Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 64


Bahagian 64

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada para penatua Gereja, di Kirtland, Ohio, 11 September 1831. Nabi sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Hiram, Ohio, untuk menyambung pekerjaannya pada penterjemahan Alkitab, yang telah diketepikan semasa dia berada di Missouri. Sebuah rombongan lelaki yang telah diperintahkan untuk melakukan perjalanan ke Sion (Missouri) terlibat dengan bersungguh-sungguh dalam membuat persiapan untuk berangkat pada bulan Oktober. Pada waktu yang sibuk ini, wahyu tersebut diterima.

1–11, Para Orang Suci diperintahkan untuk mengampuni satu sama lain, agar jangan tertinggal dalam diri mereka dosa yang lebih besar; 12–22, Mereka yang tidak bertaubat mesti dibawa ke hadapan Gereja; 23–25, Dia yang membayar persepuluhan tidak akan dibakar semasa kedatangan Tuhan; 26–32, Para Orang Suci diperingatkan tentang hutang; 33–36, Mereka yang memberontak akan disingkirkan dari Sion; 37–40, Gereja akan menghakimi bangsa-bangsa; 41–43, Sion akan tumbuh subur.

1 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan Rajamu kepadamu, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, dengarkanlah kamu, dan terimalah kehendak-Ku mengenai kamu.

2 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku menghendaki agar kamu haruslah mengatasi dunia; kerana itu Aku akan memiliki rasa kasihan terhadapmu.

3 Terdapatnya di kalangan kamu mereka yang telah berdosa; tetapi sesungguhnya Aku berfirman, untuk sekali ini saja, untuk kemuliaan-Ku sendiri, dan demi keselamatan para jiwa, Aku mengampunkan dosa-dosamu.

4 Aku akan penuh berbelas kasihan kepadamu, kerana Aku telah memberi kepadamu kerajaan.

5 Dan kunci-kunci misteri kerajaan tidak akan diambil daripada hamba-Ku Joseph Smith Jr. melalui cara yang telah Aku tetapkan, selagi dia hidup, sejauh mana dia mematuhi tatacara-tatacara-Ku.

6 Terdapatnya mereka yang telah mencari kesempatan untuk menentangnya tanpa sebab;

7 Walaupun demikian, dia telah berdosa; tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku, Tuhan, mengampuni dosa mereka yang mengakui dosa-dosa mereka di hadapan-Ku dan meminta pengampunan, yang tidak berdosa sehingga mati.

8 Para pengikut-Ku, pada zaman dahulu, mencari kesempatan untuk menentang satu sama lain dan tidak mengampuni satu sama lain di dalam hati mereka; dan disebabkan kejahatan ini mereka disengsarakan dan dihukum dengan parah.

9 Kerana itu, Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu seharusnya mengampuni satu sama lain; kerana dia yang tidak mengampuni saudaranya atas pelanggarannya berdiri dikutuk di hadapan Tuhan; kerana di dalam dirinya tertinggal dosa yang lebih besar.

10 Aku, Tuhan, akan mengampuni sesiapa pun yang akan Aku ampuni, tetapi daripada dirimu diwajibkan untuk mengampuni semua orang.

11 Dan kamu seharusnya mengatakan dalam hatimu—biarlah Tuhan menghakimi di antara aku dan engkau, dan memberi engkau ganjarannya menurut perbuatanmu.

12 Dan dia yang tidak bertaubat dari dosa-dosanya, dan tidak mengakuinya, kamu akan membawanya ke hadapan gereja, dan melakukan padanya sebagaimana yang dikatakan oleh tulisan suci kepadamu, sama ada melalui perintah atau melalui wahyu.

13 Dan kamu haruslah melakukan ini agar Tuhan boleh dimuliakan—bukan kerana kamu tidak mengampuni, tidak memiliki rasa kasihan, tetapi agar kamu boleh dimaklumkan soleh di mata hukum, agar kamu tidak bersalah terhadap Dia yang merupakan pemberi hukummu—

14 Sesungguhnya Aku berfirman, untuk sebab ini kamu haruslah melakukan hal-hal ini.

15 Lihatlah, Aku, Tuhan, marah kepadanya iaitu hamba-Ku Ezra Booth, dan juga hamba-Ku Isaac Morley, kerana mereka tidak mentaati hukum, dan juga perintah;

16 Mereka mencari kejahatan di dalam hati mereka, dan Aku, Tuhan, menahan Roh-Ku. Mereka mengecam sebagai kejahatan hal yang di dalamnya itu tidak ada kejahatan; walaupun demikian Aku telah mengampuni hamba-Ku Isaac Morley.

17 Dan juga hamba-Ku Edward Partridge, lihatlah, dia telah berdosa, dan Setan berusaha untuk menghancurkan jiwanya; tetapi apabila hal-hal ini diberitahukan kepada mereka, dan mereka bertaubat dari kejahatan itu, mereka akan diampuni.

18 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman bahawa adalah perlu menurut-Ku bahawa hamba-Ku Sidney Gilbert, selepas beberapa minggu, haruslah kembali pada perniagaannya, dan pada perwakilannnya di negeri Sion;

19 Dan apa yang telah dia lihat dan dengar boleh diberitahukan kepada para pengikut-Ku, agar mereka tidak binasa. Dan untuk sebab ini telah Aku memfirmankan hal-hal ini.

20 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa hamba-Ku Isaac Morley tidak akan digoda melebihi dari apa yang dapat ditanggungnya, dan menasihati dengan salah yang menyakitimu, Aku memberikan perintah bahawa tanah ladangnya harus dijual.

21 Aku tidak menghendaki bahawa hamba-Ku Frederick G. Williams harus menjual tanah ladangnya, kerana Aku, Tuhan, menginginkan untuk mengekalkan sebuah kubu pertahanan di negeri Kirtland, untuk lima tahun, dimana Aku tidak akan menumbangkan yang jahat, agar dengan itu Aku boleh menyelamatkan beberapa daripadanya.

22 Dan selepas masa itu, Aku, Tuhan, tidak akan menganggap sesiapa pun bersalah yang akan pergi dengan hati yang terbuka ke negeri Sion; kerana Aku, Tuhan, menuntut hati anak-anak manusia.

23 Lihatlah, sekarang ianya disebut hari ini sehinggalah kedatangan Putera Manusia, dan sesungguhnya ianya adalah hari pengorbanan, dan hari untuk persepuluhan umat-Ku; kerana dia yang membayar persepuluhan tidak akan dibakar pada kedatangan-Nya.

24 Kerana selepas hari ini datanglah pembakaran—ini adalah berbicara menurut cara Tuhan—kerana sesungguhnya Aku berfirman, keesokannya semua yang sombong dan mereka yang melakukan kejahatan akan menjadi seperti tunggul jerami; dan Aku akan membakar mereka, kerana Aku ialah Tuhan Semesta Alam; dan Aku tidak akan membiarkan sesiapa pun hidup yang tertinggal di Babilon.

25 Kerana itu, jika kamu mempercayai-Ku, kamu akan bekerja sementara ia masih disebut hari ini.

26 Dan tidaklah sesuai bahawa hamba-Ku, Newel K. Whitney dan Sidney Gilbert, harus menjual kedai mereka dan harta benda mereka di sini; kerana ini tidaklah bijaksana sehinggalah anggota gereja yang selebihnya, yang masih tinggal di tempat ini, akan pergi ke negeri Sion.

27 Lihatlah, telah dikatakan dalam hukum-hukum-Ku, atau dilarang, untuk berhutang kepada para musuhmu;

28 Tetapi lihatlah, ianya tidak dikatakan bahawa Tuhan tidak akan mengambilnya pada bila-bila masa pun Dia mahu, dan membayar seperti yang kelihatannya baik bagi-Nya.

29 Kerana itu, kerana kamu adalah para wakil, kamu berada dalam tugasan Tuhan; dan apa pun yang kamu lakukan menurut kehendak Tuhan adalah urusan Tuhan.

30 Dan Dia telah menetapkanmu untuk menyediakan bagi para orang suci-Nya pada zaman akhir ini, agar mereka boleh mendapatkan warisan di negeri Sion.

31 Dan lihatlah, Aku, Tuhan, memaklumkan kepadamu, dan firman-Ku adalah pasti dan tidak akan gagal, bahawa mereka akan mendapatkannya.

32 Tetapi segala hal mesti terjadi pada waktunya.

33 Kerana itu, janganlah jemu dalam melakukan yang baik, kerana kamu sedang meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar. Dan dari hal-hal yang kecil bermulalah hal yang besar.

34 Lihatlah, Tuhan menuntut hati dan suatu fikiran yang rela; dan yang rela dan patuh akan menikmati hasil dari negeri Sion pada zaman akhir ini.

35 Dan yang memberontak akan disingkirkan dari negeri Sion, dan akan dihantar pergi, dan tidak akan mewarisi tanah itu.

36 Kerana, sesungguhnya Aku berfirman bahawa yang memberontak bukanlah dari darah Efraim, kerana itu mereka akan ditarik keluar.

37 Lihatlah, Aku, Tuhan, telah menjadikan gereja-Ku pada zaman akhir ini seperti seorang hakim yang duduk di atas sebuah bukit, atau di suatu tempat yang tinggi, untuk menghakimi bangsa-bangsa.

38 Kerana akan terjadilah bahawa para penduduk Sion akan menghakimi segala hal yang berkaitan dengan Sion.

39 Dan para pendusta dan orang munafik akan dibuktikan oleh mereka, dan mereka yang bukan rasul dan nabi akan diketahui.

40 Dan bahkan uskup, yang merupakan seorang hakim, dan para penasihatnya, jika mereka tidak setia dalam tugas pengawasan mereka akan dihukum, dan orang lain akan ditempatkan sebagai pengganti mereka.

41 Kerana, lihatlah, Aku berfirman kepadamu bahawa Sion akan tumbuh subur, dan kemuliaan Tuhan akan berada di atasnya;

42 Dan ia akan menjadi sebuah panji bagi orang-orang itu, dan akan datang kepadanya dari setiap bangsa di kolong langit.

43 Dan harinya akan datang apabila bangsa-bangsa di bumi akan gementar kerananya, dan akan takut kerana para penduduknya yang menakutkan. Tuhan telah memfirmankannya. Amin.