Persidangan Umum
Mengikuti Yesus: Menjadi Pendamai
Persidangan Umum April 2022


13:36

Mengikuti Yesus: Menjadi Pendamai

Pendamai tidak pasif; mereka meyakinkan dengan cara Juruselamat.

Saudara dan saudari yang dikasihi, semasa kita alami hari-hari kekecohan, pertikaian, dan bagi ramai, penderitaan yang mendalam, hati kita dipenuhi dengan kesyukuran yang besar untuk Juruselamat kita dan berkat abadi injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Kita kasihi dan percayai Dia, dan berdoa agar kita akan ikuti Dia selamanya.

Cabaran Media Sosial

Kesan pengaruh internet ialah satu berkat dan cabaran, unik bagi zaman kita.

Dalam dunia media sosial dan lebuh raya maklumat, suara seseorang boleh berganda dengan pesat. Suara itu, sama ada benar atau palsu, sama ada adil atau prasangka, baik atau kejam, bergerak dengan serta-merta ke seluruh dunia.

Pos media sosial tentang bertimbang rasa dan kebaikan sering tidak dipedulikan dan tidak dikesan, sementara kata-kata benci dan kemarahan sering bergemuruh dalam telinga kita, sama ada dengan falsafah politikal, orang-orang dalam berita, atau pendapat tentang pandemik. Tiada orang, termasuk Jururuselamat dan injil-Nya yang dipulih, bebas daripada suara bertentangan fenomena sosial.

Menjadi Seorang Pendamai

Khutbah di atas Bukit adalah satu pesanan untuk semua tetapi diberikan secara khusus kepada para pengikut Juruselamat, mereka yang telah pilih untuk ikuti-Nya.

Tuhan ajarkan bagaimana untuk hidup pada masa itu dan sekarang di dunia yang penuh kebencian dan penghinaan. “Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia,” Dia mengisytiharkan, “Tuhan akan menyebut mereka anak-anak-Nya.”1

Dengan perisai iman kita kepada Yesus Kristus, kita menjadi pendamai, melindap—iaitu menenangkan, memadam—segala panah-panah berapi dari musuh.2

Apabila kita lakukan peranan kita, Dia berjanji bahawa kita akan dipanggil “anak-anak-Nya.” Setiap orang di bumi adalah “anak”3 Tuhan, tetapi untuk dipanggil “anak-anak-Nya” bermakna lebih mendalam. Apabila kita datang kepada Yesus Kristus dan membuat perjanjian dengan-Nya, kita menjadi “keturunan-Nya” dan “waris kerajaan,”4 “anak-anak Kristus, putera-putera-Nya, dan para puteri-Nya.”5

Bagaimanakah seorang pendamai menenangkan dan memadamkan panah-panah berapi? Tentunya bukan dengan memencilkan diri dari mereka yang menghina kita. Sebaliknya, kita tetap yakin dalam iman kita, berkongsi kepercayaan kita dengan yakin, tanpa perasaan marah atau niat jahat.6

Baru-baru ini, selepas melihat satu pendapat yang mengutuk Gereja, Reverend Amos C. Brown, seorang pemimpin hak sivil dan paderi Gereja Baptis Ketiga di San Franscisco, menjawab:

“Saya menghormati pengalaman dan perspektif individu yang menulis kata-kata itu. Namun, saya tidak lihat apa yang dia lihat.”

“Bagi saya, ia satu kebahagiaan terbesar dalam hidup saya untuk mengenali pemimpin-pemimpin [Gereja] tersebut, termasuk Presiden Russell M. Nelson. Mereka, dalam anggaran saya, mewakili kepimpinan terbaik yang negara kita punyai.”

President Nelson dan Reverend Brown

Dia menambah: “Kita boleh merungut tentang sejarah. Kita boleh menolak segala baik yang sedang berlaku kini. … Tetapi pendekatan tersebut tidak akan pulihkan pembahagian nasional kita. … Sepertimana Yesus ajarkan, kita tidak hapuskan kejahatan dengan lebih kejahatan. Kita kasihi dengan murah hati dan hidup dengan berbelas kasihan, bahkan terhadap mereka yang kita anggap sebagai musuh kita.”7

Reverend Brown ialah seorang pendamai. Dia memadamkan anak panah berapi dengan tenang dan hormat. Pendamai tidak pasif; mereka meyakinkan dengan cara Juruselamat.8

Apakah yang memberi kita kekuatan dalaman untuk menenangkan, dan memadamkan anak panah berapi yang ditujukan kepada kebenaran yang kita kasihi? Kekuatan datang dari iman kita kepada Yesus Kristus dan iman kita kepada firman-Nya.

“Berbahagialah kamu apabila orang menghina kamu, … dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku.

“… Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Tuhan sudah menyediakan pahala besar di syurga untuk kamu.”9

Kepentingan Hak Pilihan

Dua asas penting yang bimbing keinginan kita untuk jadi pendamai.

Pertama, Bapa Syurgawi telah berikan setiap individu hak pilihan moralnya, dengan keupayaan untuk pilih jalan sendiri.10 Hak pilihan ini adalah salah satu kurnia terbesar Tuhan.

Kedua, dengan hak pilihan ini, Bapa Syurgawi membenarkan “pertentangan dalam segala hal.”11 [Kita] “merasakan kepahitan, agar [kita] tahu untuk menghargai kebaikan.”12 Pertentangan tidak patut mengejutkan kita. Kita belajar untuk bezakan kebaikan daripada kejahatan.

Kita bersukacita dalam berkat hak pilihan, memahami bahawa akan ada ramai yang tidak mempercayai apa yang kita percaya. Sebenarnya, hanya segelintir di zaman akhir akan pilih untuk jadikan iman mereka kepada Yesus Kristus pusat kepada semua yang mereka fikirkan dan lakukan.13

Oleh kerana platform media sosial, satu suara ketidakpercayaan boleh nampaknya bagai banyak suara negatif,14 tetapi walaupun ia banyak suara, kita pilih jalan kedamaian.

Pemimpin Tuhan

Ada yang melihat Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas sebagai orang yang ada motif duniawi seperti pemimpin politik, perniagaan, dan kebudayaan.

Walau bagaimanapun, setiap kami diberi tanggungjawab berlainan. Kami tidak dilantik atau dipilih dari senarai permohonan. Tanpa persediaan profesional khas, kami dipanggil dan ditahbiskan untuk beri kesaksian tentang nama Yesus Kristus di seluruh dunia sehingga nafas terakhir kami. Kami berusaha untuk memberkati mereka yang sakit, kesunyian, sedih, dan yang miskin dan untuk menguatkan kerajaan Tuhan. Kami berusaha untuk mengetahui kehendak Tuhan dan untuk mengisytiharkannya, terutamanya kepada mereka yang mencari kehidupan abadi.15

Walaupun keinginan kami yang rendah hati adalah untuk ajaran-ajaran Juruselamat dihormati oleh semua orang, firman Tuhan melalui para nabi-Nya sering bertentangan dengan pemikiran dan aliran dunia. Ia sentiasa begitu.16

Juruselamat berfirman kepada Rasul-rasul-Nya:

“Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu.

“… [Semua hal ini akan mereka lakukan] … kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku.”17

Menjaga Semua Orang

Kita benar-benar kasihi dan menjaga semua orang, sama ada mereka percaya seperti kita atau tidak. Yesus ajarkan kita dalam perumpamaan Orang Samaria yang Baik bahawa mereka yang berbeza kepercayaan harus mencapai dengan ikhlas untuk bantu sesiapa pun yang memerlukan, jadi pendamai, mengejar perkara yang baik dan mulia.

Pada bulan Februari, satu tajuk utama dalam Arizona Republic menyatakan, “Rang undang-undang Bipartisan yang disokong oleh Orang Suci Zaman Akhir akan melindungi orang Arizona yang homoseksual dan transjantina.”18

Kami, Orang Suci Zaman Akhir “gembira untuk menjadi sebahagian dari gabungan iman, perniagaan, orang LGBTQ dan pemimpin komuniti yang telah bekerjasama dalam semangat kepercayaan dan saling menghormati.”19

Presiden Russell M. Nelson pernah bertanya, “Bolehkah garis sempadan wujud tanpa menjadi garis pertempuran?”20

Kita berusaha untuk jadi “pengikut Kristus yang damai.”21

Masa Untuk Tidak Bertindak

Terdapat beberapa serangan ke atas Juruselamat yang sangat jahat namun Dia tidak berkata apa-apa pun. “Semua ketua imam dan guru Taurat … mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan … serta menghina Yesus,” tetapi Yesus “tidak menjawab sepatah pun.”22 Ada masanya ketika menjadi pendamai bererti kita menentang dorongan untuk bertindak balas dan sebaliknya, kekal diam dengan bermaruah.23

Ia sangat menyedihkan bagi kita semua apabila kata-kata kasar atau tidak senonoh tentang Juruselamat, pengikut-Nya, dan Gereja-Nya diucapkan atau diterbitkan oleh mereka yang pernah berdiri bersama kita, mengambil sakramen bersama kita, dan bersaksi bersama kita tentang misi ilahi Yesus Kristus.24

Ini juga berlaku semasa pelayanan Juruselamat.

Beberapa pengikut Yesus yang berada bersama-Nya semasa mukjizat-Nya yang paling agung bertekad untuk “tidak mengikut Dia lagi.”25 Sedihnya, tidak semua akan tetap teguh dalam kasih mereka terhadap Juruselamat dan keazaman mereka untuk mematuhi perintah-perintah-Nya.26

Yesus ajarkan kita untuk menarik diri dari bulatan kemarahan dan pertikaian. Dalam satu contoh, selepas orang Farisi berhadapan dengan Yesus dan berbincang bagaimana mereka boleh memusnahkan Dia, tertulis di kitab suci bahawa Yesus pergi dari situ,27 dan mukjizat berlaku apabila “banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan semua orang sakit.”28

Berkati Kehidupan Orang Lain

Kita juga boleh menjauhi dari pertikaian dan memberkati kehidupan orang lain29 sambil tidak mengasingkan diri.

Di Mbuji-Mayi, Republik Demokratik Congo, pada mulanya ada yang kritik Gereja, mereka tidak faham kepercayaan kita atau mengenali ahli-ahli kita.

Beberapa ketika dahulu, Kathy dan saya menghadiri satu pertemuan Gereja yang istimewa di Mbuji-Mayi. Kanak-kanak berpakaian rapi dengan mata bersinar dan senyuman besar. Saya berharap untuk bercakap kepada mereka tentang pendidikan mereka tetapi mendapat tahu bahawa ramai tidak menghadiri sekolah. Para pemimpin kita, dengan dana kemanusiaan yang sangat nominal, temui satu cara untuk bantu.30 Sekarang, lebih daripada 400 orang pelajar—perempuan dan lelaki, ahli serta mereka yang bukan ahli, dialu-alukan dan diajar oleh 16 orang pengajar yang merupakan ahli Gereja Yesus Kristus.

Kalanga Muya

Kalanga Muya yang berumur empat belas tahun berkata, “[Kerana wang yang sedikit,] Saya tidak menghadiri sekolah selama empat tahun. … Saya sangat bersyukur atas apa yang Gereja telah lakukan. … Sekarang saya boleh membaca, menulis, dan bercakap dalam bahasa Perancis.”31 Berucap tentang initiatif ini, datuk bandar Mbuji-Mayi berkata, “Saya diilhami oleh Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir kerana sementara gereja-gereja [yang lain] berbelah bahagi dari satu sama lain di penjuru ini … [anda sedang bekerjasama] dengan [orang lain] untuk membantu komuniti yang memerlukannya.”32

Saling Mengasihi

Setiap kali saya membaca Yohanes bab 13, saya diingatkan tentang teladan sempurna Juruselamat sebagai seorang pendamai. Yesus Kristus mencuci kaki para rasul dengan kasih. Kemudian, kita membaca, “hati-Nya gelisah”33 semasa Dia berfikir akan seorang dikasihi yang akan mengkhianati-Nya. Saya telah cuba bayangkan fikiran dan perasaan Juruselamat semasa Yudas pergi. Menarik sekali, Yesus tidak bercakap lagi tentang perasaan “gelisah”-Nya atau tentang pengkhianatan pada saat itu. Sebaliknya, Dia bercakap kepada para Rasul tentang kasih, firman-firman-Nya yang melata sepanjang abad:

“Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu. …

“Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”34

Semoga kita mengasihi Dia dan mengasihi satu sama lain. Semoga kita menjadi pendamai, agar kita boleh dipanggil “anak-anak-Nya,” Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Matius 5:9.

  2. Lihat Efesus 6:16; Ajaran dan Perjanjian 3:8.

  3. Kisah Rasul-Rasul 17:28.

  4. Mosia 15:11.

  5. Mosia 5:7.

  6. Presiden Dallin H. Oaks berkata: “Para pengikut Kristus harus menjadi teladan-teladan kesopanan. Kita patut mengasihi semua orang, menjadi pendengar yang baik, dan mengambil berat tentang kepercayaan mereka yang sungguh. Walaupun kita mungkin tidak setuju, kita tidak patut menyinggung perasaan orang. Pernyataan dan komunikasi kita mengenai topik-topik kontroversial tidak patut membawa perbantahan” (“Mengasihi Orang Lain dan Bercampur dengan Orang Lain Tidak Mengira Perbezaan Apa-apa,” Liahona, Nov. 2014, 27).

  7. “Amos C. Brown: Follow the LDS Church’s Example to Heal Divisions and Move Forward,” Salt Lake Tribune, Jan. 20, 2022, https://www.sltrib.com/opinion/commentary/2022/01/20/amos-c-brown-follow-lds/

  8. Elder Dale G. Renlund berkata, “Apabila kasih Kristus menyelubungi hidup kita, kita menghadapi perselisihan dengan kelembutan hati, kesabaran, dan kebaikan hati” (“Kedamaian Kristus Memansuhkan Permusuhan,” Liahona, Nov. 2021).

  9. Matius 5:11–12.

  10. Lihat 2 Nefi 10:23.

  11. 2 Nefi 2:11.

  12. Musa 6:55.

  13. Lihat 1 Nefi 14:12.

  14. Kajian terkini menunjukkan sebanyak 3 daripada 5 orang kongsikan berita tentang sebuah cerita yang mereka belum baca (see Caitlin Dewey, “6 in 10 of You Will Share This Link without Reading It, a New, Depressing Study Says,” Washington Post, June 16, 2015, washingtonpost.com; Maksym Gabielkov and others, “Social Clicks: What and Who Gets Read on Twitter?” [paper presented at the 2016 ACM Sigmetrics International Conference on Measurement and Modeling of Computer Science, June 14, 2016], dl.acm.org).

  15. Jangan hairan jika ada masanya pendapat peribadi anda pada mulanya tidak selaras dengan ajaran nabi Tuhan. Inilah masa untuk pembelajaran, kerendahan hati, apabila kita melutut untuk berdoa. Kita maju ke depan dengan iman, percaya kepada Tuhan, mengetahui bahawa kita akan menerima kejelasan rohani dari Bapa Syurgawi kita.

  16. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:14–16.

  17. Yohanes 15:18, 21; penekanan ditambahkan.

  18. “Bipartisan Bill Supported by Latter-day Saints Would Protect Gay and Transgender Arizonans,” Arizona Republic, 7 Feb. 2022, azcentral.com.

  19. Why the Church of Jesus Christ Supports a New Bipartisan Religious Freedom and Non-discrimination Bill in Arizona,” 7 Feb. 2022, newsroom.ChurchofJesusChrist.org.

  20. Russell M. Nelson, “Teach Us Tolerance and Love,” Ensign, Mei 1994, 69.

  21. Moroni 7:3. Presiden Gordon B. Hinckley berkata: “Kita tidak harus bertoleransi sahaja, tetapi kita mesti memupuk kesyukuran tegas bagi mereka yang tidak menyetujui perkara-perkara yang kita percaya. Kita tidak perlu berkompromi dengan teologi kita, kepercayaan kita, pengetahuan kita tentang kebenaran abadi yang telah diungkapkan oleh Tuhan Syurga. Kita boleh menawarkan kesaksian kita sendiri tentang kebenaran, secara senyap, jujur, tetapi tidak pernah dalam cara yang akan menyinggung perasaan orang lain. … Kita mesti belajar untuk menyampaikan penghargaan dan penghormatan kepada orang lain yang ikhlas dalam kepercayaan dan amalan mereka seperti kita” (“Out of Your Experience Here”.[pertemuan rohani Brigham Young University, 16 Okt. 1990], 6, speeches.byu.edu).

  22. Lihat Lukas 23:9–11.

  23. Elder Dieter F. Uchtdorf berkata: “Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita mengikut teladan-Nya. Kita tidak memalukan atau menyerang orang lain. Kita berusaha untuk mengasihi Tuhan dan melayani jiran-jiran kita. Kita berusaha untuk mematuhi perintah-perintah Tuhan dengan gembira dan mengamalkan asas-asas injil” (“Five Messages That All of God’s Children Need to Hear,” [pertemuan rohani Education Week Brigham Young University, 17 Aug. 2021], 5, speeches.byu.edu).

  24. Elder Neal A. Maxwell berkata: “Para ahli Gereja akan hidup dalam situasi gandum dan lalang ini sehinggalah Zaman Seribu Tahun. Beberapa lalang yang nyata menyamar sebagai gandum, termasuk beberapa individu bersemangat yang memberi leteran berkenaan ajaran-ajaran Gereja yang mana mereka tidak lagi percaya. Mereka mengkritik penggunaan sumber-sumber Gereja yang mana mereka tidak lagi menyumbang. Mereka pura-pura meminta nasihat para Saudara yang tidak lagi disokong oleh mereka. Bertentangan, kecuali terhadap diri mereka, mereka meninggalkan Gereja, tetapi mereka tidak dapat meninggalkan Gereja sepenuhnya” (“Becometh As a Child,” Ensign, Mei 1996, 68).

  25. Yohanes 6:66.

  26. “Menikmati kesenangan hidup berdosa [hanya] untuk sementara waktu” (lihat Ibrani 11:24–26).

  27. Lihat Matius 12:1–15.

  28. Matius 12:15.

  29. Lihat 3 Nefi 11:29–30.

  30. Dengan bantuan Yayasan Don Bosco, program sekolah ini menerima kepakaran yang berharga dalam pengajaran dan bahan-bahan.

  31. Muleka, seorang ibu, berkata, “Saya suka program ini kerana ia telah menyediakan anak perempuan saya … peluang untuk … belajar membaca dan menulis dan harapan untuk masa depan yang lebih baik. Saya tidak dapat menghantar dia ke sekolah kerana saya hanya menjual tepung jagung di pasar dan pendapatan yang diperoleh … hanya cukup untuk membeli makanan. Saya sangat bersyukur kepada Gereja untuk ini.” Sister Monique, seorang pengajar, berkata: “Program ini adalah satu berkat besar bagi kanak-kanak tersebut. Dalam kelas saya … kebanyakan mereka adalah yatim piatu. Mereka suka sekali, menghadiri kelas dan membuat kerja rumah dengan kerap” (komen dan gambar disediakan oleh Elder Joseph W. Sitati, 24 Feb. 2022).

  32. Datuk bandar Louis d’Or Ntumba Tshipota, ucapan di mesyarat awam tentang projek literasi Mbuji-Mayi yang dimulakan oleh Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 10 Okt. 2021.

  33. Yohanes 13:21.

  34. Yohanes 13:34–35.