Ketagihan
Lampiran: Mengenali dan Mengalu-alukan Peserta Baharu


“Lampiran: Mengenali dan Mengalu-alukan Peserta Baharu,” Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan (2023)

“Mengenali dan Mengalu-alukan Peserta Baharu,” Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan

Mengenali dan Mengalu-alukan Peserta Baharu

Peserta baharu adalah orang yang baru menyertai pertemuan pemulihan. Lazimnya dia adalah individu berada di peringkat awal perubahan, seseorang yang kembali selepas ketagihan berulang, atau kawan atau ahli keluarga kepada seseorang yang bergelut dengan ketagihan. Sesiapa yang kita tidak kenali mungkin adalah peserta baharu, dan kerana beberapa pertemuan pertama yang peserta baharu hadiri adalah penting, ia sangat penting untuk membantu individu ini berasa selesa dan dialu-alukan.

Peserta baharu sering kali berasa tidak pasti dan khuatir. Ingatlah bahawa individu memerlukan banyak keberanian untuk mengakui mereka terlibat dalam tingkah laku yang merosakkan, bahawa hidup mereka tidak terurus, dan mereka memerlukan bantuan. Ia juga memerlukan keberanian untuk kawan atau ahli keluarga untuk bercakap tentang kesan ketagihan dalam hidup orang yang mereka kasihi dan dalam hidup mereka sendiri. Matlamat kita adalah untuk membantu peserta baharu mahu kembali.

Kita bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana mesra dan terbuka, sebelum, semasa, dan selepas setiap pertemuan. Percaya bahawa Roh akan membimbing peserta baharu melalui proses perubahan. Ingatlah bahawa peserta baharu sering merasa kekok, oleh itu bersifat penuh kasih dan lembut dalam pendekatan anda. Kasih, sokongan, dan galakan adalah elemen penting dalam merasa dialu-alukan dan tergolong.

Kita telah menerima arahan daripada Gereja bahawa pertemuan pemulihan adalah untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas. Jika individu berumur di bawah 18 tahun, galakkan mereka untuk berunding dengan ibu bapa, uskup, dan penyedia kesihatan mental atau kesihatan fizikal mereka untuk pilihan lain yang mungkin terbukti membantu. Jika mereka hasratkan penjelasan yang lebih terperinci, galakkan mereka untuk menghubungi pengurus agensi Perkhidmatan Keluarga tempatan. Selepas anda telah maklumkan mereka tentang peraturan itu, jika mereka terus hadir, jangan ingatkan mereka tentang peraturan itu lagi dan tidak perlu berbuat apa-apa untuk menekankan peraturan itu.

Cadangan berikut mungkin berguna apabila anda menjangkau kepada peserta baharu sebelum dan selepas pertemuan:

  1. Ketika menyapa seseorang yang anda tidak kenali, perkenalkan diri anda dan tanya jika dia pernah menghadiri pertemuan pemulihan sebelum ini.

  2. Yakinkan peserta baharu bahawa mereka berada di tempat yang selamat. Jelaskan bahawa kita mematuhi prinsip sulit dan mereka hanya perlu gunakan nama pertama mereka. Juga, beritahu mereka jika mereka tidak selesa membaca atau berkongsi dalam pertemuan, mereka boleh mendengar sahaja.

  3. Biarkan peserta baharu berkongsi hanya apa yang mereka mahu. Sedari bahawa mereka sering kali merasa tidak selesa menjelaskan mengapa mereka menghadiri pertemuan.

  4. Cadangkan peserta baharu untuk mendengar persamaan yang mereka ada dengan peserta lain. Peserta baharu akan berasa lebih cenderung untuk kembali ke pertemuan apabila mereka rasa terhubung dengan orang yang berkongsi. Jelaskan kerana pertemuan kita adalah terbuka kepada individu yang mengalami pelbagai jenis tingkah laku yang merosakkan, ahli kumpulan mungkin tidak selalu mempunyai pengalaman yang sama tetapi sering mengalami emosi yang sama, seperti juga mereka yang hidupnya dipengaruhi oleh pilihan atau tingkah laku orang lain. Jemput peserta baharu untuk tinggal selepas pertemuan jika mereka ada sebarang soalan.

  5. Percayalah bahawa peserta baharu akan memahami program ini tanpa mendengar tentang setiap aspeknya. Tunjukkan peserta baharu Penyembuhan melalui Juruselamat: Program Pemulihan Ketagihan 12-Langkah Panduan Pemulihan atau Panduan Sokongan: Bantuan untuk Pasangan dan Keluarga Individu dalam Pemulihan dan galakkan mereka untuk menggunakan sumber-sumber ini (tersedia dalam Gospel Library di bahagian “Ketagihan” Bantuan Hidup). Jelaskan kepada peserta baharu bahawa melalui mendengar Roh, menghadiri pertemuan, dan mengkaji panduan, mereka akan dapat memahami dan gunakan asas-asas dan amalan yang membawa kepada perubahan.

  6. Perkenalkan peserta baharu kepada fasilitator. Fasilitator ingat bagaimana rasanya datang ke pertemuan pertama. Mereka adalah teladan kepada peserta dan boleh menjadi saksi peribadi bagaimana program ini telah membawa perubahan ke dalam hidup mereka.

  7. Sekiranya terdapat masalah berkaitan dengan peserta baharu yang berkongsi pengalaman mereka, bersikap lembut sebaik mungkin dalam respon anda. Kebanyakan masalah dan soalan ditangani dengan lebih berkesan selepas pertemuan dan bukannya semasa pertemuan. Lama kelamaan, peserta baharu akan memahami etika pertemuan.

  8. Berkongsi dengan peserta baharu yang merupakan ahli keluarga atau orang terkasih kepada mereka yang bergelut dengan penggunaan pornografi atau penyalahgunaan bahan terlarang bahawa pertemuan sokongan pasangan dan keluarga juga tersedia.

  9. Selepas pertemuan, secara peribadi ucapkan terima kasih kepada peserta baharu kerana hadir.

  10. Ingatlah bahawa peserta baharu adalah berkat kepada kumpulan. Peserta baharu menyediakan peluang berterusan untuk melayani, menyokong, dan belajar antara satu sama lain.