Mukjizat Injil Yesus Kristus
Saya tahu bahawa injil-Nya boleh membawa harapan, kedamaian, dan kebahagiaan, bukan sahaja sekarang, tetapi juga akan memberkati banyak orang lain dalam generasi akan datang.
Mabuhay! Saya bawa anda kasih dan senyuman mesra dari para Orang Suci Filipina. Tahun ini menandakan 60 tahun sejak para penginjil pertama tiba di pulau-pulau Filipina. Hari ini, terdapat 23 misi dan lebih daripada 800,000 ahli Gereja dalam 123 pancang. Sekarang ada tujuh bait suci yang beroperasi, dalam pembinaan, atau telah diumumkan. Ini benar-benar satu mukjizat. Kita menyaksikan pengabulan nubuat dalam 2 Nefi 10:21: “Agungnya janji-janji Tuhan kepada mereka yang berada di atas pulau-pulau di laut.”
Mukjizat ini juga merupakan pengabulan nubuat dalam doa Elder Gordon B. Hinckley di Manila pada tahun 1961. Dalam doa itu, Elder Hinckley kata: “Kami memohon berkat-Mu pada orang-orang di negeri ini, agar mereka jadi mesra dan ramah dan baik hati dan kepada mereka yang akan datang ke sini, dan bahawa banyak, ya, Tuhan, kami berdoa agar akan ada banyak, beribu-ribu orang yang akan menerima pesanan ini dan diberkati olehnya. Semoga Tuhan memberkati mereka dengan minda dan hati yang memahami, dan dengan iman untuk menerima, dan dengan keberanian untuk hidup asas-asas injil” (doa pembaktian di Perkuburan Perang Amerika, Filipina, 28 April 1961).
Di luar beribu-ribu Orang Suci Zaman Akhir yang beriman, mukjizat injil telah membawa perubahan positif kepada negara dan rakyatnya. Saya adalah saksi hidup ini. Saya berumur enam tahun ketika ibu bapa saya menyertai Gereja di pulau selatan Mindanao. Pada masa itu, hanya ada satu misi di seluruh negara, dan tiada pancang. Saya bersyukur untuk keberanian, dan ketekunan ibu bapa saya untuk mengikuti Juruselamat. Saya menghormati mereka dan semua perintis Gereja di Filipina. Mereka telah menyediakan jalan bagi generasi-generasi yang akan datang untuk diberkati.
Raja Benyamin dalam Kitab Mormon berkata: “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani” (Mosiah 2:41).
Apabila kita hidup dan mematuhi asas-asas dan tatacara-tatacara injil, kita diberkati, diubah, dan bertukar hati menjadi lebih seperti Yesus Kristus. Itulah cara injil mengubah dan memberkati para Orang Suci Filipina, termasuk keluarga saya. Injil benar-benar jalan ke kehidupan yang gembira dan bahagia.
Asas injil pertama ialah iman kepada Tuhan Yesus Kristus. Banyak orang Filipina mempunyai kepercayaan semula jadi kepada Tuhan. Ia mudah bagi kita untuk mempercayai Yesus Kristus dan tahu bahawa kita boleh terima jawapan kepada doa-doa kita.
Keluarga Obedoza adalah contoh yang baik. Brother Obedoza adalah presiden cabang saya ketika saya seorang pemuda. Hasrat terbesar Brother dan Sister Obedoza adalah untuk dimeteraikan kepada keluarga mereka di Bait suci Manila. Mereka tinggal di bandar General Santos, 1600 kilometer jauhnya dari Manila. Bagi keluarga sembilan orang, membuat perjalanan ke bait suci kelihatan mustahil. Tetapi seperti saudagar yang menjual segala miliknya untuk membeli mutiara yang sangat berharga (lihat Matius 13:45–46), pasangan ini memutuskan untuk menjual rumah mereka untuk membayar perjalanan itu. Sister Obedoza risau kerana mereka tiada rumah ketika kembali nanti. Tetapi Brother Obedoza meyakinkan dia bahawa Tuhan akan menyediakannya.
Mereka dimeteraikan sebagai keluarga untuk masa dan keabadian dalam bait suci pada tahun 1985. Di dalam bait suci mereka temui kebahagiaan yang tidak dapat dibandingkan—mutiara mereka yang tidak ternilai. Dan tepat seperti kata-kata Brother Obedoza, Tuhan telah menyediakan. Apabila mereka kembali dari Manila, kenalan-kenalan baik memberi mereka tempat tinggal dan akhirnya membeli rumah mereka. Tuhan menjaga mereka yang menunjukkan iman mereka kepada-Nya.
Asas injil kedua ialah pertaubatan. Pertaubatan adalah berpaling daripada dosa dan memandang kepada Tuhan untuk keampunan. Ia adalah perubahan minda dan hati. Presiden Russell M. Nelson mengajar, ia adalah “melakukan dan menjadi sedikit lebih baik setiap hari” (“Kita Boleh Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona, Mei 2019, 67).
Pertaubatan seperti sabun. Sebagai seorang jurutera kimia muda, saya bekerja di kilang sabun di Filipina. Saya belajar bagaimana untuk membuat sabun dan proses bagaimana ia berfungsi. Apabila anda mencampur minyak dengan alkali serta agen anti-bakteria, ia menjadi cecair kuat untuk membasmi bakteria dan virus Seperti sabun, pertaubatan adalah agen pembersih. Ia memberi kita peluang untuk menyingkirkan kekotoran dan serpihan lama kita, supaya kita jadi layak untuk bersama Tuhan, kerana “tiada apa pun yang tidak bersih dapat mewarisi kerajaan [Tuhan]” (Alma 11:37).
Melalui pertaubatan kita menggunakan kuasa pembersihan dan pengudusan Yesus Kristus. Ia adalah bahagian penting dalam proses penukaran hati. Inilah yang berlaku kepada orang Anti-Nefi-Lehi dalam Kitab Mormon. Mereka adalah bangsa Laman yang bertukar hati sepenuhnya sehingga mereka “tidaklah pernah jatuh” (lihat Alma 23:6–8). Mereka menanamkan senjata peperangan mereka dan tidak pernah mengangkatnya lagi. Mereka rela mati daripada tidak menepati perjanjian. Dan mereka membuktikannya. Kita tahu bahawa pengorbanan mereka membawa mukjizat; beribu-ribu orang yang melawan mereka membuang senjata mereka dan bertukar hati. Bertahun-tahun kemudian, anak-anak lelaki mereka, yang kita kenali sebagai askar teruna yang hebat, telah dilindungi dalam pertempuran!
Keluarga saya dan banyak Orang Suci Filipina mengalami proses penukaran hati yang serupa. Apabila kami menerima injil Yesus Kristus dan menyertai Gereja, kami mengubah cara dan budaya kami untuk selari dengan injil. Kami melepaskan tradisi yang salah. Saya melihat ini dalam bapa saya apabila dia belajar tentang injil dan bertaubat. Dia seorang perokok tegar, tetapi dia membuang rokoknya dan tidak pernah menyentuhnya lagi. Kerana keputusannya untuk berubah, empat generasi darinya telah diberkati.
Pertaubatan membawa kita untuk membuat dan mentaati perjanjian melalui tatacara-tatacara kudus. Tatacara keselamatan dan permuliaan pertama adalah pembaptisan melalui pencelupan untuk pengampunan dosa-dosa. Pembaptisan membolehkan kita menerima kurnia Roh Kudus dan membuat perjanjian dengan Tuhan. Kita boleh memperbaharui perjanjian pembaptisan kita setiap minggu apabila kita mengambil sakramen. Ini juga merupakan mukjizat!
Saudara dan saudari, saya menjemput anda untuk membawa mukjizat ini ke dalam hidup anda. Datanglah kepada Yesus Kristus dan pilih untuk menjalankan imanmu kepada-Nya, bertaubat, membuat dan mentaati perjanjian-perjanjian yang terdapat dalam tatacara-tatacara keselamatan dan permuliaan. Ini akan membenarkan anda dikuk dengan Kristus dan menerima kuasa dan berkat ketuhanan (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:20).
Saya bersaksi tentang realiti Yesus Kristus dan Dia hidup dan mengasihi kita semua. Saya tahu bahawa injil-Nya boleh membawa harapan, kedamaian, dan kebahagiaan, bukan sahaja sekarang, tetapi juga akan memberkati banyak orang lain dalam generasi akan datang. Itulah sebab senyuman indah dan mesra Orang Suci Filipina. Ia adalah mukjizat injil dan ajaran Kristus. Saya bersaksi semua ini dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.