“Lampiran: Sokongan dalam Pemulihan,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)
“Sokongan dalam Pemulihan,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan
Sokongan dalam Pemulihan
Kepentingan Mencari Sokongan
Sokongan daripada orang lain adalah penting untuk membantu kita menemukan pemulihan dan penyembuhan. Mempunyai seseorang untuk berpaling semasa lemah adalah terbukti penting. Penafian dan pengasingan ialah tanda-tanda kelakuan yang kompulsif dan menagihkan. Adalah mudah untuk jatuh kembali ke dalam tingkah laku ini jika tanpa sokongan dan perspektif orang lain. Adalah penting bagi kita untuk mendapatkan sokongan secepat mungkin dalam pemulihan kita.
Berhubung dengan orang lain bukan sahaja menyediakan galakan yang kita perlukan tetapi juga membantu kita mengingati bahawa kita layak untuk dikasihi sebagai anak-anak Tuhan. Semasa kita menjangkau kepada orang lain untuk sokongan, kita diberkati, dan mereka yang menyokong kita juga diberkati. Semasa kita menggunakan 12 langkah dan mencari sokongan daripada orang lain, kita boleh mendapat manfaat daripada sumber sokongan berikut:
-
Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus. Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus ialah sumber sokongan terbesar kita. Perubahan berlaku melalui Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Dalam Kitab Mormon, nabi Alma berkongsi bahawa Kristus “akan mengambil ke atas diri-Nya kelemahan mereka, agar sanubari-Nya boleh dipenuhi dengan belas kasihan, menurut keadaan daging, agar Dia boleh mengetahui menurut keadaan daging bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka” (Alma 7:12). Kita akan merasa disokong dan dipupuk apabila kita dengan rendah hati pergi kepada Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus.
Adalah penting untuk tidak terlepas pandang bantuan Juruselamat melalui Korban Tebusan. Dia telah mengajar kita, “Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup” (Yohanes 14:6). Roh Kudus boleh memberi kita penghiburan, kedamaian, dan kekuatan rohani untuk terus maju.
-
Ahli keluarga. Ahli keluarga boleh menjadi sumber sokongan dengan menawarkan kasih dan penerimaan. Mereka dapat meningkatkan keupayaan untuk menyokong dengan menggunakan asas-asas injil yang diajar dalam Panduan Sokongan: Bantuan untuk Pasangan dan Keluarga Individu dalam Pemulihan. Walaupun bukan semua ahli keluarga berada dalam kedudukan emosi untuk memberi penghiburan, mereka yang boleh sering menjadi sumber sokongan yang paling berkuasa.
-
Kawan-kawan. Kawan-kawan boleh memberikan kasih dan sokongan apabila kita bercakap dengan mereka tentang pergelutan kita, sama ada kita memberikan butirannya atau tidak. Apabila kawan-kawan ada keberanian untuk menunjukkan tingkah laku kita yang perlu dihentikan atau apabila mereka menggalakkan kita untuk mencari bantuan, kita boleh maju ke depan dalam kemajuan menuju pemulihan. Semasa kita mengalami kasih dan sokongan daripada kawan-kawan, ia boleh mengingatkan kita tentang nilai kita.
-
Pemimpin gereja. Pemimpin gereja boleh memberi sokongan penting dalam proses perubahan. Para pemimpin ini dapat membantu kita merasakan kasih Juruselamat dan memainkan peranan penting dalam membantu kita bertaubat dan menjadi bersih secara rohani dari kelakuan yang kompulsif dan menagihkan.
-
Penaja. Penaja adalah orang yang telah menemukan pemulihan dengan bekerja melalui 12 langkah itu. Kerana pengalaman mereka, mereka tahu bagaimana untuk membantu kita bekerja melalui dan menggunakan langkah-langkah itu. Mereka biasanya boleh mengenali ketidakjujuran dan memahami kesusahan lain walaupun kita mungkin tidak menyedarinya.
-
Pertemuan pemulihan. Pertemuan pemulihan adalah tempat yang selamat di mana kita boleh diterima, dikasihi, dan disokong. Dalam pertemuan-pertemuan ini, kita berkongsi pengalaman, iman dan harapan kita untuk pemulihan melalui Juruselamat Yesus Kristus dan dengan menerapkan 12 langkah dalam hidup kita. Berkongsi pengalaman kita boleh membantu kita bekerja ke arah perubahan yang diperlukan dan mendapati harapan bahawa pemulihan dan penyembuhan adalah mungkin.
-
Profesional kesihatan mental dan perubatan. Profesional kesihatan mental dan perubatan sering dapat menyediakan pandangan dan kemahiran unik yang diperlukan untuk pulih dan sembuh dari kelakuan kompulsif dan ketagihan. Jika kita masih bergelut dengan kelakuan kompulsif dan ketagihan walaupun kita mengambil bahagian dalam Program Pemulihan Ketagihan, kita harus pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional daripada profesional kesihatan mental atau perubatan. Apabila mencari bantuan profesional, ahli Gereja harus memilih seseorang yang menyokong asas-asas injil.
Memilih Orang untuk Menyokong Anda
Dalam Program Pemulihan Ketagihan Gereja, anda tidak ditugaskan kepada seorang penaja atau sistem sokongan. Memutuskan bila dan siapa untuk meminta bantuan adalah keputusan peribadi. Dengan penuh doa pertimbangkan orang di sekeliling anda yang anda rasa selesa untuk meminta bantuan, atau siapa yang paling membantu bagi anda. Secara umumnya, semakin banyak orang yang anda miliki sebagai sokongan, semakin baik peluang anda untuk memperoleh pemulihan. Setelah anda mengenal pasti mereka yang anda inginkan dalam sistem sokongan anda, meminta bantuan mereka mungkin terasa memalukan dan menakutkan. Namun, semasa anda melakukannya, anda mungkin terkejut dengan jumlah kasih dan penerimaan yang anda rasa. Semakin anda berhubung dengan orang lain, semakin banyak peluang anda menerima kasih.
Pastikan anda memilih orang yang sangat boleh dipercayai untuk menyokong anda. Beberapa orang yang paling berkesan untuk menyokong anda adalah mereka yang mempunyai hubungan semasa dengan anda (seperti ibu bapa, pasangan, ahli keluarga, dan pemimpin Gereja), yang mahu anda berjaya, aktif sepenuhnya dalam Gereja, dan memahami atau berhasrat untuk memahami cabaran yang anda hadapi. Seseorang yang telah mengatasi cabarannya sendiri sering mempunyai empati yang lebih besar untuk cabaran-cabaran yang orang lain alami. Mereka yang mempunyai cabaran sama dengan anda sering mempunyai kebolehan yang lebih besar untuk berempati dengan pergelutan anda.
Semasa anda memulakan proses perubahan, anda mungkin menghadapi kelemahan secara jasmani, emosi, dan rohani. Berhati-hati untuk tidak mengembangkan hubungan yang tidak sesuai dengan sesiapa pun yang menyokong anda.