Pelajaran di Perigi
Kita boleh berpaling kepada Juruselamat untuk kekuatan dan penyembuhan yang akan membolehkan kita memenuhi semua yang kita perlu lakukan.
Betapa gembiranya untuk dikumpulkan bersama setiap anda dalam sesi wanita persidangan umum ini!
Saya membesar di New York barat dan menghadiri satu cabang kecil Gereja kira-kira 32 kilometer dari rumah kami. Semasa saya duduk dalam kelas Sekolah Minggu di tingkat bawah tanah gereja sewa lama kami bersama kawan saya Patti Jo sahaja, saya tidak pernah bayangkan saya akan menjadi sebahagian daripada organisasi Lembaga Pertolongan global.
Lima tahun yang lalu, suami saya, Bruce, menjadi sakit teruk semasa kami sedang melayani bersama Para Orang Suci yang dibaktikan di Kawasan Timur Eropah. Kami pulang ke rumah dan dia meninggal dunia beberapa minggu kemudian. Kehidupan saya berubah secara mendadak. Saya bersedih, berasa lemah dan terdedah. Saya merayu kepada Tuhan untuk mengarahkan perjalanan saya: “Apakah yang Tuhan mahu saya lakukan?”
Beberapa minggu kemudian, saya sedang membaca surat apabila satu gambar kecil dalam satu katalog menangkap perhatian saya. Apabila saya melihat lebih dekat, saya sedar bahawa ia adalah lukisan seorang artis tentang wanita Samaria dengan Yesus di perigi. Pada saat itu, Roh berbicara dengan jelas kepada saya: “Itulah apa yang kamu harus lakukan.” Bapa Syurgawi menjemput saya untuk datang kepada Juruselamat dunia dan belajar.
Saya ingin berkongsi dengan anda tiga pelajaran yang saya pelajari semasa saya terus minum dari perigi-Nya yang mengandungi “air yang memberikan hidup.”1
Pertama: Keadaan Masa Lalu dan Masa Kini Kita Tidak Menentukan Masa Depan Kita
Para saudari, saya tahu ramai di antara anda rasa seperti saya, tidak pasti bagaimana untuk menghadapi cabaran dan kehilangan yang sukar—kehilangan kerana kehidupan anda tidak berlaku dalam cara yang anda harapkan, doakan, dan rancangkan.
Tidak kira apa pun keadaan kita, kehidupan kita adalah kudus dan mempunyai makna dan tujuan. Setiap kita ialah anak perempuan Tuhan yang dikasihi, dilahirkan dengan sifat ketuhanan dalam jiwa kita.
Juruselamat kita, Yesus Kristus, melalui korban tebusan-Nya, membolehkan kita dibersihkan dan disembuhkan, membolehkan kita memenuhi tujuan kita di bumi tanpa mengira keputusan ahli keluarga, status perkahwinan kita, kesihatan jasmani atau mental, atau situasi lain.
Pertimbangkan wanita di perigi. Bagaimanakah kehidupannya? Yesus sedar bahawa dia mempunyai lima suami sebelum ini dan belum berkahwin dengan lelaki yang dia tinggal bersama sekarang. Namun, walaupun kesusahan hidupnya, Juruselamat mengisytihar kepadanya bahawa Dia ialah Mesias. Yesus firmankan, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.”2
Wanita ini menjadi saksi yang hebat, memaklumkan kepada mereka di kotanya bahawa Yesus ialah Kristus. “Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu.”3
Keadaan masa lalu dan kini tidak menentukan masa depannya. Seperti dia, kita boleh memilih untuk berpaling kepada Juruselamat hari ini untuk kekuatan dan penyembuhan yang akan membolehkan kita memenuhi semua yang kita perlu lakukan.
Kedua: Kuasa Ada pada Kita
Ayat sama di Ajaran dan Perjanjian, Tuhan menggalakkan wanita dan lelaki untuk “bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari keinginan bebas mereka sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran; kerana kuasa ada pada mereka.”4
Para saudari, kuasa ada pada kita untuk mendatangkan banyak kebenaran!
Presiden Russell M. Nelson bersaksi, “Setiap wanita dan setiap lelaki yang membuat perjanjian dengan Tuhan dan mentaati perjanjian itu, dan mengambil bahagian dengan layak dalam tatacara imamat, mempunyai akses secara langsung kepada kuasa Tuhan.”5
Saya telah mempelajari bahawa apabila kita berusaha untuk menepati perjanjian kudus yang dibuat di pembaptisan dan di bait suci, Tuhan akan memberkati kita “dengan kuasa penyembuhan dan pengukuhan-Nya” dan dengan “pandangan dan kebangkitan rohani yang [kita] tidak pernah ada sebelum ini.”6
Ketiga: “Dan dari Hal-hal yang Kecil Bermulalah Hal yang Besar.”7
Dalam Khutbah di atas Bukit, Yesus mengajar para pengikut-Nya, “Kamu bagaikan garam dunia”8 dan “Kamu bagaikan cahaya bagi dunia.”9 Kemudiannya Yesus membandingkan perkembangan kerajaan Tuhan kepada ragi, “Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.”10
-
Garam
-
Ragi
-
Cahaya
Walaupun dalam jumlah yang kecil, setiapnya mempengaruhi semua di sekeliling itu. Juruselamat menjemput kita untuk menggunakan kuasa-Nya seperti garam, ragi, dan cahaya.
Garam
Ia amat menghairankan betapa banyak perbezaan yang dihasilkan oleh percikan garam dalam perisa makanan kita. Namun, garam adalah salah satu bahan yang paling murah dan paling mudah.
Dalam kitab 2 Raja-Raja, kita membaca tentang “seorang budak perempuan,”11 yang telah ditangkap oleh orang Siria dan menjadi hamba kepada isteri Naaman, panglima tentera Siria. Dia bagaikan garam; dia masih muda, tidak penting di dunia, dan hidupnya sebagai hamba di negeri asing jelasnya bukan apa yang dia harapkan.
Tetapi, dia bersaksi kepada isteri Naaman dengan kuasa Tuhan “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.”12
Kata-kata imannya disampaikan kepada Naaman, yang bertindak atas kata-katanya, membolehkan dia disembuhkan secara jasmani dan rohani.
Kita sering berfokus pada hamba-hamba yang meyakinkan Naaman untuk mandi di Sungai Yordan, seperti yang diarahkan oleh nabi Elisa, tetapi Naaman tidak akan berada di pintu Elisa tanpa “seorang budak perempuan.”
Anda mungkin muda atau rasa tidak penting, tetapi anda boleh menjadi seperti garam dalam keluarga, di sekolah dan dalam komuniti anda.
Ragi
Pernahkah anda makan roti tanpa ragi? Bagaimana anda dapat mengambarkan itu? Padat? Berat? Susah? Dengan hanya sejumlah kecil ragi, roti naik, berkembang untuk menjadi lebih ringan dan lebih lembut.
Apabila kita menjemput kuasa Tuhan ke dalam kehidupan kita, kita boleh menggantikan “kesedihan”13 dengan perspektif mengilhamkan yang mengangkat orang lain dan memberi ruang untuk hati disembuhkan.
Baru-baru ini kawan saya berbaring di atas katil pada pagi Krismas, berat dengan kesedihan. Anak-anaknya merayu kepadanya untuk bangun; tetapi, dia dipenuhi dengan luka penceraiannya yang belum selesai. Berbaring di atas katil sambil menangis, dia mencurahkan jiwanya dalam doa kepada Bapa Syurgawinya, memberitahu Dia rasa putus-asanya.
Semasa mengakhiri doanya, Roh berbisik bahawa Tuhan tahu kesakitannya. Kawan saya dipenuhi dengan rasa kasihan-Nya. Pengalaman suci ini mengesahkan emosinya dan memberi harapan bahawa dia tidak bersedih bersendirian. Dia bangun, keluar dari rumah dan membina orang salji bersama anak-anaknya, menggantikan kesedihan pagi dengan ketawa dan kegembiraan.
Cahaya
Berapa banyak cahaya yang diperlukan untuk menusuk kegelapan dalam sebuah bilik? Satu sinaran kecil. Dan sinar cahaya dalam tempat yang gelap dapat berasal dari kuasa Tuhan dalam dirimu.
Walaupun anda mungkin merasa keseorangan semasa ribut kehidupan mengamuk, anda boleh menyinarkan cahaya dalam kegelapan salah faham, kekeliruan, dan ketidakpercayaan. Cahaya iman anda kepada Kristus boleh menjadi mantap dan pasti, membimbing mereka di sekeliling anda ke keselamatan dan kedamaian.
Para saudari, hati boleh diubah dan kehidupan diberkati apabila kita menawarkan secubit garam, sesudu ragi, dan satu sinar cahaya.
Saya bersaksi bahawa Juruselamat ialah garam dalam hidup kita, menjemput kita untuk mengecapi kebahagiaan dan kasih-Nya.14 Dialah yang menjadi ragi ketika hidup kita susah, membawa kita harapan15 dan memikul beban kita16 melalui kuasa-Nya yang tiada bandingnya dan kasih penebusan.17 Dia ialah cahaya kita,18 menerangi perjalanan pulang kita.
Saya berdoa agar kita boleh datang kepada Juruselamat, seperti wanita di perigi, dan minum air hidup-Nya. Bersama orang Samaria, kita kemudiannya boleh mengisytiharkan, “Kami sekarang percaya, … kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat Dunia.”19 Dalam nama Yesus Kristus, amin.