Persidangan Umum
Kristus Menyembuhkan Apa yang Telah Hancur
Persidangan Umum April 2022


10:39

Kristus Menyembuhkan Apa yang Telah Hancur

Dia boleh menyembuhkan hubungan yang putus dengan Tuhan, hubungan yang putus dengan orang lain, dan bahagian yang hancur dalam diri kita secara jasmani dan emosi.

Beberapa tahun yang lalu, di kumpulan keluarga, anak saudara saya, William yang berumur lapan tahun menanya anak lelaki sulung kami, Briton, jika dia ingin bermain bola bersamanya. Briton membalas dengan bersungguh, “Ya! Tentu sekali!” Selepas bermain untuk beberapa ketika, bola terlepas dari tangan Briton dan secara tidak sengaja memecahkan salah satu pasu antik datuk neneknya.

Briton rasa bersalah. Semasa dia mula mengumpul kepingan-kepingan pasu, William pergi ke sepupunya dan menepuknya di belakang. Dia berkata, “Jangan risau, Briton. Saya pernah rosakkan sesuatu di rumah Nenek dan Datuk, dan Nenek meletakkan lengannya di sekeliling saya dan berkata, ‘Tidak apa, William. Anda hanya umur lima tuhan,”

Tetapi Briton menjawab, “Tapi, William, saya 23 tahun!”

Kita boleh belajar banyak dari tulisan suci tentang cara Juruselamat kita, Yesus Kristus, akan membantu kita mengemudi hal-hal dalam kehidupan kita yang hancur dengan berjaya, tidak kira umur kita. Dia boleh menyembuhkan hubungan yang putus dengan Tuhan, hubungan yang putus dengan orang lain, dan bahagian yang hancur dalam diri kita/

Hubungan yang Putus Dengan Tuhan

Ketika Juruselamat sedang mengajar di bait suci, seorang wanita dibawa kepada-Nya oleh jurutulis dan orang Farisi. Kita tidak tahu kisah penuhnya, kecuali wanita itu “tertangkap basah.”1 Sering kali tulisan suci hanya memberi sebahagian kecil kisah dari kehidupan seseorang, dan berdasarkan bahagian itu, kita kadang-kadang cenderung untuk memuliakan atau menghukum. Tiada satu pun kehidupan yang dapat difahami dari satu saat yang indah atau satu tindakan awam yang mengecewakan. Tujuan laporan tulisan suci tersebut adalah untuk membantu kita melihat bahawa Yesus Kristus adalah jawapan pada masa itu, dan Dia adalah jawapan sekarang. Dia tahu cerita kita yang sepenuhnya dan penderitaan kita dengan tepat, termasuklah keupayaan dan kelemahan kita.

Jawapan Kristus bagi anak perempuan Tuhan yang berharga ini ialah “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.”2 Satu lagi cara untuk berkata “pergilah dan janganlah berdosa lagi” ialah “pergilah dan berubah.” Juruselamat menjemput dia untuk bertaubat: mengubah tingkah lakunya, perhubungannya, pandangan dirinya, hatinya.

Kerana Kristus, keputusan kita untuk “pergilah dan berubah” juga membolehkan kita “pergilah dan sembuh,” kerana Dia ialah sumber untuk menyembuhkan segala yang telah hancur dalam hidup kita. Sebagai Pengantara dan Pembela yang hebat dengan Bapa, Kristus menguduskan dan memulihkan hubungan yang putus—terutamanya hubungan kita dengan Tuhan.

Terjemahan Joseph Smith menjelaskan wanita itu ikut nasihat Juruselamat dan mengubah kehidupannya: “Dan wanita itu memuliakan Tuhan mulai saat itu, dan percaya pada nama-Nya.”3 Malangnya nama atau butiran lain tentang kehidupannya selepas saat itu tidak diketahui, kerana ia memerlukan ketekunan, kerendahan hati, dan iman kepada Yesus Kristus untuk dia bertaubat dan berubah. Kita hanya tahu dia seorang wanita yang “percaya pada nama-Nya” dengan pemahaman bahawa dia tidak melebihi jangkauan” korban-Nya yang tidak terhingga dan abadi.

Hubungan Yang Putus Dengan Orang Lain

Dalam Lukas bab 15 kita membaca sebuah perumpamaan tentang seorang lelaki yang mempunyai dua anak lelaki. Anak lelaki yang bongsu itu meminta bapanya untuk warisannya lalu pergi ke sebuah negeri yang jauh, dan memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.4

“Dengan cepat wangnya habis. Pada masa itu kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu, lalu hidupnya melarat kerana dia tidak mempunyai apa-apa.

“Oleh itu dia bekerja bagi seorang penduduk negeri itu, yang menyuruh dia menjaga babi di ladang.

“Dia begitu lapar sehingga ingin mengisi perut dengan makanan babi, tetapi tidak seorang pun memberikan makanan kepadanya.

“Akhirnya dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji ayahku mendapat makanan yang berlebihan tetapi di sini aku hampir mati kelaparan!

“Aku akan berangkat dan pergi kepada ayahku lalu berkata begini: Ayah, saya sudah berdosa terhadap Tuhan dan terhadap ayah,

“Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.

“Dia pun pulang kepada bapanya. Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya.”5

Fakta bahawa bapa itu berlari kepada anaknya, saya percaya, adalah penting. Luka peribadi yang telah ditimpakan ke atas ayahnya pasti mendalam dan nyata. Begitu juga, bapa mungkin telah amat malu dengan tindakan anaknya.

Jadi, mengapa bapa tidak menunggu anak bongsunya meminta maaf? Mengapakah dia tidak menahani dari menawarkan perdamaian sebelum mengampuni dan mengasihi? Ini sesuatu yang saya sering renungkan.

Tuhan mengajar kita bahawa mengampuni orang lain ialah satu perintah sejagat: “Aku, Tuhan, akan mengampuni sesiapa pun yang akan Aku ampuni, tetapi daripada dirimu diwajibkan untuk mengampuni semua orang.”6 Pengampunan memerlukan keberanian dan kerendahan hati yang besar. Ia juga boleh mengambil masa. Ia memerlukan kita untuk meletakkan iman dan kepercayaan kita kepada Tuhan semasa kita mengambil tanggungjawab untuk keadaan hati kita. Di sini terdapat kepentingan dan kuasa hak pilihan kita.

Dengan penggambaran bapa dalam perumpamaan anak yang sesat, Juruselamat menekankan bahawa pengampunan adalah salah satu kurnia paling mulia yang kita boleh berikan kepada satu sama lain terutamanya diri kita sendiri. Meringankankan beban hati kita melalui keampunan tidaklah mudah, tetapi melalui kuasa Yesus Kristus yang membolehkan, ia adalah mungkin.

Bahagian Hancur dalam Diri Kita.

Dalam Kisah Rasul-Rasul bab 3 kita belajar tentang seorang lelaki yang dilahirkan tempang dan diletakkan setiap hari di Pintu Indah, “untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan.”7

Pengemis yang lumpuh berumur lebih dari 40 tahun8 telah menghabiskan seluruh hidupnya dalam keadaan yang kelihatan tidak akan berakhir untuk mengingini dan menunggu, kerana dia bergantung pada kemurahan hati orang lain.

Satu hari dia nampak “Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan [dan] dia meminta sedekah daripada mereka.

“Mereka menatap dia dan Petrus berkata: Lihatlah kepada kami.

“Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka.

“Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret, berjalanlah!”

“Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat.

“Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Tuhan.”9

Sering kali kita mendapati diri, seperti peminta sedekah tempang di pintu gerbang bait suci, menunggu dengan sabar—atau kadangkala tidak sabar—“berharap[an] kepada Tuhan.”10 Berharapan untuk disembuhkan secara jasmani atau emosi. Berharapan untuk jawapan yang menembusi bahagian hati kita yang paling dalam. Berharapan untuk satu mukjizat.

Berharapan kepada Tuhan boleh menjadi suatu cara kudus—satu cara permurnian dan menyempurnakan di mana kita boleh mengenali Juruselamat dengan cara yang sangat peribadi. Berharapan kepada Tuhan juga juga cara kita menanya, “Ya Tuhan, di manakah Engkau?11—di mana kerohanian berkekalan diperlukan untuk menjalani iman dalam Kristus dengan memilih Dia berulang-ulang kali. Saya tahu cara ini, dan saya faham harapan ini.

Saya telah meluangkan banyak masa di satu pusat rawatan kanser, bersatu dalam penderitaan saya dengan ramai yang ingin disembuhkan. Ada yang hidup; ada yang tidak. Saya belajar dengan cara yang mendalam bahawa pembebasan dari percubaan kita adalah berbeza bagi setiap kita, maka fokus kita harus kurang tentang cara kita dibebaskan dan lebih tentang Pembebas. Penekanan kita harus sentiasa berada pada Yesus Kristus!

Menjalankan iman dalam Kristus bermakna bukan sahaja mempercayai kehendak Tuhan tetapi juga dengan masa-Nya, Dia tahu khususnya apa yang kita perlukan dan bila kita perlukannya. Apabila kita menyerah kepada kehendak Tuhan, akhirnya kita akan menerima lebih banyak daripada apa yang kita hasratkan.

Rakan-rakan saya yang dikasihi, kita semua mempunyai sesuatu dalam kehidupan kita yang telah hancur dan perlu dibaiki atau dipulihkan. Apabila kita berpaling kepada Juruselamat, melaraskan hati dan fikiran kita dengan Dia, bertaubat, Dia datang kepada kita ‘dengan penyembuhan dalam sayap-Nya,”12 meletakkan tangan-Nya di sekeliling kita dengan kasih sayang, dan berkata, “Ia OK. Anda hanya 5—atau 16, 23, 48, 64, 91 tahun. Kita boleh baiki ini bersama-sama!”

Saya bersaksi bahawa tidak ada apa pun dalam hidup anda yang hancur di luar kuasa Yesus Kristus yang menyembuh, menebus dan memungkinkan. Dalam nama kudus Dia yang perkasa untuk menyembuhkan, Yesus Kristus, amin.