Persidangan Umum
Perubahan Hati yang Hebat: “Saya Tidak Mempunyai Apa-apa Lagi untuk Diberikan kepada-Mu”
Persidangan Umum April 2022


10:57

Perubahan Hati yang Hebat:

“Saya Tidak Mempunyai Apa-apa Lagi untuk Diberikan kepada-Mu”

Perubahan hati ini bukanlah suatu peristiwa; ia memerlukan iman, pertaubatan dan usaha rohani yang berterusan untuk berlaku.

Pengenalan

Pada hari Jumaat, 28 Oktober 1588, sudah kehilangan kemudi dan diperintah semata-mata oleh dayung, kapal La Girona, yang termasuk dalam Armada Sepanyol besar, berlanggar dengan batu-batu Lacada Point di Ireland Utara.1

Kapal itu terbalik. Salah satu ahli krew yang berjuang untuk hidup memakai cincin emas yang diberikan kepadanya beberapa bulan lalu oleh isterinya dengan tulisan ukiran, “Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan kepadamu.”2

“Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan kepadamu”—satu ayat, dan satu cincin dengan reka bentuk tangan yang memegang hati, satu ungkapan kasih daripada seorang isteri kepada suaminya.

Hubungan Tulisan Suci

Apabila saya baca cerita ini, ia memberi tanggapan yang mendalam kepada saya, dan saya berfikir tentang permintaan yang dibuat oleh Juruselamat: “Dan kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada-Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal.”3

Saya juga ingat reaksi rakyat Raja Benjamin “Ya, kami mempercayai segala kata-kata yang telah kamu ucapkan kepada kami … , yang telah mengerjakan perubahan yang hebat dalam diri kami, atau dalam hati kami, sehingga kami tidak memiliki lagi kecenderungan untuk melakukan yang jahat, tetapi sentiasa melakukan yang baik.”4

Hubungan Peribadi

Izinkan saya kongsi pengalaman penting yang saya alami sewaktu berumur 12 tahun.

Ibu saya berkata, “Eduardo, cepatlah. Kita lambat untuk pertemuan-pertemuan gereja.”

“Ibu, saya akan tinggal bersama Ayah hari ini,” saya jawab.

“Kamu pasti?” Kamu perlu hadiri pertemuan kuorum imamat kamu,” dia berkata.

Saya balas, “Kasihan Ayah! Dia akan bersendirian. Saya akan bersama dia hari ini.”

Ayah saya bukan seorang ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Ibu dan adik-adik saya pergi ke pertemuan hari Ahad. Jadi, saya pergi ke bengkel Ayah, di mana dia suka berada pada hari Ahad, dan seperti yang telah saya beritahu ibu saya, saya meluangkan masa, iaitu, beberapa minit bersama dia, dan kemudian saya bertanya, “Ayah, adakah semuanya baik-baik?”

Dia terus buat hobinya untuk membaiki radio dan jam, dan dia hanya tersenyum kepada saya.

Kemudian saya beritahu dia, “Saya akan pergi bermain dengan kawan-kawan saya.”

Ayah, tanpa memandang saya, berkata kepada saya, “Hari ini hari Ahad. Tidakkah kamu sepatutnya pergi ke gereja?”

“Ya, tetapi hari ini saya beritahu Ibu saya tidak akan pergi,” saya jawab. Ayah teruskan urusannya, dan bagi saya, itu adalah kebenaran untuk pergi.

Pagi itu terdapat satu perlawanan bola sepak yang penting, dan kawan-kawan saya beritahu saya tidak boleh terlepas, dan kami perlu menang perlawanan itu.

Cabaran saya ialah bahawa saya perlu berlalu di depan gereja untuk sampai ke padang bola.

Dengan berazam, saya bergegas ke arah padang bola dan berhenti di depan batu halangan yang besar, iaitu gereja. Saya berlari ke seberang jalan di mana terdapat beberapa pokok besar, dan saya berlari di antara pokok-pokok supaya tidak seorang pun akan melihat saya kerana ahli-ahli sedang tiba di pertemuan-pertemuan pada masa itu.

Saya sampai tepat pada waktunya untuk permulaan perlawanan. Saya dapat bermain dan pulang sebelum ibu saya sampai ke rumah.

Semuanya berjalan dengan baik; pasukan kami menang, dan saya sangat teruja. Tetapi larian terselindung itu ke padang bola diketahui oleh pemimpin kuorum diaken.

Brother Félix Espinoza telah melihat saya berlari dengan cepat dari pokok ke pokok, cuba untuk tidak dilihat.

Pada permulaan minggu, Brother Espinoza datang ke rumah saya dan minta bercakap dengan saya. Dia tidak berkata apa-apa tentang apa yang dia lihat pada hari Ahad, tidak juga bertanya kepada saya mengapa saya tidak hadiri pertemuan saya.

Dia memberikan buku panduan kepada saya dan berkata, “Saya mahu kamu mengajar kelas imamat pada hari Ahad. Saya sudah tanda pelajaran itu untuk kamu. Ia tidak susah. Saya mahu kamu membacanya, dan saya akan datang dalam dua hari untuk membantu kamu dengan persediaan untuk pelajaran.” Setelah berkata demikian, dia memberi buku panduan itu kepada saya dan pergi.

Saya tidak mahu mengajar kelas, tetapi saya tidak dapat beritahu dia. Saya telah merancang untuk hari Ahad itu, untuk tinggal bersama bapa saya lagi—maksudnya, ada satu lagi perlawanan bola sepak penting.

Brother Espinoza seorang dihormati oleh pemuda dan pemudi.5 Dia menemui injil yang dipulihkan dan mengubah kehidupannya atau, dengan kata-kata lain, hatinya.

Pada petang hari Sabtu, saya fikir, “Mungkin esok saya akan bangun sakit, dan saya tidak perlu pergi ke gereja.” Bukanlah perlawanan bola yang membimbangkan saya lagi; ia kerana kelas yang saya perlu ajar, terutamanya satu pengajaran tentang hari Sabat.

Hari Ahad datang, dan saya bangun lebih sihat daripada sebelumnya. Saya tidak mempunyai alasan—tidak dapat melarikan diri.

Ini ialah kali pertama saya mengajar pengajaran, tetapi Brother Espinoza berada di sana di sisi saya, dan itulah hari perubahan hati yang hebat bagi saya.

Sejak saat itu, saya mula menguduskan hari Sabat, dan selepas satu tempoh masa, dalam kata-kata Presiden Russell M. Nelson, hari Sabat telah menjadi satu kebahagiaan.6

“Tuhan, saya memberikan-Mu segalanya; saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan kepada-Mu.”

Perolehan

Bagaimanakah kita memperolehi perubahan hati yang hebat itu? Ia dimulakan dan akhirnya berlaku

  1. apabila kita mengkaji tulisan suci untuk memperoleh pengetahuan yang akan memperkukuh iman kita kepada Yesus Kristus yang akan menciptakan keinginan untuk berubah;7

  2. apabila kita memupuk keinginan itu melalui doa dan puasa;8

  3. apabila kita bertindak, menurut perkataan yang dikaji atau diterima, dan kita membuat perjanjian untuk menyerahkan hati kita kepada-Nya, sama seperti rakyat Raja Benyamin.9

Pengiktirafan dan Perjanjian

Bagaimanakah kita tahu bahawa hati kita berubah?10

  1. Apabila kita ingin menyenangkan Tuhan dalam segala hal.11

  2. Apabila kita memperlakukan orang lain dengan kasih, hormat, dan pertimbangan.12

  3. Apabila kita melihat bahawa sifat-sifat Kristus menjadi sebahagian sifat kita.13

  4. Apabila kita merasai bimbingan Roh Kudus dengan lebih berterusan.14

  5. Apabila kita mematuhi perintah yang sukar untuk kita patuh dan kemudian terus menjalaninya.15

Apabila kita mendengar nasihat pemimpin kita dengan teliti dan dengan senang hati membuat keputusan untuk mengikutinya, tidakkah kita mengalami perubahan hati yang hebat?

“Tuhan, saya memberikan-Mu segalanya; saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan kepada-Mu.”

Pengekalan dan Faedah

Bagaimanakah kita menjaga perubahan yang hebat itu?

  1. Apabila kita mengambil sakramen setiap minggu dan memperbaharui perjanjian untuk mengambil ke atas diri kita nama Kristus, selalu mengingati-Nya, dan mematuhi perintah-perintah-Nya.16

  2. Apabila kita memalingkan hidup kita ke arah bait suci.17 Kehadiran bait suci yang tetap akan membantu kita menjaga hati yang diperbaharui apabila kita mengambil bahagian dalam tatacara-tatacara.

  3. Apabila kita mengasihi dan melayani sesama melalui aktiviti pelayanan dan pekerjaan misionari.18

Kemudian untuk kebahagiaan kita yang besar, perubahan dalaman itu diperkuatkan dan bersebar sehingga ia berlimpah-limpah dalam pekerjaan yang baik.19

Perubahan hati yang hebat ini membawa kita perasaan kebebasan, kepercayaan, dan kedamaian.20

Perubahan hati ini bukanlah suatu peristiwa; ia memerlukan iman, pertaubatan dan pekerjaan rohani yang berterusan untuk berlaku. Ia bermula apabila kita berhasrat untuk menyerahkan kehendak kita kepada Tuhan, dan ia nyata apabila kita masuk ke dalam dan mentaati perjanjian dengan Dia.

Tindakan individu itu menyebabkan kesan positif ke atas kita dan orang di sekeliling kita.

Dalam kata-kata Presiden Russell M. Nelson, “Bayangkan betapa cepat konflik yang memusnahkan di seluruh dunia, dan mereka dalam kehidupan individu kita, boleh diselesaikan jika kita semua memilih untuk mengikuti Yesus Kristus dan mentaati ajaran-ajaran-Nya.”21 Tindakan mengikuti ajaran Juruselamat membawa perubahan hati yang hebat.

Saudara dan saudari, golongan muda, dan kanak-kanak, semasa kita menyertai persidangan minggu ini, biarlah kata-kata para nabi kita, yang akan datang daripada Tuhan, memasuki hati kita untuk mengalami perubahan yang hebat.

Untuk mereka yang belum menyertai Gereja Tuhan yang dipulihkan, saya menjemput anda untuk mendengar para misionari dengan keinginan ikhlas untuk mengetahui apa yang Tuhan harapkan daripada anda dan mengalami perubahan dalaman itu.22

Hari inilah hari kita memilih untuk mengikut Tuhan Yesus Kristus. “Tuhan, saya memberikan-Mu, hatiku; Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan kepada-Mu.”

Sama seperti cincin itu didapatkan semula dari kapal karam itu, apabila kita memberi hati kita kepada Tuhan, kita diselamatkan dari lautan hidup ini, dan dalam proses itu, kita diperhalusi dan disucikan melalui Korban Tebusan Kristus dan menjadi “anak-anak Kristus” yang secara rohani “dilahirkan daripada Dia.”23 Semua ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.