan.
Kali ini, Livvy memutuskan untuk menjadi pendengar yang aktif. Dia senyapkan telefonnya dan mencatat tanggapan daripada Roh Kudus. Dia kagum apabila dia merasakan hal-hal tertentu yang Tuhan mahu dia dengar dan lakukan. Keputusan ini serta merta membuat perbezaan dalam hidupnya.
Beberapa hari kemudian, kawan-kawannya jemput dia ke wayang yang tidak sesuai. Dia merenungkan, “Saya rasa kata-kata dan roh persidangan kembali ke hati saya, dan saya menolak jemputan wayang itu.” Dia juga berani berkongsi kesaksian tentang Juruselamat di bahagiannya.
Selepas itu, dia berkata, “Hebatnya, apabila saya dengar diri saya bersaksi bahawa Yesus ialah Kristus, saya rasa pengesahan Roh Kudus lagi.”
Livvy tidak bersahaja untuk persidangan hujung minggu. Dia tumpukan minda dan roh dan temui Juruselamat di sana.
Kemudian pula, Maddy. Apabila keluarganya berhenti menghadiri gereja, Maddy keliru dan tidak pasti apa yang dia perlu buat. Dia sedari sesuatu yang penting telah hilang. Jadi, pada umur 13, Maddy mula hadiri gereja sendirian. Walaupun bersendirian kadang-kadang susah dan tidak selesa, dia tahu dia boleh mencari Juruselamat di gereja dan dia ingin berada di mana Tuhan berada. Dia berkata, “Di gereja, jiwa saya rasa seperti berada di rumah.”
Maddy bertahan kerana keluarganya telah dimeteraikan bersama untuk keabadian. Dia mula membawa adik-adiknya ke gereja dan mengkaji tulisan suci bersama di rumah. Akhirnya ibunya mula menyertai mereka. Maddy memberitahu ibunya tentang keinginan melayani misi dan bertanya jika ibunya boleh bersedia untuk hadiri bait suci bersama dia.
Hari ini Maddy berada di MTC. Dia sedang melayani. Dia bersaksi tentang Kristus. Teladannya membantu memimpin kedua-dua ibu bapanya kembali ke bait suci dan kepada Kristus.
Seperti Livvy dan Maddy, semasa kita pilih untuk mencari Kristus, Roh akan bersaksi tentang Dia dalam banyak situasi yang berbeza. Kesaksian Roh ini berlaku semasa kita berpuasa, berdoa, menunggu, dan terus maju. Mendekati Kristus berkembang melalui penyembahan kerap di bait suci, bertaubat setiap hari, mengkaji tulisan suci, menghadiri gereja dan seminari, merenungkan berkat bapa bangsa kita, menerima tatacara dengan layak dan menghormati perjanjian kudus. Semua ini menjemput Roh untuk menerangi minda kita, dan memberi kedamaian dan perlindungan. Tetapi adakah kita menghormati ia sebagai peluang kudus untuk bersaksi tentang Kristus?
Saya telah menghadiri bait suci berulang kali, tetapi apabila saya menyembah di rumah Tuhan, ia mengubah saya. Kadangkala semasa berpuasa, saya rasa lapar, tetapi pada masa lain, saya menjamu Roh dengan tujuan. Saya kadang-kadang telah buat doa yang berulang-ulang dan rutin, tetapi saya juga bersedia menerima nasihat daripada Tuhan melalui doa.
Terdapat kuasa jika tidak jadikan tabiat kudus ini sebagai senarai semak tetapi lebih kepada kesaksian. Proses ini beransur tetapi akan berkembang dengan penglibatan harian yang aktif dan pengalaman yang bermakna dengan Kristus. Semasa kita bertindak secara konsisten pada pengajaran-Nya, kita memperoleh kesaksian tentang Dia; kita membina hubungan dengan Dia dan Bapa Syurgawi kita. Kita mula menjadi seperti Mereka.
Musuh menciptakan begitu banyak kebisingan sehingga sukar untuk dengar suara Tuhan. Dunia kita, cabaran kita, keadaan kita tidak akan menjadi lebih tenang, tetapi kita boleh dan seharusnya lapar dan haus untuk hal-hal Kristus untuk “dengar Dia” dengan jelas.2 Kita ingin mencipta tabiat penganutan dan kesaksian yang akan tertumpu pada Juruselamat kita setiap hari.
Ayah saya telah meninggal lebih dari 11 tahun, tetapi kata-katanya hidup di dalam diri saya. “Bonnie, jangan sesekali lepaskan peluang untuk bersaksi tentang Kristus.” Saya menjemput anda untuk menerima jemputannya. Carilah Kristus di merata tempat―saya berjanji Dia ada di sana!3 Kegembiraan sejati terletak pada kesediaan kita untuk mendekati Kristus dan saksikan sendiri.
Kita tahu bahawa pada zaman akhir, “setiap lutut akan bertekuk, dan setiap lidah mengaku” bahawa Yesus ialah Kristus.4 Saya berdoa kesaksian ini akan menjadi pengalaman yang biasa dan semula jadi bagi kita sekarang—agar kita akan mengambil setiap kesempatan untuk bersaksi dengan gembira: Yesus Kristus hidup!
Betapa saya mengasihi-Nya. Kita bersyukur bagi korban tebusan-Nya, yang “membolehkan kehidupan abadi dan kebaqaan suatu realiti bagi kita”5 Saya bersaksi tentang kebaikan dan kemuliaan Juruselamat dalam nama kudus-Nya, Yesus Kristus, amin.