Iman untuk Bertindak dan Menjadi
Melalui doa, kajian tulisan suci, dan bertindak, kita dapat berkat-berkat syurga dan menjadi pengikut Juruselamat Yesus Kristus yang lebih baik.
Selepas dipanggil sebagai Penguasa Umum Tujuh Puluh, saya berpeluang bertemu dengan Presiden Russell M. Nelson hanya beberapa minit. Ia pertemuan di kafeteria yang tidak dirancang, dan nabi menjemput Elder S. Mark Palmer dan saya duduk makan bersamanya.
“Apakah yang kami bincangkan semasa makan tengah hari dengan nabi?” ialah fikiran yang datang ke minda saya. Jadi saya bertanya Presiden Nelson jika dia ada nasihat atau bimbingan kerana saya baru mula panggilan saya. Jawapannya mudah dan jelas; dia pandang kepada saya dan berkata, “Elder Schmeil, kamu dipanggil untuk apa yang kamu boleh menjadi.” Saya merenungkan apa yang Tuhan ingin saya menjadi. Semasa berfikir tentang ini, saya sedar Dia ingin saya menjadi suami, bapa, anak dan hamba yang lebih baik. Saya sedar semua ini boleh dicapai semasa saya berusaha untuk menjadi pengikut Juruselamat Yesus Kristus yang lebih baik.
Persidangan umum lepas, Presiden Nelson berkata, “Untuk melakukan apa-apa dengan baik memerlukan usaha. Menjadi pengikut sejati Yesus Kristus juga tidak terkecuali.”1 Presiden Nelson menjemput kita berusaha untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih baik. Dia beritahu kita bahawa untuk menjadi lebih seperti Juruselamat, kita perlu memperkuatkan iman kita dengan bertanya, bertindak, dan mengkaji, antara perkara-perkara lain.
1. Bertanya
Dia berkata, “Minta kepada Bapa Syurgawi anda, dalam nama Yesus Kristus, untuk bantuan.”2 Minta melalui doa ialah satu kunci untuk tahu bagaimana menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih baik.
Pada akhir pelayanan-Nya di kalangan bangsa Nefi di Benua Amerika, Yesus Kristus naik ke syurga. Kemudian, para pengikut-Nya berkumpul bersama, “bersatu di dalam doa yang membara dan berpuasa. Dan Yesus sekali lagi memperlihatkan diri-Nya kepada mereka, kerana mereka sedang berdoa kepada Bapa dalam nama-Nya.”3 Mengapakah Yesus menunjukkan Diri-Nya lagi kepada para pengikut-Nya? Kerana mereka berdoa; mereka bertanya.
Kemudian Dia teruskan:
“Dan sekarang, Aku pergi kepada Bapa. Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, apa pun juga yang akan kamu minta daripada Bapa dalam nama-Ku akan diberikan kepadamu.
“Oleh itu, mintalah, dan kamu akan menerima; ketuklah, dan akan dibukakan bagimu; kerana dia yang meminta, menerima; dan kepada dia yang mengetuk, akan dibukakan.”4
Kita perlu bertanya dengan iman untuk tahu kehendak Tuhan, dan menerima bahawa Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita.
2. Bertindak
Bertindak ialah satu lagi kunci penting untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih baik. Semasa kita bertindak, Dia akan membimbing dan mengarah kita. Saya pasti Nefi mencari bimbingan Tuhan untuk tahu cara dapatkan kepingan-kepingan loyang dari Laban, tetapi dia dan saudara-saudaranya mencuba dua kali tanpa berjaya. Tetapi mereka bertindak, dan Tuhan mengarah mereka. Akhirnya, Nefi berjaya pada kali ketiga. Dia berkata, “Aku dipandu oleh Roh, tidak tahu terlebih dahulu hal-hal yang aku patut laksanakan.”5
Inilah cara Tuhan bekerja semasa kita berusaha dan bertindak walaupun kita tidak ada kefahaman yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan. Tuhan memberitahu Nefi apa yang harus dilakukan: pergi dan dapatkan kepingan-kepingan itu. Tetapi Dia tidak beritahu Nefi bagaimana untuk melakukannya. Dia benarkan Nefi untuk fikir dan mencari bantuan Tuhan—dan ini kerap kali cara Tuhan bekerja dalam kehidupan kita. Apabila kita bertindak dengan iman, Tuhan membimbing dan mengarahkan kita.
3. Mengkaji
Di 3 Nefi, para pengikut beritahu Juruselamat bahawa terdapat perselisihan di kalangan orang ramai berkenaan nama Gereja. Juruselamat mengajar asas penting apabila Dia bertanya, “Adakah mereka tidak membaca tulisan suci?”6 Pengkajian ialah juga kunci penting untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih baik. Doa dan kajian tulisan suci bergandingan. Doa dan kajian tulisan suci bekerjasama demi manfaat kita. Inilah proses yang Tuhan tubuhkan. “Jamuilah diri dengan firman Kristus; kerana lihatlah, firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan.”7
Juruselamat juga mengajar bahawa kita bukan sahaja harus mengkaji tulisan suci tetapi juga mengajarkannya, seperti yang Dia tunjukkan kepada bangsa Nefi: “Dan sekarang, terjadilah bahawa apabila Yesus telah menjelaskan semua tulisan suci sekaligus, yang mereka telah tuliskan, Dia memerintahkan mereka agar mereka harus mengajarkan hal-hal yang telah Dia jelaskan kepada mereka.”8
Inilah salah satu sebab mengapa ia sangat penting bagi Nefi kembali dan dapatkan kepingan-kepingan loyang: keluarganya perlukan tulisan suci untuk bantu mereka ke negeri yang dijanjikan dan untuk bantu mereka mengajar anak-anak mereka. Kita juga mesti mencari bimbingan dari tulisan suci untuk perjalanan kita, dan kita mesti mengajar dari tulisan suci di rumah dan dalam panggilan Gereja kita.
4. Bertindak untuk Menjadi
Sering kali, jawapan doa tidak datang segera. Tetapi kita mesti beriman untuk teruskan, bertindak dalam kesolehan, dan gigih seperti Nefi ketika dia cuba dapatkan kepingan-kepingan loyang. Tuhan akan tunjukkan kita sedikit demi sedikit; semasa kita mengkaji tulisan suci, Tuhan akan memberi kita jawapan atau kekuatan untuk satu hari lagi, satu minggu lagi, dan untuk cuba lagi. Elder Richard G. Scott berkata: “Bersyukurlah kadangkala Tuhan membenarkan anda berjuang untuk masa yang lama sebelum jawapan itu datang. Itu membuat iman anda bertambah dan perwatakan anda berkembang.”9
Melalui doa dan kajian tulisan suci, Tuhan sentiasa memberi saya kekuatan untuk bertindak dan bertahan satu hari lagi, satu minggu lagi dan cuba sekali lagi. Sering kali, jawapannya tidak datang segera. Ada soalan yang belum dijawab, tetapi saya terus bertanya dan mengkaji, dan saya gembira bahawa Tuhan terus memberi saya kekuatan untuk bertindak semasa saya menunggu jawapan.
Elder Scott juga berkata, “Semasa anda berjalan ke sempadan kefahaman anda ke dalam ketidakpastian, menjalankan iman, anda akan dibimbing untuk mencari penyelesaian yang anda tidak akan dapatkan sebaliknya.”10
Menjadi pengikut Juruselamat Yesus Kristus yang lebih baik ialah sebuah perjalanan sepanjang hidup, dan kita semua di peringkat dan langkah yang berbeza. Kita mesti ingat bahawa ini bukan persaingan, dan kita berada di sini untuk kasihi dan membantu satu sama lain. Kita perlu bertindak untuk membolehkan Juruselamat bekerja bersama dengan kita dalam kehidupan kita.
Tuhan berfirman kepada Sidney Rigdon: “Aku telah melihat engkau dan pekerjaanmu. Aku telah mendengar doa-doamu, dan menyediakan engkau untuk sebuah pekerjaan yang lebih besar.”11 Saya bersaksi bahawa Tuhan mendengar dan menjawab doa-doa kita, Dia mengenali kita; Dia miliki pekerjaan yang besar untuk kita. Melalui doa, kajian tulisan suci, dan bertindak, kita dapat berkat-berkat syurga dan menjadi pengikut Juruselamat Yesus Kristus yang lebih baik.
Presiden Dallin H. Oaks mengajar bahawa “Penghakiman Terakhir bukan hanya penilaian suatu jumlah perbuatan baik dan jahat—apa yang kita telah lakukan. Ia pengakuan kesan terakhir daripada tindakan dan fikiran kita—apa yang kita telah menjadi.”12
Saya bersyukur untuk nabi, pelihat, dan pewahyu; mereka ialah para penjaga menara. Mereka lihat hal-hal yang kita tidak nampak. Saya bersaksi bahawa melalui kata-kata mereka, kita boleh menjadi pengikut Juruselamat Yesus Kristus yang lebih baik dan mencapai potensi kita. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup dan mengenali setiap kita secara individu. Inilah Gereja-Nya. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.