Menemui Keilahian di Dalam
Kita datang ke bumi ini untuk memupuk dan menemui benih-benih sifat ilahi yang ada dalam diri kita.
Para saudari, kami mengasihi kamu! Saya bersaksi bahawa kehidupan adalah satu kurniaan. Tuhan mempunyai rancangan untuk setiap orang, dan tujuan individu kita bermula lama sebelum kita datang ke dunia.
Baru-baru ini saya telah mengenali keajaiban kelahiran seorang bayi ke dunia sebagai sebahagian daripada rancangan Tuhan. Setiap seorang daripada kita membesar secara jasmani di dalam rahim ibu kita dan bergantung kepada badannya selama beberapa bulan untuk menanggung badan kita. Kemudiannya, proses kelahiran—dramatik untuk ibu dan anak berdua—memisahkan kita.
Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, perubahan suhu dan cahaya dan pelepasan tekanan pada dada yang secara tiba-tiba mendorong bayi untuk mengambil nafas pertamanya. Paru-paru kecil itu kemudiannya diisi dengan udara buat kali pertama, organ-organ mula berfungsi, dan bayi itu mula bernafas. Apabila tali pusat dikepit, talian hayat antara ibu dan bayi diputuskan buat selama-lamanya dan kehidupan bayi di bumi bermula.
Ayub telah berkata, “Roh Tuhan telah menciptakan aku, dan nafas Yang Maha Kuasa memberikan hidup kepadaku.”1
Kita datang ke dunia ini “membawa bersama awan-awan kemuliaan.“2 “Keluarga: Suatu Perisytiharan Kepada Dunia” mengajar bahawa setiap kita adalah “anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi,” dan “masing-masing mempunyai sifat dan takdir ilahi3 Bapa Syurgawi dengan murah hati berkongsi sebahagian keilahian-Nya dalam kita. Sifat ilahi itu datang sebagai kurnia daripada-Nya dengan kasih sayang yang hanya ibu bapa boleh rasai.
Kita datang ke bumi ini untuk memupuk dan menemui benih-benih sifat ilahi di dalam diri kita.
Kita Tahu Mengapa
Elaine Cannon, bekas presiden umum Remaja Puteri, berkata, “Terdapat dua hari yang penting di dalam hidup seorang wanita: Hari kelahirannya dan hari dia mengetahui mengapa.”4
Kita tahu mengapa. Kita telah datang ke bumi ini untuk membantu membina kerajaan-Nya dan bersedia untuk Kedatangan Kedua Putera-Nya, Yesus Kristus. Dengan setiap nafas yang kita ambil, kita berusaha untuk mengikuti-Nya. Sifat ilahi di dalam setiap seorang daripada kita adalah halus dan diperbesarkan oleh usaha yang kita buat untuk mendekati Bapa kita dan Putera-Nya.
Sifat ilahi kita tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pencapaian peribadi kita, status, bilangan marathon yang dilarikan, atau populariti dan harga diri kita. Sifat ilahi kita datang dari Tuhan. Keilahian kita wujud sebelum kita dilahirkan dan akan berterusan selama-lamanya.
Kita Dikasihi Bapa Syurgawi
Kita bertindak berkadaran dengan sifat ilahi apabila kita merasai kasih Bapa Syurgawi dan memberi kasih ilahi sedemikian kepada yang lain. Kita mempunyai hak pilihan untuk memeliharanya, biarkan ia berkembang, dan membantunya meningkat. Petrus berkata kita diberikan “janji-janji yang berharga” agar kita “boleh mengambil bahagian dalam sifat ilahi.”5 Apabila kita memahami siapa diri kita—anak perempuan Tuhan—kita mula merasai janji-janji yang berharga itu.
Apabila kita melihat kepada orang lain dan bukan sahaja diri, ia membantu kita memahami bahawa kita anak-Nya. Kita secara semula jadi berpaling kepada-Nya dalam doa, dan kita beria ingin membaca firman-firman-Nya dan melakukan kehendak-Nya. Kita boleh memperoleh pengiktirafan diri daripada-Nya, bukan dari dunia sekeliling atau dari mereka yang di Facebook atau Instagram.
Jika kamu pernah meragui keilahian di dalam diri, berdoalah dengan berlutut dan bertanya kepada Bapa Syurgawi, “Adakah saya benar-benar anak perempuan-Mu, dan adakah Kamu mengasihi saya?” Elder M. Russell Ballard berkata, “Salah satu pesanan Roh yang paling manis adalah untuk memberitahu perasaan Tuhan terhadap kita.”6
Kita adalah kepunyaan-Nya. “Roh telah memberi kesaksian dengan roh kita, bahawa kita adalah anak-anak Tuhan.”7 Seringkali lagu pertama yang kita pelajari di Sekolah Primer adalah “I Am a Child of God.”8 Sekaranglah masanya untuk mengambil frasa “Saya adalah anak Tuhan” dan menambah “Oleh itu, apa yang perlu saya lakukan?” Kita mungkin juga bertanyakan soalan-soalan berikut: “Apakah yang akan saya lakukan untuk hidup sebagai seorang anak Tuhan” “Bagaimanakah saya boleh mengembangkan sifat ilahi di dalam diri saya?”
Presiden Dieter F. Uchtdorf berkata, “Tuhan telah menghantar kamu ke sini untuk bersedia untuk masa depan yang lebih hebat daripada apa-apa yang kamu boleh bayangkan.”9 Masa depan itu, hari demi hari, menjadi nyata apabila kamu melakukan lebih daripada sekadar wujud; ia menjadi nyata apabila kamu menjalani kehidupan untuk memenuhi matlamat penciptaan kamu. Ini menjemput Tuhan ke dalam hidup kamu, dan kamu mula membenarkan kehendak-Nya menjadi kehendak kamu.
Kita Belajar Kerana Sifat Ilahi Kita
Sifat ilahi memberi kita keinginan untuk mengetahui kebenaran abadi ini untuk diri kita sendiri.
Baru-baru ini, seorang remaja puteri bernama Amy telah mengajar saya pelajaran ini apabila dia menulis: “Amatlah sukar untuk menjadi seorang remaja kini. Jalan Injil menjadi semakin sempit. Syaitan sedang giat mencuba. Ia sama ada benar atau salah; tiada di-antara.”
Dia menyambung: “Kawan baik kadangkala susah di cari. Walaupun jika kamu fikir kamu mempunyai kawan-kawan baik yang tidak akan meninggalkan kamu, ia boleh berubah. Oleh sebab itu saya amat bersyukur kerana mempunyai keluarga, Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus yang boleh menjadi teman saya apabila perkara yang tidak baik berlaku semasa bersama kawan.”
Amy seterusnya berkata: “Satu malam saya terasa terganggu, dan saya memberitahu kakak bahawa saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.”
Lewat malam tersebut, kakaknya hantar satu teks dan memetik kata-kata Elder Jeffrey R . Holland: “Jangan putus-asa. … Jangan kamu berhenti. Kamu terus berjalan. Kamu teruskan mencuba. Terdapat bantuan dan kegembiraan di hadapan. … Semua akan menjadi baik di akhirnya. Percayalah Tuhan dan percaya kepada perkara-perkara baik yang akan datang.”10
Amy menjelaskan, “Saya teringat masa membaca kata-kata itu dan berdoa supaya saya dapat merasai kasih Tuhan jika dia benar-benar berada di sana untuk saya.”
Dia berkata: “Sebaik sahaja saya meminta dan percaya bahawa Dia berada di sana, saya merasai perasaan gembira yang paling menakjubkan, perasaan yang terkasih. Perkataan tidak boleh menghuraikan perasaan itu. Saya tahu Dia ada dan bahawa Dia mengasihi saya.”
Oleh kerana kamu adalah anak-Nya, Dia tahu apa yang kamu boleh menjadi. Dia tahu semua kebimbangan dan impian kamu. Dia berkenan dengan potensi kamu. Dia menunggu kamu untuk datang kepada-Nya dalam doa. Kerana kamu adalah anak-Nya, kamu bukan sahaja memerlukan-Nya, tetapi Dia juga memerlukan kamu. Mereka yang duduk di sekeliling kamu di pertemuan ini memerlukan kamu. Dunia ini memerlukan kamu, dan sifat ilahi kamu membenarkan kamu menjadi pengikut-Nya yang dipercayai kepada semua anak-anak-Nya. Apabila kita mula melihat keilahian di dalam diri kita, kita boleh melihatnya di dalam orang lain.
Kita Melayan Kerana Sifat Ilahi Kita
Sifat ilahi memberi kita keinginan untuk melayani orang lain.
Baru-baru ini, Sharon Eubank, pengarah Humanitarian Services dan LDS Charities, memberitahu mengenai satu pengalaman yang dikongsi oleh Elder Glenn L. Pace. Terdapat kemarau meluas dan kelaparan yang melampau di Ethiopia pada pertengahan 1980-an. Untuk memberi pertolongan, stesen-stesen dengan air dan makanan ditubuhkan untuk mereka yang boleh mencapainya. Seorang lelaki tua yang kelaparan berjalan jauh untuk sampai ke satu stesen makanan. Ketika melalui satu kampung dia terdengar seorang bayi menangis. Dia mencari sehingga menemui bayi itu terduduk di atas tanah bersebelahan dengan ibunya yang sudah mati. Lelaki itu mengambil bayi tersebut dan meneruskan perjalanan sejauh 25 batu (40km) untuk ke stesen makanan. Apabila dia tiba, kata-kata pertamanya bukanlah “Saya lapar” atau “Tolong saya.” Ia adalah “Apa yang boleh dilakukan untuk bayi ini?”11
Sifat ilahi diri kita meningkatkan keinginan untuk mendekati orang lain dan mendorong kita untuk bertindak. Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh membantu kita mencari kekuatan untuk berbuat demikian. Bolehkah Tuhan bertanya kita, “Apakah yang boleh dilakukan untuk anak perempuan ini, saudara ini, bapa ini, atau kawan ini?”
Ia adalah melalui bisikan Roh apabila sifat ilahi seorang yang ragu-ragu, selepas tercungap-cungap untuk bernafas, mendapati ketenangan untuk bernafas lagi.
Apabila nabi berkata, kata-katanya bergema dengan sifat ilahi kita dan memberi kita kekuatan untuk mengikutnya.
Mengambil bahagian dalam sakramen setiap minggu memberi harapan kepada keilahian di dalam kita, dan kita mengingati Juruselamat kita, Yesus Kristus.
Saya berjanji apabila kamu berusaha untuk menemui kedalaman sifat ilahi yang ada dalam diri, kamu akan mula menunaikan tujuan kurniaan berharga kamu. Biarkan ia membimbing kamu untuk menjadi anak perempuan-Nya, berjalan dalam arah untuk kembali kepada-Nya—di mana kita akan “dipulihkan kepada Tuhan itu yang memberi [kita] nafas.”12 Dalam nama Yesus Kristus, amin.