Persidangan Umum
Hubungan Kita dengan Tuhan
Persidangan Umum April 2022


13:17

Hubungan Kita dengan Tuhan

Tidak kira apa pun pengalaman fana kita, kita boleh mempercayai Tuhan dan mencari kebahagiaan dalam Dia.

Seperti Ayub dalam Perjanjian Lama, dalam masa penderitaan individu mungkin rasa Tuhan telah tinggalkan mereka. Kita tahu bahawa Tuhan ada kuasa untuk mencegah atau menyingkirkan sebarang kesengsaraan, kita mungkin tergoda merungut jika Dia tidak melakukannya, mungkin mempersoalkan, “Jika Tuhan tidak memberi bantuan yang saya doakan, bagaimana saya boleh beriman kepada-Nya?” Dalam satu percubaannya yang sukar, Ayub yang soleh berkata:

“Ketahuilah bahawa Tuhan yang menyalahkan aku. Dia telah memasang perangkap untuk menangkap aku.

“Aku berseru, ‘Kejam!’ Tetapi tidak ada yang mendengarkan; aku berseru minta tolong, tetapi tidak ada keadilan.”1

Dalam jawapan-Nya kepada Ayub, Tuhan menuntut, “Adakah engkau menyalahkan Aku dengan membenarkan dirimu?”2 Atau dalam kata lain, “Adakah kamu menganggap-Ku salah? Adakah kamu ingin menghukum Aku agar kamu boleh diwajarkan?”3 Yehovah dengan berkuasa mengingatkan Ayub tentang sifat-Nya mahakuasa dan serba tahu, dan Ayub dengan sangat rendah hati mengakui bahawa dia tidak miliki apa pun yang dekat dengan pengetahuan, kuasa, dan kesolehan Tuhan dan tidak dapat berdiri di penghakiman Yang Maha Kuasa:

“Aku tahu, ya Tuhan, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu; Ayub berkata, “Engkau dapat melakukan apa sahaja.

“… Aku bercakap tentang perkara yang tidak aku mengerti, mengenai hal-hal yang terlalu ajaib bagiku ini. …

“Oleh itu, aku malu kerana segala perkataanku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.”4

Akhirnya, Ayub berpeluang melihat Tuhan, dan “Tuhan memberkati Ayub dengan lebih berlimpah pada akhir hidupnya daripada masa sebelum dia mengalami penderitaan.”5

Adalah kebodohan kita untuk menghakimi Tuhan dengan mata fana kita, untuk berfikir, contohnya, “Saya tidak gembira, jadi Tuhan pasti melakukan sesuatu yang salah.” Bagi kita, anak-anak fana-Nya di dunia yang jatuh, yang tahu begitu sedikit tentang masa lalu, kini, dan masa depan, Dia mengisytiharkan, “Segala hal hadir bersama-Ku, kerana Aku mengetahui mereka semua.”6 Yakub dengan bijaksana memperingatkan: “Janganlah berupaya untuk menasihati Tuhan, tetapi untuk menerima nasihat dari tangan-Nya. Kerana lihatlah, dirimu sendiri tahu bahawa Dia menasihati dalam kebijaksanaan, dan dalam keadilan, dan dalam belas kasihan yang besar, atas segala pekerjaan-Nya.”7

Ada yang salah faham janji-janji Tuhan bermaksud kepatuhan kepada-Nya menyerahkan hasil tertentu mengikut jadual yang tetap. Mereka mungkin berfikir, “Jika saya melayani misi sepenuh masa dengan tekun, Tuhan akan memberkati saya dengan perkahwinan bahagia dan anak-anak,” atau “Jika saya tidak buat kerja sekolah pada hari Sabat, Tuhan akan memberkati saya dengan gred yang baik” atau “Jika saya membayar persepuluhan, Tuhan akan memberkati saya dengan pekerjaan yang saya inginkan.” Jika kehidupan tidak berlaku seperti ini atau menurut jangkaan masa, mereka mungkin rasa dikhianati oleh Tuhan. Tetapi hal-hal tidak begitu automatik dalam hal ilahi. Kita tidak seharusnya anggap rancangan Tuhan sebagai mesin layan diri kosmik di mana kita (1) memilih berkat yang diingini, (2) masukkan jumlah pekerjaan baik yang diperlukan dan (3) pesanan itu diberi dengan segera.8

Tuhan akan menghormati perjanjian dan janji-janji-Nya kepada setiap kita. Kita tidak perlu risau tentang itu.9 Kuasa penebusan Yesus Kristus—yang turun di bawah segala hal dan kemudian naik ke syurga10 dan yang memiliki segala kuasa di syurga dan di bumi11—memastikan Tuhan dapat dan akan memenuhi janji-janji-Nya. Adalah penting bagi kita menghormati dan mematuhi hukum-hukum-Nya, tetapi bukan setiap berkat yang dilandaskan pada kepatuhan kepada hukum12 dibentuk, dicipta, dan ditamatkan menurut jangkaan kita. Kita lakukan yang terbaik tetapi mesti serahkan kepada-Nya tentang pengurusan berkat-berkat, baik duniawi mahupun rohani.

Presiden Brigham Young menjelaskan bahawa imannya tidak berdasarkan dari hasil atau berkat tertentu tetapi atas saksi dan hubungannya dengan Yesus Kristus. Dia berkata: “Imanku berdasarkan pekerjaan Tuhan di kepulauan laut, penghijrahan umat-Nya ke sini, berkat yang dicurahkan ke atas umat-Nya atau sama ada kita diberkati atau tidak, tetapi imanku berdasarkan Tuhan Yesus Kristus, dan pengetahuan aku terima daripada-Nya.”13

Pertaubatan dan kepatuhan kita, pelayanan dan pengorbanan kita tidak sia-sia. Kita ingin terbilang antara mereka yang Eter gambarkan sebagai “selalu berlimpah ruah dengan kerja-kerja baik.”14 Tetapi ia bukan kerana pengiraan yang disimpan dalam buku laporan selestial. Hal-hal ini penting kerana ia melibatkan kita dalam pekerjaan Tuhan dan merupakan cara kita bekerjasama dengan Dia dalam perubahan kita sendiri dari manusia alamiah kepada orang suci.15 Apa yang Bapa Syurgawi tawarkan kepada kita adalah Diri-Nya dan Putera-Nya, hubungan yang dekat dan bertahan dengan Mereka melalui rahmat dan pengantaraan, Yesus Kristus, Penebus kita.

Kita adalah anak-anak Tuhan, ditetapkan untuk kebaqaan dan kehidupan abadi. Takdir kita ialah untuk menjadi pewaris-Nya, “para pewaris bersama dengan Kristus.”16 Bapa kita bersedia untuk membimbing setiap kita di sepanjang jalan perjanjian-Nya dengan langkah-langkah yang direka untuk keperluan individu dan disesuaikan dengan rancangan-Nya untuk kegembiraan mutlak kita bersama Dia. Kita boleh menjangkakan kepercayaan dan iman yang semakin berkembang kepada Bapa dan Putera, semakin merasa kasih Mereka, dan penghiburan dan bimbingan Roh Kudus yang konsisten.

Bahkan demikian, jalan ini tidak mudah bagi mana-mana kita. Banyak penghalusan diperlukan dan ia tidak mudah. Yesus berkata:

“Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur.

“Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat.”17

Proses pemurnian dan penyucian yang Tuhan arahkan akan, kerana diperlukan, kadang-kadang menjadi menyedihkan dan menyakitkan. Mengingati pernyataan Paulus, kita adalah “para pewaris bersama dengan Kristus; jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya.”18

Jadi, di tengah-tengah api menyempurnakan ini, daripada marah terhadap Tuhan, dekatilah Tuhan. Berserulah kepada Bapa dalam nama Putera. Berjalan dengan Mereka dalam Roh, hari demi hari. Benarkan Mereka menyatakan kesetiaan kepada anda sepanjang masa. Benar-benar mengenali Mereka dan benar-benar mengenali diri anda.19 Membiarkan Tuhan menang.20 Juruselamat meyakinkan kita:

“Dengarkanlah Dia yang merupakan pembela dengan Bapa, yang membela perkaramu di hadapan-Nya—

“Memfirmankan: Bapa, lihatlah penderitaan dan kematian dari Dia yang tidak berdosa, kepada siapa Engkau sangat berkenan; lihatlah darah Putera-Mu yang telah ditumpahkan, darah Dia yang Engkau berikan agar Engkau sendiri dapat dimuliakan;

Kerana itu, Bapa, biarkanlah hidup saudara-saudara-Ku ini yang percaya pada nama-Ku, agar mereka boleh datang kepada-Ku dan memperoleh kehidupan abadi.”21

Lihatlah teladan lelaki dan wanita yang percayai Tuhan, yakin bahawa berkat-berkat dijanjikan akan diterima dalam hidup ini atau selepas kematian. Iman mereka tidak berdasarkan tindakan Tuhan terhadap suatu keadaan atau masa tetapi mengenali-Nya sebagai Bapa yang baik hati dan Yesus Kristus, Penebus mereka.

Apabila Abraham hampir dikorbankan oleh imam Mesir Elkena, dia berseru kepada Tuhan untuk menyelamatkannya, dan Tuhan melakukannya.22 Abraham terus hidup menjadi bapa kepada semua insan setia di mana seluruh keluarga di bumi akan diberkati.23 Sebelum ini, di altar yang sama ini, imam Elkena telah mempersembahkan tiga orang perawan yang “kerana kehemahan mereka … tidak mahu menundukkan diri untuk menyembah dewa-dewa kayu atau batu.”24 Mereka mati syahid.

Yusuf dari zaman dahulu, dijual ke dalam perhambaan semasa remaja oleh abang-abangnya sendiri, dalam kepedihannya berpaling ke Tuhan. Lama-kelamaan, dia menjadi hebat dalam istana tuannya di Mesir namun segala itu diambil kerana tuduhan palsu isteri Potifar. Yusuf boleh berfikir, “Jadi apa yang aku dapat ialah sebuah penjara kerana mematuhi hukum kemurniaan.” Sebaliknya dia terus berpaling ke Tuhan lagi dan makmur walaupun di dalam penjara. Yusuf mengalami kekecewaan lagi apabila seorang yang dia berkawan di dalam penjara, berjanji untuk tolong Yusuf, melupakannya setelah kawannya kembali berkhidmat di istana Firaun. Ahkirnya, Tuhan bantu Yusuf mendapat kepercayaan Firaun dan berkhidmat di sisinya, membolehkan Yusuf menyelamatkan bani Israel. Sememanya Yusuf boleh bersaksi “bahawa Tuhan mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia.”25

Abinadi berniat untuk memenuhi panggilan ilahinya. “Aku selesaikan pesanku,” dia berkata, “dan kemudian bukanlah masalah [apa yang berlaku kepadaku], jika demikian halnya bahawa aku diselamatkan.”26 Dia tidak terlepas daripada mati syahid, tetapi dia pasti diselamatkan di dalam kerajaan Tuhan, dan seorang penganutnya yang berharga, Alma, mengubah jalan sejarah bangsa Nefi yang membawa kepada kedatangan Kristus.

Alma dan Amulek dibebaskan dari penjara di Amoniha sebagai jawapan kepada rayuan mereka, dan para penganiaya mereka terbunuh.27 Namun, sebelum ini, para penganiaya yang sama ini telah buang wanita dan kanak-kanak mereka yang percaya ke dalam api yang mengamuk. Alma, yang menyaksikan kejadian yang ngeri dalam kesakitan, didesak oleh Roh untuk tidak menggunakan kuasa Tuhan untuk “menyelamatkan mereka daripada nyalaan api”28 agar mereka boleh diterima kepada Tuhan dalam kemuliaan.29

Nabi Joseph Smith merana di penjara di Liberty, Missouri, tidak berdaya membantu para Orang Suci semasa mereka dirompak dan dihalau dari rumah mereka pada musim sejuk. “Ya Tuhan, di manakah Engkau?” Joseph berseru. “Berapa lamakah tangan-Mu akan ditahan?”30 Sebagai jawapan, Tuhan berjanji: “Kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil; Dan kemudian, jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik, Tuhan akan memuliakan engkau di syurga. … Engkau belumlah seperti Ayub.”31

Akhirnya, Joseph boleh berkata seperti Ayub, “Walaupun Tuhan membunuh saya, namun saya akan percaya kepada-Nya.”32

Elder Brook P. Hales menceritakan kisah Sister Patricia Parkinson yang dilahirkan dengan penglihatan normal tetapi menjadi buta pada umur 11 tahun.

Elder Hales ceritakan: “Saya sudah lama kenal Pat dan baru-baru ini saya beritahu dia bahawa saya kagum kerana dia selalu positif dan gembira. Dia menjawab, ‘Kamu tak pernah berada di rumah dengan saya, kan? Ada masanya saya bersedih. Saya telah mengalami kemurungan yang teruk, dan saya banyak menangis.’ Bagaimanapun, dia berkata, “Dari masa saya mula hilang penglihatan saya, ia amat aneh, tetapi saya tahu Bapa Syurgawi dan Juruselamat berada bersama keluarga saya dan saya. … Kepada mereka yang tanya jika saya marah sebab saya buta, saya menjawab: ‘Kepada siapa yang saya harus marah? Bapa Syurgawi ada bersama saya; saya tidak keseorangan. Dia bersama saya selalu.’”33

Pada akhirnya, kita mencari berkat hubungan yang rapat dan tidak berkesudahan dengan Bapa dan Putera. Ia membuat perubahan terbesar dan berbaloi selama-lamanya. Kita akan bersaksi bersama Paulus “bahawa segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita.”34 Saya bersaksi bahawa tidak kira apa pun pengalaman fana kita, kita boleh mempercayai Tuhan dan mencari kebahagiaan dalam Dia.

“Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri.

“Ingatlah akan Tuhan dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.”35

Dalam nama Yesus Kristus, amin.