Datang ke dalam Kawanan Tuhan
Dalam kawanan Tuhan, kita mengalami penjagaan Gembala Baik yang teliti dan diberkati untuk rasa kasih penebusan-Nya.
Sebagai ibu bapa muda, Brother dan Sister Samad mempelajari injil Yesus Kristus dalam rumah mereka yang mudah di Semarang, Indonesia.1 Duduk di sekeliling meja kecil, dengan lampu kecil yang kelihatannya mempunyai lebih banyak nyamuk daripada cahaya, dua misionari muda mengajar mereka kebenaran abadi. Melalui doa ikhlas dan bimbingan Roh Kudus, mereka mempercayai apa yang telah diajar dan memilih untuk dibaptiskan dan menjadi ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Keputusan itu, dan pola hidup mereka sejak itu, telah memberkati Brother dan Sister Samad dan keluarga mereka dalam setiap aspek kehidupan mereka.2
Mereka ialah antara para Orang Suci awal di Indonesia. Kemudian mereka menerima tatacara-tatacara bait suci, dan Brother Samad melayan sebagai presiden cabang dan kemudian presiden daerah, memandu ke seluruh Java Tengah untuk memenuhi tanggungjawabnya. Selama dekad yang lalu, dia telah melayan sebagai bapa bangsa pertama Pancang Surakarta Indonesia.
Sebagai salah seorang penginjil di dalam rumah yang sederhana dan penuh iman itu 49 tahun yang lalu, saya telah menyaksikan dalamnya yang Raja Benyamin ajarkan dalam Kitab Mormon: “Aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani.”3 Berkat-berkat yang mengalir ke dalam kehidupan mereka yang mengikuti teladan dan ajaran Yesus Kristus, yang memilih untuk dikira di kalangan para pengikut-Nya, adalah banyak, bahagia, dan abadi.4
Kawanan Tuhan
Jemputan perjanjian pembaptisan Alma kepada mereka yang berkumpul di Perairan Mormon bermula dengan ayat ini: “Sekarang, kerana kamu berhasrat untuk datang ke dalam kawanan Tuhan.”5
Kawanan atau kandang domba ialah sebuah kurungan besar, kerap kali didirikan dengan dinding batu, di mana domba-domba dilindungi pada waktu malam. Ia hanya mempunyai satu bukaan. Pada akhir hari, gembala memanggil domba-domba itu. Mereka tahu suaranya, dan melalui pintu gerbang mereka memasuki keselamatan kawanan itu.
Orang Alma akan mengetahui bahawa para gembala berdiri di bukaan sempit kawanan itu supaya apabila domba-domba masuk, mereka dihitung6 dan luka dan kesakitan mereka diperhatikan dan dijaga satu demi satu. Keselamatan dan kesejahteraan domba bergantung pada kerelaan mereka untuk masuk dan tinggal dalam kawanan.
Antara kita mungkin terdapat orang yang merasa mereka berada di tepi kawanan domba, mungkin berfikir mereka kurang diperlukan atau bernilai atau mereka tidak tergolong dalam kawanan itu. Dan, seperti dalam kawanan domba, dalam kawanan Tuhan kita kadang-kadang memijak jari kaki satu sama lain dan perlu bertaubat atau mengampuni.
Tetapi Gembala yang Baik7—gembala sejati kita—selalunya baik. Dalam kawanan Tuhan, kita mengalami penjagaan-Nya yang teliti dan diberkati untuk rasa kasih penebusan-Nya. Dia berkata, “Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku.”8 Juruselamat kita telah mengukir di atas tapak tangan-Nya dosa, kesakitan, dan kesengsaraan kita,9 dan semua yang tidak adil dalam kehidupan.10 Semua dialu-alukan untuk menerima berkat-berkat ini, kerana mereka “berhasrat untuk datang”11 dan pilih untuk berada dalam kawanan itu. Kurnia hak pilihan bukan saja hak untuk memilih, ia peluang untuk memilih yang benar. Dan dinding kawanan bukanlah satu kekangan tetapi sumber keselamatan rohani.
Yesus mengajar bahawa terdapat “satu kawanan dengan satu gembala.”12 Dia berfirman:
“Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba.
“Dan kawanan domba mendengar suara gembala …
“… dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya.”13
Yesus kemudian mengatakan, “Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan,”14 mengajar dengan jelas bahawa hanya ada satu jalan ke dalam kawanan Tuhan dan hanya satu cara untuk diselamatkan. Ia adalah melalui Yesus Kristus.15
Berkat Datang kepada Mereka dalam Kawanan Tuhan
Kita belajar bagaimana untuk masuk ke dalam kawanan dari firman Tuhan, iaitu ajaran yang diajar oleh Yesus Kristus dan para nabi-Nya.16 Apabila kita mengikuti ajaran Kristus dan datang ke dalam kawanan melalui iman kepada Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan dan penetapan, dan iman berterusan,17 Alma menjanjikan empat berkat peribadi yang khusus. Anda boleh (1) “ditebus oleh Tuhan,” (2) “dihitung dengan mereka yang dari kebangkitan pertama,” (3) “memperoleh kehidupan abadi,” dan (4) Tuhan akan “mencurahkan Roh-Nya dengan lebih berlimpahan ke atas dirimu.”18
Selepas Alma mengajar tentang berkat-berkat ini, orang ramai bertepuk tangan mereka disebabkan kebahagiaan. Inilah sebabnya:
Pertama: Untuk menebus bermaksud untuk melangsaikan hutang atau kewajipan atau untuk membebaskan dari apa yang menyusahkan atau memudaratkan.19 Peningkatan peribadi, tidak kira berapa banyak, tidak dapat membuat kita bersih dari dosa-dosa yang kita telah lakukan atau sembuh dari luka-luka yang kita telah menderita tanpa Korban Tebusan Yesus Kristus. Dia adalah Penebus kita.20
Kedua: Kerana Kebangkitan Yesus Kristus, semua orang akan dibangkitkan.21 Selepas roh kita meninggalkan tubuh fana kita, kita pasti akan menanti-nantikan apabila kita boleh sekali lagi dengan tubuh yang dibangkitkan memeluk mereka yang kita kasihi. Kita akan berharap untuk berada di kalangan Kebangkitan Pertama.
Ketiga: Kehidupan abadi bermaksud hidup bersama Tuhan dan seperti Dia hidup. Ia adalah “kurnia terbesar dari semua kurnia Tuhan”22 dan akan membawa kegenapan kebahagiaan.23 Ia adalah tujuan dan objektif utama kehidupan kita.
Keempat: Penemanan seorang ahli Kesatuan Ketuhanan, Roh Kudus, memberikan bimbingan dan pertolongan yang sangat diperlukan dalam kehidupan fana ini.24
Pertimbangkan beberapa sebab ketidakgembiraan: kesengsaraan datang dari dosa,25 kesedihan dan kesunyian dari kematian orang tersayang, dan ketakutan dari ketidakpastian apa yang berlaku apabila kita meninggal. Tetapi apabila kita memasuki kawanan Tuhan dan mentaati perjanjian kita dengan-Nya, kita merasa kedamaian mengetahui dan mempercayai bahawa Kristus akan menebus kita dari dosa-dosa kita, bahawa pemisahan tubuh dan roh kita akan berakhir dengan lebih cepat, dan bahawa kita akan hidup secara abadi dengan Tuhan dalam cara yang paling mulia.
Percaya kepada Kristus dan Bertindak dalam Iman
Saudara dan saudari, tulisan suci penuh dengan contoh kuasa dan rahmat Juruselamat dan belas kasihan-Nya. Semasa pelayanan duniawi-Nya, berkat-berkat-Nya untuk menyembuh datang kepada mereka yang mempercayai-Nya dan bertindak dengan iman. Contohnya, lelaki yang lemah di kolam Betesda berjalan apabila dia beriman,mengikuti perintah Juruselamat untuk “bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalanlah.”26 Mereka yang sakit atau sengsara dalam apa jua cara di negeri Kelimpahan disembuhkan apabila “dengan serentak” mereka “pergi.”27
Serupanya, untuk menerima berkat-berkat yang menakjubkan yang dijanjikan kepada mereka yang datang ke dalam kawanan Tuhan memerlukan kita untuk melakukan perkara yang adil—kita perlu memilih untuk datang. Alma yang Muda mengajar, “Dan sekarang aku berkata kepadamu bahawa Gembala yang baik memanggil kepadamu; dan jika kamu akan mendengar suara-Nya Dia akan membawamu ke kawanan-Nya.”28
Beberapa tahun lalu, seorang kawan yang dikasihi meninggal dunia kerana kanser. Apabila isterinya, Sharon, menulis tentang diagnosisnya, berkata: “Kita Pilih Iman. Iman kepada Juruselamat kita, Yesus Kristus. Iman dalam rancangan Bapa Syurgawi kita, dan iman bahawa Dia tahu keperluan kita dan memenuhi janji-janji-Nya.”29
Saya telah bertemu dengan banyak Orang Suci Zaman Akhir seperti Sharon yang merasa kedamaian berada dengan selamat di dalam kawanan Tuhan, terutamanya ketika godaan, pertentangan, atau kesusahan datang.30 Mereka telah memilih untuk beriman kepada Yesus Kristus dan mengikut nabi-Nya. Nabi kita, Presiden Russell M. Nelson, telah mengajar, “Segala sesuatu yang baik dalam hidup—setiap berkat yang berpotensi abadi—bermula dari iman.”31
Datang Sepenuhnya ke dalam Kawanan Tuhan
Datuk moyang saya James Sawyer Holman datang ke Utah pada tahun 1847, tetapi dia tidak berada antara mereka yang akan tiba pada bulan Julai bersama Brigham Young. Dia datang kemudian pada tahun itu dan, menurut catatan keluarga, bertanggungjawab untuk membawa domba-domba. Dia tidak sampai ke Lembah Salt Lake sehingga Oktober, tetapi dia dan domba-domba akhirnya sampai.32
Secara kiasan, ada di antara kita yang masih berada di dataran. Tidak semua orang tiba bersama kumpulan pertama. Rakan-rakan saya yang dikasihi, teruskan perjalanan—dan membantu orang lain—untuk datang sepenuhnya ke dalam kawanan Tuhan. Berkat-berkat Injil Yesus Kristus tidak terhitung kerana ia adalah abadi.
Saya amat bersyukur saya menjadi seorang ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Saya bersaksi tentang kasih sayang Bapa Syurgawi dan Penebus kita, Yesus Kristus, dan kedamaian yang hanya datang daripada Mereka—kedamaian dalaman dan berkat-berkat yang terdapat dalam kawanan Tuhan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.