“Langkah 10: Teruskan membuat inventori peribadi, dan apabila kita salah, segera mengakuinya,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)
“Langkah 10,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan
Langkah 10: Teruskan membuat inventori peribadi, dan apabila kita salah, segera mengakuinya.
Asas Utama: Pertanggungjawaban Harian
Langkah 10 membantu kita maju dalam cara hidup baharu kita yang berfikiran rohani. Ini tentang memastikan diri kita bertanggungjawab setiap hari melalui penilaian peribadi, menerima apa yang kita temui, dan segera bertaubat. Kita tidak sempurna dan akan terus melakukan kesilapan dalam hidup kita serta dalam pemulihan kita. Sesetengah kita mungkin bimbang bahawa kita tidak dapat maju dalam pemulihan kita melainkan kita melengkapkan setiap langkah dengan sempurna atau hidup tanpa kesilapan. Langkah 10 melindungi kita daripada tekanan untuk hidup dengan sempurna. Kita diingatkan bahawa kita sentiasa memerlukan Tuhan semasa kita maju dalam pemulihan kita.
Dalam Kitab Mormon, Alma mengajarkan bahawa perubahan hati yang hebat memerlukan iman dalam Penebusan dan Kebangkitan Kristus (lihat Alma 5:14–15). Menggunakan senario Hari Penghakiman dan menyediakan pelbagai contoh soalan yang boleh kita tanyakan kepada diri sendiri, Alma menekankan peranan utama penilaian diri yang jujur dalam membuka diri kita kepada kuasa penebusan Kristus. Kita boleh menerapkan asas ini dengan bertanya jenis soalan yang Alma cadangkan tentang perasaan, pemikiran, motif, dan tingkah laku kita. Penilaian peribadi harian dan bantuan penebusan Tuhan boleh menghalang kita daripada tergelincir ke dalam penafian, kelekaan, dan berulang.
Proses pemulihan yang luar biasa adalah tentang membenarkan Tuhan mengubah fikiran, perasaan, dan hati kita. Hasilnya, tingkah laku kita akan berubah. Mereka yang telah melaluinya sebelum kita menggalakkan kita untuk memerhatikan keangkuhan dalam segala bentuknya dan dengan rendah hati membawa kelemahan kita kepada Bapa Syurgawi. Pertanggungjawaban harian membantu kita mengenali apabila kita memerlukan bantuan dan menghalang kita daripada kembali kepada tabiat lama.
Adalah normal untuk mempunyai pemikiran dan perasaan negatif. Apabila kita bimbang atau berasa kasihan diri, resah, berdendam, nafsu, atau takut, kita boleh segera berpaling kepada Bapa dan meminta Dia memberkati kita dengan kedamaian dan perspektif. Kita juga mungkin mendapati bahawa kita masih berpegang pada kepercayaan negatif. Kita boleh meminta Bapa di Syurga untuk membantu kita membuat usaha yang jujur untuk berubah. Dalam mengerjakan langkah 10, kita tidak lagi merasakan keperluan untuk mempersolehkan, merasionalkan, atau menyalahkan. Matlamat kita adalah untuk memastikan hati kita terbuka dan minda kita fokus pada Juruselamat dan rahmat-Nya.
Kita mengerjakan langkah 10 dengan membuat inventori harian. Semasa kita merancang hari kita, kita dengan penuh doa memeriksa tindakan kita dan motif: Adakah kita melakukan terlalu banyak atau terlalu sedikit? Adakah kita menjaga keperluan asas rohani, emosi, dan fizikal kita? Adakah kita melayani orang lain? Adakah terdapat situasi dalam hari kita yang sukar atau tertekan? Adakah kita memerlukan bantuan orang lain untuk menangani hal-hal yang sukar ini? Adakah kita melihat sebarang tingkah laku atau pola pemikiran lama? Soalan-soalan seperti ini membantu kita hidup dengan berniat, menguatkan pemulihan kita, dan mendekatkan kita kepada Yesus Kristus.
Kita boleh menilai diri kita pada bila-bila masa dengan meluangkan masa untuk berfikir, merenung, dan menerapkan langkah-langkah yang telah kita pelajari. Apabila kita mendapati diri kita berada dalam krisis, kita boleh tanya diri sendiri dan Tuhan, “Apakah kelemahan perwatakan diri saya yang tercetus? Apakah yang telah saya lakukan sehingga menyumbang kepada masalah ini? Apakah yang saya boleh katakan atau lakukan tanpa berpura-pura yang ia akan membawa kepada penyelesaian untuk saya dan orang lain?” Kita boleh mengingatkan diri sendiri, “Tuhan mempunyai segala kuasa. Saya akan berikan ini kepada-Nya dan mempercayai-Nya.”
Setiap kali kita mengambil tindakan negatif terhadap orang lain, kita boleh menebus kesalahan secepat mungkin. Mengetepikan keangkuhan kita dan berkata dengan ikhlas, “Saya salah” adalah sama pentingnya dalam memulihkan hubungan seperti berkata, “Saya sayang anda.”
Pada akhir hari, kita menilai bagaimana hal-hal berjalan. Apakah hasilnya? Adakah kita masih perlu berunding dengan Tuhan tentang sebarang tingkah laku, fikiran, atau perasaan negatif? Kita juga boleh bercakap dengan ahli keluarga, kawan, penaja, atau penasihat yang dipercayai untuk membantu kita melihat sesuatu dengan lebih jelas.
Sudah tentu, kita akan terus melakukan kesilapan walaupun telah berusaha. Tetapi pertanggungjawaban harian adalah komitmen untuk menerima tanggungjawab atas kesilapan ini. Semasa kita meneliti pemikiran dan tindakan kita setiap hari, menyelesaikannya, dan bertaubat melalui Juruselamat, pemikiran dan perasaan negatif akan hilang.
“Tiada apa-apa pun yang lebih membebaskan, lebih memuliakan, mahupun lebih penting bagi kemajuan individu kita daripada fokus harian yang tetap tentang pertaubatan. Pertaubatan bukanlah sebuah peristiwa tetapi sebuah proses. Ia merupakan kunci kepada kegembiraan dan kedamaian minda. Ketika digabungkan dengan iman, pertaubatan membuka akses kepada kuasa Korban Tebusan Yesus Kristus [lihat 2 Nefi 9:23]” (Russell M. Nelson, “Kita Boleh Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona, Mei 2019, 67).
Pertanggungjawaban harian, atau pertaubatan harian, membantu kita mengalami kegembiraan dan kebebasan yang Juruselamat tawarkan kepada kita. Kita tidak lagi hidup terasing daripada Tuhan atau orang lain. Kita boleh mempunyai kekuatan dan iman untuk menghadapi kesukaran dan mengatasinya. Kita boleh bergembira dengan kemajuan kita dan percaya bahawa amalan dan kesabaran akan memastikan pemulihan berterusan.
Langkah Tindakan
Ini adalah program tindakan. Kemajuan kita bergantung pada menerapkan langkah-langkah ini secara konsisten dalam kehidupan seharian kita. Ini dikenali sebagai “mengerjakan langkah-langkah.” Tindakan berikut membantu kita datang kepada Kristus dan menerima arahan dan kuasa yang diperlukan untuk mengambil langkah seterusnya dalam pemulihan kita.
Persediaan rohani untuk setiap hari
Bahagian penting dalam pertanggungjawaban harian adalah untuk merancang hari kita, mengikuti rancangan kita, dan kemudian menyemak bagaimana hal-hal berjalan di akhir hari. Apabila kita melakukan ini, kita dilindungi daripada hanyut kembali ke tabiat lama.
Elder David A. Bednar menasihati kita untuk mempersiapkan hari kita dengan Tuhan pada waktu pagi: “Doa pagi yang bermakna adalah elemen penting dalam penciptaan rohani setiap hari—dan mendahului penciptaan duniawi atau pelaksanaan sebenar hari itu” (“Pray Always,” Liahona, Nov. 2008, 41).
Semasa kita menjalani hari kita, kita terus berdoa dalam hati untuk bantuan dan bimbingan yang berterusan. Kadang-kadang hal tidak berjalan seperti yang kita rancangkan, dan kita perlu fleksibel dan terus mencari bantuan Bapa Syurgawi.
Elder Bednar selanjutnya menasihati kita: “Pada penghujung hari kita, kita berlutut sekali lagi dan melaporkan kembali kepada Bapa kita. Kita menyemak peristiwa pada hari itu” (“Pray Always,” 42). Semasa kita membuat susulan dengan Tuhan dan menyemak hari kita, kita boleh meraikan kejayaan kita dan mengenali mana yang kita telah gagal. Kita berunding dengan Tuhan tentang apa yang perlu kita lakukan untuk bertaubat atau menebus kesalahan dan bagaimana kita boleh melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.
Pertaubatan harian
“Satu hari pada satu masa” adalah frasa yang bermaksud hidup satu saat pada satu masa. Dengan terus mengambil kira pemikiran, perasaan, dan tingkah laku kita, kita berpeluang untuk bertaubat dan mendekati Bapa kita di Syurga. Apabila kita bertaubat, kita temui kebenaran bahawa pertaubatan bukanlah satu ujian yang menyedihkan dan menyekat,sebaliknya ia pengalaman yang menggembirakan dan membebaskan yang kita tunggu untuk menerima.
Semasa kita bertaubat setiap hari, kita mungkin menemui kekurangan tambahan atau teringat tindakan lalu yang memerlukan perhatian dan, dalam beberapa kes, pengembalian. Mungkin sebahagian daripada pertaubatan harian kita adalah fokus pada langkah-langkah awal yang direka untuk menyingkirkan kekurangan kita atau membuat pengembalian. Mengkaji dengan penaja kita apa yang telah kita pelajari daripada usaha bertaubat setiap hari boleh menjelaskan hal lain yang kita perlu lakukan untuk bertaubat sepenuhnya. Kita juga mungkin perlu mengakui kepada wewenang imamat yang betul.
Presiden Russell M. Nelson menggesa kita untuk “mengalami kuasa pertaubatan seharian yang memperkuatkan—dengan melakukan dan menjadi sedikit lebih baik setiap hari” (“Kita Boleh Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona, Mei 2019, 67). Semasa kita merendahkan hati dan berusaha untuk jujur setiap hari, kita semakin mendekati Juruselamat. Juruselamat mengarahkan para pengikut-Nya, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku” [Lukas 9:23]. Bertaubat dan memikul salib kita untuk mengikuti Juruselamat setiap hari menyediakan kita untuk langkah 11.
Mengkaji dan Memahami
Tulisan suci dan pernyataan berikut dari pemimpin Gereja boleh membantu dalam pemulihan kita. Kita boleh menggunakannya untuk meditasi, kajian, dan jurnal. Kita harus jujur dan khusus dalam penulisan kita untuk mendapatkan manfaat yang paling banyak daripadanya.
Perhatikan fikiran, perkataan, dan perbuatan kita.
“Jika kamu tidak menjaga dirimu, dan fikiranmu, dan perkataan-perkataanmu, dan perbuatanmu, dan mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan berterusan dalam iman tentang apa yang telah kamu dengar berkenaan kedatangan Tuhan kita, bahkan sampai akhir hidupmu, kamu mestilah binasa. Dan sekarang, Wahai manusia, ingatlah, dan janganlah binasa” (Mosia 4:30).
Ia boleh membahayakan atau membawa maut jika kita tidak memberi perhatian kepada apa yang kita lakukan semasa memandu kereta. Tulis tentang kesedaran diri.
-
Bagaimanakah penilaian diri membantu saya mengelak daripada mengulangi ketagihan saya (dan binasa)?
Kerendahan hati dan kawalan diri
“Diberkatilah mereka yang merendahkan hati mereka tanpa dipaksa untuk menjadi rendah hati” (Alma 32:16).
Bersedia untuk menghapuskan pemikiran negatif sebelum ia menjadi tingkah laku yang menyakitkan adalah cara untuk merendahkan hati tanpa dipaksa. Tulis tentang kesediaan anda untuk merendahkan hati. Cubalah selama sehari dengan menghapuskan pemikiran negatif.
-
Apakah berkat yang datang kepada saya?
Jalani saat ini
“Semakin seseorang diterangi, semakin dia mencari kurnia pertaubatan, dan semakin kuat dia berusaha untuk membebaskan dirinya daripada dosa sekerap yang dia terjatuh dari kehendak ilahi. … Maka dosa-dosa orang yang takut akan Tuhan dan orang soleh terus-menerus diampuni kerana mereka bertaubat dan mencari Tuhan setiap hari dan setiap jam” (Bruce R. McConkie, Doctrinal New Testament Commentary [1973], 3:342–43).
Salah satu kesan yang paling bermanfaat—secara mental, emosi, dan rohani—dari menjalani asas-asas yang digambarkan dalam langkah-langkah ini adalah kita belajar untuk jalani saat ini.
-
Bagaimanakah langkah 10 membantu saya menangani satu jam pada satu masa apabila perlu?
-
Bagaimanakah ia membantu saya mengetahui bahawa saya perlu menjalani asas-asas ini hanya satu hari pada satu masa?
Teruskan pertaubatan dan pengampunan
“Jika mereka selalu bertaubat dan mencari pengampunan, dengan niat yang bersungguh-sungguh, mereka akan diampuni” (Moroni 6:8).
Mengetahui bahawa Tuhan bersedia untuk mengampuni kita seberapa kerap kita bertaubat dengan niat sebenar boleh memberi kita keberanian untuk mencuba lagi setiap kali kita gagal.
-
Apakah maksudnya untuk mencari pengampunan dengan niat yang bersungguh-sungguh?
Bersabar
“Aku menghendaki agar kamu sepatutnya rendah hati, dan bersifat peserah dan lemah-lembut; ramah tamah; penuh dengan kesabaran dan panjang sabar; bersederhana dalam segala hal” (Alma 7:23).
Sesiapa pun yang mencipta pepatah lama “Latihan menjadikan ia sempurna” tidak menyebut berapa banyak kesabaran yang diperlukan untuk terus berlatih. Apabila kita bersabar dan terus menebus kesalahan harian dan membuat inventori harian, kita akan maju ke arah pemulihan.
-
Bagaimanakah penilaian diri dan menebus kesalahan setiap hari memastikan saya akan teruskan dalam kerendahan hati dan pembangunan rohani saya?
-
Bagaimanakah membuat inventori pada penghujung setiap hari membantu saya mengatasi kecenderungan untuk menyimpan kemarahan atau emosi lain yang menyakitkan?
Peningkatan sepanjang hayat
“Saya masih berasa untuk menggesa Orang Suci Zaman Akhir tentang perlunya penerapan rapat asas-asas Injil dalam kehidupan, tingkah laku dan perkataan kita serta semua yang kita lakukan; dan ia memerlukan seluruh manusia, seluruh kehidupan untuk ditumpukan kepada peningkatan untuk memperoleh pengetahuan tentang kebenaran sebagaimana yang ada dalam Yesus Kristus” (Discourses of Brigham Young, sel. John A. Widtsoe [1954], 11).
Mengambil langkah-langkah ini boleh digambarkan sebagai “penerapan rapat” asas-asas injil.
-
Bagaimanakah kesediaan untuk menilai diri saya setiap hari pada setiap peringkat (tindakan, perkataan, fikiran, perasaan, dan kepercayaan) membantu saya membaktikan diri kepada peningkatan sepanjang hayat?