Bahagian 27
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Harmony, Pennsylvania, Ogos 1830. Dalam persediaan untuk satu upacara keagamaan dimana sakramen roti dan wain akan diberkati, Joseph berangkat untuk mendapatkan wain. Dia ditemui oleh seorang utusan syurgawi dan menerima wahyu ini, yang mana sebahagian daripadanya dituliskan pada waktu itu dan selebihnya pada bulan September berikutnya. Sekarang air digunakan daripada wain dalam upacara sakramen Gereja.
1–4, Lambang yang digunakan dalam mengambil sakramen dinyatakan; 5–14, Kristus dan para hamba-Nya dari semua zaman keagamaan akan mengambil sakramen; 15–18, Kenakanlah seluruh perlengkapan perang Tuhan.
1 Dengarkanlah suara Yesus Kristus, Tuhanmu, Rajamu, dan Penebusmu, firman-Nya hidup dan penuh kuasa.
2 Kerana, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa tidaklah kisah apa yang akan kamu makan atau apa yang akan kamu minum semasa kamu mengambil sakramen, jika dengan demikian kamu melakukannya dengan suatu tumpuan mata yang satu pada kemuliaan-Ku—mengingati kepada Bapa akan tubuh-Ku yang diserahkan bagimu, dan darah-Ku yang ditumpahkan untuk pengampunan dosa-dosamu.
3 Kerana itu, sebuah perintah Aku berikan kepadamu, bahawa kamu janganlah membeli wain tidak juga minuman keras daripada musuhmu;
4 Kerana itu, kamu janganlah mengambilnya kecuali ianya dibuat baru di antara kamu; ya, di dalam kerajaan Bapa-Ku ini yang akan dibangunkan di atas bumi.
5 Lihatlah, ini adalah kebijaksanaan di dalam Aku; kerana itu, janganlah takjub, kerana masanya akan datang apabila Aku akan minum dari buah pohon anggur bersamamu di atas bumi, dan bersama Moroni, yang telah Aku utuskan kepadamu untuk mendedahkan Kitab Mormon, yang mengandungi kegenapan Injil abadi-Ku, kepadanya telah Aku anugerahkan kunci-kunci untuk catatan kayu Efraim;
6 Dan juga bersama Elias, kepadanya telah Aku anugerahkan kunci-kunci untuk mendatangkan pemulihan segala sesuatu yang dibicarakan oleh mulut semua nabi kudus sejak permulaan dunia, tentang zaman terakhir;
7 Dan juga Yohanes anak lelaki Zakharia, iaitu Zakharia yang dia (Elias) kunjungi dan berikan janji bahawa dia akan memiliki seorang anak lelaki, dan namanya haruslah Yohanes, dan dia akan dipenuhi dengan roh Elia;
8 Yang mana Yohanes itu telah Aku utuskan kepadamu, hamba-Ku, Joseph Smith Jr., dan Oliver Cowdery, untuk menahbiskanmu pada imamat pertama yang telah kamu terima, agar kamu boleh dipanggil dan ditahbiskan bahkan seperti Harun;
9 Dan juga Elia, kepadanya telah Aku anugerahkan kunci-kunci kuasa untuk memalingkan hati bapa-bapa kepada anak-anak, dan hati anak-anak kepada bapa-bapa, agar seluruh bumi tidak akan dihentam dengan kutukan;
10 Dan juga bersama Yusuf dan Yakub, dan Ishak, dan Abraham, nenek moyangmu, melalui mereka janji-janji ini tetap ada;
11 Dan juga bersama Mikhael, atau Adam, bapa kepada semuanya, putera kepada semuanya, yang lanjut usianya;
12 Dan juga bersama Petrus, dan Yakobus, dan Yohanes, yang telah Aku utuskan kepadamu, melalui mereka Aku telah menahbiskanmu dan menetapkanmu untuk menjadi para rasul, dan saksi istimewa bagi nama-Ku, dan mempunyai kunci-kunci bagi pelayananmu dan bagi hal-hal yang sama yang Aku dedahkan kepada mereka;
13 Kepada mereka telah Aku anugerahkan kunci-kunci kerajaan-Ku, dan suatu zaman keagamaan Injil untuk zaman terakhir; dan untuk kegenapan zaman, dimana Aku akan kumpulkan bersama segala sesuatu menjadi satu, baik yang ada di dalam syurga, mahupun yang ada di atas bumi;
14 Dan juga bersama mereka semua yang telah Bapa berikan kepada-Ku dari dunia ini.
15 Kerana itu, angkatlah hatimu dan bersukacitalah, dan persiapkanlah dirimu, dan ambillah ke atas dirimu seluruh perlengkapan perang-Ku, agar kamu boleh dapat menghadapi hari yang jahat, setelah melakukan semuanya, agar kamu boleh dapat bertahan.
16 Berdirilah, oleh kerana itu, dengan mempersiapkan dirimu dengan kebenaran, dengan mengenakan perisai dada kesolehan, dan kakimu dialasi dengan persiapan Injil kedamaian, yang telah Aku utuskan para malaikat-Ku untuk percayakan kepadamu;
17 Mengambil perisai iman yang dengannya kamu akan dapat memadamkan segala panah-panah berapi dari yang jahat;
18 Dan ambillah ketopong keselamatan, dan pedang Roh-Ku, yang akan Aku curahkan ke atas dirimu, dan firman-Ku yang Aku dedahkan kepadamu, dan bersepakatlah berkaitan dengan segala hal apa pun yang kamu minta daripada-Ku, dan setialah sehingga Aku datang, dan kamu akan diangkat, agar di mana Aku berada kamu akan berada juga. Amin.