“Langkah 4: Buat inventori moral bertulis yang penuh renungan dan berani tentang diri kita,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)
“Langkah 4,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan
Langkah 4: Buat inventori moral bertulis yang penuh renungan dan berani tentang diri kita.
Asas Utama: Kebenaran
Tujuan langkah 4 adalah untuk melihat masa lalu kita untuk lebih memahami kelemahan kita dan mengenali apa yang menghalang kita daripada menjadi seperti Juruselamat dan melayani orang lain. Contohnya, ketakutan, mempersolehkan, dan penafian mengaburi keupayaan kita untuk melihat hal-hal dengan jelas. Tetapi kita tidak boleh mengubah sesuatu jika kita tidak menyedarinya sepenuhnya. Inventori kita membantu kita memahami segala-galanya yang menghalang proses pemulihan kita. Menulis inventori kita memerlukan kita untuk jujur dengan diri sendiri tentang siapa kita dan di mana kita berada supaya kita kemudian boleh meminta Tuhan untuk membantu kita berubah, menjadi lebih baik, dan sembuh.
Kita semua telah mengalami hal-hal yang sangat sukar. Hati kita telah patah, dan kita mempunyai parut emosi yang menyakitkan. Kita berpaling kepada bahan dan tingkah laku ketagihan yang mengebaskan rasa sakit, dan kemudian kita membuat pilihan untuk terus mencari kelegaan sementara ini. Tingkah laku ini menyebabkan lebih banyak kesakitan, yang memberi kita lebih banyak alasan untuk menggunakan ketagihan untuk mengatasi. Kesakitan hidup dan tingkah laku ketagihan kita menjadi gunung malu yang kita cuba sembunyikan, lupa, atau menafikan.
Ketagihan, ketakutan, dan penafian kita melumpuhkan keupayaan kita untuk merenungkan dengan jujur tentang hidup kita. Kita menafikan atau tidak memahami kerosakan dan huru-hara yang disebabkan oleh ketagihan kita dalam hubungan kita. Oleh itu, kita melakukan semua yang kita boleh untuk lupa, mempersolehkan, atau berbohong kepada diri sendiri untuk mengatasi kesakitan kita. Akibatnya, kita tidak dapat mengenali banyak kesalahan kita atau kita cuba melupakannya. Kita telah berbohong kepada diri sendiri dengan begitu meyakinkan bahawa banyak masa lalu kita sekarang tidak lagi dapat dilihat. Penaja kita dan orang lain dalam kumpulan pemulihan meminta kita untuk melakukan kerja keras dan mengakui pada diri sendiri apa yang mungkin kita lupa atau tidak mahu melihat. Hanya dengan itu kita dapat memahami bahawa kita memerlukan Juruselamat untuk menyembuhkan kita.
Pemikiran menyemak masa lalu kita dan kemudian menulisnya kelihatan terlalu membebankan dan kadang-kadang mustahil. Ia memerlukan banyak usaha dan kerja untuk melakukan ini. Kita perlu menyelidiki hati dan minda kita untuk mengingati pengalaman masa lalu kita, dan sukar bagi kita untuk menulisnya. Yang penting ialah duduk dan mula menulis. Ini memaksa kita untuk berlatih kepercayaan baharu kita dalam Tuhan. Harapan kita agar kita dapat sembuh, diampuni, dan dibebaskan dari perhambaan memberi kita keberanian untuk mencuba. Kita meminta Tuhan membantu kita mengatasi ketakutan kita. Kita meminta Dia untuk membantu kita mengingati dan menghadapi kesalahan dan kesakitan kita dengan keberanian. Dia mendengar kita dan ada untuk kita.
Penaja kita sangat penting dalam membantu kita dengan berani maju terus dengan langkah ini. Kerana mereka telah mengambil langkah ini sendiri, mereka dapat menggalakkan dan membantu kita melihat masa lalu kita dengan jelas. Kita tidak melakukannya dengan sempurna, tetapi kita melakukan yang terbaik. Dan akhirnya, ia sudah cukup. Dengan mengenali dan menemui hal-hal yang merosakkan dalam hidup kita, kita telah mengambil langkah yang perlu dalam membetulkannya. Kita juga mendapati ia berguna untuk mengenali kebaikan pada masa lalu dan memasukkan dalam inventori kita hal-hal positif yang telah kita lakukan dan kekuatan yang telah kita usahakan. Langkah 4 membantu kita memberi Tuhan laporan jujur tentang siapa kita, termasuk kelemahan dan kekuatan kita.
Senarai bertulis berisi dendam, ketakutan, bahaya, dan kekuatan kita menjadi aset kritikal dalam perjalanan pemulihan kita. Apabila kita akhirnya maju ke langkah 6 dan 7, kita akan menggunakan inventori kita untuk menyemak kelemahan yang membuat kita terus terperangkap dalam kitaran yang merosakkan. Contohnya, keangkuhan dan ketakutan yang menahan kita daripada bertanggungjawab atas kesalahan kita, yang menyebabkan kita merosakkan hubungan dan kepercayaan. Kemudian, ketika kita menghampiri langkah 8 dan 9, orang-orang dari inventori kita adalah orang-orang yang kita akan ada peluang untuk memaafkan dan membuat pampasan.
Langkah Tindakan
Ini adalah program tindakan. Kemajuan kita bergantung pada menerapkan langkah-langkah ini secara konsisten dalam kehidupan seharian kita. Ini dikenali sebagai “mengerjakan langkah-langkah.” Tindakan berikut membantu kita datang kepada Kristus dan menerima arahan dan kuasa yang diperlukan untuk mengambil langkah seterusnya dalam pemulihan kita.
Tulis inventori dengan bantuan penaja
Langkah ini adalah di mana kita mula melaksanakan iman kita melalui perbuatan kita (lihat Yakobus 2:17–18). Bagi kebanyakan kita, ini adalah langkah paling sukar. Ia mungkin mencabar, menyakitkan, dan membebankan, dan kita mungkin berasa kita perlu mengambil kira segala-galanya pada masa lalu kita. Namun, menulis inventori kita tidak perlu menjadi tugas yang mustahil. Kita boleh duduk, berdoa, dan mula menulis, bahkan jika kita menulis hanya satu soalan atau peristiwa pada satu masa.
Sila semak contoh dan asas dalam lampiran (contohnya, lembaran kerja). Kita boleh menggunakan salah satu contoh ini sebagai templat untuk membantu kita bermula. Jika kita terlalu merumitkan proses ini, lebih sukar bagi kita untuk bermula atau maju. Oleh itu, apabila menulis inventori pertama kita, mungkin lebih baik untuk memastikan ia mudah. Kita sentiasa boleh kembali lagi semasa kita terus mengerjakan langkah-langkah itu. Sila bekerjasama dengan penaja anda semasa anda menulis inventori anda. Tuhan memberkati kita semasa kita melakukan kerja ini, dan kita tidak akan menyesalinya.
Mengkaji dan Memahami
Tulisan suci dan pernyataan berikut dari pemimpin Gereja boleh membantu dalam pemulihan ketagihan kita. Kita boleh menggunakannya untuk meditasi, kajian, dan jurnal. Kita harus jujur dan khusus dalam penulisan kita untuk mendapatkan manfaat yang paling banyak daripadanya.
Ketagihan adalah gejala
“Sebab seperti orang yang membuat perhitungan dalam dirinya sendiri, demikianlah ia” (lihat Amsal 23:7).
Ramai kita menganggap ketagihan kita adalah masalah fizikal. Kita terkejut mengetahui bahawa pemikiran, perasaan, dan kepercayaan kita adalah akar tingkah laku ketagihan kita. Gabungan sukar otak, badan, dan sikap kita adalah apa yang seolah-olah membuat kita terperangkap. Kita menyedari bahawa tingkah laku ketagihan kita bukanlah masalah utama kita tetapi suatu penyelesaian yang berbahaya kepada masalah sebenar kita.
-
Bagaimana perspektif tentang ketagihan saya ini dapat membantu saya maju terus dalam menulis inventori saya?
Buat inventori
Dalam tulisan suci, kita melihat banyak jemputan untuk melihat diri kita dengan teliti dan jujur. Contoh yang indah terdapat dalam Alma 5:14. Nabi Alma bertanya soalan-soalan inventori ini: “Adakah kamu secara rohani telah dilahirkan daripada Tuhan? Adakah kamu telah menerima rupa-Nya pada air mukamu? Adakah kamu telah mengalami perubahan yang hebat ini dalam hatimu?” Kami cadangkan mengkaji seluruh bab 5 dalam kitab Alma untuk lebih banyak contoh soalan inventori yang kita boleh tanyakan kepada diri sendiri.
Membuat inventori di mana kita berada pada masa ini sangat membantu. Contohnya, perniagaan yang tidak kerap membuat inventori aset dan liabilitinya biasanya tidak berkembang maju. Membuat inventori adalah peluang untuk pemilik perniagaan untuk menentukan secara objektif apa yang berharga dan harus dikekalkan dan apa yang memudaratkan dan harus dibuang. Jika pemilik perniagaan jatuh ke dalam perangkap ketidakjujuran dan menipu diri mereka tentang sifat sebenar inventori, mereka tidak akan dapat membuat keputusan yang tepat tentang nilai barangan mereka.
Begitu juga, adalah penting untuk kita jujur melihat pada hidup dan perwatakan kita.
-
Semasa saya berdoa dan meminta Tuhan membantu saya bersikap jujur, apakah yang Roh Kudus ajarkan saya tentang kecenderungan saya untuk menafikan realiti keadaan saya?
-
Bagaimanakah saya menipu diri tentang kelemahan saya?
-
Bagaimanakah saya gagal melihat nilai dan kekuatan sebenar saya?
Hadapi masa lalu kita
“Dan apabila aku berhasrat untuk bersukacita, hatiku mengerang akibat dosa-dosaku; walaupun demikian, aku tahu kepada siapa aku telah percaya” (2 Nefi 4:19).
Semasa melakukan inventori kita, ada kalanya hati kita merintih kerana dosa-dosa kita dan kesakitan yang kita hadapi.
-
Bagaimanakah mempercayai Tuhan boleh membantu saya semasa saya melengkapkan inventori saya dan menghadapi dosa dan kesakitan saya?
Percayalah bahawa Dia akan menyembuhkan kita
“Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Tuhan dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu” (Amsal 3:5–6).
Inventori boleh membantu kita melihat keseluruhan gambar. Ia membantu kita menyedari pemikiran, perasaan, dan tindakan kita serta siapa yang terjejas akibat pilihan kita. Dua tema biasa dalam banyak inventori kita adalah ketakutan dan terlalu bergantung pada diri sendiri. Komitmen yang kita buat dalam langkah 3 ialah mempercayai Tuhan dan proses pemulihan ini. Inventori kita adalah langkah pemulihan seterusnya dan akan memberi kita idea sebenar tentang bagaimana untuk meneruskan.
-
Bagaimanakah hidup dan pilihan saya berbeza jika saya melepaskan keangkuhan dan memilih untuk bergantung dan mempercayai Tuhan?
-
Apakah keengganan saya untuk maju terus dalam komitmen saya untuk memalingkan hidup saya dan kehendak saya ke dalam penjagaan Tuhan?
-
Apabila saya bertanya kepada Tuhan jika Dia akan menjaga saya dalam setiap langkah pemulihan saya, apakah jawapan yang saya terima dalam hati dan fikiran saya melalui Roh Kudus? Ingatlah bahawa cara Tuhan menjaga kita mungkin berbeza daripada apa yang akan kita pilih untuk diri sendiri.
Penyakit rohani
“Kadang-kadang penyakit rohani datang sebagai akibat dosa atau luka-luka emosi. Kadang-kadang kerosakan rohani datang dengan begitu perlahan sehingga kita hampir tidak dapat tahu apa yang berlaku. Seperti lapisan batu sedimen, kesakitan dan kesedihan rohani boleh tambah mengikut masa, membebani jiwa kita sehingga ia hampir terlalu berat untuk menanggung. …
“Tetapi walaupun cabaran rohani wujud, cabaran rohani boleh diubati.
“Kita dapat sembuh secara rohani.
“Bahkan luka-luka rohani yang paling mendalam—ya, bahkan luka yang nampak tidak boleh diubati—boleh diubati” (Dieter F. Uchtdorf, “Pembawa Cahaya Syurgawi,” Liahona, Nov. 2017, 78).
Pertimbangkan tiga hal terburuk yang telah anda lakukan dalam hidup anda. Adakah anda dekat dengan Juruselamat dan Roh-Nya ketika anda melakukan hal-hal itu? Jika anda seperti kami, anda tidak terbuka kepada Roh-Nya. Ramai yang dalam pemulihan memanggil jurang ini sebagai “sakit secara rohani.”
-
Apabila saya menuruti tingkah laku ketagihan dan yang salah, adakah saya sakit secara rohani? Mengapa ya atau mengapa tidak?
Berdendam
Sebahagian besar inventori kita adalah untuk mencatat rasa dendam kita. Ini termasuk dendam yang kita pegang terhadap orang, institusi, dan hal lain yang kita rasa membahayakan kita atau memperlakukan kita secara tidak adil. Menyimpan rasa dendam telah menjadi salah satu kuasa yang paling beracun dan memudaratkan dalam ketagihan kita. Ia membuat kita bertentangan dengan orang lain dan menyebabkan kita mempersolehkan pilihan berbahaya atau sikap tidak acuh kita sendiri.
Kita menemukan bantuan syurgawi untuk melihat orang lain dalam cahaya baharu dan penuh kasih ihsan semasa kita membuat pilihan sedar untuk berdoa untuk mereka dan meminta Tuhan memberkati mereka dengan setiap berkat yang kita akan cari untuk diri kita sendiri. “Pengampunan memerlukan keberanian dan kerendahan hati yang besar. Ia juga boleh mengambil masa. Ia memerlukan kita untuk meletakkan iman dan kepercayaan kita kepada Tuhan semasa kita mengambil tanggungjawab untuk keadaan hati kita. Di sini terdapat kepentingan dan kuasa hak pilihan kita” (Amy A. Wright, “Kristus Menyembuhkan Apa Yang Telah Hancur,” Liahona, Mei 2022, 82).
-
Bolehkah saya memilih untuk mengambil perspektif baharu tentang orang yang saya benci? Mungkinkah mereka, seperti saya, telah sakit secara rohani dan terputus dari Tuhan apabila mereka menganiaya saya?
-
Jika saya bergelut dengan ini, bagaimanakah saya boleh mengubah cara saya berdoa untuk orang-orang ini?