Persidangan Umum
Tuhan Sangat Mengasihi Kita
Persidangan Umum April 2022


9:58

Tuhan Sangat Mengasihi Kita

Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia mengutus Putera Tunggal-Nya untuk tidak menghakimi kita tetapi untuk menyelamatkan kita.

“Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16). Kali pertama saya perhatikan ayat ini, bukan di gereja atau dalam malam keluarga. Saya tengah menonton acara sukan di televisyen. Tidak kira stesen yang saya tonton, dan permainannya, adanya seorang memegang tanda tertulis “Yohanes 3:16.”

Saya juga sukai ayat 17: “Tuhan mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.”

Tuhan mengutus Yesus Kristus, Putera Tunggal-Nya dalam daging, untuk menyerahkan nyawa-Nya bagi setiap kita. Ini dia lakukan kerana Dia mengasihi kita dan menciptakan satu rancangan untuk kita pulang kepada-Nya.

Tetapi ini bukanlah rancangan yang biasa dan sederhana. Ia adalah peribadi, yang ditetapkan oleh Bapa Syurgawi yang penyayang, yang mengetahui hati kita, nama kita, dan apa yang Dia perlu kita lakukan. Mengapakah kita percaya itu? Kerana kita diajar dalam tulisan suci.

Musa berulang kali mendengar Bapa Syurgawi mengucapkan perkataan “Musa, anak-Ku” (lihat Musa 1:6; lihat juga ayat 7, 40). Abraham pelajari bahawa dia anak Tuhan, dipilih untuk misinya sebelum dia dilahirkan (lihat Abraham 3:12, 23). Dengan tangan Tuhan, Ester diletakkan dalam kedudukan pengaruh untuk menyelamatkan bangsanya (lihat Ester 4). Dan Tuhan mempercayai seorang remaja puteri, seorang hamba, untuk bersaksi tentang seorang nabi hidup supaya Naaman dapat disembuhkan (lihat 2 Raja-Raja 5:1–15).

Saya terutamanya suka lelaki baik itu, bertubuh pendek, yang memanjat pokok untuk melihat Yesus. Juruselamat tahu bahawa dia berada di sana, berhenti, memandang ke dalam cabang-cabang, dan mengucapkan kata-kata ini: “Zakheus, … turunlah segera!” (Lukas 19:5). Dan kita tidak dapat lupakan budak yang berumur 14 tahun yang pergi ke hutan dan pelajari betapa peribadinya rancangan itu: “[Joseph,] inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!” (Joseph Smith—Sejarah 1:17).

Saudara dan saudari, kita adalah fokus rancangan Bapa Syurgawi dan sebab bagi misi Juruselamat. Kita masing-masing, secara individu, adalah pekerjaan Mereka dan kemuliaan Mereka.

Bagi saya, tiada kitab suci yang gambarkan ini dengan lebih jelas daripada kajian saya tentang Perjanjian Lama. Bab demi bab kita temui contoh-contoh bagaimana Bapa Syurgawi dan Yehovah terlibat dalam kehidupan kita.

Baru-baru ini kita telah mengkaji tentang Yusuf, anak lelaki Yakub yang dikasihi. Sejak masa mudanya, Yusuf sangat dirahmati oleh Tuhan, namun dia alami cubaan hebat di tangan saudara-saudaranya. Dua minggu lalu, ramai di antara kita terharu dengan bagaimana Yusuf mengampuni saudara-saudaranya. Dalam Ikutlah Aku kita membaca: “Dalam banyak cara, kehidupan Yusuf serupa dengan Yesus Kristus. Walaupun dosa-dosa kita menyebabkan Dia menderita besar, Juruselamat menawarkan keampunan, membebaskan kita semua dari nasib yang jauh lebih buruk daripada kebuluran. Sama ada kita perlu menerima keampunan atau menghulurkannya—ada masanya kita semua harus lakukan kedua-duanya—teladan Yusuf mengarahkan kita kepada Juruselamat, sumber penyembuhan dan pendamaian yang sebenarnya.”1

Satu pengajaran yang saya suka dalam cerita itu datang daripada Yehuda saudara Yusuf, yang memainkan peranan dalam rancangan peribadi Tuhan bagi Yusuf. Ketika Yusuf dikhianati oleh saudara-saudaranya, Yehuda meyakinkan mereka untuk tidak mengambil nyawa Yusuf tetapi untuk menjualnya ke dalam perhambaan (lihat Kejadian 37:26–27).

Bertahun-tahun kemudian, Yehuda dan saudara-saudaranya perlu bawa adik bongsu mereka, Benyamin, ke Mesir. Pada mulanya ayah mereka menentang. Tetapi Yehuda membuat satu janji kepada Yakub—dia akan bawa Benyamin pulang.

Di Mesir, janji Yehuda diuji. Benyamin yang muda dituduh dengan salah tentang satu jenayah. Yehuda, menepati janjinya, menawarkan diri untuk dipenjarakan menggantikan Benyamin. “Bagaimanakah,” dia berkata, “saya dapat balik kepada bapa saya jika anak itu tidak bersama dengan saya?” (lihat Kejadian 44:33–34). Yehuda bertekad untuk menepati janjinya dan mengembalikan Benyamin dengan selamat. Pernahkah anda rasa tentang orang lain seperti Yehuda rasa terhadap Benyamin?

Bukankah ini perasaan ibu bapa terhadap anak-anak mereka? Bagaimana para misionari rasa tentang orang yang mereka melayani? Bagaimana pemimpin Sekolah Primer dan remaja rasa tentang orang yang mereka ajar dan kasihi?

Tidak kira siapa anda atau keadaan semasa anda, seseorang berasa seperti ini tentang anda. Seseorang ingin kembali kepada Bapa Syurgawi bersama anda.

Saya bersyukur kepada mereka yang tidak pernah berputus asa terhadap kita, yang terus curahkan jiwa mereka dalam doa bagi kita, dan yang terus ajar dan bantu kita layak untuk pulang ke Bapa Syurgawi kita.

Baru-baru ini seorang kawan yang dikasihi menghabiskan 233 hari di hospital dengan COVID-19. Pada masa itu, dia dikunjungi oleh ayahnya yang sudah meninggal yang meminta agar satu pesanan disampaikan kepada cucu-cucunya. Bahkan dari seberang tirai, datuk yang baik ini ingin membantu cucu-cucunya kembali ke rumah syurgawi mereka.

Para pengikut Kristus semakin mengingati “orang-orang seperti Benyamin” dalam kehidupan mereka. Di seluruh dunia mereka telah dengar pesanan jelas nabi hidup Tuhan, Presiden Russell M. Nelson. Remaja putera dan remaja puteri terlibat dalam batalion remaja Tuhan. Individu dan keluarga menjangkau dengan semangat pelayanan—mengasihi, berkongsi, dan menjemput kawan-kawan dan jiran-jiran untuk datang kepada Kristus. Remaja dan orang dewasa mengingati dan berusaha untuk patuhi perjanjian mereka—memenuhi bait suci Tuhan, mencari nama-nama ahli keluarga yang sudah mati, dan menerima tatacara bagi mereka.

Mengapakah rancangan peribadi Bapa Syurgawi untuk kita termasuk bantu orang lain kembali kepada-Nya? Kerana inilah cara kita jadi seperti Yesus Kristus. Akhirnya, cerita Yehuda dan Benyamin ajarkan kita tentang pengorbanan Juruselamat untuk kita. Melalui Korban Tebusan-Nya, Dia berikan nyawa-Nya untuk bawa kita pulang. Kata-kata Yehuda menyatakan kasih Juruselamat: “Bagaimanakah saya dapat balik kepada bapa saya, jika [kamu] tidak bersama saya?” Sebagai pengumpul Israel, itu juga boleh jadi kata-kata kita.

Perjanjian Lama penuh dengan mukjizat dan belas kasihan yang merupakan tanda rancangan Bapa Syurgawi. Dalam 2 Raja-Raja 4, frasa “[berlaku] pada suatu hari” digunakan tiga kali untuk menekankan kepada saya bahawa peristiwa penting berlaku menurut masa Tuhan dan tiada perincian yang terlalu kecil bagi-Nya.

Kawan baru saya Paul bersaksi tentang kebenaran ini. Pau membesar di rumah yang kadang-kadang kesat dan selalu tidak bertoleransi terhadap agama. Semasa menghadiri sekolah di pangkalan tentera di Jerman, dia melihat dua saudari yang kelihatan mempunyai cahaya rohani. Bertanya mengapa mereka berbeza membawa jawapan bahawa mereka adalah ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Tidak lama kemudian Paul bertemu dengan para misionari dan dijemput ke gereja. Pada hari Ahad berikutnya, ketika dia turun dari bas, dia ternampak dua lelaki berpakaian baju putih dan tali leher. Dia bertanya jika mereka orang misionari Gereja. Mereka menjawab ya, jadi Paul mengikuti mereka.

Semasa pertemuan, seorang pengkhutbah menunjuk kepada orang ramai di jemaah dan menjemput mereka untuk bersaksi. Pada akhir setiap kesaksian, seorang pemain gendang memberi tabik gendang dan jemaah berseru, “Amin.”

Apabila pengkhutbah itu menunjuk kepada Paul, dia berdiri dan berkata, “Saya tahu Joseph Smith ialah seorang nabi dan Kitab Mormon adalah benar.” Tiada tabik gendang atau seruan amin. Paul akhirnya sedar bahawa dia telah pergi ke gereja yang salah. Tidak lama kemudian, Paulus menemui jalannya ke tempat yang betul dan dibaptiskan.

Pada hari pembaptisan Paul, seorang ahli yang tidak dikenali beritahunya, “Kamu menyelamatkan nyawaku.” Beberapa minggu sebelumnya, lelaki ini telah memutuskan untuk cari gereja lain dan hadiri satu pertemuan dengan gendang dan seruan amin. Ketika lelaki itu dengar Paul berikan kesaksiannya tentang Joseph Smith dan Kitab Mormon, dia menyedari bahawa Tuhan mengenalinya, mengenali perjuangannya, dan mempunyai rancangan untuknya. Bagi Paul dan lelaki itu, memangnya “[berlaku] pada suatu hari”!

Kita juga tahu bahawa Bapa Syurgawi ada rancangan kegembiraan peribadi untuk setiap kita. Kerana Tuhan hantar Putera-Nya yang Dikasihi untuk kita, mukjizat-mukjizat yang kita perlukan akan “[berlaku] pada suatu hari” yang diperlukan untuk rancangan-Nya digenapi.

Saya bersaksi bahawa tahun ini kita boleh belajar lebih tentang rancangan Tuhan untuk kita dalam Perjanjian Lama. Jilid kudus itu mengajar peranan para nabi dalam masa yang tidak menentu dan tangan Tuhan dalam dunia yang keliru dan sering bertengkar. Ia juga mengenai orang yang rendah hati yang menanti-nantikan kedatangan Juruselamat kita dengan iman, sama seperti kita menanti-nantikan dan bersedia untuk Kedatangan Kedua-Nya—Kepulangan-Nya yang lama dinubuatkan.

Sehingga hari itu, kita tidak boleh lihat, dengan mata alamiah kita, rancangan Tuhan untuk semua aspek kehidupan kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 58:3). Tetapi kita boleh ingat balasan Nefi apabila hadapi sesuatu yang dia tidak faham: sementara dia tidak tahu maksud segala hal, dia tahu bahawa Tuhan kasihi anak-anak-Nya (lihat 1 Nefi 11:17).

Inilah kesaksian saya pada pagi Hari Sabat yang indah ini. Semoga kita menulisnya dalam hati kita dan benarkan ia memenuhi jiwa kita dengan kedamaian, harapan dan kebahagiaan abadi: Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia mengutus Putera Tunggal-Nya untuk tidak menghakimi kita tetapi untuk menyelamatkan kita. Dalam nama Yesus Kristus, amin.