Bersedia untuk Kedatangan Kedua Kristus
Kita diminta untuk berdepan realiti bahawa kita semakin dekat dengan Kedatangan Kedua Yesus Kristus.
Seperti yang dicatatkan dalam Kitab Mormon, enam tahun sebelum kelahiran Yesus Kristus, Samuel, seorang bangsa Laman yang soleh, bernubuat kepada bangsa Nefi yang telah menjadi bangsa yang murtad,1 tentang tanda yang akan menyertai kelahiran Juruselamat kita. Kebanyakan bangsa Nefi menolak tanda-tanda itu kerana ia “tidak masuk akal bahawa makhluk seperti Kristus [akan] datang.”2
Malangnya, menurut catatan tulisan suci, ramai orang Yahudi, dalam cara yang sama, tidak dapat terima bahawa Yesus, dari jajahan Galilea yang kecil, sememangnya adalah Mesias yang telah lama ditunggu.3 Yesus, yang datang untuk menggenapi nubuat para nabi Ibrani, telah ditolak dan bahkan disalibkan kerana, seperti yang Nabi Yakub dalam Kitab Mormon ajarkan, orang Yahudi “memandang melampaui sasaran.” Yakub bersaksi“Tuhan telah mengambil kejelasan-Nya daripada mereka, dan menyampaikan kepada mereka banyak hal yang tidak dapat mereka faham, kerana mereka menghasratkannya. Dan kerana mereka menghasratkannya Tuhan telah melakukannya, agar mereka boleh tersandung.”4
Tiada pengajaran, tiada mukjizat, dan bahkan tiada kemunculan malaikat syurgawi, seperti yang Laman dan Lemuel saksikan,5 yang berkuasa untuk meyakinkan individu untuk mengubah jalan, pandangan, atau kepercayaan mereka bahawa sesuatu itu adalah benar. Ini terjadi apabila ajaran atau mukjizat tidak selari dengan hasrat, keinginan, atau idea seseorang.
Sila bandingkan dua tulisan suci berikut, yang pertama dari Rasul Paulus berbicara tentang zaman akhir, menerangkan cara manusia dan yang kedua dari nabi Alma menunjuk cara Tuhan mengusahakan kerja-Nya dikalangan manusia. Pertama dari Paulus:
“Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan.
“Manusia akan mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak … menghina dan melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih dan tidak mahu mengenal Tuhan.
“… tidak mengasihi sesama manusia, tidak berbelas kasihan, suka mengumpat, … keganasan; … kejam dan benci akan kebaikan.
“… suka berkhianat, tidak berfikir panjang dan sombong … menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan.
“… selalu ingin belajar tetapi tidak dapat mengetahui ajaran yang benar itu.”6
Alma menyatakan asas penting injil Yesus Kristus: “Sekarang, kamu boleh mengira bahawa ini kebodohan dalam diriku; tetapi lihatlah aku berkata kepadamu, bahawa melalui hal-hal yang kecil dan sederhana hal-hal besar didatangkan; dan cara-cara yang kecil dalam banyak perkara memalukan yang bijak.”7
Kita hidup dalam dunia moden yang penuh dengan pengetahuan besar dan hebat. Namun, hal-hal ini sering ada landasan yang tidak kukuh yang di atasnya ia dibina. Oleh itu, ia tidak membawa kepada kebenaran sejati dan ke arah Tuhan dan kuasa untuk menerima wahyu, memperoleh pengetahuan rohani, dan mengembangkan iman kepada Yesus Kristus yang membawa kepada keselamatan.8
Kita diingatkan tentang firman Tuhan kepada Tomas dan para Rasul lain pada malam Korban Tebusan-Nya: “Yesus menjawab, Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.”9
Bagi mereka yang ada mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, dan hati untuk rasa, kita diminta untuk berdepan realiti bahawa kita semakin dekat dengan Kedatangan Kedua Yesus Kristus. Kesukaran hebat menunggu mereka yang di bumi pada kepulangan-Nya, namun, mereka yang beriman tidak perlu takut.
Sekarang saya memetik dari Topik Injil Gereja di bawah tajuk “Kedatangan Kedua Yesus Kristus”:
“Apabila Juruselamat datang lagi, Dia akan datang dalam kuasa dan kemuliaan untuk menuntut bumi sebagai kerajaan-Nya. Kedatangan Kedua-Nya akan menandakan permulaan Zaman Seribu Tahun.
“Kedatangan Kedua menakutkan dan dukacita bagi yang jahat, tetapi ia akan menjadi hari kedamaian bagi yang soleh. Tuhan mengisytiharkan:
“Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, tetapi akan bertahan pada hari itu.
“Dan bumi akan diberikan kepada mereka untuk diwarisi; dan mereka akan beranak cucu dan menjadi kuat, dan anak-anak mereka akan membesar tanpa dosa pada keselamatan.
“‘Kerana Tuhan akan berada di tengah-tengah mereka, dan kemuliaan-Nya akan berada di atas diri mereka, dan Dia akan menjadi raja mereka dan pemberi hukum mereka’ (Ajaran dan Perjanjian 45:57–59).”10
Untuk persediaan Kedatangan Kedua Yesus Kristus, saya berikan peringatan penting dan menghiburkan untuk mereka yang setia, dipetik dari nabi Amos Perjanjian Lama: “Tuhan Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya.”11
Dalam roh ini, nabi Tuhan, Presiden Russell M. Nelson, telah memberi kita nasihat yang mengilhamkan ini: “Injil Yesus Kristus adalah injil pertaubatan. Oleh kerana Korban Tebusan Juruselamat, injil-Nya memberi jemputan untuk terus berubah, berkembang, dan menjadi lebih suci. Ia adalah injil harapan, kesembuhan, dan kemajuan. Jadi, injil adalah pesanan sukacita! Roh kita bersukacita dengan setiap langkah kecil ke hadapan yang kita ambil.”12
Saya bersaksi dan membuktikan realiti Tuhan dan mukjizat-mukjizat dalam kehidupan seharian banyak orang dari kehidupan yang sederhana dan tinggi. Sememangnya, banyak pengalaman kudus jarang diucapkan, ini disebabkan kekudusannya dan mungkin mengakibatkan cemuhan orang-orang yang tidak tahu.
Dalam hal ini, nabi terakhir Kitab Mormon, Moroni, mengingatkan kita:
“… aku berbicara kepadamu yang menafikan wahyu-wahyu Tuhan, dan berkata bahawa ianya telah diakhiri, bahawa tidak ada wahyu, dan juga nubuat, dan juga kurniaan, dan juga penyembuhan, dan juga berbicara dengan bahasa-bahasa, dan penterjemahan bahasa-bahasa;
“Lihatlah aku berkata kepadamu, dia yang menafikan hal-hal ini tidak mengetahui Injil Kristus; ya, dia belum membaca tulisan suci; jika demikian, dia tidak memahaminya.
“Kerana bukankah kita membaca bahawa Tuhan ialah sama kelmarin, hari ini, dan selamanya, dan di dalam Dia tidak ada yang berubah-ubah dan juga tiada bayangan perubahan?”13
Saya akhiri ucapan saya dengan pengisytiharan kenabian dari Nabi Joseph Smith, sewaktu akhir pelayanannya ketika dia menantikan Kedatangan Kedua Yesus Kristus: “Tidakkah kita akan meneruskan dalam tujuan yang sedemikian besar? Majulah dan janganlah mundur. Beranilah, saudara [dan saudari]; dan maju, majulah menuju kemenangan! Biarlah hatimu bersukacita, dan menjadi amat gembira.”14 Saya menambah saksi saya dalam nama Yesus Kristus, amin.