Persidangan Umum
Memberikan Kekudusan kepada Tuhan
Persidangan Umum Oktober 2021


10:16

Memberikan Kekudusan kepada Tuhan

Pengorbanan bukanlah tentang “melepaskan” malahan lebih kepada “memberi kepada” Tuhan.

Tahun lepas, semasa melayani dalam Presidensi Kawasan Utara Asia, saya terima panggilan telefon dari Presiden Russell M. Nelson menjemput saya untuk melayani sebagai Penasihat Kedua dalam Uskup Utama. Dia dengan sukacita menjemput isteri saya, Lori, untuk sertai perbualan itu. Selepas panggilan itu selesai, kami masih terpaku ketika isteri saya bertanya, “Apakah tugas Uskup Utama?” Selepas merenung seketika, saya menjawab, “Saya tidak tahu dengan tepat!”

Setahun kemudian—dan selepas kerendahan hati dan kesyukuran yang mendalam—saya boleh menjawab soalan isteri saya dengan pemahaman yang lebih besar. Di antara banyak hal lain, Lembaga Uskup Utama mengawasi pekerjaan kebajikan dan kemanusiaan Gereja. Pekerjaan ini kini tersebar ke seluruh dunia dan memberkati lebih banyak anak-anak Tuhan daripada sebelumnya.

Sebagai Lembaga Uskup Utama, kami dibantu oleh kakitangan Gereja dan orang lain yang hebat, termasuk Presidensi Umum Lembaga Pertolongan, yang melayani bersama kami di Jawatankuasa Eksekutif Kebajikan dan Keberdikarian Gereja. Sebagai keahlian dalam jawatankuasa itu, Presidensi Utama dan Sister Eubank, yang berucap kepada kita semalam, meminta saya untuk kongsi kepada anda kemas kini tentang usaha kemanusiaan Gereja baru-baru ini. Mereka juga meminta kami mengucapkan kesyukuran yang mendalam—kerana, saudara dan saudari, anda yang telah memungkinkan usaha kemanusiaan itu.

Sumbangan Kemanusiaan
Sumbangan kemanusiaan tambahan

Apabila memerhati kesan awal krisis COVID-19 di seluruh dunia, kami boleh dengan mudah mengharapkan pengurangan sumbangan kewangan yang para Orang Suci dapat berikan. Lagipun, ahli-ahli kita sendiri tidak kebal dari pandemik ini. Bayangkan perasaan kami apabila kami lihat yang sebaliknya! Sumbangan kemanusiaan pada tahun 2020 ternyata adalah yang tertinggi—dan bahkan lebih tinggi tahun ini. Kerana kemurahan hati anda, Gereja dapat laksanakan bantuan yang paling besar sejak penubuhan Tabung Kemanusiaan, iaitu lebih dari 1,500 projek bantuan COVID di lebih dari 150 negara. Sumbangan yang anda berikan kepada Tuhan, telah disalurkan kepada makanan yang menyokong hidup, oksigen, bekalan perubatan dan pemberian vaksin bagi mereka yang mungkin akan meninggal dunia tanpanya.

Orang pelarian
Orang pelarian
Orang pelarian

Yang sama penting seperti sumbangan barangan ialah pencurahan masa dan tenaga besar yang ahli-ahli Gereja dermakan kepada tujuan kemanusiaan. Bahkan semasa pandemik memburuk, bencana alam, konflik sivil, dan ketidakstabilan ekonomi tidak henti-henti dan terus mengusir berjuta-juta orang dari rumah mereka. Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan terdapat lebih daripada 82 juta orang yang telah menjadi pelarian di dunia.1 Tambahan berjuta-juta yang lain pilih untuk larikan diri dari kemiskinan atau penindasan untuk mencari hidup yang lebih baik untuk diri mereka atau anak-anak, dan anda boleh lihat sekilas situasi global ini.

Saya sukacita ucapkan kesyukuran untuk masa sukarela dan bakat yang banyak, Gereja mengendalikan pusat-pusat perlindungan dan imigran di beberapa lokasi di Amerika Syarikat dan Eropah. Syukur atas sumbangan anda, kami dapat menyediakan barangan, pembiayaan, dan sukarelawan untuk bantu program-program serupa yang dijalankan oleh organisasi lain di seluruh dunia.

Saya sampaikan kesyukuran yang tulus ikhlas kepada Orang Suci yang telah menolong untuk memberi makan, pakaian dan berkawan dengan pelarian-pelarian ini agar mereka boleh berdiri dan berdikari.

Petang semalam, Sister Eubank berkongsi dengan anda beberapa usaha Orang Suci dalam hal ini. Semasa renungkan usaha-usaha ini, fikiran saya berpaling kepada asas pengorbanan dan kaitan asas ini dengan dua perintah utama iaitu mengasihi Tuhan dan mengasihi sesama manusia.

Dalam penggunaan moden, istilah pengorbanan telah dihubungkan dengan konsep “melepaskan” hal-hal bagi Tuhan dan kerajaan-Nya. Bagaimanapun, pada zaman dulu, perkataan pengorbanan lebih terikat kepada dua akar Latin: sacer, bermaksud “kudus” atau “suci”, dan facere, bermaksud “untuk membuat.”2 Jadi, pengorbanan dahulu bermaksud “untuk menjadikan sesuatu atau seseorang kudus.”3 Apabila diteliti, pengorbanan ialah satu proses menjadi kudus dan mengenali Tuhan, bukanlah peristiwa atau upacara “melepaskan” hal-hal untuk Tuhan.

Tuhan berfirman, “Aku lebih ingin [kasih ihsan] daripada kamu mempersembahkan korban kepada-Ku. [Dan] mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku.”4 Tuhan mahu kita menjadi kudus,5 untuk memiliki kasih ihsan,6 dan untuk mengenali Dia.7 Seperti Rasul Paulus ajarkan, “Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku.”8 Akhirnya, Tuhan mahu hati kita; Dia mahu kita menjadi manusia baru dalam Kristus.9 Seperti Tuhan perintahkan bangsa Nefi, “Kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal.”10

Kekudusan kepada Tuhan

Pengorbanan tidak tentang “melepaskan” dan lebih kepada “memberi kepada” Tuhan. Diukir di pintu masuk setiap bait suci kita adalah perkataan “Kekudusan bagi Tuhan; Rumah Tuhan.” Semasa kita mematuhi perjanjian kita dengan pengorbanan, kita dijadikan kudus melalui rahmat Yesus Kristus; dan di mazbah-mazbah bait suci, dengan hati yang hancur dan roh yang menyesal, kita memberikan kekudusan kepada Tuhan. Elder Neal A. Maxwell ajarkan: “Menyerahkan kehendak seseorang [atau hati11] adalah satu-satunya hal peribadi yang kita perlu letakkan di atas altar Tuhan. … Apabila kita akhirnya menyerahkan diri, dengan membiarkan kehendak kita ditelan dalam kehendak Tuhan, maka kita benar-benar memberi sesuatu kepada-Nya!”12

Apabila pengorbanan kita bagi pihak orang lain dipandang dari perspektif “melepaskan,” kita mungkin melihatnya sebagai beban dan menjadi kecewa apabila pengorbanan kita tidak lihat atau diberi ganjaran. Tetapi, apabila dilihat dari perspektif “memberi kepada” Tuhan, pengorbanan kita bagi orang lain menjadi kurnia, dan sukacita pemberian yang murah hati menjadi ganjaran. Bebas dari keperluan untuk kasih, kelulusan, atau penghargaan orang lain, pengorbanan kita menjadi ungkapan yang paling murni dan mendalam tentang kesyukuran dan kasih kita terhadap Juruselamat dan sesama manusia. Sebarang pengorbanan diri yang angkuh berikan laluan kepada kesyukuran, kemurahan hati, perselisihan, dan kegembiraan.13

Sesuatu dijadikan kudus—sama ada ia adalah kehidupan kita, milik kita, masa kita, atau bakat kita—bukan hanya melepaskannya tetapi dengan membaktikannya14 kepada Tuhan. Pekerjaan kemanusiaan Gereja ialah satu kurnia. Ia adalah produk kolektif, sumbangan yang Orang Suci baktikan, adalah satu pernyataan kasih kita kepada Tuhan dan anak-anak-Nya.15

Sister Canfield bersama orang yang dilayani

Steve dan Anita Canfield ialah wakil Orang Suci Zaman Akhir seluruh dunia yang mengalami sendiri berkat perubahan memberi kepada Tuhan. Sebagai penginjil kebajikan dan keberdikarian, pasangan Canfield diminta untuk memberi bantuan di kem-kem pelarian dan pusat-pusat imigran di seluruh Eropah. Kerjaya Sister Canfield ialah seorang pereka dalaman berkelas dunia, diupah oleh pelanggan kaya untuk mencantikkan rumah mewah mereka. Tiba-tiba, dia rasa berada di dunia yang bertentangan semasa dia melayani di kalangan orang yang telah kehilangan hampir segalanya dari segi kepunyaan duniawi. Dalam katanya, dia berubah dari “pejalan kaki marmar kepada lantai tanah,” dan dengan itu dia menemui kepuasan yang tidak terhingga apabila dia dan suaminya mula berkawan—dan mengasihi dan memeluk—orang yang memerlukan penjagaan mereka.

Pasangan Canfield menyebut, “Kami tidak rasa seperti kami telah ‘melepaskan’ apa-apa untuk melayani Tuhan. Hasrat kami adalah ‘berikan kepada’ Dia masa dan tenaga kami untuk memberkati anak-anak-Nya dalam apa jua cara yang Dia lihat sesuai. Semasa kami bekerja bersama saudara dan saudari kami, sebarang penampilan luaran—perbezaan latar belakang atau keahlian—diketepikan, dan kami hanya melihat hati satu sama lain. Tidak ada kejayaan dalam kerjaya atau keuntungan yang boleh menyerupai pengalaman ini, melayani di kalangan anak-anak Tuhan yang rendah hati, memperkayakan kami.”

Kisah Canfields dan banyak lain seperti itu telah membantu saya menghargai lagu Sekolah Primer yang mudah tetapi mendalam.

“B’rilah,” kata riam,

Saat turun menghambur;

“Ku kecil tapi tempatku lalu

Jadi hijau dan subur.”

Ya, kita berbilangan kecil, tetapi semasa kita bersama-sama meluaskan pemberian kepada Tuhan dan sesama manusia; di mana pun kita pergi, hidup diperkayakan dan diberkati.

Rangkap ketiga lagu ini kurang dikenali tetapi diakhiri dengan jemputan penuh kasih ini:

“B’rilah,” kata Yesus,

Semua dapat memberi.

‘Tuk Tuhan dan sesama manusia,

S’perti riam memberi.16

Saudara dan saudari, semasa kita hidup untuk Tuhan dan orang lain dengan memberikan sumber kita, masa kita, dan bahkan diri kita sendiri, kita membuat dunia sedikit hijau, membuat anak-anak Tuhan lebih gembira, dan, dalam proses itu, menjadi lebih kudus.

Semoga Tuhan berkati anda dengan melimpah atas pengorbanan yang anda berikan kepada-Nya dengan rela.

Saya bersaksi Tuhan hidup. “Manusia Kekudusan adalah nama-Nya.”17 Yesus Kristus ialah Putera-Nya dan Dialah pemberi segala kurniaan yang baik.18 Semoga melalui rahmat-Nya dan pengorbanan pematuhan perjanjian kita dijadikan kudus dan sentiasa memberi lebih banyak kasih dan kekudusan kepada Tuhan.19 Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat “Global Trends: Forced Displacement in 2020,” laporan UNHCR, 18 Jun 2021, unhcr.org.

  2. Sacrifice (korban) diperoleh dari perkataan Latin sacrificium, yang digabung oleh perkataan latin sacer dan facereakar Latin menurut Kamus Merriam-Webster (lihat merriam-webster.com). Perkataan sacer bermaksud “kudus” atau “suci”, dan facere bermaksud membuat atau melakukan menurut Kamus Latin Bahasa Inggeris (lihat latin-english.com).

  3. Panduan Tulisan Suci, “Korban.” scriptures.ChurchofJesusChrist.org.

  4. Hosea 6:6; belas kasihan dalam Ibrani bermaksud “kasih ihsan” atau “kasih sayang.” Lihat juga Matius 9:10–13; 12:7.

  5. Lihat Imamat 11:44.

  6. Lihat Moroni 7:47.

  7. Lihat Mosia 5:13.

  8. 1 Korintus 13:3; lihat juga Mosia 2:21.

  9. Lihat 2 Korintus 5:17.

  10. 3 Nefi 9:20, penekanan ditambah; lihat juga ayat 19.

  11. Perkataan hati ditambahkan di sini sebagai sinonim untuk kehendak.

  12. Neal A. Maxwell, “Swallowed Up in the Will of the Father,” Ensign, Nov. 1995, 24; penekanan ditambah. Lihat juga Omni 1:26; Roma 12:1.

  13. Lihat Moroni 10:3.

  14. Consecrate (bakti) bermaksud untuk “mengisytiharkan atau menetapkannya sebagai kudus,” menurut Kamus Kampus Warisan America.

  15. Lihat Matius 22:36–40.

  16. “B’rilah,’ Kata Riam,” Buku Nyanyian Anak-anak,116.

  17. Musa 6:57.

  18. Lihat Moroni 10:18.

  19. Lihat Ajaran dan Perjanjian 97:8.