Persidangan Umum
Untuk Menyembuhkan Dunia
Persidangan Umum April 2022


13:51

Untuk Menyembuhkan Dunia

Luka dan perbezaan boleh diselesaikan dan disembuhkan apabila kita hormati Tuhan, Bapa kita, dan Yesus Kristus, Putera-Nya.

Saudara dan saudari, pada musim Easter ini, kita sangat diberkati untuk bertemu dan terima nasihat serta arahan daripada para hamba Tuhan.

Bimbingan dan ajaran kudus daripada Bapa Syurgawi bantu kita kemudi kehidupan dalam masa yang berbahaya ini. Seperti yang telah dinubuatkan, “kebakaran, dan angin ribut,” “peperangan, desas-desus tentang peperangan, dan gempa bumi di pelbagai tempat,” “dan bermacam-macam kekejian,”1 “wabak penyakit,”2 “kebuluran dan gempa bumi”3 sedang rosakkan keluarga, masyarakat, dan juga negara.

Terdapat satu lagi wabak yang melanda dunia: serangan terhadap kebebasan agama anda dan saya. Sentimen yang semakin meningkat ini berusaha untuk hapuskan agama dan kepercayaan kepada Tuhan daripada dataran awam, sekolah, standard komuniti dan wacana sivik. Penentang kebebasan agama berusaha untuk kenakan sekatan ke atas ungkapan keyakinan yang tulus. Mereka juga mengkritik dan mencemuh tradisi iman.

Sikap sedemikian meminggirkan orang, merendahkan prinsip peribadi, keadilan, rasa hormat, kerohanian, dan ketenangan hati nurani.

Apakah itu kebebasan agama?

Ia adalah kebebasan menyembah dalam semua bentuk: kebebasan berhimpun, bersuara, bertindak berdasarkan kepercayaan peribadi dan kebebasan untuk orang lain lakukan hal yang sama Kebebasan beragama benarkan setiap kita tentukan sendiri apa yang kita percaya, cara kita hidup dan bertindak mengikut iman kita, dan apa yang Tuhan harapkan daripada kita.

Usaha untuk sekat kebebasan agama bukanlah perkara baru. Sepanjang sejarah, orang-orang yang beriman telah menderita kuat di tangan orang lain. Ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir tidak terkecuali.

Dari permulaan kita, ramai pencari Tuhan tertarik pada Gereja ini kerana ajaran ilahinya, termasuk iman kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, pertaubatan, rancangan kebahagiaan, dan Kedatangan Kedua Tuhan kita.

Pertentangan, penganiayaan, dan keganasan menimpa nabi zaman akhir kita yang pertama, Joseph Smith, dan para pengikutnya.

Di tengah kekacauan pada tahun 1842, Joseph terbitkan 13 rukun asas Gereja yang sedang berkembang, termasuk yang ini: “Kami menuntut hak untuk menyembah Tuhan Yang Maha Kuasa menurut ketetapan suara hati kami, dan memberikan hak yang sama kepada semua orang, biarlah mereka menyembah bagaimana, di mana, atau apa pun yang mereka mahu.”4

Kenyataannya adalah inklusif, membebaskan, dan menghormati. Itulah inti pati kebebasan agama.

Nabi Joseph Smith juga nyatakan:

“Saya berani mengisytiharkan di hadapan Syurga bahawa saya bersedia untuk mati dalam mempertahankan hak Presbyterian, Baptist, atau orang baik dari mana-mana denominasi lain; untuk asas yang sama yang akan menginjak-injak hak … Orang Suci akan menginjak-injak hak Roman Katolik, atau mana-mana denominasi lain yang mungkin tidak popular dan terlalu lemah untuk mempertahankan diri mereka.

”Ia adalah kasih kebebasan [yang] mengilhami jiwa saya—kebebasan sivil dan agama kepada seluruh umat manusia.”5

Namun, ahli Gereja awal telah diserang dan dihalau beribu batu, dari New York ke Ohio ke Missouri, di mana gabenor keluarkan perintah ahli-ahli Gereja “mesti dilayan sebagai musuh dan mesti dimusnahkan atau dihalau dari negeri.”6 Mereka melarikan diri ke Illinois, tetapi seksaan berterusan. Seorang perusuh membunuh Nabi Joseph, berfikir bahawa membunuhnya akan musnahkan Gereja dan mencerai-beraikan penganut. Tetapi orang beriman kekal teguh. Pengganti Joseph, Brigham Young, memimpin beribu-ribu orang dalam keluaran paksa 1300 batu (2100 km) ke barat ke negeri Utah.7 Nenek moyang saya adalah antara para perintis awal itu.

Sejak zaman penganiayaan yang hebat itu, Gereja Tuhan telah berkembang dengan stabil kepada hampir 17 juta ahli, dengan lebih separuh tinggal di luar Amerika Syarikat.8

Pada April 2020 Gereja kita raikan ulang tahun ke-200 Pemulihan injil dengan pengisytiharan kepada dunia, yang disediakan oleh Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul kita. Ia bermula, “Kami sesungguhnya mengisytiharkan bahawa Tuhan Bapa mengasihi anak-anak-Nya dalam setiap bangsa di dunia ini.”9

Nabi terkasih kita, Russell M. Nelson telah berkata lanjut:

“Kita percaya dalam kebebasan, kebaikan hati dan keadilan bagi semua anak Tuhan.

“Kita semua adalah saudara dan saudari, setiap seorang anak kepada Bapa di Syurga yang penyayang. Putera-Nya, Tuhan Yesus Kristus, jemput semua untuk datang kepada-Nya, ‘hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan.’ (2 Nefi 26:33).”10

Bersama saya pertimbangkan empat cara masyarakat dan individu dapat manfaat dari kebebasan agama.

Pertama. Kebebasan agama hormati perintah utama pertama dan kedua, meletakkan Tuhan sebagai pusat kehidupan kita. Kita baca dalam Matius:

“‘Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.”11

“Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”12

Sama ada di gereja, saumaah, masjid, atau pondok beratap timah, para pengikut Kristus, dan semua orang percaya yang berfikiran sama boleh menyatakan pengabdian kepada Tuhan dengan menyembah Dia dan kesediaan untuk melayani anak-anak-Nya.

Yesus Kristus adalah teladan sempurna bagi kasih dan pelayanan yang sedemikian. Semasa pelayanan-Nya, Dia jaga orang miskin,13 sembuhkan orang sakit14 dan orang buta.15 Dia beri makan kepada orang lapar,16 buka tangan-Nya kepada anak-anak kecil,17 dan mengampuni orang yang menzalimi dan menyalib-Nya.18

Tulisan suci menggambarkan Yesus “pergi ke serata tempat untuk berbuat baik.”19 Kita juga harus begitu.

Kedua. Kebebasan agama memupuk ekspresi kepercayaan, harapan dan kedamaian.

Sebagai sebuah gereja, kita bergabung dengan agama lain yang lindungi orang dari semua agama dan fahaman serta hak mereka untuk menyatakan keyakinan mereka. Ini tidak bermakna kita terima kepercayaan mereka, atau sebaliknya, tetapi kita ada lebih banyak persamaan berbanding mereka yang ingin mendiamkan kita.

Saya baru-baru ini mewakili Gereja di Forum Antara Agama G20 tahunan di Itali. Saya digalakkan, malah diperkuatkan, apabila saya bertemu dengan pemimpin kerajaan dan agama dari seluruh dunia. Saya sedar luka dan perbezaan boleh diselesaikan dan disembuhkan apabila kita hormati Tuhan, Bapa kita, dan Yesus Kristus, Putera-Nya. Penyembuh Agung dari semuanya ialah Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus.

Saya ada detik menarik semasa menutup ucapan saya. Tujuh orang pembicara sebelumnya belum menutup dalam apa-apa cara tradisi iman atau dalam nama Tuhan. Semasa saya bercakap, saya berfikir, “Adakah saya hanya ucapkan terima kasih dan duduk, atau adakah saya menutup ‘dalam nama Yesus Kristus’?” Saya teringat siapa diri saya, dan saya tahu Tuhan mahu saya ucapkan nama-Nya untuk menyimpulkan pesanan saya. Jadi saya lakukan demikian. Mengimbas kembali, ini peluang saya untuk nyatakan kepercayaan saya; dan saya ada kebebasan agama untuk berikan kesaksian saya tentang nama kudus-Nya.

Ketiga. Agama mengilhami orang untuk bantu orang lain.

Apabila agama diberi ruang dan kebebasan untuk berkembang, penganut lakukan tindakan pelayanan yang mudah dan kadang-kala berani. Ungkapan Yahudi kuno “tikkun olam,” bermaksud “untuk membaiki atau menyembuhkan dunia,” dicerminkan hari ini dalam usaha ramai orang. Kami telah bekerjasama dengan Catholic Charities, dikenali sebagai Caritas Internationalis, Islamic Relief, dan mana-mana organisasi Yahudi, Hindu, Buddha, Sikh dan Kristian seperti Salvation Army dan National Christian Foundation. Bersama kita melayani berjuta-juta yang memerlukan, terkini membantu pelarian perang dengan khemah, beg tidur dan bekalan makanan,20 dan menyediakan vaksin, termasuk polio21 dan COVID.22 Senarai usaha itu panjang, tetapi begitu juga dengan keperluan.

Tidak ragu, orang yang beriman, bekerja bersama, boleh membuat campur tangan yang ketara. Pada masa yang sama, pelayanan satu demi satu sering kali tidak dijangka tetapi secara senyap mengubah hidup.

Saya fikirkan teladan dalam Lukas apabila Yesus Kristus menjangkau kepada balu Nain. Yesus, ditemani sekumpulan pengikut, tiba di perarakan pengebumian anak tunggal balu itu. Tanpa anaknya, dia hadapi keruntuhan emosi, rohani, dan juga kewangan. Yesus, melihat wajahnya yang berlinang air mata, berkata, “Janganlah menangis.”23 Kemudian Dia menyentuh usungan membawa tubuh itu, dan perarakan berhenti.

“Hai anak muda,” Dia perintahkan, “Aku menyuruh kamu bangun.

“Pemuda yang dihidupkan semula itu duduk dan mula bercakap. Lalu pemuda itu diserahkan oleh [Yesus] kepada ibunya.”24

Membangkitkan orang mati adalah satu mukjizat, tetapi setiap tindakan kebaikan dan keprihatinan terhadap seseorang yang bergelut adalah jalan perjanjian yang setiap kita boleh “[pergi] serata tempat untuk berbuat baik” dan tahu “Tuhan menyertai [kita].”25

Dan keempat. Kebebasan agama bertindak sebagai kuasa penyatuan dan penghimpun untuk bentuk nilai dan moral.

Dalam Perjanjian Baru kita baca ramai yang berpaling daripada Yesus Kristus, merungut tentang ajaran-Nya, “Ajaran ini terlalu sukar; Siapakah dapat menerimanya”26

Seruan itu masih kedengaran hari ini dari mereka yang berusaha untuk lucutkan agama dari wacana dan pengaruh. Jika agama tidak ada untuk bantu bentuk watak dan menjadi pengantara masa sukar, siapa lagi? Siapakah yang akan ajar kejujuran, kesyukuran, keampunan, dan kesabaran? Siapakah yang akan pamerkan kasih ihsan, rasa kasihan, dan kebaikan hati bagi orang dilupakan dan yang tertindas? Siapakah yang akan memeluk mereka yang berbeza namun layak seperti semua anak Tuhan? Siapakah yang akan buka tangan mereka kepada orang yang memerlukan dan tidak mencari ganjaran? Siapakah yang akan hormati kedamaian dan kepatuhan pada hukum-hukum yang lebih besar daripada aliran dunia? Siapakah yang akan jawab mohonan Juruselamat “Pergilah dan berbuatlah demikian”?27

Kita akan lakukannya! Ya, saudara dan saudari, kita akan lakukannya.

Saya jemput anda untuk memperjuangkan tujuan kebebasan agama. Ia adalah satu pernyataan tentang asas hak pilihan yang Tuhan berikan.

Kebebasan agama bawa keseimbangan kepada falsafah yang bersaing. Kebaikan agama, jangkauannya, dan tindakan harian kasih yang agama ilhami hanya bertambah apabila kita lindungi kebebasan untuk bersuara dan bertindak atas teras kepercayaan.

Saya bersaksi yang Russell M. Nelson adalah nabi Tuhan. Saya bersaksi Yesus Kristus pimpin dan bimbing Gereja ini. Dia menebus dosa-dosa kita, disalibkan di atas salib, dan dibangkitkan pada hari ketiga.28 Kerana Dia, kita dapat hidup lagi di keabadian; dan mereka yang berhasrat demikian dapat bersama Bapa di Syurga kita. Kebenaran ini saya isytiharkan kepada seluruh dunia. Saya bersyukur atas kebebasan untuk berbuat demikian. Dalam nama Yesus Kristus, amin.