Bahagian 68
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Hiram, Ohio, 1 November 1831, dalam balasan doa agar fikiran Tuhan diberitahukan mengenai Orson Hyde, Luke S. Johnson, Lyman E. Johnson, dan William E. McLellin. Walaupun bahagian wahyu ini diarahkan kepada empat saudara tersebut, kebanyakan kandungannya berkaitan dengan seluruh Gereja.
1–5, Perkataan para penatua apabila diilhami oleh Roh Kudus adalah tulisan suci; 6–12, Para penatua berkhutbah dan membaptis, dan petanda akan mengikuti orang-orang percaya yang sejati; 13–24, Anak sulung di kalangan anak-anak lelaki Harun boleh melayani sebagai Uskup Utama (iaitu, memegang kunci-kunci presidensi sebagai uskup) di bawah arahan Presidensi Utama; 25–28, Para ibu bapa diperintahkan untuk mengajarkan Injil kepada anak-anak mereka; 29–35, Para Orang Suci mesti menghormati Sabat, bekerja dengan tekun, dan berdoa.
1 Hamba-Ku, Orson Hyde, telah dipanggil melalui pentahbisannya untuk memaklumkan Injil kekal, melalui Roh Tuhan yang hidup, dari satu khalayak ramai ke satu khalayak, dan dari negeri ke negeri, di dalam jemaah-jemaah orang jahat, dalam saumaah-saumaah mereka, berbincang dan menghuraikan semua tulisan suci kepada mereka.
2 Dan, lihatlah, dan tengoklah, inilah sebuah contoh bagi mereka semua yang telah ditahbiskan pada imamat ini, yang misinya telah ditetapkan bagi mereka untuk pergi—
3 Dan inilah contoh bagi mereka, bahawa mereka haruslah berbicara sebagaimana mereka diilhami oleh Roh Kudus.
4 Dan apa pun yang akan mereka ucapkan apabila diilhami oleh Roh Kudus akan menjadi tulisan suci, akan menjadi kehendak Tuhan, akan menjadi fikiran Tuhan, akan menjadi firman Tuhan, akan menjadi suara Tuhan, dan kuasa Tuhan pada keselamatan.
5 Lihatlah, inilah janji Tuhan kepadamu, Wahai kamu para hamba-Ku.
6 Kerana itu, jadilah riang, dan janganlah takut, kerana Aku Tuhan bersertamu, dan akan berdiri di sisimu; dan kamu akan memberikan kesaksian tentang Aku, bahkan Yesus Kristus, bahawa Aku ialah Putera Tuhan yang hidup, bahawa Aku sudah ada, bahawa Aku ada, dan bahawa Akulah yang akan datang.
7 Inilah firman Tuhan kepadamu, hamba-Ku Orson Hyde, dan juga kepada hamba-Ku Luke Johnson, dan kepada hamba-Ku Lyman Johnson, dan kepada hamba-Ku William E. McLellin, dan kepada semua penatua yang setia dari gereja-Ku—
8 Pergilah kamu ke seluruh dunia, khutbahkanlah Injil kepada setiap makhluk, bertindak dalam wewenang yang telah Aku berikan kepadamu, membaptis dalam nama Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus.
9 Dan dia yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan, dan dia yang tidak percaya akan dilaknati.
10 Dan dia yang percaya akan diberkati dengan tanda-tanda yang mengikutinya, bahkan seperti yang sudah tertulis.
11 Dan kepadamu akan diberikan untuk mengetahui petanda pada zaman ini, dan tanda-tanda kedatangan Putera Manusia;
12 Dan tentang sebanyak mana yang akan Bapa berikan kesaksian, kepadamu akan diberikan kuasa untuk memeteraikan mereka pada kehidupan abadi. Amin.
13 Dan sekarang, mengenai butir-butir sebagai tambahan pada perjanjian dan perintah-perintah, ianya merupakan—
14 Yang tertinggal selepas ini, pada waktu yang tepat bagi Tuhan, para uskup lain untuk ditetapkan bagi gereja, untuk melayani bahkan menurut yang pertama;
15 Kerana itu mereka haruslah merupakan imam tinggi yang layak, dan mereka akan ditetapkan oleh Presidensi Utama dari Imamat Melkisedek, melainkan mereka adalah keturunan Harun yang sejati.
16 Dan jika mereka adalah keturunan Harun yang sejati mereka memiliki hak yang sah ke atas keuskupan, jika mereka adalah anak sulung di kalangan anak-anak lelaki Harun;
17 Kerana anak sulung memegang hak presidensi ke atas imamat ini, dan kunci-kunci atau wewenang imamat yang sama.
18 Tiada seorang pun memiliki hak yang sah atas jawatan ini, untuk memegang kunci-kunci imamat ini, kecuali dia adalah keturunan sejati dan anak sulung Harun.
19 Tetapi, kerana imam tinggi dari Imamat Melkisedek memiliki wewenang untuk bertugas dalam semua jawatan yang lebih rendah dia boleh bertugas dalam jawatan uskup apabila tidak ada keturunan Harun yang sejati dapat ditemui, asalkan dia dipanggil dan ditetapkan dan ditahbiskan pada kuasa ini, di bawah tangan Presidensi Utama dari Imamat Melkisedek.
20 Dan seseorang dari keturunan Harun yang sejati, juga, mesti ditetapkan oleh Presidensi ini, dan didapati layak, dan disapukan minyak, dan ditahbiskan di bawah tangan Presidensi ini, jika tidak mereka tidak diwenangkan secara sah untuk bertugas dalam imamat mereka.
21 Tetapi, berdasarkan pada ketetapan mengenai hak keimamatan mereka yang diturunkan dari ayah kepada anak lelaki, mereka boleh menuntut hak penetapan mereka jika mereka dapat membuktikan garis keturunan mereka pada bila-bila masa, atau memastikannya melalui wahyu dari Tuhan di bawah tangan Presidensi yang disebutkan di atas.
22 Dan lagi, tidak ada uskup atau imam tinggi yang akan ditetapkan bagi pelayanan ini yang akan diadili atau dihukum kerana jenayah apa pun, kecuali di hadapan Presidensi Utama gereja;
23 Dan sejauh dia didapati bersalah di hadapan Presidensi ini, menurut kesaksian yang tidak dapat dinafikan, dia akan dihukum;
24 Dan jika dia bertaubat dia akan diampuni, menurut perjanjian dan perintah-perintah gereja.
25 Dan lagi, sejauh ibu bapa memiliki anak-anak di Sion, atau di mana pun dari pancang-pancangnya yang telah diorganisasikan, yang tidak mengajari mereka untuk mengerti ajaran tentang pertaubatan, iman kepada Kristus Putera Tuhan yang hidup, dan tentang pembaptisan dan kurnia Roh Kudus melalui peletakkan tangan, apabila berumur lapan tahun, dosa itu akan berada di atas kepala ibu bapa.
26 Kerana ini akan menjadi sebuah hukum bagi para penduduk Sion, atau di mana pun dari pancang-pancangnya yang telah diorganisasikan.
27 Dan anak-anak mereka haruslah dibaptis untuk pengampunan dosa-dosa mereka apabila berumur lapan tahun, dan menerima perletakan tangan.
28 Dan mereka juga harus mengajar anak-anak mereka untuk berdoa, dan untuk berjalan dengan lurus di hadapan Tuhan.
29 Dan para penduduk Sion juga harus mematuhi hari Sabat untuk menjaganya dengan kudus.
30 Dan para penduduk Sion juga harus mengingati kerja-kerja mereka, sejauh mereka ditetapkan untuk bekerja, dengan penuh kesetiaan; kerana pemalas akan diingati di hadapan Tuhan.
31 Sekarang, Aku, Tuhan, tidak terlalu berkenan dengan para penduduk Sion, kerana adanya pemalas di antara mereka; dan anak-anak mereka juga membesar dalam kejahatan; mereka juga tidak mencari kekayaan abadi dengan bersungguh-sungguh, tetapi mata mereka penuh dengan ketamakan.
32 Hal-hal ini tidak seharusnya terjadi, dan mesti dihentikan dari kalangan mereka; kerana itu, biarlah hamba-Ku Oliver Cowdery membawa firman ini ke negeri Sion.
33 Dan sebuah perintah Aku berikan kepada mereka—bahawa dia yang tidak menuruti doa-doanya di hadapan Tuhan pada masanya, biarlah dia diingati di hadapan hakim umat-Ku.
34 Firman ini adalah benar dan pasti; kerana itu, janganlah melanggarnya, tidak juga mengambil darinya.
35 Lihatlah, Aku adalah Alfa dan Omega, dan Aku datang dengan segera. Amin.