Kedamaian Kristus Memansuhkan Permusuhan
Apabila kasih Kristus menyelubungi hidup kita, kita menghadapi perselisihan dengan kelembutan hati, kesabaran dan kebaikan hati.
Saudara dan saudari yang dikasihi, semasa ujian tekanan senaman dijalani, jantung akan bertindak balas menurut perubahan senaman. Jantung yang boleh mengawal ketika berjalan mungkin bergelut untuk menyokong keperluan badan ketika berlari naik bukit. Dengan cara ini, ujian tekanan boleh mengungkapkan penyakit tersembunyi yang tidak nyata. Sebarang isu yang dikenal pasti boleh dirawat sebelum masalah serius berlaku dalam kehidupan harian.
Pandemik COVID-19 sudah tentunya menjadi satu ujian tekanan global! Ujian ini telah menunjukkan keputusan bercampur. Vaksin yang selamat dan berkesan telah diciptakan.1 Pekerja perubatan, guru-guru, pengasuh, dan ramai lagi dengan tabah berkorban—dan berterusan demikian. Ramai yang telah menunjukkan kemurahan hati dan kebaikan hati—dan berterusan demikian. Namun, kelemahan yang tersembunyi telah dinyatakan. Individu-individu yang lemah telah menderita—dan berterusan demikian. Mereka yang berusaha menangani ketidaksetaraan ini harus digalakkan dan disyukuri.
Pandemik ini juga merupakan ujian tekanan rohani bagi Gereja Juruselamat dan ahli-ahlinya. Hasilnya juga bercampur aduk. Kehidupan kita telah diberkati dengan melayani dalam “cara yang lebih tinggi dan lebih kudus,”2 kurikulum Ikutlah Aku dan pembelajaran injil yang berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Ramai yang telah memberikan bantuan dan penghiburan yang berbelas kasihan pada ketika yang sukar ini dan berterusan demikian.3
Namun, dalam sesetengah keadaan, ujian tekanan rohani telah menunjukkan kecenderungan terhadap pertikaian dan pembahagian. Ini mencadangkan bahawa kita perlu mengubah hati kita dan bersatu sebagai pengikut sejati Juruselamat. Ini bukanlah cabaran baru, tetapi adalah satu cabaran yang kritikal.4
Apabila Juruselamat mengunjungi bangsa Nefi, Dia mengajar, “Tidak akan ada perselisihan di antara kamu. … Dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain.”5 Apabila kita bertikai dengan satu sama lain dalam kemarahan, Setan ketawa dan Tuhan di syurga menangis.6
Setan ketawa dan Tuhan menangis kerana dua sebab. Pertama, pertikaian melemahkan kesaksian kolektif kita kepada dunia bahawa Yesus Kristus dan penebusan yang datang melalui “jasa, … belas kasihan, dan rahmat”-Nya.7 Juruselamat berfirman, “Aku berikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. … Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”8 Sebaliknya juga benar—semua orang tahu bahawa kita bukan pengikut-Nya apabila kita enggan menunjukkan kasih kepada satu sama lain. Pekerjaan zaman akhir-Nya terjejas apabila pertikaian atau permusuhan9 wujud di kalangan para pengikut-Nya.10 Kedua, pertikaian adalah tidak baik secara rohani bagi kita sebagai individu. Kita kehilangan kedamaian, kebahagiaan, peristirahatan dan keupayaan kita untuk merasai Roh terjejas.
Yesus Kristus menjelaskan bahawa ajaran-Nya bukanlah “untuk menghasut hati manusia dengan kemarahan, antara satu sama lain; tetapi ajaran-Nya [adalah] bahawa hal-hal seperti itu haruslah dihentikan.”11 Jika saya cepat tersinggung, marah atau kritis terhadap perbezaan pendapat, saya “gagal” ujian tekanan rohani. Kegagalan ujian ini tidak bermaksud saya tiada harapan. Tetapi ia menunjukkan bahawa saya perlu berubah. Dan itu berita baik.
Selepas kunjungan Juruselamat ke Benua Amerika, orang ramai bersatu; “tidak ada pertikaian di atas seluruh negeri tersebut.”12 Adakah orang ramai bersatu kerana mereka semuanya setara, atau kerana mereka tidak mempunyai perbezaan pendapat? Saya rasa tidak. Sebaliknya, pertikaian dan permusuhan lenyap kerana mereka mengutamakan penganutan mereka terhadap Juruselamat. Perbezaan mereka tidak penting apabila dibandingkan dengan perkongsian kasih mereka dengan Juruselamat, dan mereka bersatu sebagai “pewaris kerajaan Tuhan.”13 Hasilnya ialah “tidak terdapat orang yang lebih bahagia … yang telah diciptakan oleh tangan Tuhan.”14
Perpaduan memerlukan usaha.15 Ia berkembang apabila kita memupuk kasih Tuhan dalam hati16 dan kita bertumpu kepada takdir abadi kita.17 Kita disatukan oleh identiti utama kita sebagai anak-anak Tuhan18 dan komitmen kita kepada kebenaran injil yang dipulihkan. Maka, kasih kita kepada Tuhan dan penganutan Yesus Kristus menghasilkan keprihatinan yang ikhlas terhadap orang lain. Kita menghargai kepelbagaian sifat, perspektif dan bakat orang lain.19 Jika kita tidak dapat mengutamakan penganutan kita kepada Yesus Kristus melebihi minat dan pandangan peribadi, kita harus mengkaji semula keutamaan kita dan berubah.
Kita mungkin cenderung untuk berkata, “Sudah tentunya kita boleh mempunyai perpaduan—hanya jika kamu bersetuju dengan saya!” Pendekatan yang lebih baik adalah untuk bertanya, “Apakah yang boleh saya lakukan untuk memelihara perpaduan? Bagaimana saya boleh bantu orang ini lebih mendekati Kristus? Apakah yang boleh saya lakukan untuk kurangkan pertikaian dan membina komuniti Gereja yang berbelas kasihan dan penuh kasih?”
Apabila kasih Kristus menyelubungi hidup kita,20 kita hadapi perselisihan dengan kelembutan hati, kesabaran, dan kebaikan hati.21 Kita tidak pentingkan perasaan sendiri malah lebih kepada perasaan orang lain. Kita “berusaha untuk mereda dan menyatukan.”22 Kita tidak terlibat dalam “[per]tengkar[an] … pendirian peribadi,” menghakimi mereka yang tidak bersetuju, atau cuba menyebabkan mereka tersandung.23 Sebaliknya, kita menganggap bahawa mereka yang bercanggah dengan kita sedang bertindak sebaik mungkin berdasarkan pengalaman hidup yang mereka miliki.
Isteri saya telah bekerja sebagai peguam lebih 20 tahun. Sebagai seorang peguam, dia sering bekerja bersama orang yang berbeza pandangan. Namun dia belajar untuk tidak bersetuju dengan sopan tanpa berasa marah. Dia mungkin berkata kepada penasihat bertentangan, “Nampaknya kita tidak akan bersetuju tentang isu ini. Saya suka kamu. Saya menghormati pendapat kamu. Saya berharap anda boleh berikan saya budi bahasa yang sama.” Sering kali, ini membenarkan penghormatan dan juga persahabatan walaupun perbezaan pendapat.
Bahkan bekas musuh boleh bersatu dalam penganutan mereka terhadap Juruselamat.24 Pada tahun 2006, saya hadiri pembaktian Bait Suci Helsinki Finland untuk menghormati ayah dan datuk nenek saya yang merupakan penganut awal Gereja di Finland. Rakyat Finland, termasuk bapa saya, telah memimpikan sebuah bait suci di Finland selama beberapa dekad. Pada masa itu, daerah bait suci merangkumi Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Belarus dan Rusia.
Di pembaktian itu, saya belajar sesuatu yang mengejutkan. Hari pertama bait suci beroperasi telah dikhaskan bagi ahli-ahli Rusia untuk melaksanakan tatacara-tatacara bait suci. Sukar untuk menjelaskan betapa mengagumkan peristiwa ini. Rusia dan Finland telah berperang selama berabad-abad. Ayah saya tidak mempercayai dan menyukai bukan sahaja negera Rusia bahkan semua orang Rusia. Dia telah menyatakan perasaannya dengan bersemangat, dan perasaannya serupa perasaan ramai orang Finland terhadap Rusia. Dia telah menghafal puisi-puisi epik yang menceritakan peperangan abad ke-19 di antara negara Finland dan Rusia. Pengalamannya semasa Perang Dunia Kedua, ketika Finland dan Rusia sekali lagi bermusuhan, tidak melakukan apa-apa untuk mengubah pendapatnya.
Setahun sebelum pembaktian Bait Suci Helsinki Finland, jawatankuasa bait suci, yang khasnya terdiri daripada ahli-ahli Finland, bertemu untuk membincangkan rancangan pembaktian. Semasa pertemuan itu, seseorang berkata bahawa Orang Suci Rusia akan melakukan perjalanan beberapa hari untuk menghadiri pembaktian dan mungkin berharap untuk menerima berkat-berkat bait suci mereka sebelum pulang ke Rusia. Pengerusi jawatankuasa, Brother Sven Eklund, mencadangkan bahawa orang Finland boleh menunggu sedikit, dan orang Rusia menjadi golongan pertama untuk melaksanakan tatacara-tatacara di bait suci. Semua ahli majlis bersetuju. Orang Suci Zaman Akhir Finland yang beriman menangguhkan berkat bait suci mereka untuk Orang Suci Rusia.
Presiden Kawasan yang hadir mesyuarat jawatankuasa bait suci itu, Elder Dennis B. Neuenschwander, kemudian menulis: “Saya amat bangga dengan orang Finland pada hari itu. Sejarah Finland yang rumit dengan jiran timurnya … dan kegembiraan mereka kerana akhirnya [sebuah bait suci] didirikan di atas tanah mereka sendiri diketepikan. Mengizinkan orang Rusia memasuki bait suci terdahulu [ialah] satu penyataan kasih dan pengorbanan.”25
Apabila saya melaporkan kebaikan hati ini kepada ayah saya, hatinya lebur dan dia menangis, satu kejadian yang jarang berlaku bagi ayah saya, seorang Finland yang tabah. Sejak itu sehingga kematiannya tiga tahun kemudian, dia tidak pernah menyatakan satu lagi sentimen negatif tentang Rusia. Diilhami oleh teladan ahli Finland lain, ayah saya memilih untuk mengutamakan penganutan Yesus Kristus daripada segala pertimbangan lain. Orang Finland masih orang Finland; orang Rusia masih orang Rusia; tiada yang meninggalkan budaya, sejarah atau pengalaman mereka untuk menghapuskan permusuhan. Mereka tidak perlu. Sebaliknya, mereka memilih untuk menjadikan penganutan Yesus Kristus pertimbangan utama mereka.26
Jika mereka boleh melakukannya, kita juga boleh. Kita boleh membawa warisan, kebudayaan dan pengalaman kita kepada Gereja Yesus Kristus. Samuel tidak malu akan warisannya sebagai seorang bangsa Laman,27 dan Mormon tidak malu sebagai seorang bangsa Nefi.28 Tetapi masing-masing mengutamakan penganutan-Nya kepada Juruselamat.
Jika kita tidak bersatu, kita bukan milik-Nya.29 Saya menjemput anda untuk berani dalam mengutamakan kasih kita kepada Tuhan dan penganutan kepada Juruselamat.30 Marilah kita menegakkan perjanjian yang wujud dalam penganutan kita—perjanjian untuk bersatu.
Marilah kita mengikut teladan Orang Suci dari seluruh dunia yang telah berjaya menjadi pengikut Kristus. Kita boleh bergantung kepada Yesus Kristus, yang merupakan “kedamaian untuk kita, yang … telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan [kita]; memansuhkan [permusuhan melalui korban tebusan-Nya].”31 Kesaksian kita tentang Yesus Kristus kepada dunia akan diperkuatkan, dan kita akan kekal sihat secara rohani.32 Saya bersaksi bahawa apabila kita “menjauhi pertikaian” dan “berfikiran sama dengan Tuhan dengan kasih dan bersatu dengan Dia dalam iman,” kedamaian-Nya akan menjadi kedamaian kita,33 Dalam nama Yesus Kristus, amin.