Seluruh Isi Hati Kita
Jika kita mahu Juruselamat angkat kita ke syurga, maka komitmen kita kepada-Nya dan injil-Nya tidak boleh bersahaja atau sekali-sekala.
Sumbangan kepada-Nya
Beberapa hari sebelum Dia berikan nyawa-Nya untuk kita, Yesus Kristus berada di bait suci di Yerusalem, memerhati orang ramai beri sumbangan kepada perbendaharaan bait suci. “Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang,” tetapi kemudian, datanglah seorang balu yang miskin, “dan memasukkan dua keping mata wang tembaga.” Ia jumlah yang sangat sedikit, tidak penting untuk dicatatkan.
Namun jumlah derma yang tidak seberapa ini menarik perhatian Juruselamat. Malah, Yesus amat tersentuh lalu “memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain.
Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya, dia mendermakan semua nafkahnya.”1
Dengan pemerhatian yang mudah ini, Juruselamat ajarkan kita bagaimana persembahan diukur dalam kerajaan-Nya—dan ia berbeza daripada cara kita biasanya mengukur perkara. Bagi Tuhan, nilai derma tidak diukur berdasarkan kesannya pada perbendaharaan tetapi kesannya pada hati penderma.
Dalam memuji balu yang beriman ini, Juruselamat beri kita satu standard untuk ukur penganutan kita dalam semua ungkapannya. Yesus ajarkan bahawa persembahan kita mungkin besar atau mungkin kecil, tetapi setiapnya, haruslah tulus ikhlas sepenuhnya.
Asas ini digemakan dalam rayuan nabi Kitab Mormon Amaleki: “Datang kepada Kristus, yang adalah Yang Kudus dari Israel, dan mengambil bahagian dalam penyelamatan-Nya, dan kuasa penebusan-Nya. Ya, datanglah kepada-Nya, dan persembahkanlah seluruh jiwamu sebagai persembahan kepada-Nya.”2
Tetapi bagaimana ini boleh berlaku? Bagi kebanyakan kita, standard komitmen sepenuh jiwa sedemikian bagai tidak boleh dicapai. Kita sudah diregangkan dalam pelbagai perkara. Bagaimanakah kita dapat seimbangkan tuntutan-tuntutan kehidupan dengan keinginan kita untuk menawarkan seluruh jiwa kita kepada Tuhan?
Mungkin cabaran kita adalah bahawa kita berfikir keseimbangan bermaksud membahagikan masa kita secara adil di antara minat-minat saingan. Dilihat dengan cara ini, komitmen kita kepada Yesus Kristus akan jadi salah satu daripada banyak hal yang kita perlu sesuaikan dalam jadual sibuk kita. Namun mungkin ada satu lagi cara untuk melihatnya.
Keseimbangan: Seperti Menunggang Basikal
Isteri saya, Harriet, dan saya suka pergi berbasikal bersama. Ia adalah cara yang baik untuk bersenam sambil meluangkan masa bersama. Semasa kami menunggang, dan ketika saya tidak terlalu semput, kami menikmati dunia yang indah di sekeliling dan juga terlibat dalam perbualan yang menyenangkan. Kami jarang kali perlu memberi banyak perhatian kepada keseimbangan ketika kami berbasikal. Kami telah lakukannya dengan lama sehingga kami tidak fikirkannya—ia telah jadi perkara biasa dan semula jadi bagi kita.
Tetapi apabila saya lihat seseorang belajar menunggang basikal buat kali pertama, saya diingatkan bahawa ia tidak mudah untuk mengimbangi diri di atas dua roda sempit itu. Ia mengambil masa. Ia memerlukan latihan. Ia memerlukan kesabaran. Kita mungkin jatuh sekali atau dua.
Paling penting, mereka yang berjaya mengimbangi basikal pelajari petua penting ini:
Jangan pandang kaki anda.
Pandang ke hadapan.
Tumpukan mata anda ke jalan di hadapan. Tumpukan perhatian pada destinasi anda. Dan kayuhlah. Mengekalkan keseimbangan adalah untuk bergerak ke hadapan.
Asas-asas yang sama digunakan ketika mencari keseimbangan dalam kehidupan kita sebagai pengikut Yesus Kristus. Pengagihan masa dan tenaga di antara tugas-tugas penting anda akan berbeza bagi setiap orang dan dari satu musim kehidupan kepada yang lain. Tetapi objektif kita yang sama adalah untuk mengikuti Cara Tuan kita, Yesus Kristus, dan kembali ke hadirat Bapa Syurgawi kita yang dikasihi. Objektif ini mesti kekal tetap dan konsisten, tanpa mengira siapa dan apa pun yang sedang berlaku dalam kehidupan kita.3
Angkat: Seperti Menerbangkan Kapal Terbang
Sekarang, bagi mereka yang amat gemar menunggang basikal, membandingkan penganutan dengan menunggang basikal boleh menjadi analogi yang berguna. Bagi mereka yang tidak, jangan risau. Saya ada satu lagi analogi yang saya pasti setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak akan dapat mengaitkannya.
Penganutan, seperti kebanyakan perkara dalam kehidupan, juga boleh dibandingkan dengan menerbangkan kapal terbang.
Pernahkah anda berhenti untuk berfikir betapa menakjubkannya jet penumpang yang besar boleh berangkat dan terbang? Apakah yang memastikan mesin-mesin tersebut terbang dengan elegan melalui langit, merentasi lautan dan benua?
Jawapannya mudah, kapal terbang hanya terbang apabila udara melalui atas sayapnya. Pergerakan itu mencipta perbezaan dalam tekanan udara dan mengangkat kapal terbang itu. Dan bagaimanakah anda dapat gerakan udara yang cukup ke atas sayap untuk mengangkatkannya? Jawapannya adalah dengan menolak ke hadapan.
Kapal terbang tidak mendapat ketinggian jika ia duduk di landasan. Bahkan pada hari berangin kencang, kapal terbang tidak akan diangkat kecualilah ia bergerak ke hadapan, dengan tolakkan yang cukup untuk atasi daya-daya yang menahani kapal terbang.
Sepertimana momentum ke hadapan memastikan basikal kekal seimbang dan tegak, bergerak ke hadapan membantu pesawat mengatasi tarikan graviti dan rintangan.
Apakah erti ini bagi kita sebagai pengikut Yesus Kristus? Ia bermaksud jika kita ingin mencari keseimbangan dalam kehidupan, dan jika kita inginkan Juruselamat mengangkat kita ke syurga, maka komitmen kita kepada Dia dan injil-Nya tidak boleh bersahaja atau sekali-sekala. Seperti balu di Yerusalem, kita harus mempersembahkan seluruh jiwa kita kepada Dia. Persembahan kita mungkin kecil, tetapi ia mesti datang dari hati dan jiwa kita.
Menjadi pengikut Yesus Kristus bukan sahaja salah satu perkara yang kita lakukan. Juruselamat ialah kuasa mendorong bagi segala yang kita lakukan. Dia bukanlah satu perhentian rehat dalam perjalanan kita. Dia bukanlah satu pemandangan di tepi jalan atau tanda tempat utama yang menakjubkan. Dia ialah “jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui [Yesus Kristus].”4 Itulah Jalan dan destinasi terakhir kita.
Keseimbangan dan pengangkatan terjadi apabila kita “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia.”5
Pengorbanan dan Pembaktian
Dan bagaimana pula dengan banyak tugas dan tanggungjawab yang membuat kehidupan kita begitu sibuk? Luangkan masa bersama orang dikasihi, pergi ke sekolah atau bersedia untuk pekerjaan, cari rezeki, jaga keluarga, melayani dalam masyarakat—di manakah semuanya sesuai? Juruselamat meyakinkan kita:
“Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
“Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.”6
Tetapi ini tidak bermaksud ia mudah.7 Ia perlukan pengorbanan dan pembaktian.
Ia memerlukan kita untuk melepaskan beberapa perkara dan membiarkan hal-hal lain berkembang.
Pengorbanan dan pembaktian adalah dua hukum syurgawi yang kita berjanji untuk patuh dalam bait suci kudus. Kedua-dua hukum ini serupa tetapi tidak sama. Untuk berkorban bermaksud untuk melepaskan sesuatu yang lebih berharga. Dahulu kala, umat Tuhan mengorbankan anak sulung haiwan ternakan mereka untuk menghormati Mesias yang akan datang. Sepanjang sejarah, Orang Suci yang beriman telah mengorbankan keinginan, penghiburan, dan juga nyawa peribadi mereka untuk Juruselamat.
Kita semua ada perkara, besar dan kecil, yang kita perlu korbankan untuk mengikut Yesus Kristus dengan lebih lengkap.8 Pengorbanan kita menunjukkan apa yang kita benar-benar hargai. Pengorbanan adalah kudus dan dihormati oleh Tuhan.9
Pembaktian berbeza dari pengorbanan dalam sekurang-kurangnya satu cara yang penting. Apabila kita membaktikan sesuatu, kita tidak membiarkannya habis dibakar untuk Tuhan. Sebaliknya, kita menggunakannya dalam pelayanan Tuhan. Kita mendedikasikannya kepada Dia dan tujuan kudus-Nya.10 Kita terima bakat yang Tuhan telah berikan kepada kita dan berusaha untuk meningkatkannya, berlipat ganda, untuk menjadi lebih membantu dalam membina kerajaan Tuhan.11
Ramai daripada kita tidak akan diminta untuk mengorbankan nyawa kita untuk Juruselamat. Tetapi kita semua dijemput untuk membaktikan kehidupan kita kepada-Nya.
Satu Kerja, Satu Kebahagiaan, Satu Tujuan
Apabila kita berusaha untuk menyucikan hidup kita dan lihat kepada Kristus dalam setiap pemikiran,12 segalanya akan mula sejajar. Kehidupan tidak lagi terasa seperti senarai panjang usaha berasingan yang dalam keseimbangan yang lemah.
Lambat laun, semuanya menjadi satu usaha.
Satu kebahagiaan.
Satu tujuan kudus.
Ia adalah kerja mengasihi dan melayani Tuhan. Ia adalah mengasihi dan melayani anak-anak Tuhan.13
Apabila kita lihat kehidupan kita dan lihat seratus perkara yang perlu dilakukan, kita berasa terharu. Apabila kita lihat satu perkara—mengasihi dan melayani Tuhan dan anak-anak-Nya, dalam seratus cara yang berbeza—maka kita boleh usahakan hal-hal itu dengan gembira.
Inilah cara kita menawarkan seluruh jiwa kita—dengan mengorbankan apa pun yang menahan diri kita dan membaktikan segala seterusnya kepada Tuhan dan tujuan-Nya.
Kata-kata Galakan dan Kesaksian
Saudara dan saudari serta rakan-rakan yang dikasihi, akan ada masanya anda berharap anda boleh lakukan lebih banyak lagi. Bapa Syurgawi anda yang penyayang tahu hati anda. Dia tahu yang anda tidak boleh lakukan semua yang anda ingin lakukan. Tetapi anda boleh mengasihi dan melayani Tuhan. Anda boleh lakukan yang terbaik untuk mematuhi perintah-Nya. Anda boleh mengasihi dan melayani anak-anak-Nya. Dan usaha anda menyucikan hati dan menyediakan anda untuk masa depan yang mulia.
Inilah yang balu di perbendaharaan bait suci fahami. Dia tahu bahawa sumbangannya tidak akan ubah nasib Israel, tetapi ia boleh ubah dan berkati dia—kerana, walaupun kecil, itu semua yang dia ada.
Jadi, para rakan yang dikasihi dan para pengikut Yesus Kristus yang dikasihi, janganlah kita begitu “letih dalam lakukan kebaikan, kerana [kita] sedang letakkan landasan bagi pekerjaan yang besar.” Dan dari hal-hal kecil kitalah bermulanya “hal yang besar.”14
Saya bersaksi bahawa ini benar, saya juga bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita, Penebus kita, dan satu-satunya Jalan untuk kita kembali kepada Bapa Syurgawi yang dikasihi. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.