Fokus pada Yesus Kristus
Tuhan Yesus Kristus adalah penyelesaian kepada masalah kita, tetapi kita mesti mengangkat mata dan penglihatan kita untuk melihat-Nya.
Ayah pernah beritahu saya, “Jangan terlampau fokus pada masalah sehingga kamu tidak dapat melihat penyelesaiannya.”
Saya bersaksi bahawa Tuhan Yesus Kristus ialah penyelesaian untuk masalah kita termasuk yang paling sukar. Khususnya, Dia telah mengatasi empat masalah yang kita hadapi dan tidak boleh diselesaikan sendiri:
-
Masalah pertama ialah kematian jasmani. Kita boleh cuba menangguhkannya atau mengabaikannya, tetapi kita tidak boleh mengatasinya sendiri. Yesus Kristus mengatasi kematian bagi kita, dan kerana itu, kita semua akan dibangkitkan suatu hari nanti.1
-
Masalah kedua termasuk kesengsaraan, pengalaman sukar, kesedihan, kesakitan, dan ketidaksempurnaan dunia ini. Yesus Kristus mengatasi semua ini. Bagi mereka yang berusaha untuk mengikuti-Nya, suatu hari nanti Dia akan “menyapu air mata” dan membuat hal-hal baik semula.2 Sementara itu, Dia boleh memperkuatkan kita untuk melalui percubaan dengan keyakinan, keriangan dan kedamaian.3
-
Masalah ketiga adalah kematian rohani yang timbul dari dosa. Yesus Kristus mengatasi masalah ini dengan mengambil ke atas diri-Nya “hukuman kedamaian kita.”4 Kerana korban tebusan-Nya, kita boleh dibebaskan dari akibat dosa-dosa jika kita beriman kepada Juruselamat, bertaubat dengan ikhlas, menerima perjanjian yang Bapa tawarkan melalui tatacara penting seperti pembaptisan dan bertahan sampai akhir.5
-
Masalah keempat ialah sifat kita yang terhad dan tidak sempurna. Yesus Kristus mempunyai penyelesaian kepada masalah ini juga. Dia tidak hanya memadamkan kesilapan dan membuat kita tidak bersalah lagi. Dia boleh membuat “perubahan yang hebat dalam … hati kami sehingga kami tidak memiliki lagi kecenderungan untuk melakukan yang jahat, tetapi sentiasa melakukan yang baik.”6 Kita boleh disempurnakan dengan rahmat Kristus dan suatu hari nanti menjadi seperti-Nya.7
Malangnya, kita sering menumpukan perhatian pada masalah sendiri sehingga hilang fokus pada penyelesaian, iaitu Juruselamat, Yesus Kristus. Bagaimanakah kita mengelakkan kesilapan ini? Saya percaya jawapannya berada dalam perjanjian yang kita dijemput untuk buat dengan-Nya dan Bapa di Syurga.
Berfokus pada Yesus Kristus melalui Perjanjian
Perjanjian membantu kita menumpukan perhatian, fikiran dan tindakan kita kepada Kristus. Apabila kita “pautkanlah diri pada perjanjian-perjanjian yang telah [kita] buat,” kita boleh lebih mudah mengenal pasti “hal-hal dari dunia ini” yang kita harus “mengenepikan” dan “hal-hal dunia yang lebih baik” yang kita harus carikan dengan tekun.8
Itulah yang orang Amon lakukan dalam Kitab Mormon. Semasa mereka belajar tentang Yesus Kristus dan mula menumpukan kehidupan mereka kepada-Nya, mereka sedar bahawa mereka harus kuburkan senjata peperangan mereka dan menjadi jujur dan “dibezakan kerana semangat mereka terhadap Tuhan.”9
Mentaati perjanjian membawa kita kepada sebarang hal yang menjemput pengaruh Roh dan menolak apa pun yang menghalaunya—”kerana kita tahu jika kita boleh menjadi layak untuk hadirat Roh Kudus, kita juga boleh menjadi layak dalam hadirat Tuhan dan Putera-Nya, Yesus Kristus.”10 Ini mungkin bermaksud kita perlu mengubah kosa kata kita, menggunakan kata-kata yang lebih baik. Ia boleh bermaksud menggantikan tabiat rohani yang tidak sihat dengan tabiat baru yang menguatkan hubungan kita dengan Tuhan, seperti doa harian dan kajian tulisan suci, secara individu dan bersama keluarga kita.
Presiden Russell M. Nelson mengatakan bahawa “setiap orang yang membuat perjanjian dalam kolam pembaptisan dan di bait suci—dan mentaatinya—telah meningkatkan akses kepada kuasa Yesus Kristus.
“Ganjaran dari mematuhi perjanjian Tuhan adalah kuasa syurgawi—kuasa yang menguatkan kita untuk menahan cubaan, godaan dan kesakitan hati kita dengan lebih baik.”11
Memperbaharui perjanjian semasa sakramen setiap hari Ahad adalah peluang yang baik untuk memeriksa diri12 dan fokus semula kehidupan kita kepada Yesus Kristus. Dengan mengambil sakramen, kita nyatakan bahawa kita “selalu mengingati-Nya.”13 Perkataan selalu sangat penting. Ia memperluaskan pengaruh Juruselamat kepada setiap bahagian kehidupan kita. Kita tidak hanya mengingati-Nya di gereja atau hanya semasa doa pagi atau ketika kita berada dalam kesusahan dan memerlukan sesuatu.
Ya, kadangkala perhatian kita teralih. Kita lupa. Kita kehilangan fokus kita. Tetapi memperbaharui perjanjian kita bererti kita mahu selalu mengingati Juruselamat, bahawa kita akan cuba melakukannya sepanjang minggu, dan kita akan bertekad dan menumpukan kepada-Nya sekali lagi di meja sakramen minggu depan.
Berfokus pada Yesus Kristus di Rumah Kita
Jelasnya, berfokus pada Yesus Kristus mestilah lebih daripada hari Ahad, di aktiviti gereja. Semasa Presiden Nelson memperkenalkan Ikutlah Aku pada tahun 2018, dia berkata, “Sudah tiba masanya untuk Gereja yang berpusat di rumah.”14 Dia berkata kita harus “mengubah rumah [kita] untuk menjadi tempat kudus iman” dan “pusat pembelajaran injil.” Dan dia membuat empat janji yang hebat kepada kita jika kita melakukannya.15
Janji pertama: “Hari Sabat anda benar-benar akan menjadi satu kebahagiaan.” Ia akan menjadi hari kita mendekati Juruselamat. Seperti seorang remaja puteri dari Peru berkata, “Hari Tuhan ialah hari saya mendapat jawapan yang paling banyak daripada Tuhan.”
Janji kedua: “Anak-anak anda akan suka belajar dan mematuhi ajaran Juruselamat.” Itulah sebab “kita berbicara berkenaan Kristus, kita berbahagia dalam Kristus, kita berkhutbah berkenaan Kristus, … agar anak-anak kita dapat mengetahui kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.”16
Kita melakukan ini supaya suatu hari nanti, apabila anak lelaki kita keluar untuk bekerja atau mendaki di gunung-ganang atau untuk memburu binatang di hutan, seperti Enos, dia boleh ingat apa yang kita ajarkan kepadanya tentang Kristus dan tentang kebahagiaan menjalani injil. Dan siapa tahu? Mungkin inilah hari dia akan merasakan kelaparan rohani yang memalingkan dia kepada Yesus Kristus supaya dia dapat mendengar firman Tuhan kepadanya, “Dosa-dosamu diampuni bagimu, dan engkau akan diberkati.”17
Janji ketiga: “Pengaruh musuh dalam kehidupan dan rumah anda akan berkurangan.” Mengapa? Kerana semakin kita berfokus pada Yesus Kristus, tarikan dosa akan hilang.18 Apabila rumah kita dipenuhi dengan cahaya Juruselamat, ruang untuk kegelapan musuh semakin berkurangan.
Janji keempat: “Perubahan dalam keluarga anda akan menjadi ketara dan berterusan.” Mengapa? Kerana perubahan yang Yesus Kristus bawa adalah “perubahan yang hebat.”19 Dia mengubah sifat-sifat kita; kita menjadi “makhluk baru.”20 Kita secara beransur-ansur menjadi lebih seperti Juruselamat, dipenuhi dengan kasih suci-Nya kepada semua anak Tuhan.
Siapakah yang tidak mahu janji-janji ini dalam kehidupan mereka dan dalam keluarga mereka? Apakah yang kita perlu lakukan untuk mendapatnya? Jawapannya adalah untuk mengubah rumah kita menjadi tempat kudus iman dan pusat pembelajaran injil. Jadi bagaimanakah kita melakukannya? Dengan berfokus pada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, menjadikan Mereka pusat kehidupan keluarga kita, pengaruh terpenting dalam rumah kita.
Bolehkah saya cadangkan anda bermula dengan membuat firman Kristus dari kitab suci, sebahagian dari harian hidup anda? Tidak ada formula untuk pengkajian tulisan suci yang sempurna. Ia mungkin 5 atau 10 minit setiap hari—atau lebih jika boleh. Ataupun satu bab atau beberapa ayat sehari. Ada keluarga yang lebih suka belajar pada pagi sebelum mereka pergi ke sekolah atau bekerja. Yang lain lebih suka membaca pada waktu malam sebelum tidur. Beberapa pasangan muda telah memberitahu saya bahawa mereka mengkaji secara individu dalam perjalanan ke kerja dan kemudian berkongsi pandangan dengan satu sama lain melalui pemesejan, supaya komen dan perbincangan mereka dicatatkan.
Ikutlah Aku menyediakan banyak cadangan tentang aktiviti dan sumber yang dapat membantu individu dan keluarga mempelajari asas-asas injil dari tulisan suci. Video Alkitab dan video Kitab Mormon merupakan alat yang berharga untuk menjadikan tulisan suci lebih mudah diakses oleh keluarga anda. Remaja dan kanak-kanak sering diilhami oleh cerita-cerita bermakna dalam tulisan suci. Cerita-cerita ini dan asas-asas injil yang diajar, akan kekal bersama anak-anak anda, seperti kawan-kawan yang dipercayai, apabila mereka memerlukan contoh pelayanan, hemah, kepatuhan, kesabaran, ketabahan, wahyu peribadi, kasih ihsan, kerendahan hati, dan iman kepada Yesus Kristus. Lambat laun, ketetapan anda dalam menjamu firman Tuhan akan membantu anak-anak anda menjadi lebih dekat kepada Juruselamat. Mereka akan lebih mengenali-Nya.
Tuhan Yesus Kristus hidup hari ini. Dia boleh menjadi pengaruh harian yang aktif dalam kehidupan kita. Dia adalah penyelesaian kepada masalah kita, tetapi kita mesti mengangkat mata dan penglihatan kita untuk melihat-Nya. Dia berfirman, “Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.”21 Apabila kita berfokus kepada Dia dan Bapa Syurgawi, membuat dan mentaati perjanjian dengan Mereka, dan menjadikan Mereka pengaruh terpenting dalam rumah dan keluarga kita, kita akan menjadi orang yang Presiden Nelson bayangkan: “Orang yang mampu, bersedia, dan layak untuk menerima Tuhan apabila Dia datang lagi, orang yang telah memilih Yesus Kristus bukannya dunia ini yang berdosa, orang yang bersukacita dalam hak pilihan mereka untuk menjalani hukum-hukum Yesus Kristus yang lebih tinggi dan lebih kudus.”22 Dalam nama Yesus Kristus, amin.