Ketagihan
Langkah 7: Dengan rendah hati meminta Bapa Syurgawi untuk menyingkirkan kekurangan kita


“Langkah 7: Dengan rendah hati meminta Bapa Syurgawi untuk menyingkirkan kekurangan kita,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)

“Langkah 7,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan

tangan berpaut

Langkah 7: Dengan rendah hati meminta Bapa Syurgawi untuk menyingkirkan kekurangan kita.

4:19

Asas Utama: Kerendahan Hati

Semua langkah sebelumnya telah menyediakan kita untuk langkah ini. Langkah 1 membantu kita untuk merendahkan hati dan mengakui bahawa kita tidak berdaya mengatasi ketagihan kita. Langkah 2 dan 3 membantu kita mempunyai iman dan keyakinan yang cukup kepada Tuhan untuk meminta bantuan-Nya. Inventori kita daripada langkah 4 membantu kita melihat perwatakan dan tingkah laku kita dengan lebih jelas. Mengerjakan langkah 5 menunjukkan keberanian kita untuk jujur dengan Tuhan, diri sendiri, dan orang lain. Langkah 6 membantu kita menjadi bersedia dan rela untuk melepaskan kelemahan perwatakan kita. Kita kini bersedia untuk mengambil langkah 7. Kita fokus pada “BAGAIMANA” mengerjakan setiap langkah: menjadi rendah hati, berfikiran terbuka, dan rela.

Semua langkah memerlukan kerendahan hati, tetapi langkah 7 paling memerlukannya: “Dengan rendah hati meminta Bapa Syurgawi untuk menyingkirkan kekurangan kita.” Semasa kita mengerjakan beberapa langkah pertama dalam pemulihan, kita belajar bahawa tidak kira betapa kerasnya kita berusaha sendiri, kita tidak boleh berubah atau menemukan pemulihan tanpa bantuan Tuhan. Langkah ini tiada berbezanya. True to the Faith [Teguh pada Iman] menggambarkan kerendahan hati seperti berikut: “Menjadi rendah hati adalah mengakui kebergantungan anda pada Tuhan—untuk memahami bahawa anda sentiasa memerlukan sokongan-Nya” (True to the Faith: A Gospel Reference [2004], 86).

Sesetengah kita mula kembali ke dalam cara lama kita dan cuba berubah sendiri. Tetapi semasa kita menyedari banyak kesalahan dan kelemahan kita, kita belajar bahawa kita perlu bergantung kepada bantuan Tuhan untuk berubah. Dalam mengerjakan langkah 7, kita tidak dikecualikan daripada kerja yang adalah tanggungjawab kita. Kita harus bersabar dan “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus” (2 Nefi 31:20). Kita memerlukan peringatan yang konsisten untuk berpaling kepada Tuhan dan meminta bantuan-Nya.

Kita tertanya-tanya bagaimana mukjizat ini akan berlaku untuk kita. Ia berbeza bagi setiap kita, tetapi terdapat beberapa persamaan. Jarang sekali orang mengalami perubahan dramatik dan mendadak pada perwatakan mereka; proses beransur-ansur langkah 6 dan 7 biasanya berlaku seperti yang dijelaskan oleh Elder David A. Bednar:

“Kita sebagai ahli Gereja cenderung menekankan pernyataan rohani yang mengagumkan dan dramatik sehingga kita mungkin gagal menghargai dan mungkin pola biasa Roh Kudus melaksanakan pekerjaan-Nya, … [iaitu melalui] tanggapan rohani yang kecil dan berperingkat” (“The Spirit of Revelation,” Liahona, Mei 2011, 88).

Apabila kita memilih untuk berserah kepada Tuhan dan menyelaraskan kehendak kita dengan kehendak-Nya, hari-hari kita penuh dengan detik-detik kecil di mana Dia menjemput kita untuk berhenti sejenak dalam cara lama respon kita dan sebaliknya bergantung pada kuasa-Nya untuk membantu, mengangkat, dan mengasihi. Sister Rebecca L. Craven mengajar: “Jangan berputus asa. Perubahan adalah proses seumur hidup. … Dalam perjuangan kita untuk berubah, Tuhan bersabar dengan kita” (“Mengekalkan Perubahan,” Liahona, Nov. 2020, 59).

Sama ada ketagihan kita terhadap alkohol, dadah, perjudian, nafsu seksual, pola pemakanan yang merosakkan diri sendiri, perbelanjaan kompulsif, atau tingkah laku ketagihan lain atau bahan ketagihan lain yang telah kita gunakan untuk mengatasi tekanan dalam hidup, Juruselamat akan “menyokong [kita] menurut kelemahan [kita]” (Alma 7:12). Apabila kita bersedia untuk berubah dengan datang kepada Yesus Kristus, kita mengalami kuasa penyembuhan-Nya.

Semasa mengerjakan langkah ini, ramai kita mendapati bahawa kita perlu melawan kecenderungan untuk berasa malu. Melihat pada kekurangan kita menimbulkan perasaan bahawa kita tidak cukup baik atau kita telah gagal lagi. Tetapi mengerjakan langkah-langkah ini dan datang kepada Kristus memberi kita cara baharu untuk melihat diri sendiri. Kita merasakan kasih Tuhan kepada kita sebagai putera dan puteri terkasih-Nya. Kasih ini membantu kita melawan perasaan malu dan kasihan diri.

Kita mula melihat kekurangan dan kelemahan kita sebagai peluang untuk merendahkan hati memohon bantuan Tuhan untuk maju terus dalam perjalanan pemulihan kita.

Langkah Tindakan

Ini adalah program tindakan. Kemajuan kita bergantung pada menerapkan langkah-langkah ini secara konsisten dalam kehidupan seharian kita. Ini dikenali sebagai “mengerjakan langkah-langkah.” Tindakan berikut membantu kita datang kepada Kristus dan menerima arahan dan kuasa yang diperlukan untuk mengambil langkah seterusnya dalam pemulihan kita.

Mintalah kepada Tuhan untuk melakukan apa yang kita tidak dapat lakukan untuk diri kita sendiri

Bagaimanakah kita menjalani langkah 7 setiap hari? Kita berhenti seketika apabila kehendak diri kita kembali atau ketika kita melihat kelemahan kita. Pada saat-saat ini, kita berserah dan mendengar. Kita ingat bahawa kita tidak berdaya untuk mengubah diri sendiri tanpa bantuan, dan kita percaya bahawa Tuhan boleh mengubah kita. Kemudian kita maju terus dengan bergantung pada-Nya. Kita melepaskan apa yang tidak dapat kita lakukan, dan kita meminta Tuhan untuk membantu kita.

Ini memerlukan untuk berpaling kepada Tuhan dalam doa. “Setiap kita mempunyai masalah yang tidak dapat kita selesaikan dan kelemahan yang tidak dapat kita takluki tanpa menjangkau melalui doa kepada sumber kekuatan yang lebih tinggi” (James E. Faust, “The Lifeline of Prayer,” Ensign, Mei 2002, 59).

Apabila kita berdoa dengan penuh bermakna dan dengan niat, kita boleh mengakses kasih Tuhan. Apabila kita berhubung dengan Tuhan di masa dan tempat yang damai, kita boleh membina dan mengukuhkan hubungan kita dengan Tuhan. Dengan doa yang ringkas di dalam hati kita, seperti, “Tuhan, apa yang Engkau mahu saya lakukan?” (Kisah Rasul-Rasul 9:6) atau “Jadilah kehendak-Mu” (Ajaran dan Perjanjian 109:44), kita akan terus mengingati kebergantungan kita kepada Tuhan. Kasih kita kepada Tuhan dan kasih-Nya kepada kita akan membantu kita membentuk hubungan di mana kita boleh kita memberikan diri kita sepenuhnya.

Mengkaji doa sakramen

Doa sakramen adalah ungkapan indah kerendahan hati dan niat di sebalik langkah 7. Kita berpeluang untuk mengambil sakramen setiap minggu dan merenungkan kata-kata doa sakramen.

Kami mencadangkan membaca Moroni 4:3; 5:2 dan dengan rendah hati menerapkan kata-kata kudus ini dengan suara anda sendiri seperti berikut: “Ya Tuhan, Bapa Yang Abadi, [Saya] mohon kepada-Mu dalam nama Putera-Mu, Yesus Kristus, untuk memberkati dan menguduskan roti ini bagi [jiwa saya semasa saya] mengambilnya; agar [saya] boleh makan sebagai peringatan akan tubuh Putera-Mu, dan bersaksi kepada-Mu, Ya Tuhan, Bapa Abadi, bahawa [saya] bersedia mengambil ke atas diri [saya] nama Putera-Mu, dan selalu mengingati-Nya, dan taat kepada perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada [saya], agar [saya] boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama [saya]” (Moroni 4:3).

Semasa kita memikirkan doa sakramen dalam cara ini, kita boleh mendekati Juruselamat secara lebih peribadi dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal. Semasa kita berfikir tentang kelemahan kita atau apa-apa kesilapan yang mungkin kita lakukan, kita kemudian boleh memalingkan hati kita kepada-Nya. Kita boleh meminta Dia untuk membantu kita bertaubat, menjadi lebih baik, dan menyingkirkan kekurangan ini.

Mengkaji dan Memahami

Tulisan suci dan pernyataan berikut dari pemimpin Gereja boleh membantu dalam pemulihan kita. Kita boleh menggunakannya untuk meditasi, kajian, dan jurnal. Kita harus jujur dan khusus dalam penulisan kita untuk mendapatkan manfaat yang paling banyak daripadanya.

Rahmat-Nya mencukupi

“Dan jika manusia datang kepada-Ku, aku akan memperlihatkan kepada mereka kelemahan mereka. Aku memberikan kepada manusia kelemahan agar mereka boleh merendahkan hati; dan rahmat-Ku cukup untuk semua orang yang merendahkan hati mereka di hadapan-Ku; kerana jika mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan beriman kepada-Ku, maka Aku akan menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat bagi mereka” (Eter 12:27).

Sebagai fana dan tidak sempurna, kita semua tertakluk kepada banyak kelemahan. Dalam ayat ini, Tuhan menjelaskan bahawa tujuan-Nya dalam membenarkan kita mengalami kefanaan dan menghadapi kelemahan tersebut adalah untuk membantu kita menjadi rendah hati. Perhatikan bahawa kita memilih untuk merendahkan diri.

  • Apakah maksud frasa “rahmat-Ku cukup untuk semua orang” bagi saya?

  • Adakah saya mempunyai iman bahawa rahmat Tuhan cukup untuk saya?

  • Apakah maksud untuk merendahkan hati diri di hadapan Tuhan?

  • Senaraikan beberapa kelemahan perwatakan anda. Di sebelahnya, senaraikan kekuatan yang ia boleh menjadi semasa anda datang kepada Kristus.

Memilih untuk menjadi rendah hati

“Seperti yang aku katakan kepadamu, bahawa kerana kamu dipaksa untuk menjadi rendah hati kamu diberkati, tidakkah kamu mengira bahawa mereka lebih diberkati yang benar-benar merendahkan hati mereka akibat firman?” (Alma 32:14).

Kebanyakan kita datang ke pertemuan pemulihan dalam keadaan terdesak; kita didorong oleh akibat ketagihan kita. Kita terpaksa menjadi rendah hati. Namun, kerendahan hati yang digambarkan dalam langkah ini adalah secara sukarela. Ia adalah hasil daripada pilihan kita sendiri untuk merendahkan hati kita sendiri.

  • Bagaimanakah perasaan rendah hati saya berubah sejak saya mulakan pemulihan?

Dipenuhi dengan kebahagiaan

“Mereka telah melihat diri mereka dalam keadaan badaniah mereka sendiri, bahkan lebih rendah daripada debu bumi. Dan mereka semua berseru nyaring dengan satu suara, mengatakan: Ya berbelas kasihanlah, dan kenakanlah darah korban tebusan Kristus agar kami boleh menerima pengampunan dosa-dosa kami, dan hati kami boleh dimurnikan; kerana kami percaya kepada Yesus Kristus, Putera Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi, dan segala sesuatu; yang akan turun ke kalangan anak-anak manusia.

Dan terjadilah bahawa setelah mereka mengucapkan kata-kata ini Roh Tuhan datang ke atas diri mereka, dan mereka dipenuhi dengan kebahagiaan, setelah menerima pengampunan dosa-dosa mereka, dan memperoleh kedamaian hati nurani, kerana iman yang amat besar yang mereka punyai kepada Yesus Kristus yang akan datang” (Mosia 4:2–3).

Rakyat Raja Benyamin mempersembahkan jenis doa yang kita lakukan semasa kita mengikuti langkah 7. Mereka merasakan kedamaian dan kebahagiaan apabila Roh Tuhan turun ke atas mereka dan memberi mereka pengampunan dosa-dosa mereka.

  • Apakah pengalaman yang saya alami apabila saya merasakan kedamaian dan kebahagiaan?

  • Bagaimana perasaan adanya kedamaian dan kebahagiaan dalam hidup saya setiap hari?

Mematuhi perintah

“Tetaplah besatu dengan Aku dan Aku pun akan tetap bersatu dengan kamu. Carang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya. Demikian juga kamu; kamu hanya dapat berbuah, jika kamu tetap bersatu dengan Aku.

Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa. …

“Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.

“Semua ini Aku katakan kepada kamu, supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna” (Yohanes 15:4–5, 10–11).

  • Apa maksud jika saya mematuhi perintah-perintah Juruselamat, “[Saya akan] tetap di dalam kasih [Dia]?” (ayat 10).

  • Menurut ayat-ayat ini, apakah beberapa berkat yang dijanjikan apabila mengasihi-Nya?

  • Apakah perasaan saya hari ini tentang mentaati perintah-perintah Juruselamat?

  • Bagaimanakah mentaati perintah-perintah merupakan ungkapan kasih saya kepada Tuhan?

Kasih Tuhan

“Apabila kita utamakan Tuhan, semua hal lain berada di tempat yang sepatutnya atau tercicir daripada kehidupan kita. Kasih kita kepada Tuhan akan mengawal tuntutan hasrat kita, masa kita, minat yang kita kejar, dan susunan keutamaan kita” (Ezra Taft Benson, “The Great Commandment—Love the Lord,” Ensign, Mei 1988, 4).

Mengetahui belas kasihan dan kebaikan Tuhan setakat ini, kita mungkin telah mula merasakan kasih Tuhan—bagi-Nya dan daripada-Nya.

  • Adakah saya merasakan peningkatan kasih semasa mengerjakan langkah-langkah ini? Jika ya, mengapa?

  • Bagaimanakah mengerjakanlangkah 7 membantu saya menyelaraskan keutamaan saya dan mengutamakan Tuhan dalam hidup saya?

Mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus

“Dan sekarang, kerana perjanjian yang telah kamu buat, kamu akan disebut anak-anak Kristus, para putera-Nya, dan para puteri-Nya; …

“… Aku menghendaki agar kamu patut mengambil ke atas dirimu nama Kristus, kamu semua yang telah masuk ke dalam perjanjian dengan Tuhan bahawa kamu harus patuh sampai akhir hidupmu. …

“Barang siapa melakukan ini akan didapati pada sisi kanan Tuhan, kerana dia akan mengetahui nama yang dengannya dia dipanggil; kerana dia akan dipanggil dengan nama Kristus” (Mosia 5:7–9).

  • Apakah maksud dipanggil dengan nama Kristus dan untuk mewakili Dia?

  • Apakah yang saya perlu lakukan untuk ditemui di sebelah tangan kanan Tuhan?

  • Apa yang saya berjanji untuk lakukan apabila saya dibaptiskan dan apabila saya mengambil sakramen? Lihat Mosia 5:7–9; 18:8–10, 13; Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79.

  • Apakah perasaan saya apabila saya memikirkan kesediaan Juruselamat untuk memberi saya nama-Nya sebagai pertukaran untuk membuat perjanjian dengan-Nya untuk mematuhi dan melayani-Nya, yang termasuk melepaskan kekurangan saya?

Menyerahkan kelemahan kita

“Sebuah agama yang tidak menuntut pengorbanan segala hal tidak akan pernah memiliki kekuatan yang cukup untuk menghasilkan iman yang diperlukan bagi kehidupan dan keselamatan” (Lectures on Faith [1985], 69).

  • Sesetengah orang membaca kata-kata ini dan berfikir “segala hal” merujuk kepada semua harta benda. Bagaimanakah menyerahkan semua kelemahan saya kepada Tuhan telah meningkatkan pemahaman saya tentang maksud untuk mengorbankan segala hal?