Ke Manakah Ini Akan Membawa Kita?
Kita membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik jika kita melihat alternatif dan merenungkan ke manakah ia akan membawa kita.
Injil Yesus Kristus yang dipulihkan menggalakkan kita untuk berfikir tentang masa depan. Ia menerangkan tujuan kehidupan fana dan realiti kehidupan selepasnya. Ia mengajar idea-idea hebat tentang masa depan untuk membimbing tindakan kita hari ini.
Sebaliknya, kita semua mengenali orang yang hanya bimbang dengan masa kini: menghabiskan hari ini, menikmatinya hari ini, dan tidak memikirkan tentang masa depan.
Masa kini dan masa depan kita akan lebih bahagia jika kita sentiasa memikirkan tentang masa depan. Ketika kita membuat keputusan semasa, kita harus selalu bertanya, “Ke manakah ini membawa kita?”
I.
Beberapa keputusan adalah pilihan antara melakukan sesuatu atau tidak melakukan apa-apa. Saya mendengar contoh pilihan seperti ini di satu persidangan di Amerika Syarikat bertahun-tahun yang lalu.
Suasananya di kampus kolej yang cantik. Sekumpulan pelajar muda duduk di atas rumput. Pembicara yang menggambarkan pengalaman ini berkata pelajar tersebut sedang melihat tupai pokok yang comel dengan ekor besar, berbulu lebat bermain di sekitar pokok kayu yang cantik. Kadangkala ia berada di atas tanah, kadangkala ia naik, turun dan pusing di sekitar batangnya. Tetapi mengapa penglihatan yang biasa itu menarik minat ramai pelajar?
Seekor anjing baka Irish setter sedang baring di atas rumput berdekatan. Pelajar berminat pada anjing itu, dan anjing itu pula berminat pada tupai itu. Setiap kali tupai itu tidak kelihatan apabila ia berpusing di pokok itu, anjing itu akan gerak ke hadapan sedikit dan kemudian baring balik seperti tidak berminat. Inilah yang menjadi minat pelajar. Senyap dan tidak bergerak, mata mereka menumpu perhatian pada kejadian yang jelas akan berlaku.
Akhirnya, anjing itu cukup dekat untuk lompat pada tupai itu dan menangkapnya di mulutnya. Sekumpulan pelajar tersebut terkejut dan terus lari ke depan untuk merampas haiwan kecil daripada anjing itu, tetapi ia sudah terlambat. Tupai itu sudah mati.
Sesiapa sahaja di kumpulan itu boleh memberi amaran kepada tupai bila-bila masa dengan melambaikan tangan atau menjerit, tetapi tiada yang lakukannya. Mereka hanya memerhatikannya ketika kejadian yang tidak dapat dielakkan menjadi semakin dekat. Tiada sesiapa yang bertanya, “Apakah yang akan terjadi?” Apabila yang diramalkan berlaku, semua bergegas untuk menghalang kejadiannya, tetapi ia sudah terlambat. Air mata kesal adalah apa yang mereka boleh tawarkan.
Cerita benar itu adalah sejenis perumpamaan. Ia berkaitan dengan perkara yang kita lihat dalam kehidupan kita sendiri dan dalam kehidupan serta keadaan di sekitar kita. Apabila kita lihat ancaman yang akan memberi kesan kepada orang atau benda yang kita kasihi, kita mempunyai pilihan untuk bercakap atau bertindak atau kekal diam. Kita harus bertanya kepada diri sendiri, “Ke manakah ini akan membawa saya?” Jika kesan-kesan itu berlaku serta-merta dan serius, kita tidak boleh tidak lakukan apa-apa. Kita mesti memberi amaran yang sesuai atau menyokong usaha pencegahan yang bersesuaian sementara masih ada masa.
Keputusan yang saya telah jelaskan melibatkan pilihan antara mengambil tindakan atau tidak mengambil tindakan langsung. Biasanya ia adalah pilihan antara satu tindakan dengan tindakan yang lain. Ini termasuk pilihan antara kebaikan atau kejahatan, tetapi lebih kerap ia adalah pilihan antara dua kebaikan. Dalam situasi ini juga kita harus bertanya ke manakah ini akan membawa kita. Kita membuat banyak pilihan antara dua kebaikan, sering kali melibatkan bagaimana kita akan meluangkan masa kita. Tiada buruknya dengan bermain permainan video atau sms atau menonton TV atau bercakap di telefon bimbit. Tetapi setiap ini melibatkan apa yang disebut sebagai “kos peluang,” yang bermaksud bahawa jika kita meluangkan masa melakukan sesuatu, kita kehilangan peluang untuk melakukan yang lain. Saya yakin anda memahami yang kita perlu berfikir dengan berhati-hati apa yang kita kehilangan dengan masa yang kita habiskan pada satu aktiviti, walaupun ia sangat baik.
Beberapa ketika dahulu saya memberikan ucapan bertajuk “Baik, Lebih Baik, Terbaik.” Dalam ucapan itu saya berkata bahawa “hanya kerana suatu perkara itu baik tidak bermakna kita harus melakukannya. Jumlah perkara baik yang kita boleh lakukan melebihi masa yang kita ada untuk menyempurnakannya. Terdapat perkara yang lebih baik dari yang baik, dan perkara-perkara itulah yang harus dimustahakkan dalam kehidupan kita. … Kita seharusnya meninggalkan beberapa hal yang baik untuk memilih hal lain yang lebih baik atau terbaik.”1
Pertimbangkan ini dari perspektif yang lebih besar. Apakah kesan pada masa depan dengan keputusan yang kita buat pada masa ini? Ingatlah kepentingan mendapatkan pendidikan, mempelajari injil, memperbaharui perjanjian kita dengan mengambil sakramen, dan menghadiri bait suci.
II.
“Ke manakah ini akan membawa kita?” juga penting dalam memilih cara kita melabel atau memikirkan tentang diri kita sendiri. Paling penting, setiap daripada kita adalah anak Tuhan dengan potensi kehidupan abadi. Setiap label lain, bahkan termasuk pekerjaan, kaum, ciri-ciri jasmani atau penghormatan, adalah sementara atau remeh dalam istilah abadi. Jangan memilih untuk melabel diri anda atau memikirkan diri anda dalam istilah yang meletakkan batas pada matlamat yang anda boleh usahakan.
Saudara dan saudari saya yang mungkin melihat atau membaca apa yang saya katakan di sini, saya harap anda tahu mengapa pemimpin anda memberikan ajaran dan nasihat yang kami berikan. Kami mengasihi anda, dan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus, mengasihi anda. Rancangan mereka bagi kita adalah “rancangan kebahagiaan yang besar” (Alma 42:8). Rancangan itu dan perintah Mereka serta tatacara dan perjanjian membawa kita kepada kebahagiaan dan kegembiraan terbesar dalam kehidupan ini dan dalam kehidupan yang akan datang. Sebagai hamba Bapa dan Putera, kami mengajar dan menasihati seperti yang telah diarahkan oleh Mereka kepada kami dengan Roh Kudus. Kami tidak mempunyai keinginan selain dari bercakap apa yang benar dan untuk menggalakkan anda untuk mengikuti panduan yang Mereka telah berikan sebagai jalan menuju kehidupan abadi, “kurnia terbesar dari segala kurnia Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 14:7).
III.
Berikut adalah satu lagi contoh kesan pada masa depan oleh keputusan yang dibuat pada masa sekarang. Contoh ini mengenai pilihan untuk membuat pengorbanan sekarang untuk mencapai matlamat penting masa depan.
Di satu persidangan pancang di Cali, Colombia, seorang saudari memberitahu bagaimana dia dan tunangannya ingin berkahwin di bait suci, tetapi ketika itu bait suci terdekat terletak jauh di Peru. Untuk masa yang lama, mereka menyimpan wang mereka untuk tambang bas. Akhirnya mereka menaiki bas ke Bogotá, tetapi ketika mereka tiba di sana, mereka mendapati bahawa semua tempat duduk dalam bas ke Lima, Peru, telah penuh. Mereka boleh pulang tanpa berkahwin atau berkahwin di luar bait suci. Mujurlah, terdapat satu lagi alternatif lain. Mereka boleh menaiki bas ke Lima jika mereka sanggup duduk di atas lantai bas untuk perjalanan sepanjang lima hari dan lima malam. Mereka memilih untuk melakukan ini. Dia berkata ia sukar, walaupun beberapa penumpang kadangkala membiarkan mereka duduk di tempatnya supaya penumpang dapat meregangkan diri.
Apa yang mengagumkan saya dalam ucapannya adalah kenyataan saudari ini yang dia bersyukur kerana dia dan suaminya dapat pergi ke bait suci dengan cara ini, kerana ia mengubah cara mereka rasa tentang injil dan cara mereka rasa tentang perkahwinan dalam bait suci. Tuhan telah memberi ganjaran kepada mereka dengan pertumbuhan yang datang dari pengorbanan. Dia juga memerhatikan bahawa perjalanan lima hari mereka ke bait suci itu membina kerohanian mereka dengan lebih banyak dari lawatan ke bait suci yang bebas pengorbanan.
Dalam tahun-tahun sejak saya mendengar kesaksian itu, saya tertanya-tanya betapa berbeza kehidupan pasangan muda itu jika mereka telah membuat pilihan lain—meninggalkan pengorbanan yang diperlukan untuk berkahwin di bait suci.
Saudara, kita membuat banyak pilihan dalam kehidupan, ada yang besar dan ada yang kelihatan kecil. Memikirkannya balik, kita dapat melihat betapa besarnya kesan pilihan kita dalam kehidupan kita. Kita membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik jika kita melihat alternatif dan merenungkan ke manakah ia akan membawa kita. Apabila kita lakukannya, kita semua akan mengikut nasihat Presiden Russell M. Nelson untuk bermula dengan berfikir tentang akhir.2 Bagi kita, pengakhiran adalah kekal pada jalan perjanjian melalui bait suci ke kehidupan abadi, iaitu kurnia yang terbesar dari segala kurnia Tuhan.
Saya bersaksi tentang Yesus Kristus dan tentang kesan Korban tebusan-Nya dan kebenaran lain mengenai injil kekal-Nya dalam nama Yesus Kristus, amin.