“Maka Aku Akan Menjadikan Hal-Hal Yang Lemah Menjadi Kuat”
Semasa kita merendahkan hati dan beriman kepada Yesus Kristus, rahmat Kristus dan korban tebusan-Nya yang tidak terhingga membolehkan perubahan.
Presiden Thomas S. Monson pernah berkongsi kisah warden penjara Clinton Duffy. “Semasa tahun 1940-an dan 1950-an, [Warden Duffy] terkenal dengan usahanya untuk memulihkan lelaki di penjaranya. Kata seorang pengkritik, ‘Anda harus tahu yang harimau bintang tidak ubah bintik-bintik mereka!’
“Warden Duffy membalas, ‘Anda harus tahu saya tidak bekerja dengan harimau bintang. Saya bekerja dengan manusia, dan manusia berubah setiap hari.’”1
Salah satu penipuan terbesar Setan ialah lelaki dan wanita tidak boleh berubah. Kebohongan ini diberitahu berkali-kali dalam pelbagai cara apabila dunia katakan kita tidak boleh berubah—atau lebih bahaya, tidak patut berubah. Kita diajar keadaan kita menentukan diri kita. Kita harus “memeluk siapa kita sebenarnya,” kata dunia, “dan menjadi benar kepada diri kita yang sebenar.”
Kita Boleh Berubah
Walaupun ia baik untuk jadi benar, kita harus jadi benar kepada diri kita yang sebenar, sebagai anak-anak Tuhan yang ada sifat dan takdir ilahi untuk jadi seperti Dia.2 Jika matlamat kita adalah untuk jadi benar kepada sifat dan takdir ilahi ini, maka kita semua perlu berubah. Perkataan tulisan suci untuk berubah ialah pertaubatan. “Terlalu ramai orang,” Presiden Russell M. Nelson ajarkan, “menganggap pertaubatan sebagai hukuman—sesuatu yang perlu dielakkan kecuali dalam keadaan yang paling serius. … Apabila Yesus meminta anda dan saya untuk ‘bertaubat,’ Dia menjemput kita untuk [berubah].”3
Syarat Tuhan
Pembangun perisian komputer menggunakan pernyataan bersyarat untuk beritahu komputer apa yang perlu dilakukan. Ini kadangkala dirujuk sebagai pernyataan jika-maka. Seperti, jika x ialah benar, maka lakukan y.
Tuhan juga berusaha melalui syarat-syarat: syarat iman, syarat kesolehan dan syarat pertaubatan. Ada banyak contoh pernyataan bersyarat dari Tuhan seperti:
“Jika kamu mentaati perintah-perintah-Ku dan bertahan sampai akhir [maka] kamu akan memperoleh kehidupan kekal, iaitu kurnia yang terbesar dari segala kurnia Tuhan.”4
Atau “jika kamu akan bertanya dengan hati yang tulus, dengan niat yang bersungguh-sungguh, beriman kepada Kristus, [maka] Dia akan menyatakan kebenarannya kepadamu, melalui kuasa Roh Kudus.”5
Bahkan kasih Tuhan, walaupun tidak terhingga dan sempurna, juga tertakluk kepada syarat.6 Contohnya:
“Jika kamu mentaati perintah-Ku, [maka] Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.”7
Elder D. Todd Christofferson menerangkan lebih lanjut tentang kebenaran Injil ini apabila dia ajarkan: “Ada yang berkata, ‘Juruselamat mengasihi saya seperti sedia ada,’ dan itu benar. Namun Dia tidak boleh membawa sesiapa pun ke dalam kerajaan-Nya seperti sedia ada, ‘kerana tiada hal yang tidak bersih dapat tinggal di sana, atau berada di hadirat-Nya.’ [Musa 6:57]. Dosa-dosa kita mesti diselesaikan terlebih dahulu.”8
Hal-hal yang Lemah Boleh Menjadi Kuat
Berkat menerima kuasa Tuhan untuk bantu kita berubah juga bersyarat. Juruselamat, bercakap melalui nabi Moroni dalam Kitab Mormon, ajarkan: “Jika manusia datang kepada-Ku Aku akan memperlihatkan kepada mereka kelemahan mereka. Aku memberikan kepada manusia kelemahan agar mereka boleh merendahkan hati; dan rahmat-Ku cukup untuk semua orang yang merendahkan hati mereka di hadapan-Ku; kerana jika mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan beriman kepada-Ku, maka Aku akan menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat bagi mereka.”9
Meneliti apa yang Tuhan ajarkan di sini, kita lihat Dia mula-mula berkata bahawa Dia berikan lelaki dan wanita kelemahan, tunggal, yang merupakan sebahagian daripada pengalaman fana kita sebagai makhluk yang jatuh atau badaniah. Kita telah jadi lelaki dan wanita alamiah kerana Kejatuhan Adam. Tetapi melalui Korban Tebusan Yesus Kristus, kita boleh atasi kelemahan atau sifat-sifat alamiah kita.
Dia kemudian berkata bahawa rahmat-Nya cukup dan jika kita akan merendahkan hati kita dan beriman kepada-Nya, maka Dia akan “menjadikan hal-hal [bilangan jamak] yang lemah menjadi kuat bagi [kita].” Dengan kata lain, apabila kita mula ubah sifat alamiah kita, kelemahan kita, maka kita akan dapat ubah tingkah laku kita, kelemahan kita.
Keperluan Perubahan
Mari kita kaji semula keperluan untuk berubah mengikut pola Tuhan:
Pertama, kita mesti merendahkan hati diri. Syarat Tuhan untuk berubah adalah kerendahan hati. “Jika mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Ku,”10 Dia berkata. Pertentangan kerendahan hati ialah keangkuhan. Keangkuhan wujud ketika kita ingat diri kita lebih pandai—Apabila pemikiran dan perasaan kita menjadi keutamaan atas pemikiran dan perasaan Tuhan.
Raja Benjamin ajarkan bahawa “manusia alamiah adalah musuh kepada Tuhan, … dan akan demikian, selama-lamanya, kecuali dia … menanggalkan manusia alamiah dan menjadi orang suci melalui korban tebusan Kristus Tuhan, dan menjadi seperti seorang anak kecil, peserah, lembut hati, [dan] rendah hati.”11
Untuk berubah, kita perlu menanggalkan manusia alamiah dan menjadi rendah hati dan peserah. Kita mesti cukup rendah hati untuk ikuti nabi yang hidup. Cukup rendah hati untuk membuat dan mentaati perjanjian bait suci. Cukup rendah hati untuk bertaubat setiap hari. Kita mesti cukup rendah diri untuk mahu berubah, untuk “[menyerah] hati [kita] kepada Tuhan.”12
Kedua, kita mesti beriman kepada Yesus Kristus. Sekali lagi, kata-kata Juruselamat: “Jika mereka merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan beriman kepada-Ku,”13 Dia akan memberi kita kuasa untuk mengatasi kelemahan kita. Kerendahan hati, digabung dengan iman kepada Yesus Kristus, akan membolehkan kita mengakses kuasa rahmat-Nya yang membolehkan dan kegenapan berkat yang tersedia kerana Korban tebusan-Nya.
Presiden Nelson telah ajarkan “pertaubatan sejati bermula dengan iman bahawa Yesus Kristus mempunyai kuasa untuk membersihkan, menyembuhkan, dan menguatkan kita. … Iman kita inilah yang membuka kuasa Tuhan dalam dalam hidup kita .”14
Ketiga, melalui rahmat-Nya Dia boleh jadikan hal yang lemah jadi kuat. Jika kita merendahkan hati diri dan beriman kepada Yesus Kristus, maka rahmat-Nya akan membolehkan kita berubah. Dalam kata lain, Dia akan berikan kita kuasa untuk berubah. Ini boleh berlaku kerana, seperti yang Dia firmankan, “Rahmat-Ku cukup untuk semua orang.”15 Rahmat-Nya yang menguatkan dan membolehkan kita memberi kita kuasa untuk atasi semua halangan, semua cabaran, dan semua kelemahan semasa kita berusaha untuk berubah.
Kelemahan terbesar kita boleh menjadi kekuatan terbesar kita. Kita boleh diubah dan “menjadi makhluk baru.”16 Hal yang lemah secara langsung boleh “menjadi kuat bagi [kita].”17
Juruselamat melaksanakan Korban tebusan-Nya yang tidak terhingga dan abadi agar kita boleh berubah, bertaubat, dan menjadi lebih baik. Kita benar-benar boleh dilahirkan semula. Kita boleh atasi tabiat, ketagihan, dan termasuk “kecenderungan untuk melakukan yang jahat.”18 Sebagai anak lelaki dan perempuan Bapa di Syurga yang penyayang, kita ada kuasa dalam diri kita untuk berubah.
Contoh Perubahan
Tulisan suci penuh dengan contoh lelaki dan wanita yang telah berubah.
Saulus, seorang Farisi dan penganiaya aktif gereja Kristian awal,19 menjadi Paulus, seorang Rasul Tuhan Yesus Kristus.
Alma adalah seorang imam bagi Raja Nuh yang jahat. Dia mendengar kata-kata Abinadi, bertaubat sepenuhnya, dan jadi salah seorang misionari hebat dalam Kitab Mormon.
Anak lelakinya Alma menghabiskan masa mudanya untuk memusnahkan Gereja. Dia salah seorang “paling keji di antara para pendosa”20 sehingga dia berubah hati dan jadi misionari yang berkuasa melalui usahanya sendiri
Musa telah diambil sebagai anak angkat ke dalam keluarga Firaun dan dibesarkan dalam kemewahan sebagai seorang putera orang Mesir. Tetapi apabila dia mula fahami siapa dia sebenarnya dan ketahui takdir ilahinya, dia berubah dan jadi nabi pemberi hukum yang hebat dalam Perjanjian Lama.21
Datuk isteri saya, James B. Keysor, sentiasa mengagumkan saya dengan perubahan besar hatinya.22 Dilahirkan daripada nenek moyang perintis Orang Suci Zaman Akhir yang setia di Lembah Salt Lake pada tahun 1906, dia kehilangan ibunya pada usia muda dan bergelut sepanjang masa mudanya. Masa remaja dan dewasa mudanya dihabiskan jauh dari Gereja; di mana masa itu dia ada beberapa tabiat buruk. Namun, dia bertemu dan berkahwin dengan seorang wanita yang beriman dan bersama-sama mereka membesarkan lima orang anak.
Pada tahun 1943, berikutan tahun-tahun sukar Zaman Kemelesetan dan semasa Perang Dunia II, Bud, nama panggilannya, tinggalkan Utah dan pindah ke Los Angeles, California, untuk cari pekerjaan. Selama jauh dari rumah, dia tinggal bersama kakaknya dan suaminya, yang melayani sebagai uskup di bahagian mereka.
Atas kasih dan pengaruh kakak dan abang iparnya, dia mula sedar minatnya terhadap Gereja dan mula baca Kitab Mormon setiap malam sebelum tidur.
Suatu malam, semasa dia membaca Alma bab 34, hatinya tersentuh apabila membaca kata-kata berikut:
“Ya, aku menghendaki agar kamu akan tampil dan tidak mengeraskan hatimu lebih lama lagi. …
“Kerana lihatlah, kehidupan inilah waktu bagi manusia bersedia untuk bertemu dengan Tuhan; ya, lihatlah masa kehidupan inilah masa bagi manusia untuk melaksanakan kerja mereka.”23
Semasa dia membaca ayat-ayat ini, perasaan yang kuat datang kepadanya dan dia tahu dia perlu berubah, bertaubat, dan apa yang dia mesti lakukan. Dia bangun dari katilnya dan berlutut dan mula berdoa, memohon kepada Tuhan untuk ampuni dia dan berinya kekuatan yang dia perlukan untuk buat perubahan dalam hidupnya. Doanya dijawab, dan sejak waktu itu, dia tidak pernah pandang ke belakang. Bud terus melayani di Gereja dan kekal sebagai Orang Suci Zaman Akhir yang beriman dan komited hingga akhir hayatnya. Dia telah berubah dalam segala hal. Mindanya, hatinya, tindakannya, dirinya telah berubah.
Saudara dan saudari, takdir dan tujuan ilahi kita pada akhirnya adalah untuk jadi seperti Bapa Syurgawi dan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Kita lakukan ini semasa kita berubah atau bertaubat. Kita “menerima rupa [Juruselamat] dalam air muka [kita].”24 Kita jadi baharu, bersih, berbeza, dan kita terus mengusahakannya setiap hari. Kadang-kala ia mungkin terasa seperti dua langkah ke hadapan dan satu langkah ke belakang, tetapi kita terus merendahkan hati melangkah ke hadapan dalam iman.
Dan semasa kita merendahkan hati dan beriman kepada Yesus Kristus, rahmat Kristus dan korban tebusan-Nya yang tidak terhingga membolehkan perubahan.
Saya bersaksi, Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus kita. Rahmat-nya sememangnya cukup. Saya menegaskan Dialah “jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup.”25 Dalam nama Yesus Kristus, amin.