Pengikut Raja Damai
Semasa kita cuba mengembangkan sifat-sifat seperti Juruselamat, kita boleh jadi alat kedamaian-Nya di dunia.
Dalam kegenapan nubuat yang diberikan kepada Zakharia,1 Yesus dengan penuh kemenangan masuk kota suci dengan menunggang keldai, yang dianggap “lambang kuno bangsawan Yahudi,”2 sebagaimana layaknya Raja yang Terutama dan Raja Damai.3 Dia dikelilingi oleh ramai pengikut yang meletakkan jubah, daun palma dan dedaun lain di atas jalan di mana Yesus lalui. Mereka memuji Tuhan, dengan berkata dengan suara kuat, “Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Tuhan!”4 Dan sekali lagi, “Pujilah Anak Daud: Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Tuhan.”5 Peristiwa agung yang kita raikan hari ini dikenali sebagai Ahad Palma, ia merupakan permulaan gembira kepada peristiwa sedih yang berlaku pada minggu itu yang menentukan pengorbanan Juruselamat dan mukjizat besar dari makam yang kosong.
Sebagai pengikut-Nya, kitalah umat istimewa-Nya, dipanggil untuk isytiharkan hemah-Nya,6 penyokong kedamaian yang dipersembahkan dengan murah hati melalui Dia dan korban tebusan-Nya. Kedamaian inilah kurnia yang dijanjikan kepada semua yang memalingkan hati mereka kepada Juruselamat dan hidup dengan soleh; kedamaian yang beri kita kekuatan untuk nikmati kehidupan fana dan menahan ujian yang menyakitkan dalam perjalanan kita.
Pada tahun 1847, Tuhan beri arahan khusus kepada perintis Orang Suci yang perlukan kedamaian untuk kekal tenang dan bersatu semasa mereka hadapi kesukaran yang tidak dijangka dalam perjalanan mereka. Antara hal-hal lain, Tuhan arahkan Orang Suci untuk “berhentilah bertikai di antara satu sama lain; berhenti bercakap jahat tentang satu sama lain.”7 Tulisan suci tegaskan mereka yang jalankan kesolehan dan berusaha untuk berjalan dalam kelembutan hati Roh Tuhan akan dijanjikan kedamaian untuk menerusi hari-hari kekecohan hidup hari ini.8
Sebagai pengikut Raja Damai, kita diarahkan untuk hidup dengan “hati terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih terhadap satu sama lain.”9 Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, baru-baru ini berkata, “Pertikaian melawan segala yang Juruselamat membela dan telah ajar.”10 Nabi kita juga mohon agar kita buat segalanya untuk akhiri konflik peribadi meradang dalam hati dan hidup kita.”11
Pertimbanglah asas ini menurut kasih murni Kristus kepada kita agar kita sebagai pengikut-Nya, berusaha untuk memiliki. Kitab suci mentakrifkan kasih ini sebagai kasih ihsan.12 Semasa kita fikirkan kasih ihsan, minda kita biasanya beralih kepada perbuatan murah hati dan dermaan untuk melegakan penderitaan orang yang alami kesusahan jasmani, benda atau emosi. Namun, kasih ihsan bukan saja berkaitan dengan pendermaan, tetapi ia adalah sifat Juruselamat dan boleh menjadi sebahagian sifat kita. Tidaklah hairan yang Tuhan arahkan kita untuk diikat dengan kasih ihsan, “ikatan kasih ihsan, … yang merupakan ikatan kesempurnaan dan kedamaian.”13 Tanpa kasih ihsan, kita bukan apa-apa,14 dan kita tidak boleh mewarisi tempat yang Tuhan sediakan di tempat tinggal Bapa Syurgawi.15
Yesus menunjuk kita apa yang dimaksudkan untuk miliki ikatan kesempurnaan dan kedamaian ini, terutamanya ketika menghadapi kesengsaraan yang mendahului kesyahidan-Nya. Fikir buat seketika perasaan Yesus semasa Dia basuh kaki pengikut-Nya, dan mengetahui bahawa seorang di kalangan mereka akan khianati Dia pada malam itu juga.16 Atau beberapa jam kemudian,Yesus dengan belas kasihan sembuhkan telinga salah seorang yang menemani Yudas, pengkhianat-Nya, untuk tangkap Dia.17 Atau ketika Juruselamat, berdiri di hadapan Pilatus, dituduh dengan tidak adil oleh ketua imam dan pemimpin masyarakat, dan Dia tidak menentang tuduhan palsu terhadap-Nya, hingga gabenor Roma itu terkagum.18
Melalui tiga kejadian tragis ini, walaupun Juruselamat dibebani dengan kesedihan dan tekanan, teladan-Nya mengajar kita “[kasih ihsan adalah] sabar dan baik hati; … tidak iri hati; … tidak bercakap besar, tidak sombong, tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung dan tidak mendendam.”19
Satu lagi aspek penting untuk ditekankan, yang berimplikasi langsung pada penganutan dan cara kita sokong kedamaian Juruselamat, ialah cara kita layani satu sama lain. Semasa pelayanan-Nya di bumi, ajaran Juruselamat berfokus—bukan saja, tetapi khususnya—pada hemah kasih, kasih ihsan, kesabaran, kerendahan hati, dan rasa kasihan—sifat asas kepada mereka yang ingin jadi lebih dekat kepada-Nya dan sokong kedamaian-Nya. Sifat-sifat sedemikian adalah kurnia daripada Tuhan, dan semasa kita berusaha untuk kembangkannya, kita akan mula lihat perbezaan dan kelemahan orang dengan lebih empati, sensitiviti, hormat dan toleransi. Salah satu tanda paling jelas sewaktu kita mendekati Juruselamat dan jadi lebih seperti Dia ialah cara pengasih, sabar, dan baik hati kita layani sesama kita di setiap situasi.
Kita sering lihat orang terlibat dalam komen negatif malah menghina tentang ciri-ciri yang dilihat, kelemahan dan pendapat orang lain, terutamanya apabila ciri dan pendapat berbeza atau bercanggah dengan cara mereka bertindak dan berfikir. Ia biasa berlaku, orang-orang ini sebar komen sedemikian kepada orang lain, yang ulangi apa perbuatan sama tanpa ketahui semua maklumat situasi itu. Malangnya, media sosial galakkan kelakuan seperti ini atas nama kebenaran relatif dan ketelusan. Tanpa ditahan, perbualan digital sering membawa serangan peribadi dan pertikaian hangat, mencipta kekecewaan, hati luka dan penyebaran permusuhan membara.
Nefi bernubuat bahawa pada zaman akhir, musuh akan mengamuk dan menghasut orang untuk marah terhadap apa yang baik.20 Tulisan suci mengajar bahawa “setiap hal yang mengajak dan memujuk untuk melakukan kebaikan, dan untuk mengasihi Tuhan, dan untuk melayani-Nya, diilhami oleh Tuhan.”21 Sebaliknya, “perkara yang jahat datang daripada iblis; kerana iblis ialah musuh kepada Tuhan, dan menentang-Nya secara berterusan, dan mengajak dan memujuk untuk berdosa, dan untuk melakukan perkara yang jahat secara berterusan.”22
Menuruti ajaran kenabian ini, tidaklah hairan bahawa salah satu taktik musuh adalah untuk bangkitkan permusuhan dan kebencian dalam hati anak-anak Tuhan. Dia bersukacita apabila dia lihat orang ramai mengkritik, mengejek dan memfitnah satu sama lain. Kelakuan ini boleh hancurkan perwatakan, reputasi, dan harga diri seseorang, terutamanya apabila dihakimi dengan tidak adil. Ia penting untuk ditekankan bahawa apabila kita benarkan sikap seperti ini dalam kehidupan kita, kita memberi ruang dalam hati untuk musuh menanam benih perselisihan di kalangan kita, dan jatuh ke dalam perangkapnya.
Jika kita tidak hati-hati dengan fikiran, tuturan dan perbuatan, kita akan terjerat dengan tipu helah musuh, menjejas hubungan kita dengan orang lain dan orang terkasih.
Saudara dan saudari, sebagai orang Tuhan dan yang menggalak kedamaian-Nya, kita tidak boleh membenarkan tipu helah musuh memasuki hati kita. Kita tidak boleh bawa beban yang menjejas perasaan, perhubungan dan juga kehidupan. Injil mewakili berita baik kebahagiaan.
Sudah tentu, tiada seorang pun daripada kita yang sempurna, dan pastinya, ada masanya kita terpedaya ke dalam kelakuan ini. Dalam kasih sempurna dan maha pengetahuan-Nya tentang kecenderungan manusia, Juruselamat sentiasa memberi amaran tentang bahaya tersebut. Dia ajarkan kita, “Tuhan akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Tuhan untuk kamu.”23
Kalian yang dikasihi, semasa kita cuba mengembangkan sifat-sifat seperti Juruselamat, kita boleh jadi alat kedamaian-Nya di dunia menurut pola yang Dia Sendiri telah tetapkan. Saya jemput anda untuk pertimbangkan cara kita boleh ubah diri menjadi orang yang naikkan semangat dan menyokong, orang yang memahami dan pemaaf, orang yang melihat kebaikan orang lain, sentiasa mengingati bahawa “jika terdapat apa-apa pun yang berhemah, indah, atau dikatakan baik atau layak dipuji, kami mencari hal-hal sebegini.”24
Saya berjanji kepada anda bahawa semasa kita berusaha dan mengembangkan sifat-sifat ini, kita akan lebih mesra dan peka terhadap keperluan sesama kita25 dan akan alami kebahagiaan, kedamaian dan perkembangan rohani.26 Tanpa keraguan, Tuhan akan iktiraf usaha kita dan beri kita kurnia yang diperlukan untuk jadi lebih bertolak ansur dan bersabar dengan perbezaan, kelemahan dan ketidaksempurnaan satu sama lain. Tambahan pula, kita akan lebih mampu menahan keinginan untuk rasa tersinggung atau menyinggung perasaan orang yang menyakiti kita. Keinginan kita untuk mengampun orang yang menganiaya atau bercakap jahat tentang kita, seperti Yesus telah buat, pasti akan meningkat dan menjadi sebahagian daripada watak kita.
Semoga kita, pada Ahad Palma ini, membentangkan jubah kasih dan daun palma kasih ihsan kita, berjalan ikut jejak Raja Damai ketika kita bersiap untuk raikan Ahad mukjizat kubur yang kosong. Sebagai saudara dan saudari dalam Kristus, marilah kita kata dengan sukacita, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Tuhan.”27
Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup dan kasih-Nya yang sempurna, dinyatakan melalui korban tebusan-Nya, diberi kepada semua yang ingin berjalan bersama-Nya dan nikmati kedamaian-Nya di dunia ini dan di dunia yang akan datang. Saya katakan semua ini dalam nama kudus Juruselamat dan Penebus, Yesus Kristus, amin.