Terus Maju—dengan Iman
Beriman kepada Juruselamat, Yesus Kristus, membantu kita mengatasi kekecewaan tidak kira tahap cabaran yang kita hadapi.
Elder George A. Smith, seorang Rasul, menerima nasihat daripada Nabi Joseph Smith pada masa kesukaran yang besar: “Dia beritahu saya untuk jangan putus asa, tak kira apa kesusahan yang mengelilingi saya. Jika saya tenggelam di lombong emas Nova Scotia dan Banjaran Rocky tertimbun ke atas saya, saya tidak patut kecewa tetapi bertahan, beriman, tabah dan timbul di puncak gunung pada akhirnya.”1
Bagaimanakah Nabi Joseph boleh berkata itu—kepada seseorang yang menderita? Kerana dia tahu itu adalah benar. Dia sudah alaminya. Joseph mengalami kesusahan yang teruk dalam hidupnya. Tetapi semasa dia beriman kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, dan terus bertahan, dia mengatasi halangan yang nampaknya tidak dapat diatasi.2
Hari ini saya ingin ulangi nasihat Joseph supaya janganlah biarkan kekecewaan mengatasi kita ketika menghadapi kehampaan, pengalaman yang menyakitkan, kekurangan diri kita atau cabaran lain.
Apabila saya berkata kekecewaan, ia bukan tentang cabaran kemurungan, gangguan keresahan atau penyakit lain yang memerlukan rawatan ubat.3 Saya hanya bercakap tentang kekecewaan yang datang dengan baik dan buruk kehidupan.
Saya diilhami oleh hero saya yang terus maju—dengan iman—tidak kira apa pun.4 Dalam Kitab Mormon, kita baca tentang Zoram, orang suruhan Laban. Apabila Nefi peroleh kepingan loyang, Zoram menghadapi pilihan untuk ikut Nefi dan saudaranya ke padang belantara atau mungkin mati.
Pilihan itu sangat besar! Reaksi Zoram pada mulanya adalah untuk lari, tetapi Nefi memegangnya dan bersumpah bahawa jika dia ikut bersama, dia akan bebas dan sertai keluarga mereka. Zoram menjadi berani dan pergi bersama mereka.5
Zoram menderita banyak kesengsaraan dalam kehidupan barunya, tetapi dia maju dengan iman. Kita tidak tahu jika Zoram rindu masa lalunya atau marah terhadap Tuhan atau orang lain.6 Dia seorang kawan sejati kepada nabi Nefi dan dia serta keturunannya tinggal dalam kebebasan dan kemakmuran di negeri yang dijanjikan. Cabaran besar dalam hidup Zoram akhirnya membawa banyak berkat, kerana kesetiaan dan kesediaannya untuk terus maju—dengan iman.7
Baru-baru ini saya dengar seorang saudari yang berani berkongsi cara dia bertahan melalui kesusahan.8 Dia menghadapi beberapa cabaran, dan pada satu Ahad, duduk dalam Lembaga Pertolongan, dan dengar pengajar yang dia fikir mempunyai kehidupan sempurna—berbeza daripada dirinya. Dia penat dan kecewa. Dia rasa seperti tidak cukup baik—atau tergolong—jadi dia berdiri dan keluar, merancang untuk tidak kembali ke gereja lagi. Sambil berjalan ke keretanya, dia terasa tanggapan yang jelas: “Kembali ke gereja dan dengar pembicara pertemuan sakramen.” Dia mempersoalkan dorongan itu tetapi terasa lagi dengan kuat, maka dia masuk ke pertemuan itu.
Pesanan itu adalah tepat apa yang dia perlukan. Dia merasai Roh. Dia tahu Tuhan mahu dia bersama-Nya, untuk menjadi pengikut-Nya, dan menghadiri gereja, jadi dia berbuat demikian.
Tahukah apa yang dia bersyukur? Untuk tidak putus asa. Dia terus maju—beriman kepada Yesus Kristus, walaupun ia amat mencabar, dia dan keluarganya diberkati banyak semasa dia maju ke depan.
Tuhan syurga dan bumi akan bantu kita mengatasi kekecewaan dan halangan yang kita hadapi jika kita memandang kepada-Nya, mengikuti dorongan Roh Kudus,9 dan terus maju—dengan iman.
Syukurnya, apabila kita lemah atau tidak mampu, Tuhan boleh menguatkan iman. Dia boleh meningkatkan keupayaan melebihi kemampuan kita. Saya pernah alami itu. Lebih dari 20 tahun yang lalu, saya tiba-tiba dipanggil sebagai Ahli Kawasan Tujuh Puluh, dan saya merasa sangat kurang layak. Selepas diberi latihan, saya perlu mengetuai persidangan pancang pertama saya.10 Presiden pancang dan saya merancang dengan teliti. Tidak lama sebelum persidangan, Presiden Boyd K. Packer, Pemangku Presiden Kuorum Dua Belas Rasul pada masa itu, menelefon saya untuk tanya jika dia boleh menyertai saya. Saya terkejut dan, sememangnya, bersetuju. Saya bertanya bagaimana dia mahu buat kerana dia akan mengetuai. Dia mencadangkan kami buang rancangan itu dan bersedia untuk mengikuti Roh. Syukurnya, saya masih ada 10 hari untuk belajar, berdoa dan bersedia.
Dengan agenda terbuka, kami berada di pentas 20 minit sebelum pertemuan kepimpinan bermula. Saya bersandar kepada presiden pancang dan berbisik, “Ini pancang yang hebat.”
Presiden Packer menyiku saya dengan lembut dan berkata, “Jangan bercakap.”
Saya berhenti bercakap, dan ucapan persidangan umumnya “Ketakziman Membawa Wahyu”11 datang ke minda. Saya perhatikan Presiden Packer sedang menulis rujukan ayat suci. Roh mengesahkan saya bahawa dia sedang menerima tanggapan untuk pertemuan itu. Pengalaman pembelajaran saya baru bermula.
Presiden Packer berucap selama 15 minit dan menekankan kepentingan memimpin semua pertemuan seperti dibimbing oleh Roh Kudus.12 Dia kemudian berkata, “Sekarang kita akan dengar daripada Elder Cook.”
Sambil berjalan ke mimbar, saya bertanya berapa lama dia ingin saya ambil dan jika ada topik yang perlu saya ucapkan. Dia berkata, “Ambil 15 minit dan teruskan jika anda diilhami.” Saya mengambil kira-kira 14 minit dan berkongsi segala dalam minda saya.
Presiden Packer berdiri dan berucap selama 15 minit lagi. Dia berkongsi ayat suci ini:
“Katakanlah fikiran yang akan Aku letakkan ke dalam hatimu, dan kamu tidak akan ditundukkan di hadapan manusia;
“Kerana akan diberikan kepadamu … pada saat yang tepat, apa yang harus kamu katakan.”13
Kemudian dia berkata, “Sekarang kita akan dengar daripada Elder Cook.”
Saya terperanjat. Saya tidak sangka diminta untuk berucap dua kali dalam satu pertemuan. Saya tiada apa-apa dalam fikiran. Berdoa dengan bersungguh-sungguh dan bergantung kepada Tuhan untuk bantuan, saya diberkati dengan sebuah ayat suci, dan saya dapat berucap selama 15 minit lagi. Saya sudah letih dan duduk.
Presiden Packer berucap lagi selama 15 minit tentang mengikuti Roh dan kongsi ajaran Paulus bahawa kita tidak harus berkata-kata “menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Roh Tuhan.”14 Seperti anda boleh bayangkan, saya terkejut apabila dia terdorong untuk kata buat kali ketiga, “Kita sekarang akan dengar daripada Elder Cook.”
Saya sudah penat. Tiada tenaga. Saya tahu itulah masanya untuk lebih beriman. Perlahan-lahan, saya pergi ke mimbar, merayu untuk bantuan Tuhan. Semasa saya di hadapan mikrofon, Tuhan memberkati saya untuk memberi pesanan selama 15 minit yang seterusnya.15
Akhirnya, pertemuan itu sudah berakhir, tetapi saya sedar bahawa sesi dewasa akan bermula dalam satu jam. Alamak! Seperti Zoram, saya ingin cabut lari, tetapi seperti Nefi memegang-Nya, saya tahu Presiden Packer akan memegang saya. Pertemuan dewasa mengikuti corak yang sama. Saya bercakap tiga kali lagi. Keesokan hari semasa sesi umum, saya berucap sekali sahaja.
Selepas persidangan itu, Presiden Packer berkata dengan lembut, “Lain masa kita buat sekali lagi.” Saya sayangi Presiden Boyd K. Packer dan hargai semua yang saya pelajari.
Tahukah apa yang saya bersyukur? Untuk tidak putus asa—atau menentang. Jika saya putus asa dan melarikan diri dari pertemuan itu, saya akan terlepas peluang untuk meningkatkan iman saya, menerima kasih sayang dan sokongan Bapa Syurgawi saya. Saya belajar tentang belas kasihan-Nya, kuasa Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya yang membolehkan, dan pengaruh kuat Roh Kudus. Meskipun kelemahan saya,16 saya pelajari bahawa saya boleh melayan; saya boleh menyumbang apabila Tuhan berada di sisi saya, jika saya terus maju—dengan iman.
Tanpa mengira saiz, skop, dan tahap cabaran yang dihadapi dalam kehidupan, akan ada masa kita berasa seperti mahu berhenti, meninggalkan, melarikan diri atau pun putus asa. Tetapi beriman kepada Juruselamat, Yesus Kristus, membantu kita mengatasi kekecewaan tidak kira tahap cabaran yang kita hadapi.
Sama seperti Juruselamat menyelesaikan pekerjaan yang ditugaskan, Dia berkuasa untuk bantu kita selesaikan pekerjaan kita yang telah diberi.17 Kita boleh diberkati untuk maju di sepanjang jalan perjanjian, tidak kira kesukaran jalan, dan akhirnya menerima kehidupan abadi.18
Seperti yang Nabi Joseph Smith katakan, “Berdirilah teguh, wahai para Orang Suci Tuhan, bertahanlah sedikit lebih lama, dan badai kehidupan akan berlalu, dan anda akan diberi pahala oleh Tuhan itu yang hamba-Nya adalah anda.”19 Dalam nama Yesus Kristus, amin.