Saya Berdoa Dia Akan Gunakan Kita
Usaha kecil secara kolektif akan beri kesan yang besar, mengembangkan banyak hal individu yang kita lakukan sebagai pengikut Yesus Kristus.
Biskut dibuat daripada doh phyllo dan kacang pistachio ini adalah tanda terima kasih. Ia dibuat oleh keluarga Kadado yang, selama berdekad, memiliki tiga kedai roti di Damsyik, Siria. Apabila peperangan tercetus, satu sekatan hentikan makanan dan bekalan dari sampai ke bahagian mereka di kota itu. Keluarga Kadado mula kebuluran. Pada kemuncak situasi terdesak ini, Latter-day Saint Charities dan beberapa kakitangan yang berani di Rahma Worldwide mula beri makanan panas setiap hari, bersama dengan susu untuk kanak-kanak kecil. Selepas masa yang sukar, keluarga itu mulakan kehidupan mereka—dan juga kedai roti mereka—sekali lagi di negara baharu.
Baru-baru ini, sebuah kotak biskut tiba di pejabat Gereja dengan pesanan berikut: “Selama lebih dari dua bulan, kami dapat makanan dari dapur Rahma–Latter-day Saint [Charities]. Tanpa ia kita akan kebuluran sampai mati. Sila terima ini … contoh dari kedai saya sebagai satu lambang kesyukuran yang kecil. Saya meminta Tuhan Maha Kuasa memberkati kamu … dalam segala yang kamu lakukan”1
Sebuah biskut kesyukuran dan ingatan. Ia tujukan kepada anda. Kepada semua yang berdoa setelah tonton cerita di berita, kepada semua yang jadi sukarelawan apabila tidak senang atau yang dermakan wang kepada tabung kemanusiaan; mempercayainya akan lakukan sesuatu yang baik, terima kasih.
Tanggungjawab Ilahi untuk Jaga Orang Miskin
Gereja Yesus Kristus berada di bawah mandat ilahi untuk jaga orang miskin.2 Ia adalah salah satu keutamaan pekerjaan keselamatan dan permuliaan.3 Kebenaran pada zaman Alma juga masih benar bagi kita: “Dan demikianlah, dalam keadaan mereka yang makmur, mereka tidak menyuruh pergi sesiapa pun yang telanjang, atau yang lapar, atau yang dahaga, atau yang sakit, atau yang tidak diberi makan; dan mereka tidak menaruh hati mereka pada kekayaan; oleh itu mereka murah hati kepada semua orang, baik tua mahupun muda, baik tertawan mahupun bebas, baik lelaki mahupun perempuan, sama ada di luar gereja ataupun di dalam gereja, tidak menunjukkan rasa pilih kasih berkaitan dengan mereka yang memerlukan.”4
Gereja bertindak balas kepada tugas ini dengan pelbagai cara, termasuk:
-
pelayanan yang kita lakukan melalui Lembaga Pertolongan, kuorum imamat dan kelas;
-
berpuasa dan penggunaan sumbangan puasa;
-
kebajikan ladang dan pengetinan;
-
pusat pelawat untuk para imigran;
-
bantuan bagi penghuni penjara;
-
usaha kemanusiaan Gereja;
-
dan aplikasi JustServe, jika ada, yang memberi sukarelawan dengan peluang pelayanan.
Inilah segala cara, diatur melalui imamat, di mana usaha kecil secara kolektif beri kesan yang besar, kembangkan banyak hal individu yang kita lakukan sebagai pengikut Yesus Kristus.
Para Nabi Memiliki Pengawasan untuk Seluruh Bumi
Para nabi bertanggungjawab ke atas seluruh bumi, bukan hanya untuk para ahli Gereja. Saya boleh laporkan dari pengalaman saya sendiri bagaimana Presidensi Utama secara peribadi dan setia ambil tanggungjawab itu. Apabila keperluan berkembang, Presidensi Utama telah beri kita tugas untuk tingkatkan jangkauan kemanusiaan kita dengan cara yang besar. Mereka berminat dalam trend terbesar dan butiran terkecil.
Baru-baru ini, kami beri salah satu gaun perlindungan perubatan yang Beehive Clothing jahit untuk kegunaan hospital semasa penularan wabak. Sebagai seorang doktor perubatan, Presiden Russell M. Nelson sangat berminat. Dia tidak mahu hanya melihatnya. Dia ingin cubanya—periksa pergelangan tangan, panjang dan cara ia diikat di belakang. Dia beritahu kami kemudian, dengan emosi dalam suara-Nya, “Apabila anda bertemu dengan orang-orang dalam tugasan anda, ucapkan terima kasih atas puasa, sumbangan, dan pelayanan mereka dalam nama Tuhan.”
Laporan Kemanusiaan
Atas arahan Presiden Nelson, saya laporkan kepada anda tentang bagaimana Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir bertindak balas terhadap taufan, gempa bumi, pemindahan pelarian—dan bahkan pandemik—terima kasih kepada kebaikan hati Orang Suci Zaman Akhir dan banyak kawan. Walaupun lebih daripada 1,500 projek COVID-19 jadi fokus terbesar dari bantuan Gereja dalam tempoh 18 bulan lepas, Gereja juga bertindak balas kepada 933 bencana alam dan krisis pelarian di 108 negara. Tetapi statistik tidak ceritakan seluruh cerita. Benarkan saya kongsi empat contoh ringkas untuk gambarkan rasa terkecil tentang apa yang sedang dilakukan.
Bantuan COVID Afrika Selatan
Dieke Mphuti dari Welkom, Afrika Selatan, yang berumur enam belas tahun, kehilangan ibu bapanya bertahun-tahun yang lalu, terpaksa jaga tiga adiknya sendiri. Ia sentiasa menggentarkan bagi dia untuk cari makanan yang cukup, tetapi kekurangan bekalan dan kuarantin COVID jadikannya hampir mustahil. Mereka sering lapar, hanya mengharapkan kemurahan hati jiran-jiran.
Pada Ogos 2020, hari yang cerah, Dieke terkejut dengan ketukan di pintunya. Dia bukanya dan nampak dua orang asing—seorang wakil Gereja dari pejabat kawasan di Johannesburg dan seorang pegawai lain dari Jabatan Perkembangan Sosial Afrika Selatan.
Dua organisasi itu telah bekerjasama untuk bawa makanan kepada isi rumah yang berisiko. Dieke rasa sangat lega ketika dia nampak timbunan gandum dan barangan makanan lain, yang dibeli dengan dana kemanusiaan Gereja. Ini akan bantu dia sokong keluarganya selama beberapa minggu sehingga satu bungkusan bantuan kerajaan boleh mula berkesan untuknya.
Cerita Dieke adalah salah satu dari beribu-ribu pengalaman seperti ini yang berlaku di seluruh dunia semasa wabak COVID, terima kasih atas sumbangan bakti anda.
Bantuan Orang Afghanistan di Ramstein
Kita semua telah lihat gambaran baru-baru ini dalam berita; beribu-ribu orang dipindahkan dari Afghanistan. Ramai yang tiba di pangkalan udara atau lokasi sementara yang lain di Qatar, Amerika Syarikat, Jerman, dan Sepanyol sebelum pergi ke destinasi terakhir mereka. Keperluan mereka segera, dan Gereja bertindak balas dengan bekalan dan sukarelawan. Di Pangkalan Tentera Udara Ramstein, Jerman, Gereja sediakan dermaan besar lampin, susu formula bayi, makanan dan kasut.
Beberapa saudari Lembaga Pertolongan perhatikan yang ramai wanita Afghanistan sedang guna baju suami mereka untuk tutup kepala mereka kerana penutup kepala tradisional mereka telah ditanggalkan oleh kumpulan yang kegilaan di lapangan terbang Kabul. Dalam satu tindakan persahabatan yang melintasi sempadan agama atau kebudayaan, para saudari Bahagian Pertama Ramstein berkumpul untuk jahit pakaian tradisional Muslim bagi wanita Afghanistan. Sister Bethani Halls berkata, “Kami terdengar yang para wanita perlukan pakaian bersembayang, dan kita jahit supaya mereka boleh jadi [selesa] untuk bersembayang.”5
Bantuan Gempa bumi Haiti
Contoh seterusnya menunjukkan anda tidak perlu jadi kaya atau tua untuk jadi alat bagi kebaikan. Marie “Djadjou” Jacques, berumur lapan belas tahun adalah dari Cavaillon Branch di Haiti. Apabila gempa bumi teruk berlaku dekat bandarnya pada bulan Ogos, rumah keluarganya adalah salah satu daripada beribu-ribu bangunan yang runtuh. Ia hampir mustahil untuk bayangkan kekecewaan kehilangan rumah anda. Tetapi daripada menyerah kepada kekecewaan itu, Djadjou—secara luar biasa—berpaling ke luar.
Dia nampak seorang jiran tua bergelut dan mula jaganya. Dia bantu orang lain bersihkan serpihan. Walaupun keletihan, dia sertai para ahli Gereja lain untuk agihkan makanan dan kit kebersihan kepada orang lain. Cerita Djadjou hanya salah satu banyak contoh pelayanan yang dilakukan oleh remaja dan pemuda pemudi semasa mereka berusaha untuk ikuti teladan Yesus Kristus.
Bantuan Banjir Jerman
Hanya beberapa minggu sebelum gempa bumi, satu lagi kumpulan pemuda pemudi berikan pelayanan yang serupa melintasi Atlantik. Banjir yang mengalir ke Eropah barat pada bulan Julai adalah yang paling parah dalam beberapa dekad.
Apabila air surut, seorang penjaga kedai di daerah tepi sungai Ahrweiler, Jerman, menyelidiki kerosakan dan rasa terbeban. Lelaki yang rendah hati ini, seorang Katolik yang setia, berbisik doa agar Tuhan boleh hantar seseorang untuk bantunya. Keesokan paginya, Presiden Dan Hammon dari Misi Jerman Frankfurt tiba di jalan dengan kumpulan kecil para penginjil yang pakai rompi kuning Helping Hands. Air telah capai 3 meter di atas tembok penjaga kedai, meninggalkan lapisan lumpur yang dalam. Para sukarelawan menyodok keluar lumpur, buka karpet dan dinding kering, dan kumpulkan segalanya di jalan untuk dibuang. Penjaga kedai yang gembira bekerja bersama mereka selama berjam-jam, kagum kerana Tuhan telah hantar sekumpulan hamba-hamba-Nya untuk menjawab doanya—dan dalam waktu 24 jam!6
“Saya Berdoa Agar Dia Akan Gunakan Kita”
Berucap tentang usaha kemanusiaan Gereja, Elder Jeffrey R. Holland pernah nyatakan: “Doa dijawab … kebanyakan masanya… dengan Tuhan gunakan orang lain. Saya berdoa agar Dia akan gunakan kita. Saya berdoa agar kita akan jadi jawapan kepada doa orang.”7
Saudara dan saudari, melalui pelayanan, dermaan, masa, dan kasih, anda telah jadi jawapan kepada banyak doa. Namun ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Sebagai ahli Gereja yang dibaptiskan, kita berada di bawah perjanjian untuk jaga mereka yang perlukannya. Usaha individu kita tidak semestinya perlukan wang atau lokasi yang jauh;8 ia perlukan bimbingan Roh Kudus dan hati yang rela untuk berkata kepada Tuhan: “Inilah aku. Utuslah aku.”9
Masanya Tuhan Menyelamatkan Umat-Nya
Luke 4 catatkan yang Yesus datang ke Nasaret, di mana Dia telah dibesarkan, dan berdiri dalam saumaah untuk baca. Ini dekat dengan permulaan pelayanan fana-Nya, dan Dia petik sebuah petikan dari kitab Yesaya:
“Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,
“Serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya. …
“… Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.”10
Saya bersaksi bahawa tulisan suci sedang digenapi dalam masa kita sendiri juga. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus datang untuk sembuhkan mereka yang patah hati. Injil-Nya adalah untuk pulihkan penglihatan kepada yang buta. Gereja-Nya adalah untuk mengkhutbahkan pembebasan kepada tawanan, dan para pengikut-Nya di seluruh dunia berusaha untuk membebaskan mereka yang tercedera.
Benarkan saya akhiri dengan mengulangi soalan yang Yesus tanya rasul-Nya Simon Petrus: “Adakah kamu mengasihi saya?”11 Inti pati injil terkandung dalam cara kita jawab soalan itu untuk diri kita dan “peliharalah domba-domba[-Nya].”12 Dengan ketakziman dan kasih besar terhadap Yesus Kristus Tuan kita, saya jemput setiap kita untuk jadi sebahagian dari pelayanan-Nya yang mengagumkan, dan saya berdoa Dia akan gunakan kita. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.