Mengajar Keberdikarian kepada Kanak-kanak dan Remaja
Marilah kita mengikuti Juruselamat, Yesus Kristus dan injil-Nya dengan menjadi berdikari sepanjang hidup kita, dan mengajarkan ini kepada kanak-kanak dan remaja kita.
Saya akan berucap tentang keberdikarian dan bagaimana ia boleh diajar kepada kanak-kanak dan remaja. Keberdikarian boleh dilihat sebagai subjek bagi orang dewasa. Saya pelajari bahawa orang dewasa boleh berada di jalan ke arah keberdikarian apabila mereka telah diajar injil Yesus Kristus dan telah mengamalkan ajaran dan asas-asasnya sejak masa kanak-kanak dan remaja di rumah.
Ilustrasi terbaik ialah contoh kehidupan sebenar yang hebat. Wilfried Vanie, tujuh adik-beradiknya, dan ibunya menyertai Gereja di Abidjan, Ivory Coast, semasa dia berumur enam tahun. Dia dibaptiskan pada umur lapan tahun. Bapanya, pemberi nafkah utama dalam keluarga itu, meninggal dunia apabila Wilfried berumur sebelas tahun.
Walaupun sedih dengan situasi keluarga, Wilfried memutuskan untuk terus bersekolah atas galakan ibunya dan sokongan Gereja. Dia menamatkan sekolah menengah dan melayani misi sepenuh masa di Misi Ghana Cape Coast, di mana dia belajar bahasa Inggeris. Selepas misinya, dia pergi ke universiti dan mendapat diploma dalam perakaunan dan kewangan. Walaupun susah untuk mendapat pekerjaan dalam bidang ini, dia menemukan pekerjaan dalam industri pelancongan dan hospitaliti.
Dia bermula sebagai pelayan di sebuah hotel lima bintang, tetapi semangatnya untuk bertambah baik mendorong dia untuk belajar lebih sehingga dia menjadi seorang penyambut tetamu dwibahasa di sana. Apabila sebuah hotel baru dibuka, dia diupah sebagai juruaudit malam. Kemudian, dia masuk ke BYU–Pathway Worldwide dan sedang mengkaji satu kursus untuk mendapatkan sijil dalam bidang pelancongan dan perhotelan. Hasratnya ialah untuk menjadi pengurus hotel mewah suatu hari nanti. Wilfried dapat memberi nafkah untuk teman abadi dan dua anaknya, dan juga membantu ibu dan adik-beradiknya. Dia kini melayani dalam Gereja sebagai seorang anggota majlis tinggi pancang.
Keberdikarian ditakrifkan sebagai “keupayaan, komitmen, dan usaha untuk menyediakan keperluan rohani dan duniawi kehidupan untuk diri sendiri dan keluarga.”1 Berusaha menjadi berdikari adalah sebahagian pekerjaan jalan perjanjian untuk kembali kepada Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Ia akan memperkukuhkan iman kita kepada Yesus Kristus dan diikat dengan gembira kepada-Nya melalui perjanjian dan tatacara penyelamatan dan permuliaan. Keberdikarian adalah ajaran injil Yesus Kristus, bukan satu program. Ia adalah proses yang berlangsung seumur hidup, bukan satu peristiwa.
Kita menjadi berdikari sepanjang hidup kita dengan berkembang dalam kekuatan rohani, memperbaiki kesihatan jasmani dan emosi kita, mengejar pendidikan dan pekerjaan kita, dan bersedia secara duniawi.2 Adakah tugas ini akan pernah selesai dalam kehidupan kita? Tidak, ia adalah proses pembelajaran, perkembangan, dan usaha sepanjang hidup. Ia tidak pernah berakhir; ia adalah proses harian yang berterusan.
Bagaimanakah kita dapat mengajar ajaran dan asas keberdikarian kepada anak-anak dan remaja kita? Satu cara penting ialah untuk menggunakan asas-asas dari program Kanak-kanak dan Remaja dengan kerap. Ibu bapa dan kanak-kanak mempelajari injil Yesus Kristus, mengambil bahagian dalam pelayanan dan aktiviti, dan bekerjasama dalam empat aspek perkembangan peribadi yang unik untuk setiap kanak-kanak. Ia bukan lagi program yang sama untuk semua.
Buku Panduan Kanak-kanak berkata, “Apabila Yesus seumur dengan anda, Dia belajar dan berkembang. Anda sedang belajar dan bertumbuh juga. Tulisan suci berkata: ‘Yesus bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Tuhan mahupun manusia.” (Lukas 2:52).”3 Tulisan suci ini merujuk kepada perkembangan dan pembelajaran dalam aspek rohani, menyenangkan hati Tuhan; aspek sosial, berkenan dengan manusia; aspek jasmani, perawakan; dan aspek intelek, kebijaksanaan. Aspek-aspek perkembangan ini berkaitan dengan kita semua tidak kira usia kita. Bilakah kita mengajar mereka? Dalam Ulangan 6:6–7 kita baca:
“Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.
“Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.”
Kita mengajarkan kanak-kanak hal-hal ini melalui teladan baik kita, dengan berusaha dan melayani bersama mereka, mengkaji tulisan suci, dan mengikuti ajaran-ajaran Yesus Kristus seperti yang para nabi ajarkan.
Saya telah nyatakan bahawa dalam program Kanak-kanak dan Remaja, kanak-kanak memilih matlamat yang berbeza dalam setiap empat aspek perkembangan. Ia penting untuk mereka mencipta matlamat mereka sendiri dalam setiap aspek. Ibu bapa dan pemimpin boleh mengajar, memberi nasihat, dan sokongan.
Contohnya, cucu perempuan kami Miranda sangat bermotivasi untuk berkembang secara rohani dengan menyertai kelas seminari awal pagi setiap hari. Dia menjadi berminat kerana mendengar komen positif dari pelajar seminari lain dalam bahagiannya. Ibunya tidak perlu kejutkan dia untuk kelas. Dia sendiri bangun dan menyertai dengan persidangan video pada waktu 6:20 pagi kerana dia telah membentuk tabiat baik yang membantunya untuk berbuat demikian. Ibu bapa saya memberitahu saya baru-baru ini bahawa Miranda sekarang lebih banyak bercakap apabila dia mengunjungi mereka, kerana dia telah bertumbuh dalam keyakinan diri. Ini ialah pengajaran untuk hidup dan perkembangan dengan hasil yang ketara.
Ibu bapa, datuk nenek, pemimpin, dan kawan-kawan membantu dalam perkembangan kanak-kanak. Pelayan saudara dan saudari yang terlibat dengan penuh, bersama pemimpin imamat dan organisasi bahagian memberikan sokongan. “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia” berkata: “Menurut tujuan Tuhan, para bapa patut mengetuai keluarga mereka dengan kasih sayang dan kesolehan, dan bertanggungjawab menafkahi keperluan kehidupan dan memberi perlindungan bagi keluarga mereka. Para ibu terutamanya bertanggungjawab bagi pemeliharaan anak-anak mereka. Di dalam tanggungjawab-tanggungjawab yang suci ini, para bapa dan para ibu diwajibkan membantu satu sama lain sebagai ahli pasangan yang setaraf. … Keluarga-keluarga terdekat harus memberi sokongan apabila perlu.”4 Ayat terakhir itu merujuk kepada datuk nenek, di antara orang lain.
Semasa kami melayani di Afrika Barat, isteri saya Nuria, telah melakukan pelayanan yang luar biasa dan kekal berhubung dengan keluarga dan cucu-cucu kami di seberang laut. Dia melakukan ini dengan menggunakan teknologi. Dia membaca buku-buku kepada cucu-cucu muda. Dia mengajar cucu perempuan yang lebih tua topik seperti kisah keluarga kami, topik-topik sains, sejarah Puerto Rico, Fasal-Fasal Kepercayaan dan injil Yesus Kristus. Jarak pada masa kini tidak mengehadkan perhubungan, rasa kekitaan, pelayanan, dan pengajaran generasi membangun keluarga kita. Saya turut menyertai Nuria apabila saya dapat mengajar cucu-cucu berharga kami, mengasihi mereka, dan memanjakan mereka dan membuat mereka ketawa.
Anda mungkin nampak persamaan yang diilhamkan antara program Kanak-kanak dan Remaja dan membina keberdikarian. Empat aspek perkembangan dalam kedua-duanya hampir sama. Kekuatan rohani dalam keberdikarian berkaitan dengan rohani dalam Kanak-kanak dan Remaja. Kesihatan jasmani dan emosi dalam keberdikarian berkaitan dengan jasmani dan sosial dalam Kanak-kanak dan Remaja. Pendidikan, pekerjaan, dan persediaan duniawi dalam keberdikarian adalah serupa dengan intelek dalam program Kanak-kanak dan Remaja.
Sebagai penutup, marilah kita mengikuti Juruselamat kita Yesus Kristus dan injil-Nya dengan menjadi berdikari sepanjang hidup kita, dan mengajarkan ini kepada kanak-kanak dan remaja kita. Kita boleh melakukan ini dengan
-
menjadi teladan yang baik dalam pelayanan kepada orang lain,
-
menjalani dan mengajar ajaran dan asas keberdikarian dan
-
mematuhi perintah untuk membina keberdikarian sebagai sebahagian daripada injil Yesus Kristus.
Tertulis di Ajaran dan Perjanjian 104:15–16:
“Ini tujuan-Ku adalah untuk menyara bagi para orang suci-Ku, kerana segalanya adalah milik-Ku.
“Tetapi ia mestilah dilakukan menurut cara-Ku sendiri; dan lihatlah inilah cara yang telah Aku, Tuhan, tetapkan untuk menyara para orang suci-Ku, agar yang miskin akan dipermuliakan, dimana yang kaya direndahkan.”
Ini adalah Gereja Yesus Kristus. Injil-Nya memberkati keluarga-keluarga di bumi dan sepanjang keabadian. Ia membimbing kita dalam kehidupan kita semasa kita berusaha untuk menjadi keluarga abadi. Saya tahu ini adalah benar. Dalam nama Yesus Kristus, amin.