Bahagian 137
Sebuah penglihatan yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di dalam bait suci di Kirtland, Ohio, 21Â Januari 1836. Kejadiannya adalah pelaksanaan tatacara-tatacara dalam persediaan untuk kebaktian bait suci.
1–6, Nabi melihat abangnya Alvin di dalam kerajaan selestial; 7–9, Ajaran keselamatan bagi orang mati diwahyukan; 10, Semua anak diselamatkan di dalam kerajaan selestial.
1 Langit dibukakan kepada kami, dan aku melihat kerajaan selestial Tuhan, dan kemuliaannya, sama ada di dalam tubuh atau di luar tidak dapat aku katakan.
2 Aku melihat keindahan pintu gerbang yang luar biasa yang mana melaluinya para pewaris kerajaan itu akan masuk, yang seumpama bulatan lingkaran api;
3 Juga takhta Tuhan yang terang bersinar, yang mana di atasnya Bapa dan Putera sedang duduk.
4 Aku melihat jalan-jalan kerajaan itu yang indah, yang kelihatannya diturap dengan emas.
5 Aku melihat Bapa Adam dan Abraham; dan ayahku dan ibuku; abangku Alvin, yang sudah lama meninggal;
6 Dan hairan bagaimanakah itu terjadi bahawasanya dia telah mewarisi sebuah tempat di dalam kerajaan itu, kerana dia telah meninggalkan kehidupan ini sebelum Tuhan menggerakkan tangannya untuk mengumpulkan Israel pada kali kedua, dan belum dibaptiskan lagi bagi pengampunan dosa-dosa.
7 Demikianlah datang suara Tuhan kepadaku, memfirmankan: Semua orang yang telah mati tanpa sebarang pengetahuan tentang Injil ini, yang akan menerimanya jika mereka diizinkan untuk terus hidup, akan menjadi pewaris kerajaan selestial Tuhan;
8 Juga semua yang akan mati mulai sekarang tanpa sebarang pengetahuan tentangnya, yang akan menerimanya dengan segenap hati mereka, akan menjadi para pewaris kerajaan itu;
9 Kerana Aku, Tuhan, akan menghakimi semua orang menurut pekerjaan mereka, menurut hasrat hati mereka.
10 Dan aku juga melihat bahawa semua anak yang mati sebelum mereka mencapai umur kebertanggungjawaban diselamatkan di dalam kerajaan syurga selestial.