Tetapi Kami Tidak Menghiraukan Mereka
Perjanjian dan tatacara mengarahkan kita kepada dan membantu kita selalu mengingati hubungan kita dengan Tuhan Yesus Kristus semasa kita maju sepanjang jalan perjanjian.
Isteri saya, Susan, tiga orang anak lelaki kami dan isteri mereka, semua cucu kami, dan Elder Quentin L. Cook, teman duduk saya dalam Kuorum Dua Belas selama hampir 15 tahun, semuanya boleh buktikan bahawa nyanyian saya tidak baik. Walaupun saya kurang bakat vokal, saya suka menyanyikan lagu rohani Pemulihan. Gabungan lirik yang diilhamkan dan melodi megah membantu saya mempelajari asas-asas injil yang penting dan menggerakkan jiwa saya.
Satu lagu rohani yang telah memberkati kehidupan saya dalam cara yang luar biasa adalah “Mari Lakukan Cepat.” Baru-baru ini saya telah merenungkan dan mempelajari tentang frasa tertentu dalam lagu rohani itu. “Kami tidak akan menghiraukan walaupun orang jahat mencela, Tuhan saja yang [kami] dengar.”1
Kami tidak akan menghiraukan.
Semasa saya menyanyikan “Mari Lakukan Cepat,” saya sering berfikir tentang orang-orang dalam penglihatan Lehi menekan ke hadapan di jalan yang menuju ke pokok kehidupan dan bukannya hanya “memegang kuat”2 tetapi “senantiasa memegang kuat kepada batang besi itu, sehingga mereka keluar dan jatuh dan memakan buah dari pokok itu.”3 Lehi menggambarkan orang ramai di bangunan besar dan lapang yang menuding “jari penghinaan ke arah [dia] dan mereka … yang makan buah itu.”4 Tindak balasnya terhadap ejekan dan penghinaan adalah mengagumkan dan tidak dapat dilupakan; “Tetapi kami tidak menghiraukan mereka.”5
Saya berdoa agar Roh Kudus akan memberkati dan menerangi setiap kita apabila kita bersama mempertimbangkan bagaimana kita boleh diperkuatkan untuk “tidak menghiraukan” pengaruh jahat dan suara-suara ejekan dunia kita ini.
Tidak Menghiraukan
Perkataan menghiraukan bermaksud untuk mengambil perhatian atau memberi perhatian kepada seseorang atau sesuatu. Oleh itu, lirik lagu rohani “Mari Lakukan Cepat” menasihati kita untuk membuat keputusan yang tegas untuk tidak memberi perhatian “walaupun orang jahat mencela.” Dan Lehi dan orang-orang yang sedang makan buah pokok itu memberi contoh yang kuat untuk tidak memberi perhatian kepada ejekan dan penghinaan yang sering datang dari bangunan besar dan lapang itu.
Ajaran Kristus ditulis “dengan Roh Tuhan yang hidup … pada [hati kita]”6 meningkatkan keupayaan kita untuk “tidak menghiraukan” banyak gangguan, ejekan, dan hiburan-hiburan dalam dunia kita yang terjatuh. Contohnya, iman tertumpu dalam dan pada Tuhan Yesus Kristus menguatkan kita dengan kekuatan rohani. Iman kepada Juruselamat adalah asas tindakan dan kuasa. Apabila kita bertindak selaras dengan kebenaran injil-Nya, kita diberkati dengan kemampuan rohani untuk maju terus melalui cabaran kefanaan sementara tertumpu pada kebahagiaan yang Juruselamat berikan kepada kita. Sesungguhnya, “bila benar, tak usah kita takut, kerana Tuhan penolong kita selalu dekat.”7
Hubungan Peribadi melalui Perjanjian
Memasuki perjanjian-perjanjian kudus dan menerima tatacara imamat dengan layak mengikat kita kepada Tuhan Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi.8 Ini bererti kita percaya kepada Juruselamat sebagai Pembela9 Pengantara10 dan bergantung pada jasa, belas kasihan, dan rahmat-Nya11 dalam perjalanan kehidupan. Apabila kita tabah datang kepada Kristus dan memikul kuk bersama-Nya, kita menerima berkat-berkat pembersihan, penyembuhan, dan pengukuhan Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga dan abadi.12
Menjalani dan mengasihi komitmen perjanjian mencipta satu perhubungan dengan Tuhan yang sangat peribadi dan berkuasa secara rohani. Apabila kita menghormati syarat-syarat perjanjian dan tatacara-tatacara kudus, kita secara beransur-ansur lebih mendekati-Nya13 dan mengalami kesan ketuhanan dan kewujudan-Nya dalam hidup kita. Yesus kemudian menjadi lebih daripada watak utama dalam cerita-cerita tulisan suci; teladan dan ajaran-Nya mempengaruhi setiap hasrat, fikiran, dan tindakan kita.
Jujur, saya tidak berupaya untuk secara tepatnya menggambarkan sepenuhnya sifat dan kuasa tentang hubungan perjanjian kita dengan Putera Tuhan yang bangkit dan hidup. Tetapi saya bersaksi bahawa perhubungan dengan Kristus dan Bapa Syurgawi adalah benar dan merupakan sumber utama keyakinan, kedamaian, kebahagiaan, dan kekuatan rohani yang membolehkan kita untuk “jangan takut dicela musuh.”14 Sebagai pengikut Yesus Kristus yang membuat perjanjian dan mematuhi perjanjian, kita boleh diberkati untuk “berani kerana Tuhan pun serta”15 dan tidak memberi perhatian kepada pengaruh jahat dan tekanan dunia.
Semasa saya melawat ahli-ahli Gereja di seluruh dunia, saya sering tanyakan mereka soalan ini: apakah yang membantu anda untuk “tidak menghiraukan” pengaruh, ejekan, dan cemuhan duniawi? Jawapan mereka memberi pengajaran besar.
Ahli-ahli berani sering menekankan kepentingan menjemput kuasa Roh Kudus ke dalam kehidupan mereka melalui kajian tulisan suci yang bermakna, doa yang bersungguh-sungguh, dan persediaan yang betul untuk mengambil bahagian dalam tatacara sakramen. Turut kerap disebut adalah sokongan rohani ahli keluarga yang beriman dan kawan-kawan yang dipercayai, pengajaran penting yang dipelajari melalui pelayanan dalam Gereja Tuhan yang dipulihkan, dan keupayaan untuk membezakan apa-apa kekosongan mutlak di dalam atau yang datang dari bangunan besar dan lapang.
Saya melihat satu pola tertentu yang sangat penting dalam jawapan ahli-ahli ini. Yang pertama dan paling utama, para pengikut ini mempunyai kesaksian yang teguh tentang rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi dan peranan Yesus Kristus sebagai Penebus dan Juruselamat kita. Dan kedua, pengetahuan dan kepercayaan rohani mereka adalah individu, peribadi, dan khusus; ia bukanlah umum dan abstrak. Saya mendengar jiwa-jiwa setia ini berucap tentang perjanjian-perjanjian yang menyediakan kekuatan untuk mengatasi pertentangan dan hubungan mereka dengan Tuhan hidup yang membantu mereka melalui masa yang baik dan yang buruk. Kepada individu-individu ini, Yesus Kristus sememangnya Juruselamat peribadi.
Perjanjian dan tatacara injil berfungsi dalam kehidupan kita seperti kompas. Kompas adalah alat yang digunakan untuk menunjukkan arah mata angin utara, selatan, timur, dan barat untuk tujuan navigasi dan orientasi geografi. Dalam cara yang sama, perjanjian dan tatacara kita mengarahkan kita kepada dan membantu kita selalu mengingati hubungan kita dengan Tuhan Yesus Kristus semasa kita maju sepanjang jalan perjanjian.
Arah mata angin atau tujuan utama bagi kita semua dalam kefanaan adalah untuk datang dan disempurnakan di dalam Kristus.16 Perjanjian dan tatacara kudus membantu kita untuk tertumpu kepada Juruselamat dan dengan rahmat-Nya, berusaha17 untuk menjadi lebih seperti-Nya. Yang paling yakin, “dibantu kekuatan yang tidak kelihatan, tolong kita di perang benar.”18
Berpegang Kuat kepada Batang Besi
Hubungan perjanjian kita dengan Tuhan dan Yesus Kristus adalah saluran di mana kita boleh menerima keupayaan dan kekuatan untuk “tidak menghiraukan.” Dan ikatan ini diperkuatkan semasa kita terus memegang kuat kepada batang besi. Tetapi seperti saudara-saudara Nefi bertanya, “Apakah maksud batang besi yang bapa kita nampak … ?
“Dan [Nefi] berkata kepada mereka bahawa ia adalah firman Tuhan; dan barang siapa yang mematuhi firman Tuhan, dan berpegang kuat kepadanya, mereka langsung tidak akan terbinasa; tidak juga dapatlah godaan dan anak panah berapi dari musuh mengalahkan mereka sehingga kebutaan, untuk menuntun mereka kepada penghancuran.”19
Sila perhatikan bahawa kebolehan untuk menentang godaan dan panah berapi musuh dijanjikan kepada individu-individu yang “berpegang teguh kepada” dan bukan hanya “berpegang kepada” firman Tuhan.
Menariknya, Rasul Yohanes menggambarkan Yesus Kristus sebagai Firman.20
“Sebelum dunia ini diciptakan Firman, sudah ada dan Firman itu bersama-sama Tuhan, dan Firman itu sama dengan Tuhan. …
“Tuhan menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia.
“Dan Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita, (kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa,) kasih Tuhan dan Tuhan sendiri ditunjukkan kepada kita.”21
Oleh kerana itu, salah satu nama Yesus Kristus adalah “Firman.”22
Sebagai tambahan, fasal kepercayaan kelapan menyatakan, “Kami percaya Alkitab adalah firman Tuhan sejauh mana ianya diterjemahkan dengan betul; kami juga percaya Kitab Mormon adalah firman Tuhan.”23
Oleh itu, ajaran-ajaran Juruselamat, seperti yang tercatat dalam Tulisan Suci, juga adalah “firman.”
Izinkan saya mencadangkan bahawa berpegang kuat kepada firman Tuhan memerlukan (1) mengingat, menghormati, dan memperkuatkan hubungan peribadi kita dengan Juruselamat dan Bapa-Nya melalui perjanjian dan tatacara injil yang dipulihkan dan (2) dengan penuh doa, bersungguh-sungguh, dan dengan konsisten menggunakan tulisan suci dan ajaran-ajaran para nabi dan rasul hidup sebagai sumber kebenaran yang pasti. Apabila kita terikat dan “berpegang kuat” kepada Tuhan dan diubah dengan mematuhi ajaran-Nya,24 saya berjanji bahawa secara individu dan bersama, kita akan diberkati untuk “berdiri di tempat-tempat kudus, dan tidak akan digerakkan.”25 Jika kita hidup bersatu dengan Kristus, Dia akan tetap bersatu bersama kita.26 Tentunya, “dalam godaan orang suci dihibur, kebenaran menang tentu.”27
Kesaksian
Maju terus. Berpegang kuat. Tidak menghiraukan.
Saya bersaksi bahawa kesetiaan kepada perjanjian dan tatacara injil Juruselamat yang dipulihkan membolehkan kita maju terus dalam pekerjaan Tuhan, untuk berpegang kuat kepada-Nya sebagai Firman Tuhan, dan untuk tidak menghiraukan godaan musuh. Dalam perjuangan demi kebenaran, semoga setiap kita “hunuslah pedang demi keadilan, pedang kuat keadilan,”28 dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.