Persidangan Umum
Sifat Ilahi dan Takdir Abadi Anda
Persidangan Umum April 2022


14:9

Sifat Ilahi dan Takdir Abadi Anda

Saya jemput anda untuk memusatkan kehidupan anda pada Yesus Kristus dan mengingati kebenaran asas dalam tema Remaja Puteri.

Saudari sekalian, terima kasih kerana berada di sini. Saya berbesar hati untuk sertai persidangan umum sesi wanita ini. Kadangkala saya juga beruntung dapat hadiri kelas-kelas Remaja Puteri. Tetapi biarlah saya tunjukkan yang jelas—saya bukan muda, dan saya bukan seorang perempuan! Tetapi, saya pelajari bahawa saya rasa tergolong jika saya boleh baca tema Remaja Puteri bersama dengan para remaja puteri. Ajaran mendalam yang diajarkan dalam tema Remaja Puteri1 adalah penting untuk remaja puteri, tetapi ia terpakai kepada semua, termasuk kita yang bukan remaja puteri.

Tema Remaja Puteri bermula, “Saya ialah anak perempuan kepada ibu bapa syurgawi yang dikasihi, dengan sifat ilahi dan takdir abadi.”2 Kenyataan ini mengandungi empat kebenaran penting. Pertama, anda adalah anak perempuan yang dikasihi. Tiada apa yang anda lakukan—atau tidak lakukan—boleh mengubah itu. Tuhan kasihi anda kerana anda ialah anak roh-Nya. Kadangkala kita mungkin tidak rasakan kasih-Nya, tetapi ia sentiasa ada di sana. Kasih Tuhan adalah sempurna.3 Kadangkala kita tidak dapat rasa kasih itu.

Roh memainkan peranan penting dalam komunikasi kasih Tuhan kepada kita.4 Namun, pengaruh Roh Kudus boleh “disembunyikan oleh emosi yang kuat, seperti kemarahan, kebencian, … [atau] ketakutan, … seperti cuba menikmati rasa anggur sambil makan lada jalapeno. … [Satu perisa] lebih kuat dari yang satu lagi.”5 Begitu juga, kelakuan yang jauhkan kita daripada Roh Kudus, termasuk dosa,6 menyukarkan kita untuk rasakan kasih Tuhan kepada kita.

Sama juga, rasa kasih Tuhan kita mungkin tertumpul oleh keadaan yang mencabar dan penyakit fizikal atau mental, antara lain. Dalam semua kes ini, nasihat pemimpin atau profesional yang dipercayai sering boleh bermanfaat. Kita juga boleh cuba memperbaiki penerimaan kita kepada kasih Tuhan dengan menanya diri kita, “Adakah kasih saya untuk Tuhan sentiasa ada atau adakah saya kasihi Dia apabila saya ada hari yang baik, tetapi tidak banyak apabila saya ada hari yang buruk?”

Kebenaran kedua ialah kita ada ibu bapa syurgawi, bapa dan ibu.7 Ajaran tentang Seorang Ibu Syurgawi datang melalui wahyu dan merupakan kepercayaan tersendiri di kalangan Orang Suci Zaman Akhir. Presiden Dallin H. Oaks menjelaskan kepentingan kebenaran ini: “Teologi kita bermula dengan ibu bapa syurgawi. Aspirasi tertinggi kita adalah untuk menjadi seperti mereka.”8

Sangat sedikit yang telah didedahkan tentang Ibu di Syurga, tetapi apa yang kita tahu diringkaskan dalam esei gospel topic yang terdapat dalam aplikasi Gospel Library kita.9 Apabila anda telah baca apa yang ada di sana, anda akan tahu segala yang saya tahu tentang subjek ini. Saya harap saya tahu lebih banyak. Anda juga mungkin masih ada soalan dan ingin cari lebih banyak jawapan. Mencari pemahaman yang lebih besar adalah bahagian penting dalam perkembangan rohani kita, tetapi sila berhati-hati. Akal tidak boleh menggantikan wahyu.

Spekulasi tidak akan bawa kepada pengetahuan rohani yang lebih besar, tetapi ia boleh bawa kepada penipuan atau mengalihkan tumpuan kita daripada apa yang telah diungkapkan.10 Contohnya, Juruselamat mengajarkan para pengikut-Nya, “Selalu berdoa kepada Bapa dalam nama-Ku.”11 Kita ikut pola ini dan arahkan penyembahan kita kepada Bapa Syurgawi dalam nama Yesus Kristus dan tidak berdoa kepada Ibu Syurgawi.12

Sejak Tuhan melantik para nabi, mereka diberi wewenang untuk berbicara bagi pihak-Nya. Tetapi mereka tidak mengisytiharkan ajaran-ajaran yang dicipta “menurut kehendak [mereka] sendiri”13 atau mengajarkan apa yang belum diungkapkan. Pertimbangkan kata-kata nabi Perjanjian Lama Bileam, yang telah ditawarkan rasuah untuk mengutuk orang Israel untuk memanfaatkan Moab. Bileam berkata, “Walaupun [Raja Moab] memberi saya segala perak dan emas di istananya, saya tidak dapat membantah perintah Tuhan, Tuhan yang saya sembah, bahkan dalam hal yang terkecil sekalipun.”14 Para nabi zaman akhir juga didesak. Menuntut wahyu daripada Tuhan adalah angkuh dan tidak produktif. Sebaliknya, kita menunggu Tuhan dan waktu-Nya untuk mengungkapkan kebenaran-Nya melalui cara yang telah Dia tubuhkan.15

Kebenaran ketiga dalam perenggan pembuka tema Remaja Puteri adalah bahawa kita mempunyai “sifat ilahi.” Ini adalah bahagian penting kepada identiti kita. Ia adalah “genetik,” yang diwarisi secara rohani daripada ibu bapa syurgawi kita16 dan tidak memerlukan usaha di bahagian kita. Ini adalah identiti kita yang paling penting, tidak kira bagaimana kita memilih untuk mengenal pasti diri kita sendiri. Memahami kebenaran yang mendalam ini adalah penting bagi semua orang tetapi terutamanya bagi individu yang tergolong dalam kumpulan yang telah dipinggirkan, ditindas, atau ditakluk. Ingatlah identiti terpenting anda berkaitan dengan sifat ilahi anda sebagai anak Tuhan.

Kebenaran keempat adalah bahawa kita ada “takdir abadi.” Takdir sedemikian tidak akan dipaksa ke atas kita. Selepas kematian, kita akan terima apa yang kita telah layak dan “menikmati [hanya] apa yang [kita] ingin terima,”17 Menyedari takdir abadi kita bergantung pada pilihan kita. Ia memerlukan tindakan membuat dan mentaati perjanjian-perjanjian kudus. Jalan perjanjian ini adalah cara kita datang kepada Kristus dan berdasarkan kebenaran mutlak dan hukum-hukum yang abadi dan tidak berubah. Kita tidak boleh cipta jalan kita sendiri dan harapkan hasil yang dijanjikan oleh Tuhan. Untuk harapkan berkat-Nya walaupun tidak mengikuti hukum-hukum abadi di mana ia dilandaskan18 adalah sesat, seperti berfikir kita boleh sentuh dapur panas dan “memutuskan” untuk tidak terbakar.

Anda mungkin tahu bahawa saya pernah merawat pesakit yang alami kegagalan jantung. Hasil terbaik mereka diperoleh dengan mengikuti rancangan rawatan berasaskan bukti. Walaupun mengetahui ini, beberapa pesakit cuba berunding rancangan rawatan yang berbeza. Mereka berkata, “Saya tidak mahu ambil banyak ubat” atau “Saya tidak mahu jalani begitu banyak ujian susulan.” Sudah tentu, pesakit bebas untuk buat keputusan mereka sendiri, tetapi jika mereka menyimpang dari rancangan rawatan yang optimum, keputusan mereka terjejas. Pesakit yang alami kegagalan jantung tidak boleh pilih laluan yang lebih rendah dan kemudian salahkan pakar kardiologi mereka untuk hasil yang lebih rendah.

Ini sama bagi kita. Jalan yang ditetapkan oleh Bapa Syurgawi membawa kepada hasil abadi yang terbaik. Kita bebas untuk pilih, tetapi kita tidak boleh pilih akibat tidak mengikuti jalan yang diungkapkan.19 Tuhan telah berfirman “Apa yang melanggar hukum, dan tidak mematuhi hukum, tetapi berusaha untuk menjadi hukum baginya sendiri, … tidak dapat dikuduskan oleh hukum, tidak juga oleh belas kasihan, keadilan, atau pun penghakiman.”20 Kita tidak boleh menyimpang dari jalan Bapa Syurgawi dan kemudian salahkan Dia untuk hasil yang lebih rendah.

Perenggan kedua dalam tema Remaja Puteri: “Sebagai seorang pengikut Yesus Kristus, saya berusaha untuk menjadi seperti-Nya. Saya mencari dan bertindak ke atas wahyu peribadi dan melayani orang lain dalam nama-Nya yang kudus.” Kita boleh mengembangkan kesaksian tentang Yesus Kristus dengan bertindak dalam iman.21 Kita boleh menuntut kurnia rohani “untuk mengetahui bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan, dan bahawa Dia disalibkan bagi dosa-dosa dunia.” Atau kita boleh terima kurnia untuk percayai kata-kata mereka yang tahu,22 sehingga kita tahu sendiri. Kita boleh ikuti ajaran-ajaran Juruselamat dan bantu orang lain datang kepada-Nya. Dengan cara ini, kita menyertai Dia dalam pekerjaan-Nya.23

Tema Remaja Puteri teruskan, “Saya akan berdiri sebagai saksi bagi Tuhan pada setiap waktu dan dalam segala hal, dan di setiap tempat.” Semua ahli Gereja diperlukan sebagai saksi Tuhan,24 walaupun para Rasul dan Tujuh Puluh ditugaskan sebagai saksi istimewa bagi nama Kristus.25 Bayangkan perlawanan bola sepak di mana hanya penjaga gol melindungi gol. Tanpa bantuan pemain pasukan lain, penjaga gol tidak akan dapat pertahankan gol dengan secukupnya dan pasukan akan sentiasa kalah. Begitu juga, semua orang diperlukan dalam pasukan Tuhan.26

Perenggan akhir tema Remaja Puteri bermula, “Dalam usaha saya untuk melayakkan diri bagi permuliaan, saya menghargai kurnia pertaubatan dan berusaha untuk memajukan diri setiap hari.” Kerana korban tebusan Juruselamat, kita boleh bertaubat, belajar dari kesilapan kita, dan tidak dihukum olehnya. Presiden Russell M. Nelson ajarkan: “Terlalu ramai orang menganggap pertaubatan sebagai hukuman. … Tetapi perasaan dihukum dihasilkan oleh Setan. Dia cuba menghalang kita daripada melihat kepada Yesus Kristus, yang berdiri dengan tangan terbuka, mengharapkan dan bersedia untuk menyembuh, mengampuni, membersihkan, menguatkan, menyucikan, dan menguduskan kita.”27

Apabila kita bertaubat dengan ikhlas, tiada parut rohani yang tertinggal, tak kira apa yang kita telah lakukan, betapa seriusnya, atau berapa kali kita ulanginya.28 Sekerap kita bertaubat dan mencari keampunan dengan niat bersungguh-sungguh, kita boleh diampuni.29 Betapa luar biasa kurnia daripada Juruselamat kita, Yesus Kristus!30 Roh Kudus boleh meyakinkan kita bahawa kita telah diampuni. Apabila kita rasakan kebahagiaan dan kedamaian,31 rasa bersalah disapu bersih,32 dan kita tidak lagi diseksa oleh dosa kita.33

Walaupun selepas pertaubatan ikhlas, kita mungkin tersadung. Tersadung tidak bermakna bahawa pertaubatan itu tidak cukup tetapi mungkin hanya cerminan kelemahan manusia. Betapa menghiburkan untuk tahu bahawa “Tuhan [lihat] kelemahan berbeza daripada pemberontakan.” Kita seharusnya tidak ragui keupayaan Juruselamat untuk bantu kita dengan kelemahan kita kerana “apabila Tuhan bercakap tentang kelemahan, ia sentiasa dengan belas kasihan.”34

Tema Remaja Puteri berakhir dengan, “Dengan iman, saya akan mengukuhkan rumah tangga dan keluarga saya, membuat dan mentaati perjanjian-perjanjian kudus, dan menerima tatacara serta berkat bait suci.” Mengukuhkan rumah dan keluarga mungkin bermakna menjalin hubungan pertama dalam rantai kesetiaan, meneruskan warisan iman, atau memulihkannya.35 Walau bagaimana pun, kekuatan datang melalui iman kepada Yesus Kristus dan dengan membuat perjanjian kudus.

Dalam bait suci, kita pelajari siapa kita dan di mana kita telah berada. Ahli falsafah Roma Cicero berkata, “Kejahilan tentang apa yang berlaku sebelum anda dilahirkan bermaksud sentiasa menjadi seorang anak kecil.”36 Dia merujuk kepada sejarah sekular, tetapi pengetahuan bijaknya boleh dikembang. Kita hidup sebagai anak-anak kekal jika kita tidak tahu tentang perspektif abadi yang dicapai dalam bait suci. Di sana kita membesar dalam Tuhan, “menerima kegenapan Roh Kudus,”37 dan menjadi lebih komited sepenuhnya sebagai pengikut Juruselamat.38 Apabila kita mentaati perjanjian, kita menerima kuasa Tuhan dalam hidup kita.39

Saya jemput anda untuk memusatkan kehidupan anda pada Yesus Kristus dan mengingati kebenaran asas dalam tema Remaja Puteri. Jika anda sudi, Roh Kudus akan bimbing anda. Bapa Syurgawi kita mahu anda jadi pewaris-Nya dan terima segala yang Dia miliki.40 Dia tidak boleh tawarkan anda lebih. Dia tidak boleh janjikan anda lebih. Dia kasihi anda lebih daripada yang anda tahu dan mahu anda bahagia dalam kehidupan ini dan dalam kehidupan yang akan datang. Dalam nama Yesus Kristus, amin.