2010–2019
Menjalankan Otot-otot Rohani Kita
Persidangan Umum April 2019


2:3

Menjalankan Otot-otot Rohani Kita

Sama seperti membaca dan belajar tentang otot-otot tidak mencukupi untuk membina otot-otot, membaca dan belajar tentang iman tanpa ditambah dengan tindakan adalah tidak mencukupi untuk membina iman.

Saya bersyukur untuk berkat memiliki tubuh badan jasmani, yang merupakan kurnia menakjubkan dari Bapa Syurgawi kita. Tubuh badan kita mempunyai lebih dari 600 otot-otot.1 Banyak otot memerlukan senaman untuk berada dalam keadaan yang sesuai untuk melakukan aktiviti harian kita. Kita boleh menghabiskan banyak usaha mental untuk membaca dan belajar tentang otot-otot kita, tetapi jika kita fikir ini akan menjadikannya lebih kuat, kita akan sangat kecewa. Otot-otot kita hanya berkembang ketika kita menggunakannya.

Saya telah menyedari bahawa kurnia rohani juga bertindak dalam cara yang sama. Ia juga perlu digunakan untuk berkembang. Kurnia rohani iman, sebagai contoh, bukan sekadar perasaan atau ragam hati; ia adalah prinsip tindakan yang sering muncul dalam tulisan suci yang dikaitkan dengan kata kerja menjalankan.2 Sama seperti membaca dan belajar tentang otot-otot tidak mencukupi untuk membina otot-otot, membaca dan belajar tentang iman tanpa ditambah dengan tindakan adalah tidak mencukupi untuk membina iman.

Ketika saya berusia 16 tahun, abang saya yang sulung, Ivan, yang berusia 22 tahun ketika itu, pulang ke rumah pada satu hari dan berkongsi berita dengan keluarga [kami]. Dia telah memutuskan untuk dibaptiskan di dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Ibu bapa saya memandangnya dengan agak ragu-ragu, dan saya tidak mengerti sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Setahun atau lebih kemudian, dia memberi kami berita yang lebih mengejutkan: dia telah memutuskan untuk melayani sebagai penginjil Gereja, yang bermaksud kami tidak dapat melihatnya selama dua tahun. Ibu bapa saya tidak gembira dengan berita ini; walau bagaimanapun, saya melihat padanya kesungguhan jelas yang telah meningkatkan kekaguman saya terhadapnya dan keputusan yang telah dibuatnya.

Beberapa bulan kemudian, sementara Ivan sedang melayani misi, saya berpeluang untuk merancang sebuah percutian dengan beberapa rakan sekolah. Kami mahu meraikan akhir tahun sekolah menengah dan menghabiskan beberapa hari di pantai.

Saya menulis surat kepada abang saya, dan menyebut tentang rancangan percutian musim panas saya. Dia membalas semula bahawa bandar yang dia sedang melayani adalah dalam perjalanan ke destinasi saya. Saya memutuskan bahawa adalah idea yang baik untuk berhenti dan melawatnya. Tidak sehingga kemudian saya ketahui bahawa penginjil tidak sepatutnya dikunjungi oleh keluarga.

Saya membuat segala pengaturan. Saya masih ingat ketika sedang duduk di dalam bas dan memikirkan semua keseronokan yang Ivan dan saya akan miliki di hari cerah yang indah ini. Kami akan bersarapan, bersembang, bermain di pasir, berjemur—masa hebat yang akan kami miliki!

Ketika bas tiba di terminal, saya melihat Ivan berdiri bersebelahan dengan seorang lelaki muda, keduanya memakai kemeja putih dan bertali leher. Saya turun dari bas, kami memeluk satu sama lain, dan dia memperkenalkan rakannya. Tanpa membuang masa lagi, saya memberitahu abang saya rancangan saya untuk hari itu, tetapi tidak saya tahu apa yang telah dijadualkan oleh Ivan. Dia memandang saya, tersenyum, dan berkata, “Semestinya! Walau bagaimanapun, kami perlu melakukan beberapa tugas terlebih dahulu. Adakah anda mahu ikut kami?” Saya bersetuju, memikirkan bahawa kami akan mempunyai masa yang cukup untuk menikmati pantai selepas itu.

Pada hari itu, selama lebih dari 10 jam, saya berjalan melalui jalan-jalan bandar tersebut bersama abang saya dan rakannya. Saya senyum kepada orang-orang sepanjang hari. Saya menyapa orang yang saya tidak pernah lihat dalam hidup saya. Kami bercakap dengan semua orang, mengetuk pintu orang-orang yang tidak dikenali, dan melawat orang-orang yang abang saya dan rakannya ajari.

Dalam satu lawatan itu, abang saya dan rakannya mengajar tentang Yesus Kristus dan rancangan keselamatan. Tiba-tiba, Ivan berhenti dan memandang saya. Tanpa saya ketahui, dia dengan sopan meminta saya untuk berkongsi pendapat saya tentang apa yang telah diajar. Bilik itu senyap, dan semua mata memandang ke arah saya. Dengan beberapa kesukaran, saya akhirnya menemukan kata-kata dan berkongsi perasaan saya tentang Juruselamat. Saya tidak tahu sama ada apa yang saya kongsi adalah betul atau salah. Abang saya tidak pernah memperbetulkan saya; sebaliknya, dia mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi pendapat dan perasaan saya.

Sepanjang waktu bersama-sama, abang saya dan rakannya tidak menghabiskan satu minit pun untuk mengajar pelajaran secara eksklusif kepada saya, namun saya mendapat lebih banyak pengetahuan dari semua perbualan saya dengannya sebelum ini. Saya menyaksikan bagaimana wajah-wajah berubah apabila orang telah menerima cahaya rohani dalam hidup mereka. Saya melihat bagaimana sebahagian daripada mereka mendapat harapan dalam pesanan-pesanan itu, dan saya belajar bagaimana untuk melayani orang lain dan melupakan diri saya dan keinginan saya sendiri. Saya melakukan apa yang Juruselamat ajarkan: “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri.”3

Melihat kembali, saya menyedari bahawa iman saya berkembang pada hari itu kerana abang saya memberikan saya kesempatan untuk menerimanya. Saya menjalankannya seperti yang kita telah baca dari tulisan suci, mencari orang untuk diajar, memberi kesaksian, melayani orang lain, dan sebagainya. Kami tidak pergi berjemur pada hari itu, tetapi hati saya dimandikan cahaya dari syurga. Saya tidak melihat walaupun sebutir pasir kecil di pantai, tetapi saya rasa iman saya tumbuh seperti biji sesawi.4 Saya tidak menghabiskan hari yang cerah sebagai seorang pelancong, tetapi saya mendapat pengalaman yang luar biasa, dan tanpa menyedari, saya adalah seorang penginjil—tanpa menjadi seorang ahli Gereja!

Kesempatan untuk Memperkuatkan Otot-otot Rohani

Berterima kasih kepada Pemulihan Injil, kita dapat memahami bagaimana Bapa Syurgawi kita membantu kita mengembangkan kurnia-kurnia rohani. Adalah lebih mungkin bahawa Dia akan memberi kita kesempatan untuk mengembangkan kurnia-kurnia itu daripada sekadar memberikannya kepada kita tanpa usaha rohani dan jasmani. Jika kita sesuai dengan Roh-Nya, kita akan belajar untuk mengenal pasti kesempatan-kesempatan tersebut dan kemudian bertindak atasnya.

Jika kita mencari lebih banyak kesabaran, kita mungkin mendapati diri kita perlu menggunakannya semasa menunggu balasan. Jika kita ingin lebih mengasihi jiran kita, kita dapat memupuknya dengan duduk di sebelah orang baru di gereja. Dengan iman ia juga sama: apabila keraguan datang ke dalam minda kita, mempercayai janji Tuhan diperlukan untuk bergerak maju. Dengan cara ini, kita menjalankan otot-otot rohani dan mengembangkannya sebagai sumber kekuatan dalam kehidupan kita.

Ia mungkin tidak mudah pada permulaannya, dan ia bahkan mungkin menjadi sebuah cabaran besar. Firman Tuhan, melalui nabi Moroni, berguna kepada kita di masa kini: “Dan jika manusia datang kepada-Ku Aku akan memperlihatkan kepada mereka kelemahan mereka. Aku memberikan kepada manusia kelemahan agar mereka boleh merendahkan hati; dan rahmat-Ku cukup untuk semua orang yang merendahkan hati mereka di hadapan-Ku; kerana jika mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan [menjalankan] iman kepada-Ku, maka Aku akan menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat bagi mereka.”5

Saya bersyukur atas abang saya, Ivan, yang tidak hanya berkongsi injil dengan saya tetapi juga secara tidak langsung menjemput saya untuk menjalaninya dan mengenali kelemahan saya. Dia telah membantu saya menerima jemputan Sang Guru: “Ikutlah Aku”6—untuk berjalan seperti yang Juruselamat telah lakukan, mencari seperti yang Juruselamat lakukan, dan mengasihi seperti Juruselamat mengasihi kita. Beberapa bulan kemudian, selepas pengalaman penginjil saya, saya memutuskan untuk dibaptiskan dan melayani misi saya sendiri.

Marilah menerima jemputan Presiden Russell M. Nelson dan benar-benar datang kepada Juruselamat7 dengan mengenal pasti otot-otot yang memerlukan lebih banyak aktiviti rohani dan mula menjalankannya. Ini adalah perlumbaan jarak jauh, maraton, dan bukannya larian pecut, jadi jangan lupa akan aktiviti-aktiviti yang kecil dan berterusan yang akan menguatkan otot-otot rohani yang penting. Jika kita mahu meningkatkan iman kita, maka marilah kita melakukan hal-hal yang memerlukan iman.

Saya berkongsi kesaksian saya bahawa kita adalah anak-anak Bapa Syurgawi yang penuh kasih. Putera-Nya, Yesus Kristus, mengasihi kita. Dia datang ke bumi ini untuk menunjukkan kita jalannya dan secara sukarela memberikan nyawa-Nya untuk memberi kita harapan. Juruselamat menjemput kita untuk mengikuti teladan sempurna-Nya, untuk menjalankan iman kita kepada-Nya dan Korban tebusan-Nya, dan untuk mengembangkan semua kurnia rohani yang telah kita diberkati. Dia adalah jalan itu. Inilah kesaksian saya dalam nama Yesus Kristus, amin.