Ketagihan
Lampiran: Memilih seorang Penaja


“Lampiran: Memilih seorang Penaja,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)

“Memilih seorang Penaja,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan

Memilih seorang Penaja

Bekerja dengan seorang penaja boleh meningkatkan pemulihan anda. Seorang penaja boleh menyokong anda dalam perkembangan dan keazaman anda untuk mengatasi cabaran, kebergantungan, atau kelakuan ketagihan yang anda hadapi. Dalam perjalanan pemulihan anda, anda tidak bersendirian; seorang penaja adalah seseorang yang “bersedia untuk … menghibur mereka yang memerlukan penghiburan, dan untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan” (Mosia 18:9). Sila pertimbangkan untuk bekerja dengan seorang penaja secepat mungkin.

Apakah Itu seorang Penaja?

Penaja ialah seseorang yang telah menemukan pemulihan dengan bekerja melalui 12 langkah itu. Mereka mungkin memahami cabaran tertentu yang berkaitan dengan pemulihan walaupun anda mungkin tidak sedar tentangnya. Penaja tidak bertujuan untuk menjadi kawan baik atau profesional kesihatan mental anda. Sebaliknya, peranan penaja adalah untuk membantu anda bekerja melalui langkah-langkah pemulihan.

Mencari seorang penaja

Dalam Program Pemulihan Ketagihan Gereja, anda tidak ditugaskan seorang penaja tertentu. Anda boleh mendekati penajaan dengan cara yang sesuai dengan pengalaman, keperluan, dan personaliti individu anda. Penajaan ialah satu keputusan bersama oleh anda, penaja, dan Tuhan.

Mencari seseorang untuk menaja anda mungkin menakutkan, tetapi orang lain boleh membantu anda. Cara terbaik untuk mencari penaja adalah untuk menghadiri pertemuan pemulihan. Mereka yang mempunyai cabaran yang sama sering mempunyai kebolehan yang lebih besar untuk berempati dengan pergelutan anda. Idea-idea berikut boleh membantu dalam membuat keputusan tentang penaja yang sesuai:

  1. Cari bimbingan rohani daripada Bapa Syurgawi melalui doa dan puasa tentang siapa yang boleh menjadi penaja anda.

  2. Pertimbangkan untuk memilih seseorang yang telah meluangkan masa tertentu dalam pemulihan dan telah bekerja melalui 12 langkah itu.

  3. Dengar semasa orang berkongsi pengalaman pemulihan mereka dan pertimbangkan dengan siapa anda boleh berhubung.

  4. Ketua kumpulan dan fasilitator boleh memperkenalkan anda kepada calon yang sesuai dan rela.

  5. Tanya seseorang yang anda rasa layak.

  6. Anda harus memilih penaja yang sama jantina dengan anda (melainkan penaja itu adalah saudara-mara).

  7. Semasa anda memulakan proses perubahan, anda mungkin menghadapi kelemahan secara jasmani, emosi, dan rohani. Berhati-hati untuk tidak mengembangkan hubungan kebergantungan dengan penaja.

  8. Anda sentiasa boleh meminta seseorang untuk menaja anda secara sementara. Anda boleh menukar penaja pada bila-bila masa.

Menjadi penaja yang berkesan

Menjadi seorang penaja ialah satu tindakan pelayanan yang hebat semasa anda berkongsi pengalaman, iman, dan harapan yang anda temui dengan bekerja melalui 12 langkah pemulihan dan penyembuhan melalui Juruselamat Yesus Kristus. Penaja bertanya soalan penuh pertimbangan, mengarahkan kepada sumber, berkongsi bantuan praktikal tentang cara bekerja melalui langkah-langkah tersebut, dan menggalakkan orang yang mereka taja untuk menghadiri pertemuan pemulihan. Seorang penaja memahami bahawa orang lain boleh memainkan peranan dalam pemulihan seseorang dan tidak akan tersinggung jika orang yang ditaja mencari sokongan daripada orang lain atau memilih untuk mengubah penaja. Berikut adalah beberapa asas untuk menjadi penaja yang berkesan:

  1. Mengutamakan Tuhan atas segalanya. Sentiasa mengingati Tuhan dan membantu mereka yang anda taja bergantung kepada-Nya. Berjaga-jaga untuk tidak membenarkan mereka yang anda taja menjadi terlalu bergantung kepada anda. Tanggungjawab anda sebagai penaja adalah untuk menggalakkan orang lain berpaling kepada Bapa Syurgawi dan Juruselamat untuk bimbingan dan kuasa. Peranan anda adalah untuk berkongsi pengalaman iman dan harapan anda untuk membantu orang yang anda sokong rasa dikasihi dan disokong oleh Tuhan.

  2. Jadilah peserta aktif dalam pemulihan. Seorang penaja perlu terlibat dalam pemulihan untuk jangka masa yang banyak sebelum menaja sesiapa pun (biasanya 12 bulan atau lebih lama) dan terlibat secara aktif dalam menerapkan dan mengkaji asas-asas pemulihan. Anda mungkin rasa tekanan tambahan dalam pemulihan anda sendiri apabila anda mula menaja orang lain. Berhati-hati untuk tidak membahayakan pemulihan diri sendiri dengan menaja orang lain. Penaja mengamalkan penjagaan diri dan meminta bantuan atau sokongan apabila diperlukan.

  3. Rendahkan hati. Sebagai penaja, peranan anda adalah untuk menggunakan kekuatan anda untuk menawarkan sokongan dan bimbingan.

  4. Menghormati hak pilihan orang lain dan mengamalkan kesabaran. Tajaan yang berkesan datang “dengan dorongan, dengan kepanjangsabaran, dengan kelemah-lembutan dan kelembutan hati, dan dengan kasih yang tidak berpura-pura; dengan kebaikan hati, dan pengetahuan yang suci” (Ajaran dan Perjanjian 121:41–42). Elakkan dari mencuba memperbaiki orang lain dengan cara apa pun. Bantu orang lain mempertimbangkan asas dan amalan dan kemudian menyokong mereka semasa mereka membuat keputusan mereka sendiri. Hormati hak pilihan mereka dan berharap bahawa Tuhan akan membantu mereka semasa mereka berpaling kepada-Nya. Orang yang anda bantu mungkin belum bersedia untuk maju ke hadapan. Dia mungkin mengulangi kelakuan yang tidak baik atau lambat untuk mengamalkan asas-asas dan amalan perubahan yang ikhlas. Seorang penaja mesti bersabar dengan orang lain semasa mereka melakukan perjalanan menuju pemulihan.

  5. Melayani dengan tidak mementingkan diri sendiri. Pelayanan yang tidak mementingkan diri memerlukan pemberian tanpa mengharapkan apa pun sebagai balasannya. Seorang penaja harus mempunyai keupayaan yang besar untuk memahami dan bersedia untuk membaktikan masa dan usaha kepada orang yang mereka taja. Elakkan dari mencari pujian, kekaguman, kesetiaan, atau ganjaran emosi lain dari mereka yang anda taja.

  6. Hormati komitmen peribadi anda. Menjadi seorang penaja tidak bermaksud mereka yang anda taja harus mempunyai akses tanpa had kepada masa dan sumber anda. Anda boleh menetapkan contoh kepentingan batasan yang sihat dengan menghormati komitmen anda yang lain, termasuk kepada keluarga anda, Gereja, kerjaya anda, dan masa peribadi anda. Ingatlah nasihat yang Raja Benyamin berikan dalam Mosia 4:27: “Dan pastikanlah bahawa segala hal ini dilakukan menurut kebijaksanaan dan ketertiban; kerana tidaklah perlu bahawa seseorang hendaknya berlari lebih cepat daripada kekuatan yang dia miliki.”

  7. Berdoa selalu. Setiap kali anda memilih untuk menaja seseorang, cari bimbingan Tuhan untuk mengetahui asas atau amalan mana yang paling berguna untuk keperluan semasa individu. Berdoa semasa anda mempertimbangkan cara untuk melayani, selalu berusaha untuk dibimbing oleh Roh.

  8. Bersaksi tentang kebenaran. Anda mungkin terilham untuk berkongsi pengalaman untuk memberitahu orang lain bahawa anda boleh memahami. Anda juga boleh bersaksi tentang Juruselamat dan kuasa penyembuhan-Nya. Kebenaran bahawa Tuhan ialah Tuhan mukjizat adalah kuncinya (lihat Moroni 7:29). Berkongsi kesaksian anda tentang belas kasihan dan rahmat-Nya boleh menjadi salah satu pelayanan terpenting yang anda boleh tawarkan.

  9. Pastikan sulit. Sebagai seorang penaja, anda bertanggungjawab untuk melindungi privasi orang lain. Ketanpanamaan dan sulit adalah asas-asas teras dalam memperkuatkan keupayaan anda untuk menaja dan membantu orang lain.