“Langkah 5: Mengakui kepada diri sendiri dan kepada Bapa Syurgawi kita dalam nama Yesus Kristus tentang sifat sebenar kesalahan kita, Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)
“Langkah 5,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan
Langkah 5: Mengakui kepada diri sendiri, kepada Bapa Syurgawi kita dalam nama Yesus Kristus, kepada wewenang imamat yang betul, dan kepada orang lain tentang sifat sebenar kesalahan kita
Asas Utama: Pengakuan
Dalam ketagihan kita, kebanyakan kita berasa terasing atau keseorangan. Walaupun pada masa orang lain mungkin merasa terhubung, kita berasa seperti kita tidak tergolong. Ramai kita berasa patah hati dan menyangka tiada siapa yang akan menerima atau mengasihi kita, terutamanya jika mereka tahu tentang ketagihan kita. Semasa kita datang ke pertemuan pemulihan, kita mula keluar dari pengasingan di mana ketagihan berkembang. Pada mulanya, ramai kita hanya duduk dan mendengar, tetapi akhirnya kita berasa cukup selamat untuk berkongsi pengalaman kita . Namun, kita menyimpan banyak hal untuk diri sendiri—hal yang memalukan, hal yang menyedihkan, hal yang membuat kita rasa terdedah.
Mengerjakan langkah 4 mungkin membawa semula perasaan malu ini, jadi kami mengesyorkan agar anda mengerjakan langkah 5 sebaik sahaja melengkapkan langkah 4. Menangguhkannya adalah seperti membiarkan luka yang dijangkiti tanpa membersihkannya. Mengakui kesalahan kita kelihatan membebankan, tetapi semasa kita meminta bantuan Yesus Kristus, Dia memberi kita keberanian dan kekuatan.
Berkongsi inventori kita dengan penaja kita dan kemudian mengaku kepada uskup kita adalah hal paling sukar yang pernah kita lakukan. Tetapi mereka yang telah melaluinya sebelum kita membantu kita memahami kepentingan langkah ini. Menulis inventori kita membantu kita menyedari sepenuhnya kesilapan, kelemahan, dan dosa kita. Tetapi menyedari tentangnya adalah tidak mencukupi. Ketagihan berkembang cepat dalam kerahsiaan. Dengan mengerjakan langkah 5, kita memecahkan kerahsiaan itu. Sister Carole M. Stephens mengajar, “Harapan dan penyembuhan tidak boleh didapati dalam jurang gelap kerahsiaan tetapi dalam cahaya dan kasih Juruselamat kita, Yesus Kristus” (“Tuan Penyembuh,” Liahona, Nov. 2016, 11). Bersikap jujur sepenuhnya menyediakan kita untuk langkah seterusnya dan membolehkan Yesus Kristus menyembuhkan kita dengan lebih sepenuhnya.
Presiden Spencer W. Kimball mengajar: “Pertaubatan tidak akan datang sehingga seseorang telah membuka jiwanya dan mengakui perbuatannya tanpa alasan atau rasionalisasi. … Orang-orang yang memilih untuk menghadapi masalah itu dan mengubah hidup mereka mungkin mendapati pertaubatan adalah jalan yang lebih sukar pada mulanya, tetapi mereka akan mendapatinya sebagai jalan yang lebih diingini semasa mereka merasakan buahnya” (“The Gospel of Repentance,” Ensign, Okt. 1982, 4).
Mempercayai Tuhan dan mengumpulkan keberanian, kita memutuskan untuk mengerjakan langkah 5. Kita tidak pasti kita boleh mengatasi perasaan malu dan rasa takut ditolak. Sebahagian kita mula berkongsi atau mengaku tetapi mengalah dengan ketakutan dan terpaksa mencuba lagi. Kita berdoa dan meminta Tuhan untuk membantu kita mempunyai kekuatan yang kita perlukan. Berkongsi dan mengakui kesilapan kita adalah pengalaman yang berkuasa. Semasa kita berbuat demikian, kita merasakan kasih Yesus Kristus kepada kita, yang memberi kita harapan bahawa ia akan baik-baik sahaja.
Walaupun penaja kita membantu kita menulis inventori kita, kita perlu berkongsi inventori kita dengan mereka atau orang lain yang dipercayai. Mereka melihat sesuatu daripada perspektif yang berbeza dan membantu kita melihat pola yang tidak dapat kita lihat. Mereka membantu kita lebih memahami kecenderungan kita terhadap pemikiran dan emosi negatif (seperti kehendak diri, ketakutan, keangkuhan, rasa kasihan diri, cemburu, rasa diri benar, kemarahan, berdendam, nafsu, dan sebagainya). Fikiran dan emosi ini mencerminkan sifat dan merupakan buah dari kesalahan kita. Tetapi penaja kita dapat melihat kebaikan dalam diri kita dan membantu kita melihat kebaikan dalam diri kita.
Kita mengakui kepada uskup atau presiden cabang kita apa-apa yang menyalahi undang-undang atau yang akan menghalang kita daripada memiliki kad rekomen bait suci. Jika kita mempunyai keraguan tentang apa yang harus kita akui, kita bertanya kepada para pemimpin imamat kita. Pengakuan kita melibatkan mencari pengampunan daripada Yesus Kristus melalui doa dan wewenang imamat yang betul. Bagi kebanyakan kita, pengalaman ini membebaskan. Kita melepaskan beban berat kita dan meletakkannya di kaki Juruselamat. Kita merasakan kedamaian, kegembiraan, dan kasih. Pengalaman ini adalah kudus dan menyenangkan.
Langkah Tindakan
Ini adalah program tindakan. Kemajuan kita bergantung pada menerapkan langkah-langkah ini secara konsisten dalam kehidupan seharian kita. Ini dikenali sebagai “mengerjakan langkah-langkah.” Tindakan berikut membantu kita datang kepada Kristus dan menerima arahan dan kuasa yang diperlukan untuk mengambil langkah seterusnya dalam pemulihan kita.
Kongsi inventori kita dari langkah 4 dengan penaja kita dan mengakui dosa kita kepada Tuhan dan wewenang imamat yang betul seperti yang diperlukan
Alma menasihati anaknya Korianton untuk “[mengakui] kesilapan-kesilapan [dia] dan kesalahan yang [dia lakukan]” (Alma 39:13). Nasihat ini boleh menjadi panduan dan ilham untuk mengerjakan langkah 5. Langkah ini termasuk berkongsi inventori kita dari langkah 4 dengan orang lain, biasanya penaja, yang telah melalui proses tersebut dan boleh membantu kita berkongsi dengan cara yang jujur dan menyeluruh. Sekiranya penaja tidak tersedia, dengan penuh doa pilihlah orang lain yang boleh dipercayai, sebaik-baiknya seseorang yang mempunyai asas dalam pemulihan. Elakkan sesiapa yang anda syaki mungkin memberikan bimbingan yang tidak betul, memberikan maklumat yang salah, atau sukar memastikan maklumat sulit. Kami juga mencadangkan untuk berhati-hati dalam berkongsi inventori kita dengan ahli keluarga terdekat. Adalah penting untuk berunding dengan uskup atau ahli terapi kita untuk memutuskan bila hendaknya untuk mendedahkan tingkah laku kita kepada pasangan untuk mengelak kesakitan berlanjutan kepada mereka.
Yesus Kristus mengajar bahawa pengakuan adalah bahagian penting dalam proses pertaubatan: “Dengan ini kamu boleh mengetahui jika seseorang itu bertaubat dari dosa-dosanya—lihatlah, dia akan mengakuinya dan meninggalkan mereka” (Ajaran dan Perjanjian 58:43). Oleh itu, kita mengaku dosa kita kepada Bapa Syurgawi kita dalam nama Yesus Kristus dan memohon pengampunan-Nya. Tambahan lagi, kita harus mengaku pelanggaran kita yang lebih serius kepada uskup atau presiden cabang. Jika anda tidak pasti apa yang perlu diakui, dengar kepada hati nurani anda dan berhati-hati terhadap dosa seksual atau tingkah laku tidak bermoral yang lain. Apabila ragu-ragu, ingatlah jemputan untuk “marilah kita selesaikan perkara ini” (Yesaya 1:18) dan bincangkan soalan anda dengan pemimpin imamat anda.
“Walaupun hanya Tuhan yang boleh mengampuni dosa, para pemimpin imamat ini memainkan peranan penting dalam proses pertaubatan. Mereka akan memastikan pengakuan anda sulit dan membantu anda sepanjang proses pertaubatan. Jujur sepenuhnya dengan mereka. Sekiranya anda mengaku sebahagiannya, hanya menyebut kesilapan yang lebih kecil, anda tidak akan dapat menyelesaikan pelanggaran yang lebih serius dan dirahsiakan itu. Semakin cepat anda memulakan proses ini, semakin cepat anda akan menemui kedamaian dan kegembiraan yang datang dari mukjizat pengampunan” (True to the Faith: A Gospel Reference [2004], 134).
Biarkan kedamaian masuk dalam hidup kita
Pertaubatan dan pengakuan membawa kedamaian ke dalam hidup kita. Elder Quentin L. Cook menggambarkan kedamaian ini dengan menyatakan: “Apabila terdapat pelanggaran besar, pengakuan diperlukan untuk membawa kedamaian. Tiada ada yang dapat dibandingkan dengan kedamaian yang datang dari jiwa berdosa yang melepaskan bebannya kepada Tuhan dan menuntut berkat Korban Tebusan” (“Personal Peace: The Reward of Righteousness,” Liahona, Mei 2013, 32).
Kadang-kadang orang dalam pertemuan pemulihan atau dalam situasi lain terus menerus mengulangi dosa dan kekurangan mereka. Walaupun mereka sentiasa mengakui kesilapan mereka, mereka tidak pernah menemukan kedamaian. Jangan keliru langkah 5 dengan hasrat obsesif untuk fokus pada perkara negatif. Tujuan langkah 5 adalah sebaliknya. Kita mengikuti langkah 5 bukan untuk berpegang pada hal-hal yang kita akui tetapi untuk melepaskannya.
Setelah kita melengkapkan langkah 5 dengan jujur dan teliti, kita tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Secara luaran kita menunjukkan hasrat kita untuk “melepaskan segala dosa [kita]” (Alma 22:18) supaya kita boleh menerima pengetahuan yang lebih besar tentang kasih Tuhan dan kasih ramai orang yang mengambil berat tentang kita.
Mengkaji dan Memahami
Tulisan suci dan pernyataan berikut daripada pemimpin Gereja boleh membantu dalam pemulihan ketagihan kita. Kita boleh menggunakannya untuk meditasi, kajian, dan jurnal. Kita mesti ingat untuk jujur dan khusus dalam penulisan kita untuk mendapatkan manfaat yang paling banyak daripadanya.
Mengaku kepada Tuhan
“Aku, Tuhan, mengampuni dosa mereka yang mengakui dosa-dosa mereka di hadapan-Ku dan meminta pengampunan” (Ajaran dan Perjanjian 64:7).
-
Bagaimanakah mengakui dosa saya kepada Tuhan membantu saya membuat perubahan positif dalam hidup saya? Bagaimanakah ia memberi saya keberanian dan kekuatan untuk mengaku kepada orang lain?
Fokus pada cara Tuhan melihat kita
“Janganlah seorang pun menyiarkan kesolehannya sendiri; … hendaklah segera dia mengakui dosa-dosanya, dan kemudian dia akan diampuni, dan dia akan menghasilkan lebih banyak buah” (Joseph Smith, dalam History, 1838–1856 [Manuscript History of the Church], jilid C-1 Addenda, 46, josephsmithpapers.org).
-
Satu obsesi utama orang yang berjuang dengan ketagihan adalah hasrat untuk kelihatan baik kepada orang lain. Bagaimanakah hasrat ini menghalang saya daripada bertambah baik dan “menghasilkan lebih banyak buah,” atau perbuatan baik?
-
Bagaimanakah tingkah laku saya akan berubah jika saya lebih mengambil berat tentang cara Tuhan melihat saya?
Bersikap ikhlas
“Barang siapa melanggar hukum-Ku, dia akan kamu hakimi menurut dosa-dosa yang telah dia buat; dan jika dia mengakui dosa-dosanya di hadapanmu dan Aku, dan bertaubat dalam ketulusan hatinya, dia hendaknya kamu ampuni, dan Aku akan mengampuninya juga” (Mosia 26:29).
Apabila kita mengakui dosa kita, kita haruslah ikhlas.
-
Pertimbangkan bagaimana menahan sebahagian daripada pengakuan saya menjejaskan keikhlasan usaha saya. Apakah bahagian inventori saya, jika ada, yang saya tergoda untuk sembunyikan?
-
Apakah yang saya peroleh dengan menyembunyikan bahagian inventori saya ini? Apakah yang saya kehilangan?
-
Bagaimanakah Yesus Kristus memberkati hidup saya jika saya mengakui hal-hal yang paling sukar terlebih dahulu dan memberikannya kepada-Nya?
Mengakui dosa kita sebaik sahaja kita mengenalinya
“Oleh itu pada tahun yang sama ini mereka dibawa pada suatu pengetahuan akan kesilapan mereka dan telah mengakui kesalahan mereka” (3 Nefi 1:25).
-
Ayat ini adalah contoh orang yang tidak berlengah-lengah mengaku kesalahan mereka sebaik sahaja mereka mengenalinya. Apakah manfaat mengaku dosa saya sebaik sahaja saya mengenalinya?
-
Apakah kesan buruk jika saya menangguhkan pengakuan dosa saya?
Melegakan tekanan dan menemukan kedamaian
“Aku tidak akan mengungkit-ungkit jenayah-jenayahmu, untuk menekan jiwamu, jika bukan demi kebaikanmu” (Alma 39:7).
Sesetengah orang mungkin mendakwa bahawa langkah 4 dan 5 terlalu fokus pada hal-hal negatif dan hanya menambahkan tekanan pemulihan. Dalam ayat ini, kita belajar bahawa menyedari kekurangan kita dan menghadapi kesilapan kita akan membantu kita dalam pemulihan.
-
Bagaimanakah langkah 4 dan 5 boleh melegakan saya dari tekanan dan memberi saya lebih banyak kedamaian?
Meninggalkan dosa
“Dengan ini kamu boleh mengetahui jika seseorang bertaubat dari dosa-dosanya—lihatlah, dia akan mengakuinya dan meninggalkannya” (Ajaran dan Perjanjian 58:43).
-
Meninggalkan sesuatu bermakna tinggalkan atau melepaskannya sepenuhnya. Bagaimanakah mengakui dosa saya menunjukkan hasrat saya untuk meninggalkan cara lama saya?