Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 43


Bahagian 43

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, pada bulan Februari 1831. Pada waktu ini beberapa anggota Gereja terganggu oleh orang-orang yang membuat pengakuan palsu sebagai para pewahyu. Nabi bertanya kepada Tuhan dan menerima komunikasi ini yang ditujukan kepada para penatua Gereja. Bahagian yang pertama berkaitan dengan hal-hal pengurusan Gereja; bahagian yang kedua mengandungi sebuah peringatan yang mesti para penatua berikan kepada bangsa-bangsa di bumi.

1–7, Wahyu-wahyu dan perintah datang hanya melalui orang yang ditetapkan; 8–14, Para Orang Suci dikuduskan dengan bertindak dalam segala kekudusan di hadapan Tuhan; 15–22, Para penatua diutuskan untuk menyerukan pertaubatan dan menyediakan manusia untuk hari Tuhan yang besar itu; 23–28, Tuhan memanggil manusia dengan suara-Nya sendiri dan melalui kekuatan alam; 29–35, Zaman Seribu Tahun dan pengikatan Setan akan datang.

1 Ya Dengarlah, kamu para penatua gereja-Ku, dan pasanglah telinga terhadap firman yang akan Aku firmankan kepadamu.

2 Kerana lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu telah menerima sebuah perintah untuk sebuah hukum bagi gereja-Ku, melalui dia yang telah Aku tetapkan bagimu untuk menerima perintah dan wahyu-wahyu daripada tangan-Ku.

3 Dan ini akan kamu ketahui dengan pasti—bahawa tidak ada seorang pun yang lain ditetapkan kepadamu untuk menerima perintah dan wahyu-wahyu sehinggalah dia diambil, jika dia tinggal di dalam Aku.

4 Tetapi sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa tidak seorang pun yang lain yang ditetapkan pada kurnia ini kecuali melalui dia; kerana jika ia diambil daripadanya dia tidak akan memiliki kuasa kecuali menetapkan orang yang lain sebagai penggantinya.

5 Dan ini akan menjadi sebuah hukum bagimu, bahawa kamu tidak menerima ajaran-ajaran daripada sesiapa pun yang akan datang di hadapanmu sebagai wahyu atau perintah;

6 Dan ini Aku berikan kepadamu agar kamu tidak terpedaya, agar kamu boleh tahu ia bukan daripada-Ku.

7 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa dia yang ditahbiskan oleh-Ku akan masuk pada pintu gerbang itu dan ditahbiskan seperti yang telah Aku beritahukan kepadamu sebelumnya, untuk mengajarkan wahyu-wahyu yang telah kamu terima dan akan terima melalui dia yang telah Aku tetapkan.

8 Dan sekarang, lihatlah, Aku memberi kepadamu sebuah perintah, bahawa apabila kamu dihimpun bersama kamu haruslah mengajar dan meneguhkan satu sama lain, agar kamu boleh mengetahui bagaimana untuk bertindak dan mengarahkan gereja-Ku, bagaimana untuk bertindak atas pokok-pokok hukum dan perintah-Ku, yang telah Aku berikan.

9 Dan demikianlah kamu akan menjadi terlatih dalam hukum gereja-Ku, dan dikuduskan oleh apa yang telah kamu terima, dan kamu akan mengikat dirimu untuk bertindak dalam segala kekudusan di hadapan-Ku—

10 Agar sejauh kamu melakukan ini, kemuliaan akan ditambahkan pada kerajaan yang telah kamu terima. Sejauh kamu tidak melakukannya, ia akan diambil, bahkan apa yang telah kamu terima.

11 Murnikanlah kamu dari kederhakaan yang ada di kalangan kamu; kuduskanlah dirimu di hadapan-Ku;

12 Dan jika kamu menghasratkan kemuliaan kerajaan, tetapkanlah kamu hamba-Ku Joseph Smith Jr., dan sokonglah dia di hadapan-Ku melalui doa dengan iman.

13 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa jika kamu menghasratkan misteri-misteri kerajaan, sediakanlah makanan dan pakaian untuknya, dan apa pun yang dia perlukan untuk menyelesaikan pekerjaan yang telah Aku perintahkannya;

14 Dan jika kamu tidak melakukannya dia akan tinggal kepada mereka yang telah menerimanya, agar Aku boleh menyimpan bagi diri-Ku suatu umat yang murni di hadapan-Ku.

15 Aku berfirman lagi, dengarlah kamu para penatua gereja-Ku, yang telah Aku tetapkan: Kamu tidak diutus untuk diajar, tetapi untuk mengajar anak-anak manusia apa yang telah Aku letakkan ke dalam tanganmu melalui kuasa Roh-Ku;

16 Dan kamu mesti diajar dari syurga. Kuduskanlah dirimu dan kamu akan dianugerahkan dengan kuasa, agar kamu boleh memberi bahkan seperti yang telah Aku firmankan.

17 Dengarkanlah kamu, kerana, lihatlah, hari Tuhan yang besar sudah di depan mata.

18 Kerana harinya datang apabila Tuhan akan menyuarakan suara-Nya dari syurga; langit akan bergoncang dan tanah akan bergegar, dan sangkakala Tuhan akan berbunyi dengan panjang dan nyaring, dan akan mengatakan kepada bangsa-bangsa yang tidur: Kamu para orang suci bangkit dan hiduplah; kamu pendosa tinggal dan tidurlah sehingga Aku akan panggil lagi.

19 Kerana itu persiapkanlah dirimu agar jangan kamu didapati di kalangan yang jahat.

20 Angkatlah suaramu dan janganlah menahan diri. Serulah kepada bangsa-bangsa itu untuk bertaubat, baik tua mahupun muda, baik yang terikat mahupun yang bebas, mengatakan: Sediakanlah dirimu untuk hari Tuhan yang besar;

21 Kerana jika Aku, yang adalah seorang manusia, mengangkat suara-Ku dan meminta kepadamu untuk bertaubat, dan kamu membenci-Ku, apa yang akan kamu katakan apabila masanya tiba apabila guntur akan menyuarakan suaranya dari hujung-hujung bumi, berbicara pada telinga semua yang hidup, mengatakan—Bertaubatlah, dan bersedialah bagi hari Tuhan yang besar?

22 Ya, dan lagi, apabila kilat akan memancar dari timur ke barat, dan akan menyuarakan suaranya kepada segala yang hidup, dan membuat semua telinga yang mendengar berdengung, mengatakan perkataan ini—Bertaubatlah kamu, kerana hari Tuhan yang besar telah datang?

23 Dan lagi, Tuhan akan menyuarakan suara-Nya dari syurga, memfirmankan: Dengarlah, hai kamu bangsa-bangsa di bumi, dan dengarlah firman dari Tuhan itu yang menciptakanmu.

24 Hai, kamu bangsa-bangsa di bumi, betapa kerap Aku harus kumpulkan kamu bersama bagaikan seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu!

25 Betapa kerap telah Aku memanggil kamu melalui mulut para hamba-Ku, dan melalui pelayanan para malaikat, dan melalui suara-Ku sendiri, dan melalui suara guntur, dan melalui suara kilat, dan melalui suara angin ribut, dan melalui suara gempa bumi, dan hujan batu yang hebat, dan melalui suara bencana kebuluran dan wabak dari setiap jenis, dan melalui bunyi yang kuat dari sangkakala, dan melalui suara penghakiman, dan melalui suara belas kasihan sepanjang hari, dan melalui suara kemuliaan dan kehormatan dan kekayaan kehidupan abadi, dan akan menyelamatkanmu dengan keselamatan abadi, tetapi kamu tidak mahu!

26 Lihatlah, masanya telah tiba, apabila cawan kemurkaan dari kemarahan-Ku penuh.

27 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa inilah firman Tuhan Rajamu.

28 Kerana itu, bekerjalah kamu, bekerjalah kamu di dalam ladang anggur-Ku untuk kali terakhir—untuk kali terakhir panggillah para penduduk bumi.

29 Kerana pada waktu-Ku sendiri yang tepat Aku akan datang ke atas bumi untuk penghakiman, dan umat-Ku akan ditebus dan akan memerintah bersama-Ku di atas bumi.

30 Kerana Zaman Seribu Tahun yang hebat, yang telah Aku firmankan tentangnya melalui mulut para hamba-Ku, akan datang.

31 Kerana Setan akan diikat, dan apabila dia dilepaskan lagi dia hanya akan berkuasa untuk suatu masa yang singkat, dan kemudian datanglah pengakhiran dari bumi.

32 Dan dia yang hidup dalam kesolehan akan diubah dalam sekejap mata, dan bumi akan berakhir seolah-olah dengan api.

33 Dan yang jahat akan pergi ke dalam api yang tak terpadamkan, dan tiada seorang pun yang tahu tentang pengakhiran mereka di atas bumi, tidak juga akan pernah tahu, sehingga mereka datang di hadapan-Ku pada penghakiman.

34 Dengarkanlah kamu firman ini. Lihatlah, Aku ialah Yesus Kristus, Juruselamat dunia. Simpanlah baik-baik hal ini dalam hatimu, dan biarlah kekhusyukan akan keabadian berada dalam fikiranmu.

35 Bersungguh-sungguhlah. Taatilah semua perintah-Ku. Demikianlah. Amin.